Realiti Manusiawi Dalam Ghost In The Shell

0
1293
views

Bagi peminat filem biasa, ramai menganggap Ghost in the Shell (GITS) yang keluar pada beberapa bulan lepas hanya sekadar cubaan Hollywood mengadaptasi karya Masamune Shirow ke layar perak untuk meraih keuntungan komersial tanpa menyentuh sedikit pun falsafah yang terkandung dalam komik tersebut. Walaupun ia cuba disokong dengan lakonan mantap Scarlett Johannsson (Captain America: Civil War, Lucy) sebagai Mira Killian (nama samaran untuk watak utama, Motoko Kusanagi) dan kesan khas yang mengagumkan, ia tidak sedikit pun mengurangkan keraguan peminat tentang cubaan Hollywood ini.

Bahkan, ada yang beranggapan jika dibandingkan filem arahan Rupert Sanders ini dengan filem-filem Ghost in the Shell arahan Mamoru Oshii (GITS 1995 dan Innocence), Kenji Kamiyama (GITS: Solid State Society) dan Kazuya Nomura (GITS: Arise (New Movie), filem-filem ini dilihat jauh lebih baik dan mengikut bayangan Shirow seperti dalam komik.

GITS bagi saya bukan saja satu karya anime yang perlu dikagumi, ia juga sebenarnya satu cerminan kepada diri kita akan realiti yang berlaku di luar sana. Bukan mahu menakutkan tetapi hakikatnya, terlalu banyak persamaan realiti kita dengan realiti yang ditonjolkan oleh Shirow walaupun cerita tersebut ditulis pada akhir 80-an.

Salah satu darinya ialah ketaksuban manusia kepada teknologi hari ini. Ya, teknologi sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita tetapi jika manusia terlalu bergantung kepada mesin dan teknologi, tanpa disedari, kita sebenarnya sedang menulis skrip kepupusan kita sendiri. Ketaksuban manusia pada teknologi menyebabkan kita tidak lagi berhubung secara peribadi dengan orang lain kerana masa kita sudah dihabiskan untuk teknologi seperti laman media sosial dan telefon bimbit.

Bukan itu saja, tanpa disedari, walaupun teknologi itu sendiri bersifat memudahkan, ia sebenarnya menyebabkan kita semakin kehilangan hubungan dengan kemahiran-kemahiran orang terdahulu termasuk perkara bersifat asas. Isu ini diulas dengan panjang lebar dalam GITS dan ia sebenarnya satu realiti yang amat menakutkan. Selain GITS, filem Inception turut menyentuh isu yang sama di mana manusia menggunakan mesin mimpi untuk bermimpi sehingga mereka hilang hubungan dengan dunia luar dan menganggap mesin tersebut penghubung kepada mimpi mereka.

Kedua, Shirow turut menyentuh soal hubungan korporat dengan kerajaan di mana kedua-duanya punya kepentingan yang bertindih sehingga sukar untuk membezakan kepentingan kedua-dua pihak ini terutama dalam isu-isu sensitif. Pihak korporat akan melobi kepentingan mereka kepada pihak kerajaan sementara pihak kerajaan akan berusaha menunaikannya dengan perlaksanaan polisi-polisi, adakalanya polisi tersebut bersifat berat sebelah dan hanya menguntungkan satu pihak saja.

Kombinasi sebegini ialah satu kombinasi merbahaya kerana jika itu berlaku, kerajaan yang dilantik hanyalah proksi bagi pihak-pihak tertentu untuk menjaga kepentingan mereka dan mengetepikan secara terus kuasa rakyat yang memilih mereka. Situasi ini bukan baru pada hari ini, malah sudah berlaku sejak sekian lama. Contoh paling jelas, apabila taikun-taikun kaya Amerika menyokong pemilihan William McKinley sebagai Presiden Amerika Syarikat bertujuan menjaga syarikat-syarikat mereka daripada dipecahkan kerana mengamalkan monopoli dalam pasaran.

Lee Jae-yong, pengerusi Samsung ditahan polis Korea Selatan kerana terlibat dengan gejala rasuah dengan tujuan mendapatkan sokongan untuk bisnes beliau. Apa yang saya sebut ini hanyalah sekelumit tentang apa yang berlaku di luar sana dan percayalah, ia takkan hilang begitu saja.

Ketiga, satu perkara yang membuatkan saya kagum ialah kehebatan teknologi yang digunakan untuk masa depan. Walaupun kisah ini diceritakan pada akhir 80-an, ia tetap mengagumkan bila membaca teknologi yang dipaparkan dalam GITS seperti bahagian badan robotik dan komunikasi menggunakan diri mereka sendiri. Hari ini, sebahagian teknologi tersebut sudah menjadi kenyataan dan digunakan secara meluas untuk kegunaan masyarakat hari ini seperti anggota badan prostetik, ada yang dilengkapi dengan bahagian robotik untuk memudahkan pergerakan.

Namun, ini juga mengundang persoalan, sejauh mana kita mahu melangkaui batas moral dan etika bila mana teknologi semakin luas digunakan. Tanpa disedari, kala kita terlalu asyik mengejar kesempurnaan, kita seolah-olah cuba melangkaui kekuasaan Tuhan. Teknologi itu sendiri bersifat hebat dan memudahkan namun andai ia digunakan untuk tujuan yang melanggar etika seperti pengklonan manusia, maka apakah kita bersedia membayar harga bila mana kita melanggar batas tersebut.

Harga tersebut bukan saja dari segi angka tetapi juga dari segi moral, etika dan perundangan, adakalanya terlalu mahal dan pahit untuk ego kita menelannya. Shirow mengingatkan hakikat kita sebagai manusia yang serba lemah jika dibandingkan dengan kekuasaan Tuhan Yang Esa. Walau sejauh mana kita mencuba tetapi hakikatnya, kita terlalu kerdil dan lemah di sisi-Nya.

Keempat, GITS juga turut mengingatkan kita akan konsep ketelusan. Agak sukar untuk kita bersikap telus dalam dunia serba mencabar hari ini namun ia bukan alasan untuk meninggalkannya. Tanpa ketelusan, maka pencabulan hak dan perlanggaran amanah akan berleluasa dan menyebabkan masyarakat mudah terdedah kepada pelbagai gejala seperti kemelesetan ekonomi, pengangguran, rasuah, peningkatan kadar jenayah dan seumpamanya. Manusia yang bersikap telus dalam berurusan bukan saja selamat dari segi urusan dunianya, bahkan selamat untuk urusan akhiratnya.

Bila ini berlaku, ia akan mewujudkan masyarakat yang harmoni dan negara yang aman sejahtera. Dan ia juga sebenarnya satu soalan Shirow kepada manusiawi, apakah manusia dapat selamat jika hidup tanpa kompas nilai walau punya teknologi hebat di sisinya?

Kelima, jika diamati betul-betul, GITS turut juga menyentuh soal privasi dan keselamatan. Ini dinyatakan jelas dalam siri GITS: Stand Alone Complex (S.A.C) terutama dalam episod Interceptors di mana subjek manusia dimasukkan satu alat di mana ia merakam visual dan audio sekelilingnya atas nama keselamatan walaupun ia melanggar prinsip privasi. Ini kerana alat tersebut selain merakam maklumat berkaitan kes, ia juga merakam perkara yang tidak sepatutnya seperti hubungan intim suami isteri dan perlakuan peribadinya.

Walaupun ia hanya terpakai pada pegawai polis sahaja, ia membangkitkan persoalan, begitu terdesakkah kita untuk melindungi diri dan orang tersayang daripada unsur-unsur sebegini? Manusia yang melakukan sehingga ke tahap sebegini boleh saya sifatkan sebagai terlalu paranoid dan menganggap semua benda di sekeliling sebagai ancaman kepada kewujudannya.

Apalah erti mengejar nilai sebuah keselamatan dan perlindungan jika itu bermakna mengorbankan secara terus prinsip-prinsip asas manusiawi seperti kebebasan dan keadilan? Soalan ini pernah diajukan oleh Kapten Steve Rogers (Chris Evans) kepada Nick Fury (Samuel L. Jackson) dalam Captain America: The Winter Soldier selepas Fury memperkenalkan Projek Insight kepada beliau. Bukan itu saja, isu ini turut mempersoal sejauh mana kita mengorek maklumat untuk memenuhi matlamat kita walaupun ini bermakna kita melanggar semua prinsip yang kita junjung dalam undang-undang?

Episod Interceptors dilihat hampir sama dengan pendedahan Edward Snowden tentang bagaimana pihak kerajaan Amerika mengawasi emel-emel orang awam atas nama keselamatan negara. Walaupun pengumpulan tersebut lebih kepada pengumpulan maklumat, saya masih merasakan ia salah kerana ia sama sekali melanggar privasi saya sebagai pengguna dan mendedahkan diri saya dan orang lain kepada ancaman penggodam. Maka apakah keselamatan boleh dicapai dengan melanggar privasi walaupun ia bermakna ia mengundang masalah yang lain?

Keenam dan paling utama, persoalan membabitkan manusiawi itu sendiri. Dalam GITS, Shirow menceritakan manusia berusaha menambahbaik bahagian robotik mereka, sehingga ke satu tahap mahukan tubuh robot atau hidup dengan bebas dalam internet melalui watak The Puppeteer (Solid State Society) dan Puppet Master (GITS 1995). Tetapi apakah itu masih menjadikan mereka manusia, hybrid iaitu kombinasi mesin dan manusia atau sesuatu yang lain?

Soalan ini menjadi asas kepada Theseus paradox atau Ship of Theseus oleh Plutarch di mana beliau bertanya apakah sebuah kapal itu masih sama setelah diganti semua bahagiannya. Ia satu soalan menarik kepada watak-watak anime ini di mana mereka mahu merasai apa yang membentuk diri mereka sebagai manusia walaupun mempunyai sebahagian atau keseluruhan tubuh robot seperti Kusanagi dan Batou. Kerana itulah, mereka mengambil orang-orang seperti Togusa, Saito dan Ishikawa kerana mereka masih memiliki bahagian tubuh organik dan mengambil kira faktor manusia dalam membuat sesuatu keputusan.

Pada saya, mereka tetap manusia bukan dalam bentuk literal tetapi lebih dalam bentuk semangat kerana mereka masih mengekalkan nilai-nilai kemanusiaan yang mendefinisikan kita sebagai manusia itu sendiri. Tanpa nilai-nilai tersebut, apa sebenarnya kita walaupun punya nama besar, harta melimpah ruah dan teknologi hebat?

GITS tanpa kita sedar, mahu atau tidak telah memberi kesan yang cukup penting kepada kita semua. Apa yang saya nyatakan di sini bukan lagi khayalan yang terkandung dalam karya Shirow tetapi satu realiti yang berlaku ketika ini. Soalan pada kita ialah, apakah kita berani untuk menulis naratif baru untuk memperbaiki kehidupan manusia sejagat atau sekurang-kurangnya, orang di sekeliling kita atau berterusan mengikut trend sehingga hilang asal-usul diri sendiri? Anda sendiri yang menentukannya

Comments

comments

Previous articleTuhan Dan Hukum Sejagat
Next articleAngkatlah Martabat Bahasa Melayu
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here