Shikamaru: Malas Ini Benda Negatif Ke?

0
2171
views

Kemalasan selalu dibawa dengan konotasi yang negatif. Tetapi sebenarnya, ia mempunyai nilai kemurnian yang boleh manusia pelajari.

Nara Shikamaru tidak cukup menonjol sewaktu awal-awal kisah Naruto. Tetapi ramai kenal dia kerana dua perkara, iaitu kemalasannya dan kepintarannya.

Masa di akademi, Shikamaru banyak habiskan masanya dengan tidur dan tidak berminat dengan kelas yang dijalankan oleh Umino Iruka.

Shikamaru menunjukkan minat yang kurang terhadap ujian yang diberikan dan ambil acuh tak acuh. Akhirnya dia mendapat gred yang rendah. Shikamaru adalah antara murid tercorot selain Naruto, Kiba dan Chouji.

Shikamaru sebolehnya tak mahu terlibat dengan masalah. Kalau boleh dia tak mahu ambil apa-apa tanggungjawab. Bila terlibat dengan masalah dan konflik, dia tak mahu buat apa-apa. Dia sendiri gelar dirinya sebagai seorang pengecut nombor satu.

Ini adalah sikap Shikamaru sewaktu awal-awal perkenalannya. Di sini, kita boleh cakap tentang dua perkara iaitu kemalasan dan ambil mudah dalam hidup.

Ayat paling popular yang Shikamaru sebut adalah, “Aduh, leceh!”. Dalam Bahasa Inggeris disebut dengan, “How troublesome” atau “What a drag!”.

Menurut Dr. Seltzer, sikap malas boleh berpunca daripada kurangnya minat terhadap sesuatu yang tak memberikan manfaat pada dirinya.

Shikamaru sebenarnya gemarkan hidup yang normal. Hidup yang jauh daripada sebarang masalah.

Bagi dia, tanggungjawab sebagai seorang ninja yang penuh dengan misi dan masalah adalah sesuatu yang membebankan dirinya dan tak berikan dia apa-apa kepentingan.

Dalam psikologi, mungkin kemalasan dilihat sebagai suatu perkara yang negatif dalam pembentukan diri manusia. Selalunya, manusia anggap kemalasan sebagai orang yang malas bergerak ataupun yang tidak bermotivasi langsung.

Aaron Schuster dari University of Chicago melihat kemalasan sebagai sebuah kebebasan manusia. Menurut beliau, kemalasan dapat berhubung dengan kebebasan dengan cara aristokratik, iaitu dilihat sebagai pembaziran tulen.

Kemalasan bukanlah satu bentuk kekurangan pada kehendak, tetapi sebagai satu bentuk kemewahan. Bukti sebenar sebuah kedaulatan adalah mempunyai kuasa untuk membazirnya.

Orang selalu kata, hidup ini singkat dan jangan membazir.

Aaron Schuster melihat kemalasan sebagai sikap untuk bebas daripada kematian. Manusia yang kata jangan membazir kerana ada kematian yang sedang mengejarnya. Jadi, dia nak hidup sebaik mungkin setiap masa. Jadi, untuk bebas daripada rasa kematian tersebut, Schuster kata buatlah sebaliknya. Jadi tak produktif dan tak payah buat apa-apa.

Mungkin idea Aaron Schuster terlalu falsafah, kita ambil saja apa yang dikatakan oleh Jon Jandai. Dia kata manusia selalu susahkan dan rumitkan kehidupan mereka sendiri.

Dia cerita pengalamannya masa kecil yang hidup miskin di sebuah kampung di Thailand. Kemudian, dia pergi ke bandar di Bangkok untuk keluar daripada kemiskinan. Apa yang dia dapat, hidupnya semakin susah.

Dia bekerja keras 8 jam setiap hari tapi hidupnya tak jadi lebih senang. Sedangkan, apabila dia duduk di kampung, dia cuma kena kerja dua bulan setahun, iaitu menanam dan menuai. Makan pun cukup, malah ada lebihan. Tempat tinggal pun ada.

Jon Jandai membina rumahnya sendiri selama hanya dua bulan saja dan dia tak berhutang berbanding rakannya yang membina rumah sehingga 30 tahun tapi penuh dengan hutang.

Jon Jandai mengenengahkan konsep kebebasan. Kebebasan masa dan kebebasan daripada kehendak manusia. Apabila manusia mempunyai masa terluang, manusia mempunyai masa untuk memahami dirinya. Apabila manusia mempunyai masa untuk memahami dirinya, manusia tahu apa yang diperlukan dalam hidupnya untuk gembira dan hidup mudah.

Bagi Jon Jandai, manusia merumitkan kehidupan kerana dikejar apa yang dimahukan, bukan apa yang diperlukan. Manusia ikut trend dan fesyen popular kerana sebuah kemahuan.

Manusia mahu kejar itu, kejar ini yang bukan keperluan pun untuk hidup. Akhirnya, kehidupan manusia jadi rumit dengan pelbagai sistem dan peraturan yang bertujuan untuk mengawal dan ambil kesempatan ke atas kemahuan manusia.

Kalau kita perhatikan, kehidupan Jon Jandai tidak menandakan sebuah kemajuan. Manusia duduk situ menghadapi kesenangan dan kebebasan, asalkan keperluan mencukupi. Kita boleh kata Jon Jandai seorang yang pemalas, tetapi boleh jadi kemalasan ini membawa kepada sebuah kebebasan hidup yang sebenarnya.

Shikamaru pernah berkata,

Apa yang aku mahukan adalah menjadi ninja biasa, dan kehidupan yang biasa. Aku akan kahwin dengan gadis biasa, tak terlalu cantik atau terlalu hodoh. Ada dua orang anak, lelaki dan perempuan. 

Aku akan bersara selepas anak perempuan aku kahwin dan anak lelaki aku jadi ninja yang berjaya. Kemudian, aku akan habiskan hidup aku dengan bermain shogi dan bercuti. Kemudian mati bila tua nanti sebelum isteri aku. Yup, itulah kehidupan yang aku mahukan.

Kadangkala Shikamaru sangat mencemburui awan kerana awan terlalu bebas tanpa berbuat apa-apa sehingga dia menyesali apa yang dia buat sekarang dalam hidupnya.

Shikamaru menganggap kemalasan sebagai sebuah kemewahan yang manusia tinggalkan demi mengejar sebuah kemewahan moden.

Sasuke mahukan kuasa, Naruto mahukan Hokage, Rock Lee mahu menjadi ninja macam orang lain, Jiraiya mahu bawa balik Orochimaru, Hiruzen mahu meneruskan legasi ‘Kehendak Api’ (Will of Fire) dan banyak manusia lain yang mengejar kehendak.

Akhirnya, manusia kurang masa untuk memahami diri mereka sendiri yang sebenarnya kerana mengejar kehendak. Kemudian berlaku sengketa dan peperangan kerana sukar untuk memahami orang lain.

Diri sendiri pun tak faham, apatah lagi orang lain.

Perkara ini menyebabkan pelbagai sistem dibangunkan untuk mengawal kehendak itu. Kehendak ke atas kuasa dan dendam telah menyebabkan Uchiha dan Senju berperang tanpa henti, lalu kampung dibangunkan untuk mengawal kuasa itu, seterusnya memberhentikan peperangan.

Sebab itu Shikamaru adalah rakan yang paling memahami orang lain kerana dia mempunyai masa untuk merenung dan memahami dirinya.

Shikamaru adalah rakan pertama yang menerima Chouji dan Naruto. Malah, Shikamaru mempunyai ikatan yang kuat dengan Naruto berbanding Sasuke.

Kemalasan yang dipeluk oleh Shikamaru bukanlah sebuah kemalasan kerana tidak bermotivasi, tetapi sebuah kebebasan dalam sebuah kehidupan. Terlepas daripada kemahuan, terlepas daripada ketakutan, terlepas daripada tanggungjawab dan tanggungan masalah.

Inilah mungkin kemewahan yang dimaksudkan oleh Aaron Schuster tadi. Banyak universiti telah dibangunkan, maka ramai yang cerdik pandai yang lahir tapi kehidupan manusia semakin sukar.

Banyak kemajuan teknologi dan banyak kelahiran falsafah-falsafah baru, tetapi kehidupan manusia tak jadi makin mudah. Ini disebabkan rasa kehendak yang manusia cari tanpa sedar. Bukan keperluan.

Iniah dia kepintaran orang yang malas. Orang yang cari jalan mudah dalam urusan hidupnya.

Bak kata Bill Gates (tak tahu ya ke tak dia cakap), “Saya nak cari orang malas sebab orang malas akan cari jalan paling mudah untuk selesaikan masalah.

Comments

comments

Previous articleDoa Dan Musafir
Next articleWing Chun Dan Legenda Ip Man
Zamir Mohyedin sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang fizik. Telah menerbitkan karya-karya fizik, sejarah dan falsafah. Selain dalam penyelidikan, beliau juga terlibat dalam penulisan, penterjemahan dan penyuntingan manuskrip. Berminat dalam bidang sains, falsafah, sejarah dan psikologi.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here