Benarkah Dakwaan Al-Quran Merubah Molekul Air?

0
2383
views
  • SUMBER HUKUM :

Pertama sekali, apabila dikatakan hal tersebut palsu, maka tidaklah bermakna menjadi suatu keharaman untuk umat Islam membaca ayat-ayat suci seperti surah al-Fatihah atau surah Yasin kepada air. Hukum membaca surah-surah pilihan, hadis-hadis atau doa-doa rukyah kepada air adalah harus. Yang menjadi perbincangan pada kali ini adalah tindakan menggunakan maklumat palsu untuk dijadikan sandaran pada amalan yang sememangnya harus hukumnya. Maka ini sebuah kesalahan.

Membaca surah pilihan pada air sebenarnya bertujuan untuk bertabaruk (mengambil berkat) bacaan al-Quran untuk dijadikan sebuah rukyah yang patuh syariah sebagai salah satu usaha untuk mencapai sesuatu hajat seperti kesihatan atau lain-lain. Para ulama dan pengamal perubatan Islam yang tulen menjadikan Surah al-Isra’ ayat 82 sebagai dalil iaitu “Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi PENYEMBUH dan RAHMAT bagi orang-orang yang beriman”.

Seterusnya dari surah al-A’raf ayat 96, Allah berfirman, “Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi…” Menurut ahli Tafsir, berkat disini bermaksud air (hujan dari langit), tumbuhan dan lain-lain nikmat yang keluar darinya. Hal ini selari dengan ayat dari surah Waqiah ayat 68-69 iaitu, “Tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan) atau Kami yang menurunkannya?”

Manakala dari hadis Rasulullah pula, dalam Sunan Abu Daud (Kitab at-Tibb) dengan sanad yang jayyid bahawa Rasulullah masuk menemui Tsabit bin Qais yang sakit lalu Rasulullah bersabda, “Hilangkanlah sakit wahai Tuhan Manusia daripada Tsabit bin Qais bin Syammas”. Kemudian baginda mengambil tanah daripada Bathan (nama wadi) dan memasukkannya ke dalam bekas air kemudian baginda mengembuskannya disertai dengan air kemudian baginda menuangkannya ke atasnya (ke atas Qais).

Hal ini jelas menunjukkan adanya jenis Ruqyah Syar’iyyah seperti ini dan air merupakan nikmat Allah serta akan menjadi barakah apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran. Inilah cara ulama dan pakar perubatan Islam menafsir nas-nas dari sudut pandang perubatan Islam. Oleh itu, kita perlu fahami apa itu barakah.

  • DEFINASI

Barakah bermaksud bercambah atau bertambah-tambah kebaikan. Oleh itu, perlu kita ketahui bahawa sesuatu itu perlulah baik pada asalnya (Halal lagi baik @ Taiyyibah) dan kemudian ditambah kebaikannya dengan hal-hal lain seperti doa bagi menjadikan sesuatu itu barakah. Tidak dinamakan barakah apabila sesuatu perkara yang asalnya memang tidak baik untuk ditabarukkan dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran atau Hadis atau Doa Rukyah.

Barakah ini merupakan suatu perkara yang bersifat Sam’iyyat atau hal Ghaib. Ianya bukanlah suatu bahan yang boleh diuji secara klinikal atau secara metod saintifik. Ianya merupakan perkara yang dierima keberadaannya secara Iman. Sesungguhnya menurut surah al-Baqarah ayat 1-3, “Alif Laam Miim. Inilah Kitab yang tiada sebarang keraguan padanya, yang menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. Yang percaya kepada perkara ghaib…”

  • PEMBAHAGIAN MASALAH :

Masalah yang ingin diperjelaskan dalam artikel ini adalah berkenaan muncul beberapa kelompok yang kurang mengerti hal sebenar berkaitan bacaan Quran terhadap air sebagai sebuah rukyah dan tabaruk. Kelompok pertama, ialah kelompok yang beramal tanpa ilmu. Mereka mempercayai tentang hal-hal rukyah dan tabaruk namun perbuatan mereka tidak berlandaskan ilmu. Mereka turut bacakan ayat-ayat suci al-Quran kepada perkara yang tidak sepatutnya sepertimana yang berlaku dalam isu “AIR COKE 30 JUZUK AL-QURAN” sedangkan ianya bercanggah dengan maksud sebenar barakah itu sendiri dimana air berkarbonat (tinggi kandungan gula) merupakan suatu perkara yang asalnya sudah tidak berkhasiat.

Golongan kedua pula ialah mereka yang menolak segala perkara yang berkaitan Rukyah, Barakah dan lain-lain isu Sam’iyyat. Ini sama ada disebabkan faktor terpengaruhnya seseorang itu pada slogan “Tiada dalil dalam agama” atau “Tiada bukti secara klinikal”. Bagi yang mengatakan “tiada dalil dalam agama”, Ibn Jawi telah sisipkan pada perenggan awal berkenaan dalil para pengamal perubatan Islam dan alim-ulama dalam hal ini. Untuk golongan yang mengatakan “tiada bukti klinikal”, sudah dijelaskan bahawa hal berkaitan Rukyah dan Barakah ini memang suatu perkara yang ghaib dan tidak mampu dicerap dengan ujian makmal.

Golongan ketiga pula ialah meeka yang kononnya pertengahan antara golongan pertama dan kedua. Golongan ketiga ini berfalasi bahawa “Bacaan Quran terhadap air boleh membuatkan molekul air berubah dan ianya terbukti secara klinikal”.

  • HURAIAN ISU :

Maka artikel ini sebenarnya ingin menjawab syubhah yang ditimbulkan oleh golongan ketiga. Mereka berkata bahawa perkara ini telah dibuktikan oleh Dr Masaru Emoto dari Universiti Yokohama. Sebenarnya, Dr Masaru tidak pernah menjalankan kajian mengenai bacaan al-Quran dan kesannya terhadap perubahan molekul air. Kajian Dr Masaru hanyalah seputar “Air dapat bertindak balas terhadap pemikiran dan kata-kata positif, dan air tercemar dapat dibersihkan melalui doa dan visualisasi positif… Ucapan dan fikiran positif akan menghasilkan kristal yang terbentuk cantik apabila air itu dibekukan, dan intensi negatif akan menghasilkan formasi kristal beku yang “buruk”

Sebenarnya, kajian beliau yang dikatakan “Saintifik” ini tidaklah mengikuti Kaedah Pembuktian Saintifik sebenar. Dr Masaru yang dikatakan saintifik ini sendiri dikritik oleh para saintis kerana maklumat kajian tidak didedahkan secara terperinci kepada komuniti Sains untuk dinilai. Dikatakan kajian ini tidak memiliki “Experimental Control” yang mencukupi. Malah, perkongsian dapatan yang dibuat pula memperlihatkan bahawa ianya terdedah kepada pelbagai kemungkinan manipulasi dan “human error” semasa kajian dilakukan. Ianya tidak cukup bukti saintifik faktor-faktor seperti pemboleh ubah dimanipulasi dan pemboleh ubah dikawal tidak mengikut kaedah saintifik.

Masalah berlaku apabila umat Islam kini hanya akan menerima sesuat kebenaran itu hanya apabila ianya terbukti secara saintifik. Sikap ini tidak salah, namun berpada-padalah dalam sesuatu isu kerana untuk mengetahui sesuatu kebenaran, kita perlu tahu hujung pangkalnya terlebih dahulu. Ada perkara yang boleh kita cerap melalui pancaindera dan kajian makmal, ada yang kita mampu cerap melalui rasional dan ada yang hanya kita mampu cerap melalui wahyu semata-mata.

Amatlah memalukan pada agama Islam apabila umatnya berfalasi dengan mengambil sebuah kajian yang tidak menyatakan apa-apa tentang al-Quran namun “diqiyas” secara palsu kononnya kajian itu adalah berkenaan al-Quran. Kita ingin mendakwa perkara ini terbukti secara saintifik sedangkan para ahli sains sendiri mengkritik uji kaji yang dijalankan oleh Dr Masaru kerana tidak menepati metod Saintifik. Hina sangatkah al-Quran sehingga umatnya perlu mengambil kajian palsu lalu didakwa secara palsu semata-mata untuk mengangkat kedudukan al-Quran sebagai bukti ketertinggian wahyu?

– KESIMPULAN : Artikel ini memberitahu bahawa tujuan bacaan-bacaan tertentu ada air mutlak adalah untuk rukyah dan tabaruk sebagai salah satu usaha manusia bagi mencapai sesuatu hajat dengan disertakan dalil-dalil di atas. Artikel ini juga menjawab syubhat golongan yang salah guna agama sama ada secara sengaja atau tidak sengaja @ jahil demi keuntungan duniawi (penunggang agama), golongan yang menolak hal-hal ghaib dan golongan yang menggunakan hujah tidak berkaitan bahkan hujah palsu untuk memenangkan sesuatu perkara. Artikel ini ditulis dari segi hukum adat bukanlah dari segi hukum akal kerana sememangnya tiada apa yang mustahil untuk Allah lakukan terhadap ciptaanya.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here