Falsafah Anime Boku Dake Ga Inai Machi: Kehendak Bebas (Free Will), Penentuan (Determinsm) Dan Takdir (Predestination)

0
1245
views

Ok, secara jujurnya, saya sebenarnya sedikit takut nak ulas benda ni sebab bertembung dengan cabang Ilm Kalam, tapi saya rasa anime ini agak bagus dalam menerangkan falsafah di atas.

Boku Dake Ga Inai Machi (ERASED, nama singkatan) ialah sebuah anime genre drama thriller berkenaan seorang pemuda bernama Satoru yang mempunyai kuasa untuk pulang ke masa lampau (dipanggil ‘Revival’) setiap kali kejadian yang berbahaya berlaku, supaya dia dapat selamatkan keadaan tersebut. Benda ini dapat dilihat pada episod pertama di mana dia selamatkan seorang kanak-kanak daripada dilanggar lori.

Kuasanya itu digunakan olehnya untuk hal tersebut sejak kecil hinggalah pada suatu hari, ibunya dibunuh. Perkara ini menyebabkan Revival-nya tercetus lalu menghantarnya kembali ke 8 tahun yang lepas, semasa dia berumur 10 tahun, atas sebab pembunuh ibunya mempunyai kaitan dengan kes penculikan kanak-kanak semasa zaman kecilnya. Dari situ, Satoru perlu berusaha untuk mencari pembunuh tersebut sebelum sahabat-sahabatnya yang sebelum ini mati di garis masa asal, selamat.

Gambar 1: Pembunuhan ibunya telah menyebabkan Satoru dianggap sebagai suspek utama. Hal ini sekaligus mengaktifkan kuasa Revival miliknya.

Falsafah Penentuan ialah berkenaan setiap makhluk itu terikat dengan takdir dan kita takkan mampu untuk ubahnya. Menurut pengikut falsafah ini, konsep kehendak bebas tak wujud. Ia hanyalah delusi. Antara hujah falsafah ini adalah seperti faktor biologi. Segala aktiviti kita terikat dengan kekuatan tubuh kita. Oleh itu, kuat mana pun kita usaha, kita takkan mampu untuk berusaha lebih daripada batas kita.

Dari segi konsep Ketuhanan fahaman Jabariah, ini ialah logik sebab memberi maksud bahawa Tuhan itu Maha Kuasa. Sebagaimana boneka, Tuhan berkuasa sepenuhnya terhadap takdir kita. Walau bagaimanapun, ini juga telah menimbulkan persoalan. Mengapa Tuhan ciptakan orang jahat hanya untuk masukkan mereka ke neraka? Kenapa Tuhan mentakdirkan orang jahat menjadi jahat?

Sementara itu, falsafah Kehendak Bebas pula ialah berkenaan manusia tidak terikat dengan takdir. Fahaman ini juga dikenali sebagai Libertarianisme (fahaman Qadariah dan Muktazilah dalam Islam). Penganutnya ini berpendapat faktor biologi sperti yang diterangkan di atas hanya terkesan pada individu tersebut sehinggalah di bawa ke tahap kesedaran sendiri. Selepas individu tersebut sedar akan faktor itu, maka dia bebas untuk pilih apa yang dia nak buat padanya. Nak bersenam ke, taknak ke, suka hati dialah nak buat apa. Oleh itu, manusia sentiasa bebas dalam memilih. Perkara ini berjaya menyelesaikan kenapa Tuhan itu Maha Adil dengan menjadikan mausia bebas menjadi baik atau jahat, sedangkan berbuat jahat itu mustahil bagi Tuhan, dan kejahatan itu produk kehendak kuasa yang diberi pada manusia.

Oleh itu, Kehendak Bebas bergerak selari dengan Keadilan Tuhan. Namun, satu masalah lain muncul. Fahaman ini dilihat sebagai merendah-rendahkan kuasa Tuhan dalam mentadbir alam. Bukankah Tuhan sepatutnya yang Maha Kuasa antara semua? Mustahil Tuhan itu lemah. Dalam memahami permasalahn Penentuan dan Kehendak Bebas, kita kena lihat Permasalahan Kejahatan dalam Paradoks Epicurus:

“Adakah Tuhan berniat untuk menghalang kejahatan, tapi tak mampu? Maknanya Dia maha lemah. Adakah Tuhan mampu, tapi tak mahu halang? Maknanya Dia maha zalim. Adakah Dia mampu untuk berniat dan menghalang? Jadi, mengapa ada kejahatan? Adakah dia tidak mampu untuk berniat dan menghalang? Jadi, mengapa panggil-Nya Tuhan?”- ‘Paradoks Epicurus’

Dalam anime ini, Satoru mempunyai kuasa untuk mengubah takdir. Hal ini sekaligus memberi maksud bahawa Satoru mempunyai kuasa Kehendak Bebas yang mutlak. Dia mampu untuk ubah realiti. Sepanjang perjalanan anime ini, Satoru juga telah rapat dengan seorang rakan perempuan sekelasnya, Kayo. Hubungan Satoru-Kayo dilihat sebagai menginjak ke arah romantik kerana sifat ‘overprotective’ Satoru sebab mengikut garis masa asal, Kayo mati.

Kemuncak pertama anime ini ialah Satoru akhirnya dapat tahu identiti pembunuh tersebut. Cikgunya sendiri. Akibatnya, cikgunya cuba untuk melemaskan Satoru di dalam tasik, menyebabkan Satoru koma selama 9 tahun. Setelah Satoru sedar semula, ingatannya telah hilang dan pada masa yang sama, Kayo telah pun berkahwin dengan sahabat baik Satoru sendiri (NTR, member rembat member).

Gambar 2: Top 10 Anime Betrayals: NTR

Ingatan Satoru hanya kembali selepas dia terjumpa Airi, rakan perempuan sekerja yang rapat dengan Satoru di garis masa asal (berdasarkan manga). Melalui perkara ini, ingatannya mula kembali dan di akhir cerita, anime ini memberi petunjuk kemungkinan besar Satoru akan mempunyai hubungan dengan Airi. Ini memberi makna sekalipun Satoru mempunyai kuasa Kehendak Bebas, dia tetap tak dapat lari daripada takdir, iaitu dengan Airi, bukan dengan Kayo. Jadi, apa falsafah apa yang cuba diceritakan di sini?

Kalau ikut debat Ilm Kalam, Jabbariah dikalahkan oleh Mutazilah, yang kemudiannya dikalahkan oleh Ahlu Al-Sunnah Wa Al-Jamaah (ASWJ). Kalau saya terangkan falsafah ASWJ, ia ialah Neo-Orthodox Compatibilist’. ‘Neo-Orthodox’ kerana kembalinya jamaah kepada akar Islam dan ‘Compatibilist’ kerana mengharmonikan falsafah Kehendak Bebas-Penentuan. Manusia sememangnya terikat dengan takdir dan Penentuan, namun pada masa yang sama kita juga mempunyai Kehendak Bebas yang membolehkan kita mengubah takdir. Rasanya ramai yang maklum mengenai ‘nasib sesuatu kaum itu takkan berubah selagi mereka tak mengubahnya.’

Bukti bagi kenapa hujah ‘Compatibilist’ ini kuat ialah melalui pemahaman terhadap Kebenaran Mutlak/Pengetahuan Mutlak milik Tuhan. Katakanlah, seorang pemuda terjumpa dengan seguni emas. Kebarangkalian yang ada di sini ialah sama ada dia ambil guni itu, atau ditinggalkan. Di sini, pemuda itu mempunyai Kehendak Bebas untuk pilih mana-mana cara dan tak kisahlah jenis pilihan mana dia ambil, ia ialah Penentuan Tuhan/Takdir Mutlak. Kenapa? Sebab pengetahuan Tuhan merangkumi pelbagai kebarangkalian, oleh itu setiap kebarangkalian sudah pun termaktub dalam fikiran-Nya, dan tugas jalan mana yang dipilih itu terletak pada makhluk.

Namun, ada juga takdir yang sememangnya mutlak dan tak dapat diubah. Contohnya, apabila pemuda itu tetap dapat output yang sama bagi kedua-dua pilihan kes guni emas. Bagi kes anime ini, ia ialah jodoh.

Comments

comments

Previous articleKenapa Kita Tak Boleh Nampak Hantu?
Next articleMonumen Anti-Cession Sarawak 1948
Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here