Melayu Sebagai Etnik, Islam, Bangsa Dan Perlembagaan

0
4728
views

Banyak antara kita yang terkeliru tentang istilah Melayu. Biasanya ramai antara kita, terkeliru dengan istilah yang merangkumi seperti di bawah:

i. Melayu Sebelum Dan Selepas Islam
ii. Austronesia Dan Bangsa Melayu
iii. Melayu Sebagai Sebuah Etnik

Ya, saya ini maklumkan bahawa definisi Melayu berubah-berubah mengikut tempat, sejarah, dan skop yang mahu diperkatakan. Tetapi sebelum kita melompat ke arah topik yang lebih luas dan besar, maka menurut saya moleknya kita mendalami dahulu tentang etimologi Melayu itu sendiri dalam sejarah, sebelum kita mengupas Melayu dari sudut pandangan yang berbeza.

Antara rekod terawal tentang nama Melayu dalam sejarah ialah melalui peta yang dilukiskan oleh Ptolemy seawal 150 Masihi, iaitu kira-kira 150 tahun selepas kelahiran Nabi Isa dan kira-kira 400 tahun sebelum kelahiran junjungan besar Rasulullah. Dalam peta itu, terdapat bahagian dalam semenanjung yang digelar sebagai Μαλεου Κώλον atau Meleu-Kolon.

I-Ching, seorang sami Buddha daripada Dinasti Tang pernah direkodkan menulis tentang sebuah kerajaan bernama Melayu ketika pengembaraan beliau menuntut ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama Buddha. I-Ching dicatatkan seperti berikut:

“…tiba dan menginap selama 6 bulan. Mempelajari tatabahasa Sanskrit di sini. Sang raja memberikan daku bantuan dan menghantar daku ke negeri yang bernama Moloyu….”

Selain I-Ching, Bok-la-yu, Mok-la-yu, Ma-li-yu-er, Oo-lai-yu, dan Oo-lai-yu adalah nama-nama yang digunakan oleh orang cina merujuk pada kerajaan Moloyu yang diperkatakan dalam berdasarkan pelat orang cina sendiri.

Tomé Pires yang tinggal di Melaka daripada tahun 1512 hingga tahun 1515 merujuknya sebagai Terra de Tana Malaio. Nama “tanah Melayu” juga terdapat dalam Hikayat Hang Tuah. Dalam hikayat tersebut apabila Hang Tuah dihalau keluar dari Melaka dan bersiap untuk merantau ke Inderapura, dia ditanya ke manakah dia akan pergi.

Mpu Prapanca penyair Jawa di kraton Majapahit, dalam karyanya Desawarnama pada tahun 1365 telah menyenaraikan daerah yang dikenalpasti sebagai tanah orang Melayu iaitu Jambi, Palembang, Minangkabau, Siak, Kampar, Rokan, Pane, Kampe, Aru, Mandaileng, Tumiang, Perlak, Samudra, Lamuri, Barus di Sumatera dan Langkasuka, Kedah, Kelantan serta Pahang di Semenanjung Tanah Melayu.

Ketika sebuah kerajaan Jawa bernama Singhasari melakukan ekpedisi menundukkan sisa-sisa Empayar Melayu Srivijaya melalui Dinasti Mauli, maka nama ekpedisi itu diletakkan di atas nama Ekpedisi Pamalayu.

Dalam prasasti yang memahat kisah ekpedisi Singhasari yang diarahkan oleh rajanya yang bernama Kertanegara itu, ada bait-bait azimat yang harus dikenang oleh umat Melayu bahawa nama bangsa mereka sudah harum dipahat dalam batu bersurat. Saya petik daripada prasasti yang berusia 1286 Masihi itu.

“Semoga hadiah itu membuat gembira segenap rakyat di bhūmi mālayu…” (Prasasti Padang Roco)

Bahkan dalam salah satu bahasa Austronesia, keluarga yang menempatkan Bahasa Melayu di dalamnya, Malayo dalam Bahasa Tagalog iaitu bahasa yang serumpun dengan Bahasa Melayu yang bermaksud jauh ialah diambil daripada kata dasar “layo” atau “layoh”, iaitu kognat kepada perkataan Jauh dlm bahasa melayu. Malaya pula dalam Bahasa Tagalog yang bermaksud bebas ialah daripada perkataan “laya”, kognat kepada kata dasar “layar” dalam Bahasa Melayu.

Maka, sekarang sudah sudah memahami serba-sedikit kewujudan nama Melayu dalam sejarah. Sekarang ialah giliran kita untuk memahami setiap maknawi Melayu berdasarkan konsep yang berbeza.

Semangat Kebangsaan Melayu Dan Islam

Semangat kebangsaan tidak pernah menjadi masalah dalam agama Islam. Ini dapat dilihat pada pandangan Ibnu Khaldun, sarjana Islam terkenal ketika abad ke-14 dahulu yang membahaskan bahawa semangat sayangkan bangsa adalah fitrah dalam setiap diri manusia. Beliau mengumpmakan semangat nasionalisme ini seperti mana alat kelamin buat manusia, dan seorang manusia tidak akan lengkap tanpa alat kelamin itu. Analoginya ialah alat kelamin kalau digunakan tujuan yang haram maka ia akan menjadi salah dan andainya digunakan untuk tujuan yang betul, maka boleh dijadikan asas kekuatan diri. Begitulah bangsa.

Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa semangat nasionalisme Melayu yang wujud hari ini adalah berpunca dari kedatangan Islam. Bukan bermaksud bahawa mereka yang wujud sebelum kedatangan Islam adalah tidak layak bergelar Melayu, tetapi ia membahaskan kepada kita bahawa semangat nasionalisme yang wujud hari ini adalah datangnya daripada Islam. Setiap bangsa mempunyai fasa tertentu dalam sejarah apabila mereka menanggapi mereka sebagai sebuah negara bangsa dan satu umat yang satu.

Fasa kesedaran semangat nasionalisme bangsa Melayu saya kira datang kerana Islam itu sendiri. Bahkan, bukan itu sahaja, apabila kedatangan Islam menyapa bangsa kita, orang Melayu telah memutuskan hubungan mereka dengan zaman pra-Islam mereka seperti mana yang dibahaskan oleh Al-Attas. Kebudayaan orang Melayu, bahasanya, aksara tulisannya, dan juga pemikiran mereka direvolusikan oleh Islam. Justeru, Melayu moden hari ini, jati diri yang dimiliki oleh mereka adalah berkat daripada kedatangan Islam.

Islam juga mendatangkan ciri-ciri kebangsaan yang berikut pada bangsa Melayu. Antaranya ialah:

I. Orang Melayu percaya bahawa sifat sayangkan bangsa dan tanah air adalah fitrah, namun fitrah ini tidak harus menandingi ketinggian agama. Apabila timbul persoalan melibatkan agama dan bangsanya, maka Melayu harus memilih agama menandingi bangsa.

II. Bangsa Melayu tidak ada masalah untuk menerima bangsa lain menjadi sebahagian daripada bangsa Melayu sekiranya menjadikan Islam sebagai asas kebangsaannya.

III. Semangat kebangsaan Melayu tidaklah sesempit pandangan assobiyah Barat. Dalam perpaduan yang wujud dalam kalangan bangsa Melayu itu sendiri tidak terhad pada wilayah alam Melayu, malah semangat persaudaraan ini lebih besar pada saudara-saudara seagama yang menganut agama Islam. Mereka tidak menjadikan semangat kemelayuan mereka untuk melupakan persaudaraan yang lebih besar.

Bercakap tentang Melayu diikat pada agama, kita juga mengenali istilah ini sebagai ethnoreligious. Dalam dunia ni, ada bangsa yang terikat dengan agama. Kalau mereka tidak beragama tersebut, maka terlucutlah nama bangsa yang asalnya dipegang. Kita mengenali konsep ini sebagai Ethnoreligious. Ethnoreligious memang benda yang benar dan bukan mitos semata-mata.

Sebagai contoh ialah bangsa Melayu di Malaysia yang sudah dikira sebagai ethnoreligious. Apabila anda tidak beragama Islam, maka anda sudah terlucut kelayakan untuk bergelar sebagai Melayu. Mungkin ada yang mengatakan bagaimana dengan Melayu Kristian sebagainya? Jawapannya dia senang. Sebagai sebuah ethnoreligious, mereka tidak lagi bergelar sebagai Melayu. Faktor sebagai ethnoreligious yang mewujudkan frasa MASUK MELAYU bila dikaitkan dengan Islam.

Ethnoreligious tidak terikat pada bangsa Melayu sahaja. Acheh adalah suku dalam rumpun Melayu yang turut definisi bangsanya terikat pada agama. Anda harus beragama Islam kalau mahu digelar sebagai bangsa acheh. Mana-mana orang Acheh yang murtad, tidak lagi layak digelar sebagai orang Acheh.

Konsep ethnoreligious ini juga tidak terikat pada bangsa Melayu, rumpunnya atau agama Islam. Orang Yahudi adalah contoh ethnoreligious yang paling purba di dunia. Bahkan mereka adalah kelompok ethnoreligious yang paling tertutup di dunia seperti mana agama mereka Judaism yang sangat eklusif.

Untuk bergelar sebagai seorang Serbia, dalam bangsa Serbia, kau bukan sahaja perlu berbahasa Serbia dan mengakui Kosovo Myth yang melibatkan Serbia mengalahkan Turki dalam Pertempuran Kosovo 1389, kau juga perlu mengamalkan mazhab Orthodox Timur Serbia, tetapi kau perlu mengaku sebuah detik di mana Serbia berjaya mengalahkan Turki dalam Pertempuran Kosovo 1389 yang dikenali sebagai Kosovo Myth untuk kau digelar sebagai bangsa Serbia. . Ini juga turut terpakai saudara Slavic Serbia iaitu Croat (etnik Luka Modric) yang menuntut anda sebagai penganut Roman Katolik sebelum bergelar bangsa Croat. Orang Bosnia pula ialah rumpun Slavic yang terikat pada agama Islam. Anda harus bergelar seorang Muslim sebelum menepati definisi Bosnia sejati. Ini jugalah yang menimbulkan tragedi perpecahan Yugoslavia dahulu.

Kenapa ethnoreligious ini banyak dalam kalangan umat Islam? Kenapa bangsa banyak bangsa di dunia yang mengikat bangsa mereka dengan Islam?

Melayu, Acheh, Minangkabau, Etnik Hui (untuk golongan minoriti Cina yang beridentitikan Islam), Uyghurs, Bosnia, Pashtuns, Maldives, Somalis, Rohinggya – sekadar beberapa nama yang saya sebutkan – semuanya adalah etnik yang identiti mereka diikat pada Islam. Wow, ada banyak betul keluarga bangsa yang aku sebut di atas tu.

Kerana mereka sedar betapa pentingnya akidah mereka. Salah satu cara untuk mengikat akidah anak cucu mereka ialah memastikan sesiapa yang mahu kekal dalam kalangan bangsa mereka perlu beragama Islam. Terima kasih juga kepada ulama-ulama mereka yang datang dengan solusi mengikat bangsa mereka dengan Islam.

Kita di Malaysia lagi ketat. Kita dah termaktub sebagai bukan sahaja Islam, tetapi bermazhab Syafie, berakidahkan Al-Asy’ariyah dan Al-Maturidiah. Negara ini diasaskan atas mazhab Syafie, dan kekal dalam manhaj Al-Asy’ariyah dan Al-Maturidiah.

Akidah umat Islam dan anak cucu kita bukanlah benda yang boleh dibuat main. Agama kita… agama kita itulah yang akan jadi bekalan di Masyar kelak.

Bersyukurlah apabila anda dilahirkan sebagai Islam. Lagi-lagi dalam bangsa yang telah diikat pada Islam. Kalau anda Melayu, anda perlu sangat-sangat bersyukur kerana bangsa anda menjadikan Islam sebagai benar-benar Ad-Addin.

Austronesia Dan Bangsa Melayu

Selepas memahami bagaimana maknawi Melayu terbentuk selepas kedatangan Islam, merevolusikan keseluruhan definisi bangsa ini, sekarang kita nak masuk satu lagi topik. Apakah itu sebenarnya bangsa Melayu dalam konsep yang lebih besar? Untuk memahami makna Melayu pada konsep yang lebih luas, saya secara peribadi berpendapat bahawa adalah moleknya kita memahami asas yang membentuk bangsa Melayu yang lebih luas ini iaitu Austronesia.

Austronesia adalah gabungan dua perkataan latin iaitu austro dan nesos. Perkataan austro bermaksud selatan; manakala perkataan nesos berasal daripada bahasa Yunani juga yang bermaksud pulau. Maksud penuhnya ialah “pulau-pulau selatan.” Selain Austronesia, kita juga mengenali sebuah lagi istilah iaitu Melayu-Polinesia yang diperkenalkan oleh Wilhem von Humboldt.

Bahasa Melayu ditempatkan di dalam Keluarga Bahasa Austronesia bersama dengan bahasa-bahasa seperti Jawa, Cham, Bugis, Hawaii, Maori, Malagasy, membentuk perkaitan antara mereka seperti kognat dan tatabahasa yang tidak jauh berbeza.

Konsep “malay race” yang dperkenalkan oleh ahli antropologi Jerman bernama Johann Friedrich Blumenbach pula adalah konsep yang lebih ringan untuk merujuk kepada orang-orang Austronesia. Tetapi sudah tentu kredit harus diberikan kepada Stamford Raffles yang menjadi antara penggerak kepada bangsa Melayu tidak dipandang sekadar sebagai etnik sahaja, tetapi sebagai sebuah “negara bangsa yang berasaskan bahasa Melayu.”

Kenapa nama Melayu yang dipilih sebagai nama umum untuk merujuk kepada bangsa ini, hipotesis saya adalah kerana dalam banyak-banyak suku dalam Austronesia, orang Melayu paling ke hadapan dan banyak berhubung dengan dunia luar, lalu membuatkan bangsa asing terutama barat lebih mengenali orang Melayu selain daripada Bahasa Melayu yang menjadi lingua franca dan dipertuturkan oleh ratusan suku di Nusantara.

Sepertinya, idea yang dikemukakan oleh dua orang sarjana yang disebutkan di atas disambut oleh beberapa tokoh dalam Asia Tenggara dan rumpun Austronesia itu sendiri.

Seorang intelektual FILIPINA, iaitu Wenceslao Vinzons, menubuhkan organisasi Pan-Malayan Union atau Perhempoenan Orang Mellayoe pada tahun 1930-an dahulu untuk menggalakkan pengajian sejarah, tamadun dan kebudayaan bangsa Melayu dan memperkembangkan sentimen persatuan dalam kalangan bangsa-bangsa berkulit sawo matang. Pan-Malayan Union atau Perhempoenan Orang Mellayoe oleh Wenceslao Vinzons ini turut melibatkan Presiden Filipina iaitu Diosdado Macapagal (1961-1965) dan juga Senator Ahmad Domocao Alonto.

Jose Rizal, sebagai antara pendiri semangat nasionalisme Filipina, dicatat pernah mengerakkan sebuah pergerakan yang berasaskan Melayu. Jose Rizal telah mengumpulkan seluruh anak ‘Melayu’ dari Filipina, Dutch East Indies, Semenanjung dan Borneo di sebuah kota bernama Paris. Revolusi daripada Jose Rizal ini sebenarnya mahu membebaskan seluruh bangsa Melayu daripada belenggu penjajah dan menubuhkan sebuah negara berpaksikan tamadun Melayu.

Raja Kalakaua dari Hawaii ketika bertemu dengan Raja Chulalongkorn dari Thailand pada lewat bulan March tahun 1881, raja Hawaii ni dengan bangganya mengatakan bahawa sesungguhnya kami orang polinesia ini ada darah MELAYU! Maka jawab raja Thailand itu, kami orang Thailand pun ada darah Melayu juga!

Kemudian, ketika Raja Kalakaua sampai ke Johor dan bertemu dengan Maharaja Abu Bakar, mereka saling membahaskan diri mereka berdua sebagai adik beradik Melayu yang hilang. Dan sempat juga Maharaja Abu Bakar menghadiahkan senaskah Al-Quran kepada Raja Kalakaua.

Melayu Malaysia Dan Perlembagaan

Di Malaysia, pendefinisian yang baru mengambil alih dalam menilai ke-Melayu-an seseorang. Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura. Sebab itu dalam puisi Usman Awang yang membahaskan konsep Melayu menurut perundangan Malaysia adalah seperti berikut:

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah muallaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Berbeza kita dengan Indonesia, Indonesia lebih memandang Melayu hanya dalam konsep etnik, berbanding Malaysia yang sudah terpengaruh konsep Melayu yang pelbagai dalam sejarah, sekaligus mewujudkan definisi Melayunya tersendiri.

Bahkan saya kira definisi seorang Melayu itu diukur pada bahasanya adalah sama dengan definisi Hamka.

“Melayu itu ialah mereka yang – berfikir, merasa, menangis dan ketawa, tidur dan bangun dalam bahasa Melayu.” – Hamka

Kesimpulan

Saya kira penjelasan Melayu daripada beberapa sudut bolehlah meleraikan kekeliruan yang melanda kita semua. Konsep Melayu itu boleh berbeza berdasarkan perbezaan takrif, skop dan perbahasan yang mahu dibawa oleh kita. Lagipun sebagai orang yang percaya bahawa “bangsa itu sebagai sebuah idea, bukannya fakta” seperti mana yang dibahaskan oleh seorang sejarawan bernama Nell Irvin Painter atau juga yang percaya bahawa race is social construct, maka saya mengatakan bahawa tiada masalah kepada takrif Melayu pilihan manakah yang dipegang oleh kita semua.

Sebagai contoh, bangsa Amerika hari ini adalah gabungan daripada pelbagai keturunan seperti Irish, Inggeris, Jerman, dan pelbagai bangsa yang datang dari Eropah. Namun, oleh kerana masa yang bergulir menggantikan istilah bangsa asal kepada bangsa yang baru yang wujud atas nama Amerika.

Secara peribadi, saya berpendapat dalam Malaysia, setiap Melayu harus terikat pada undang-undang negara kita. Tetapi kalau untuk melihat konsep luar dari negara Malaysia, saya sangat meraih konsep rumpun Melayu, Malay Race dan Austronesia.

RUJUKAN DAN BACAAN LANJUT:

Md. Salleh Yaapar. (2014) Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu: Ke arah Pencerahan yang Dinantikan. Dewan Bahasa Dan Pustaka

Mohamed Anwar Mohd Din (2011). Asal Usul Orang Melayu: Menulis Semula Sejarahnya. UKM

Abdul Rashid Melebek; Amat Juhari Moain (2004), Sejarah Bahasa Melayu (History of the Malay language). Utusan Malaysia.

Paul Michel Munez (2004) Early Kingdom Of The Indonesian Archipelago And The Malay Peninsula.

Slamet Muljana. (1981). Kuntala, Sriwijaya Dan Suwarnabhumi.

Hashim Musa et al. (2013) Bahasa Melayu dan Konsep Kebenaran Ilmu Berdasarkan Pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas

Rahimin Affandi Abd. Rahim, Abdullah Bukhari Abdul Rahim, Ridzwan Ahmad & Muhammad Ikhlas Rosele. (2016) Perlembangaan Itqan Muluk dan Nasionalisme Melayu-Islam. International Journal of the Malay World and Civilisation.

Timothy P. Barnar (2004). Contesting Malayness: Malay identity across boundaries. Singapore: Singapore University Press.

Zakaria Stapa, Noranizah Yusof & Abdul Fatah Saharudin. (2012) Islam Asas Pembentukan Jati Diri Bangsa Melayu-Muslim. Jurnal Hadhari Special Edition.

Martin E. Marty (1997). Religion, Ethnicity, and Self-Identity: Nations in Turmoil. University Press of New England.

James Minahan (2002). Encyclopedia of the Stateless Nations.

Ahmat Adam (2013). Nasionalisme Radikal dan Pembinaan Bangsa. Penerbit UM

Minako Sakai (2009) Developing Regional Minorities in Asia

William N. Armstrong (1904) Around The World With A King. New York, F. A. Stokes Company

Mazlan Nordin (2011) Dunia Berbahasa Melayu. Utusan Malaysia.

Siddiq Fadzil (2001). Martabat Umat Melayu Menurut Hamka. Utusan Malaysia.

Mohd Aizam Masod (2013) Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia. JAKIM

LAMAN WEB:

Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu. https://afiqekie.files.wordpress.com/2012/12/modul-bmm3112-topik-1-iankaka.pdf

TA-Nehisi Coates (2013) What We Mean When We Say ‘Race Is a Social Construct’ https://www.theatlantic.com/national/archive/2013/05/what-we-mean-when-we-say-race-is-a-social-construct/275872/

http://melayuonline.com/eng/about/dig/2

http://www.tagalogtranslate.com/tl_en/13635/malayo

http://www.tagalogtranslate.com/tl_en/13633/malaya

Comments

comments

Previous articleSherlock Holmes Dunia Islam
Next articleKehebatan Aman Ramli – Armaya – AR Tompel
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here