Tradisi Sains Fiksyen Dan Fantasi Dalam Dunia Islam

0
1831
views

Anda fikir orang halimunan, kembara masa, mesin terbang dan pengembaraan ke planet lain adalah hasil imaginasi Eropah atau ‘Barat’? Bacalah Hikayat Seribu Satu Malam – sebuah koleksi cerita rakyat yang disusun semasa Zaman Keemasan Islam, dari kurun ke-8 hingga kurun ke-13 Masihi – dan anda akan mendapati ianya sarat dengan naratif-naratif sebegini dan banyak lagi.

Para pembaca Barat sering kali mengabaikan fiksyen spekulatif dunia Islam. Saya menggunakan istilah ini secara meluas untuk menggambarkan sebarang cerita yang membayangkan implikasi sebenar atau budaya yang dibayangkan ataupun kemajuan sains. Sebahagian daripada usaha pertama ke dalam genre ini adalah utopia bayangan semasa era kebangkitan kebudayaan pada Zaman Keemasan tersebut. Memandangkan empayar Islam berkembang dari Semenanjung Tanah Arab merangkumi Sepanyol hingga ke India, kesusasteraan membincangkan masalah bagaimana menggabungkan pelbagai kebudayaan dan suku kaum yang begitu majmuk. Kota Kemuliaan (al-Madina al-Fadila), yang ditulis pada kurun ke-9 oleh filsuf Abu Nasr Al-Farabi, merupakan salah sebuah karya agung terawal yang dihasilkan oleh ketamadunan Islam yang baru lahir. Ditulis berdasarkan pengaruh Republic karya Plato, ianya membayangkan sebuah masyarakat sempurna yang diperintah oleh ahli filsuf Muslim – sebagai templat pemerintahan di dunia Islam.

Disamping falsafah politik, perdebatan mengenai nilai penaakul merupakan ciri khas penulisan Muslim pada masa itu. Novel berbahasa Arab yang pertama, Filsuf Belajar Sendiri (Hayy Ibnu Yaqzan, secara literalnya, Hidup, Si Anak Terjaga), dikarang oleh Ibnu Tufail, seorang pakar perubatan abad ke-12 Masihi dari Sepanyol. Plotnya mirip Robinson Crusoe versi Arab, dan boleh dibaca sebagai eksperimen pemikiran tentang bagaimana makhluk rasional mungkin belajar mengenai alam semesta tanpa sebarang pengaruh luar. Ianya mengisahkan tentang seorang anak terbiar yang dibesarkan oleh seekor gazelle di sebuah pulau terpencil, yang tidak mempunyai sebarang akses kepada sebarang bentuk keagamaan atau kebudayaan sehinggalah beliau bertemu dengan seorang manusia yang terdampar di pulau tersebut. Banyak tema yang terdapat di dalam buku ini – sifat manusia, empirisisme, makna kehidupan, peranan individu di dalam masyarakat – seolah-olah membayangkan keasyikan para filsuf era Enlightenement termasuk John Locke dan Immanuel Kant.

Kita juga harus berterima kasih terhadap dunia Islam atas salah satu karya sains fiksyen feminis pertama. Cerita pendek ‘Impian Sultana’ (1905) karya Rokeya Sakhawat Hussain, seorang penulis dan aktivis Bengali, berlangsung di alam mitos bernama Ladyland. Peranan jantina diterbalikkan dan dunia dikendalikan oleh wanita, selepas berlakunya revolusi di mana wanita menggunakan kecekapan saintifik mereka untuk mengatasi lelaki. (Bodohnya, lelaki menolak pembelajaran wanita sebagai ‘mimpi buruk sentimental’.) Hasilnya dunia menjadi jauh lebih aman dan menyenangkan. Hingga pada satu ketika, si pengunjung bernama Sultana itu perasan orang-orang lain terkejut dengannya. Jurupandunya menjelaskan:

“Wanita-wanita itu berkata bahawa kamu kelihatan sangat kelelakian.”

“Kelelakian?” aku bertanya, “Apa yang mereka maksudkan?”

“Maksud mereka kamu pemalu dan penyegan seperti lelaki.”

Kemudian, Sultana menjadi semakin bertambah penasaran akibat ketidakseimbangan jantina tersebut:

“Di manakah para lelaki?” Aku bertanya kepadanya.

“Di tempat-tempat mereka yang sepatutnya, di mana mereka seharusnya berada.”

“Tolonglah beritahu aku apa yang kamu maksudkan dengan ‘tempat mereka yang sepatutnya’ itu.”

“Oh, maafkan aku, kamu tidak boleh mengetahui adat kami, kerana kamu tidak pernah berada di sini sebelum ini. Kami mengunci kaum lelaki kami di dalam rumah.”

Menjelang kurun ke-20, fiksyen spekulatif muncul sebagai satu bentuk penentangan terhadap gelombang penjajah Barat. Sebagai contoh, Muhammad Bello Kagara, seorang penulis Nigeria berketurunan Hausa, menulis karyanya berjudul Gandoki (1934), novel yang berlatarkan gambaran alternatif Afrika Barat; di dalam kisah ini, penduduk pribumi terlibat dalam perjuangan menentang penjajahan British, di dunia yang dihuni oleh jin dan makhluk mistik lain. Pada dekad-dekad berikutnya, apabila empayar Barat mulai meruntuh, tema utopia politik sering disadurkan dengan sinisisme politik tertentu. Pengarang Maghribi, Muhammad Aziz Lahbabi menerusi novelnya berjudul Elixir Kehidupan (Iksir al-Hayat) (1974), sebagai contoh, mengetengahkan pada penemuan elixir yang dapat memberikan kehidupan abadi. Akan tetapi ianya tidak mengisi kehidupan masyarakat dengan harapan dan kegembiraan, sebaliknya pula menimbulkan perpecahan golongan masyarakat, rusuhan, dan merungkaikan fabrik sosial.

Pada masa kini, muncul jenama fiksyen yang lebih gelap daripada dunia Islam. Frankenstein di Baghdad (2013) karya Ahmad Saadawi membayangkan kemunculan semula Frankeinstein di Iraq pada zaman moden sekarang. Menerusi penceritaan ini, raksasa tersebut dicipta daripada bahagian-bahagian tubuh insan-insan berbeza yang telah mati akibat keganasan etnik dan agama – dan seterusnya mencetuskan amukan-nya yang tersendiri. Melalui proses ini, novel ini menjadi penerokaan terhadap keganasan perang dan kematian nyawa yang tidak berdosa.

Di Emiriah Arab Bersatu, novel remaja karya Noura Al Noman berjudul Ajwan (2012) mengisahkan pengembaraan dan perjuangan makhluk asing amfibia muda untuk menawan anaknya yang telah diculik; karya tersebut telah diangkat sebagai siri televisyen, dan menyentuh tema merangkumi pelarian dan indoktrinasi politik. Di Arab Saudi, Ibrahim Abbas dan Yasser Bahjatt menerusi novel sai-fai sulung mereka HJWN (2013) meneroka perhubungan jantina, ketaksuban beragama, dan kejahilan, dan menawarkan penjelasan naturalis mengenai kewujudan jin yang berada di dalam dimensi selari. Manakala novel suram Utopia (2008) karya penulis Mesir Ahmad Towfiq membayangkan kehidupan masyarakat berpagar pada tahun 2023, di mana ianya menjadi tempat pengunduran masyarakat kelas atasan Mesir selepas keruntuhan sosial dan pasaran ekonomi. Dan di Mesir pasca Musim Bunga Arab pula, novelis Basma Abdel Aziz menghasilkan karya berunsur Kafkaesque berjudul The Queue (2016) – sebuah karya yang mengisahkan sebuah pemberontakkan yang gagal, di mana warga yang tak terdaya lagi berjuang untuk hidup di bawah pemerintahan diktator yang konyol dan mengancam.

Fiksyen spekulatif sering kali disamakan dengan Romantisisme Eropah dan dibaca sebagai reaksi kepada Revolusi Perindustrian. Akan tetapi seandainya ia dipacu selama berabad-abad lamanya ini oleh Muslim ini menunjukkan sesuatu, maka bolehlah direnungkan bahawa segala teknologi hebat, bayangan pengaturan sosial keutopiaan, dan mecatatkan sempadan di antara minda, mesin dan haiwan bukanlah milik utama ketamadunan Barat semata-mata.

-Tom Shacklesmith-

Penulis asal – Muhammad Aurangzeb Ahmad (aeon.co)

Artikel ini asalnya diterbitkan di Aeon.co dan telah diterjemahkan dan diterbitkan semula di bawah Creative Commons.

Sumber:

http://www.filmsforaction.org/articles/the-muslim-tradition-of-scifi-and-speculative-fiction/?utm_source=ab&utm_medium=fb

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here