Baitul Hikmah: Institusi Ilmu Agung Umat Islam Dalam Kenangan

0
2653
views

Baitul Hikmah ialah sebuah legasi agung peninggalan tamadun Islam yang pernah suatu masa dahulu, mencapai zaman keagungannya dalam bidang ilmu. Sebaik sahaja Abbasiyah mengambil kekhalifahan dari Bani Umaiyah dan melaksanakan dasar perluasan kuasanya, mereka mula mencapai zaman dan fasa baru dalam sejarah ketamadunan Islam. Keluasan empayar Abbasiyah memaksa khalifah Al-Mansur ketika itu memindahkan pentadbirannya ke wilayah Iraq.

Kebergantungan Abbasiyah pada pegawai-pegawai kerajaan Parsi serta kebanjiran bangsa yang bukan Arab beragama Islam (mawalli) membuatkan Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur (714 -775 AD) menubuhkan sebuah bandaraya baru yang terletak di Iraq hari ini, sebagai pusat pemerintahan empayar baru umat Islam itu. Dan bandaraya inilah yang menjadi permulaan dan saksi kepada berdirinya sebuah perpustakaan yang cukup dikagumi oleh umat Islam dan dunia sehingga hari ini. Mari bersama saya, kita mengembara menyelami keindahan sebuah perpustakaan yang diberikan nama Baitul Hikmah. Bayt bermaksud sebuah banggunan atau rumah, manakala Hikmah pula bermaksud kebijaksanaan. Dalam makalah-makalah dalam bahasa Inggeris, sejarawan dan orientalis Barat memanggil perpustakaan ini sebagai House Of Wisdom. Tetapi dalam artikel ini, saya akan memanggilnya sebagai Baitul Hikmah sahaja.

Baik… kita semua tahu bahawa rumah kepada perpustakaan agung yang pernah berdiri dalam sejarah perkembangan tamadun umat Islam ini terletak di Baghdad. Tetapi siapakah yang bertanggungjawab membinanya? Baik… sejarah pun bercerita kepada kita bahawa insan yang membina perpustakaan ini bernama Khalifah Harun Ar-Rashid yang memerintah kerajaan Abbasiyah pada tahun 786 sehingga 809 Masihi. Ini tidak dihairankan lagi kerana baginda memang terkenal sebagai seorang khalifah yang begitu cintakan ilmu. Kemudian, pewaris kepada takhta Abbasiyah selepas Khalifah Harun Ar-Rasyid iaitu Khalifah Al-Ma’mun yang memerintah pada tahun 813-833 Masihi memakmurkan dan mengembangkan lagi perpustakaan yang diasaskan oleh ayahandanya sebelum itu.

Dikatakan di bawah pemerintahan baginda, ketika itulah Bagdhad seolah-olah menjadi seperti jelmaan Iskandariah (Alexandria) dan Athens yang suatu ketika dahulu, pernah mengaum dalam pentas sejarah sebagai pusat peradaban ilmu yang hebat dan agung. Jadi.. apa yang dilakukan oleh Al-Ma’mun dalam mengembangkan lagi Baitul Hikmah ini? Senang sahaja. Ianya sama seperti apa yang selalu dilaungkan oleh saya sebelum-sebelum ini. Pembejalaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris tidak semestinya akan menjadikan bangsa kita sebagai bangsa yang hebat dalam peradaban dunia. Hakikatnya, mempelajari sebuah subjek sesukar matematik dan juga sains dalam bahasa ibunda (baca : Bahasa Melayu) lebih mudah daripada bahasa asing kerana bahasa ibunda lebih dekat dengan jiwa kita. Lagipun puncak intelektual tamadun Melayu sejak zaman berzaman lagi dalam sejarah adalah didasari oleh perkembangan bahasa Melayu, sehingga terhasilnya puluhan ribu manuskrip ilmu dan ketika itu di Asia tenggara, bahasa Melayu menjadi Lingua Franca kerana dua faktor, perkembangan ekonomi dan juga ilmu. Rasanya, itu jugalah yang difikirkan oleh Al-Ma’mun. Al-Ma’’mun yang telah menaja proses terjemahan karya-karya ilmu dari pelbagai tamadun di dunia seperti Yunani, Rom, Syriac, Aramiac, Parsi dan India ke dalam bahasa Arab.

Segala cendekiawan dari seluruh dunia dikumpulkan di dalam Baitul Hikmah, lalu mereka melakukan proses menterjemahkan karya-karya ilmu ini. Bahkan dimaklumkan bahawa demi mengikuti perkembangan projek agungnya itu, setiap hari Al-Ma’mun akan berangkat melawat Baitul Hikmah lalu berdebat dengan segala cendekiawan di situ yang di mana dari proses terjemahan itu, terus berkembang kepada pelbagai sektor ilmu di dalamnya. Setiap cendekiawan ditanggung kos sara kehidupannya oleh Al-Ma’mun. Bahkan Al-Ma’mun mengupah para ilmuwan untuk mengembara ke seluruh dunia dan segala tamadun yang diketahui pada waktu itu, dan mengutip khazanah ilmu di sana lalu dibawa pulang ke Baitul Hikmah untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.

Dilaporkan bahawa dalam Baitul Hikmah, terdapat beberapa buah jabatan seperti jabatan terjemahan, jabatan saintis, jabatan penulisan, jabatan penyalinan, jabatan yang fungsinya menjilid dan mengumpulkan buku-buku yang ada. Ketika zaman kegemilangannya, dikatakan lebih daripada 8 buah bahasa yang diucapkan, ditulis, dan dibaca di Baitul Hikmah saban hari dan antaranya ialah Bahasa Arab, Parsi, Hebrew, Aramaic, Yunani, Latin dan Sanskrit.

Kemuncak dari program translasi oleh Al-Ma’mun ini, kita dapat menyaksikan bagaimana minat kepada sains dan teknologi mula bercambah di kalangan umat Islam ketika itu. Baitul Hikmah pada zaman keemasannya dikatakan mengandungi pelbagai jenis naskah ilmu dalam pelbagai bidang seperti Sains, Matematik, Alkimia, zoologi, geografi dan juga kartografi. Pada pertengahan abad ke-9 Masihi, tiada perpustakaan yang lebih besar daripada Baitul Hikmah di dunia dan pada masa itu, tamadun Islam terus unggul dalam peradaban berasaskan ilmu dengan pusat perkembangan ilmu terus berkembang maju di Baghdad, Cordoba dan Bukhara.

Antara tokoh hebat yang diperkatakan lahir dari projek ini ialah Youhanna bin Al-Batriq Al-Turjuman (seorang Assyria) yang telah menterjemahkan Books Of Animals, sebuah karya falsafah hebat yang ditulis oleh Aristotle dahulu. Tidak lupa juga kepada Hunaiyn Bin Ishaq (Isaac) Al ‘Ibadi yang merupakan ketua jabatan penterjemahan di Baitul Hikmah ketika itu. Sepanjang hidup beliau, beliau telah menterjemahkan lebih daripada 115 buah karya agung dari seluruh peradaban.

Namun, Baitul Hikmah mengalami zaman kejatuhannya pada era pemerintahan Khalifah Al-Mutawakil (847-861 Masihi) yang menganggap bahawa tempat Baitul Hikmah ini ialah tempat percambahan untuk ideologi Mutazilah di mana fahaman ini lebih mengangkat akal logik menandingi wahyu. Fahaman ini juga lahir akibat dari pembelajaran falsafah-falsafah Yunani tanpa tapisan yang menjadi karya utama penterjemahan ketika zaman khalifah sebelum beliau seperti Al-Ma’mun, Al-Mu’tasim dan juga Wathiq. Khalifah-khalifah sebelum beliau juga dikatakan merupakan penganut fahaman muktazilah ini, sejenis fahaman yang mengangkat ketinggian akal menandingi ketinggian wahyu dan menganggap bahawa Al Quran ialah makhluk (nauzubillahi minzalik). Untuk pengetahuan semua. Khalifah Al-Mutawakil ialah khalifah yang menganut mazhab Alhlul Sunnah Wal Jamaah, berbeza dengan khalifah yang sebelum beliau.

Namun kejatuhan keseluruhannya berlaku dalam tika serangan Monggol (yang pernah saya ulas dalam artikel sebelum ini) sehingga dikatakan bahawa beribu-ribu manuskrip ilmu dalam Baitul Hikmah ini dilontarkan ke dalam Sungai Tigris sehinggakan dikatakan bahawa air sungai tersebut menjadi hitam legam selama enam bulan kerana dakwat cair yang luntur dari manuskrip-manuskrip tersebut.

Comments

comments

Previous articleLelaki Yang Terselamat Dari Serangan Bom Atom
Next articleTamadun Melayu Ialah Tamadun Penakluk Lautan
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here