Bagaimana Manusia Mendedahkan Maklumat Privasi Ketika Menggunakan Komputer?

0
863
views

Komputer hari ini digunakan secara meluas dalam setiap aspek kehidupan manusia. Cakaplah apa saja anda nak, semuanya berkait dengan komputer daripada menghantar mel elektronik (e-mel) kepada menjaga operasi sesebuah organisasi atau syarikat. Namun, kita bersikap sambil lewa dalam soal keselamatan komputer kerana menganggap ianya menyusahkan. Tetapi jika diberi alternatif ketiadaan jaringan keselamatan ini, akibatnya jauh lebih buruk. Ambil perhatian akan beberapa kesalahan yang dilakukan orang sehingga membuka ruang kepada aktiviti penggodaman.

  1. Kata laluan yang lemah.

Salah satu kecenderungan kita bila membuat kata laluan ialah memilih kata laluan yang senang dan mudah diingati. Tetapi perlu diingat, kata laluan sebegini menjadi sasaran penggodam kerana mudah bagi mereka untuk meneka kata laluan yang digunakan. Elakkan guna kata laluan mudah seperti tarikh lahir atau nama. Dan jangan guna kata laluan yang sama pada akaun-akaun lain kerana jika anda berbuat demikian, penggodam boleh saja mendapat akses kepada semua yang akaun yang dimiliki anda.

  1. Tidak menggunakan aplikasi/program pengurusan kata laluan.

Program atau aplikasi kata laluan? Macam rumit bila kita dengar. Tetapi hakikatnya, ia beri situasi menang-menang kepada anda iaitu menyimpan semua kata laluan di bawah satu bumbung dan dilindungi oleh satu kata laluan utama. Bila anda berbuat demikian, anda tidak lagi merasa risau untuk mengingati kata laluan bagi setiap akaun yang dimiliki. Dan ada satu lagi kelebihan aplikasi/program pengurusan kata laluan, anda tidak akan cenderung menggunakan kata laluan sama untuk setiap akaun yang dimiliki.

  1. Enggan guna pengesahan dua kali.

Sistem pengesahan dua kali bukanlah perkara asing dalam soal keselamatan komputer kerana banyak digunakan oleh pihak swasta terutama pihak perbankan. Namun, tahukah anda, bila anda gunakan sistem ini, anda sebenarnya menambah lapisan keselamatan untuk komputer anda selepas kata laluan dan program/aplikasi pengurusan kata laluan? Umumnya, bila anda hendak menggunakan komputer, selain memasukkan kata laluan, anda juga perlu memasukkan teks tertentu yang dihantar ke telefon bimbit anda ke dalam komputer sebagai pengesahan sebelum menggunakannya. Tanpa sistem ini, penggodam hanya perlu mencari kombinasi kata laluan untuk menggodam akaun anda. Dengan sistem ini, mereka terpaksa mencuri telefon bimbit anda bagi mendapat akses kepada akaun komputer anda.

  1. Buat pembelian secara talian guna kad kredit.

Kebanyakan kad kredit menawarkan perlindungan daripada penipuan tetapi secara jujurnya, baik gunakan sistem pembayaran telefon bimbit kerana selain ia lebih mudah, ia juga menawarkan perlindungan sama seperti kad kredit. Sistem seperti Apple Pay, Android Pay, PayPal dan Samsung Pay menawarkan sesuatu dipanggil tokenization, di mana sistem mencipta satu nombor kad kredit sekali guna sahaja bagi setiap pembelian yang anda buat daripada mengisi nombor sebenar kad kredit anda. Sistem ini memastikan integriti kad kredit anda terpelihara dan mengelak cubaan penggodam mencuri duit daripada kad kredit anda.

  1. Menekan sambungan atau membuka e-mel yang tidak dipercayai.

Kita semua pernah mengalaminya dan suka atau tidak, kita terpaksa menghadapinya. Menghantar e-mel sebegini antara modus operandi penggodam kerana bila kita buka atau klik sambungan yang diletakkan dalam e-mel tersebut, ia sebenarnya bagi peluang kepada mereka untuk akses sistem komputer kita termasuk maklumat sensitif daripada maklumat peribadi sehingga fail sulit. Dan penggodam ini selalunya bersembunyi di sebalik nama institusi, syarikat atau jabatan kerajaan untuk mengukuhkan kredibiliti mereka di mata pembaca. Jika dapat e-mel sebegini, jangan buka dan padamkan terus.

  1. Menggunakan hotspot Wi-Fi di tempat awam seolah-olah ianya rangkaian peribadi.

Bukanlah perkara asing bagi kita menggunakan Wi-Fi di tempat awam untuk tujuan seperti media sosial, membaca artikel media atau mendapatkan arah perjalanan. Tetapi jangan gunakan ia dengan niat membayar beberapa bil secara dalam talian atau masuk dalam akaun sensitif kerana ia antara tempat kegemaran penggodam untuk mendapatkan maklumat sensitif anda. Penggodam selalunya mewujudkan satu hotspot Wi-Fi terbuka di tempat sebegini untuk mendapatkan maklumat tersebut. Justeru, sekiranya anda berada di tempat awam dan anda dapati ada hotspot Wi-Fi yang tidak dikenali, pilih hotspot Wi-Fi yang kita sudah biasa guna. Dan jangan guna sambungan terbuka ini untuk mengakses maklumat bersifat sensitif.

  1. Enggan menaiktaraf sistem operasi komputer.

Saya tahu ada dalam kalangan kita yang enggan menaiktaraf sistem operasi komputer masing-masing kerana menganggap ianya menyusahkan selain melambatkan urusan seharian kita. Tetapi apa kata ubah mentaliti anda sekarang dengan menaiktaraf sistem sedia ada. Ini kerana dengan serangan virus dan perisian jahat seperti Ransomware dan NoPetya, tanpa jaringan keselamatan yang terkini, komputer anda mudah terdedah kepada serangan sebegini. Tak perlu lihat jauh mana nak dapatkan penaiktarafan ini kerana pembekal sistem seperti Microsoft, Google dan Apple sentiasa menyediakan penaiktarafan terkini untuk sistem anda. Bila sistem anda sentiasa dinaiktaraf dan menepati keperluan semasa, penggodam akan berhadapan tugas sukar untuk menggodam telefon atau komputer anda.

Sumber:

Elliot, Matt. (2017). CNET.com. 7 Common Security Mistakes You’re Probably Making. https://www.cnet.com/how-to/online-security-mistakes-youre-probably-making/

 

Comments

comments

Previous articleTengu: Goblin Legenda Dari Gunung
Next articleBenarkah Dakwaan Al-Quran Merubah Molekul Air?
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here