Pesawat Pejuang Sukhoi Su-30MKM – Tedung Selar Yang Menggerunkan

0
5873
views

Pesawat ini adalah pesawat pejuang generasi 4.5 buatan firma Irkut Aircraft Corporation, Russia dan dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mula memasuki perkhidmatan angkatan tentera udara pada tahun 2007, sejumlah 18 pesawat ditempah dengan penugasan utama sebagai pesawat tempur penguasaan ruang udara dengan keupayaan serangan darat yang komprehensif.

Berbeza dengan pesawat eksport buatan Russia sebelum ini, Su-30MKM menggunakan sistem elektronik buatan Eropah,di integrasi dengan persenjataan buatan Russia dan mengaplikasikan rukun pertempuran udara yang dibangunkan oleh anak tempatan, lantas menjadikan ia pesawat termoden dan paling berkemampuan di rantau sebelah sini ketika ia mula memasuki perkhidmatan TUDM.

Bernaung dibawah No.11 Skuadron, pesawat yang dipanggil Tedung Selar ini merupakan penghuni tetap Pangkalan Udara Gong Kedak dan ditugaskan ketika waktu aman, sebagai pesawat pemintas.

Kelebihan utama pesawat pejuang ini adalah terletak pada rekabentuk aerodinamik yang di pertingkatkan hasil pembangunan dan kajian terperinci pesawat Su-27.

Penambahan canard dan sistem kawalan tujahan vektor yang melengkapi 2 enjin turbofan Saturn AL31F ini memberikan daya manuverabiliti yang tidak dapat ditandingi mana-mana pesawat buatan blok Barat dalam kelasnya, menjadikan ia amat berbahaya dalam pertempuran jarak dekat, ditambah kawalan penembakan senjata yg mengaplikasikan pembidikan terus dari helmet juruterbang, yang mana juruterbang tidak perlu menghalakan pesawat kearah musuh sebaliknya hanya perlu berpaling dan menghalakan kepalanya yg dilengkapi helmet untuk menembak peluru berpandu kearah musuh.

Ditambah dengan daya tujahan dan sistem kawalan penerbangan fly by wire menjadikan pesawat ini amat lincah dalam pertempuran. Untuk rekod, sehingga hari ini hanya pesawat termoden angkatan udara AS yang mempunyai sistem kawalan tujahan vektor pada pesawat pejuang F/A-22 Raptor mereka.

Persenjataan udara ke udara melibatkan sistem peluru berpandu jarak sederhana R-77 dengan panduan radar, sejumlah varian peluru berpandu R-27 dengan variasi sistem panduan yg terdiri dari panduan radar semi aktif dan panduan infra merah serta peluru berpandu jarak jauh KS-100 dengan capaian jarak efektif keatas sasaran sehingga 300-400km.

Persenjataan serangan darat untuk pesawat ini juga sangat impresif, dengan keupayaan menyerang sasaran dari jarak jauh dengan 4 jenis sistem persenjataan peluru berpandu udara ke darat jarak sederhana dan jarak jauh dengan panduan laser atau panduan. Sistem peluru berpandu Kh-31, peluru berpandu anti kapal Kh-39 serta varian-varian peluru berpandu udara kedarat Kh-29 dan Kh-59 adalah antara pemukul utama bagi operasi serangan udara keatas sasaran militer.

Ini tidak mengambil kira sejumlah persenjataan berupa bom panduan laser KAB-500L dan KAB-1500L serta bom dan roket tanpa panduan. Keseluruhan bebanan persenjataan untuk pesawat Sukhoi ini mampu mencecah sehingga 8000kg pada satu satu masa.

Keupayaan peperangan elektronik melengkapkan pesawat multirole ini, dengan kelengkapan sistem penyerakan elektrinik Knirti SAP-518 dan SAP-48 bagi tujuan operasi pemusnahan bateri peluru berpandu anti pesawat yang melibatkan misi SEAD/DEAD (Suppression of Enemy Air Defence/Destruction of Enemy Air Defence) dimana pesawat Su-30MKM ini bertindak sebagai platform penyerakan elektronik (jammer aircraft) yang terbang bersama kumpulan pakej penyerang yang terdiri dari pesawat pejuang yg sama atau pesawat lain dalam pegangan TUDM.

Selepas perolehan pesawat pejuang ini, negara tetangga serantau mulai merangka semula perolehan dan penggantian pesawat pejuang mereka, yang mana dia memperlihatkan cuba untuk mengatasi jika tidak berada pada aras sama dengan kemampuan pesawat TUDM terbaharu ini. Vietnam dan Indonesia sebagai contoh membuat perolehan dengan firma Komsomolsk on Amur Aircraft Production(KNaaPO) yang juga merupakan cabang firma Sukhoi sejumlah pesawat Su-30MK/MK2.

Indonesia menempah 11 buah pesawat dan telah beroperasi sejak tahun 2013 manakala Vietnam menempah sehingga 36 buah pesawat Su-30MK2V dan mengoperasikannya sejak tahun 2013. Singapura pula menempah pesawat saingan Su-30 ini, yakni F-15SG pada tahun 2007 dengan tempahan awal sebanyak 12 buah dengan tambahan 8 buah pesawat sebagai option.

Ini berubah apabila Singapura menambah tempahan kepada 12 buah, menjadikan jumlah keseluruhan F-15SG kepada 24 buah. Walaubagaimanapun ini tidak termasuk jumlah sebenar pesawat yg ada dalam pegangan republik tersebut yg dikatakan mempunyai sehingga 40 buah pesawat sebagai tambahan.

Setelah 10 tahun berkhidmat dengan TUDM, terdapat ura-ura yang angkatan udara negara kita memerlukan tambahan sejumlah pesawat tempur pelbagai tugasan bagi menyokong tugasan pesawat yang masih berkemampuan dan menggantikan pesawat sedia ada yang sudah dimamah usia melalui program MRCA. Namun sehingga artikel ini ditulis, program tersebut mengalami pelbagai halangan, terutama dari segi kos operasi dan perbelanjaan negara yang sangat terhad.

Kami amat mengharapkan pihak pemerintah mengambil perhatian serius berkenaan pertahanan udara kerana skenario pertempuran masa kini melibatkan penguasaan ruang udara total yang pada masa sama melindungi ketumbukan tentera konvensional didaratan. Kuasa udara adalah amat kritikal dalam mengekalkan kedaulatan negara.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here