Doa Dan Musafir

0
862
views

Tidak berapa lama selepas kita meninggalkan Ramadan al-Mubarak dan menyambut ketibaan Syawal, kita dikejutkan dengan kenyataan seorang politikus yang mempertikai tindakan seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan meminta para penumpang berdoa. Saya pasti ramai yang memberi pandangan tentang cubaan polemik yang dicetuskan ahli politik yang tidak bertanggungjawab itu terutama sahabat-sahabat saya dari Patriots. Sebaliknya, saya lebih berminat menyentuh konsep doa dalam agama terutama semasa bermusafir. Tentang polemik yang dimaksudkan, saya akan ulas sedikit.

Definisi doa ialah permintaan atau permohonan kepada Tuhan. Tetapi jika kita lihat dengan lebih teliti, doa ialah pengharapan seorang hamba untuk benda yang baik di sisi-Nya dengan cara memohon secara langsung kepada-Nya. Tidak seperti manusia di mana ada saja kerenah birokrasi atau halangan jika kita mahukan sesuatu, bila kita berdoa kepada Allah, tidak ada tabir yang memisahkan kita dengan Dia. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah Ghafir, ayat 60 bermaksud, “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Doa bukan saja satu ibadat tetapi juga satu senjata ampuh bagi orang mukmin. Diriwayatkan daripada Anas r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Doa itu asas kepada ibadat.” Ini ditambah dengan firman Allah s.w.t dalam Surah Al-A’raf, ayat 206 mafhumnya, “Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepada-Nya, dan mereka pula bertasbih bagi-Nya, dan kepada-Nyalah jua mereka sujud.”. Imam Ibnu Kathir rahimahullah menafsirkan ayat ini, Allah menyebut sifat-sifat para malaikat ini untuk menjadi ikutan teladan manusia kerana ketaatan dan ketekunan mereka dalam beribadat kepada-Nya. Jika para malaikat yang sememangnya diketahui umum mentaati semua perintah Allah termasuk berdoa, maka apa pula alasan kita sebagai khalifah di muka bumi ini untuk menafikan perintah-Nya. Bahkan, jika kita perhatikan lebih teliti, doa itu sebenarnya satu tanda bahawa kita hanya hamba sementara Dia ialah Pencipta kita.

Menjadi resam bagi manusia bermusafir ke pelosok dunia untuk pelbagai tujuan seperti menuntut ilmu, menziarahi kaum keluarga dan rakan-rakan atau urusan kerja. Dan pada masa sebegini, Islam menggalakkan kita sentiasa bermunajat dan berdoa kepada-Nya. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 12-14, Surah Az-Zukhruf mafhumnya,

Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:

“Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!” Para ulama mensyarahkan tanpa kudrat dan iradat-Nya, kita tidak punya kekuatan untuk mengendalikan kenderaan kita kerana hanya Dia saja yang punya kawalan ke atasnya. Bahkan, banyak hadis Nabi s.a.w berbicara soal musafir secara panjang lebar.

Antaranya, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, baginda bersabda, “Jika kamu tahu apa yang aku ketahui tentang mengembara secara berseorangan, nescaya tiada siapa akan mengembara secara berseorangan pada waktu malam.” Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, baginda mengajarkan doa bila mana seseorang itu mahu keluar rumah, maka hendaklah dia berdoa memohon hidayah, kecukupan dan perlindungan-Nya. Ini bukti bahawa doa semasa bermusafir seharusnya tidak dipandang enteng.

 

Comments

comments

Previous article12 Angry Men: Jury Duty
Next articleShikamaru: Malas Ini Benda Negatif Ke?
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here