Konfucius, Choson Dan Kesultanan Melayu Melaka

0
1741
views

Bangsa Timur Jauh menjadi bangsa yang utuh jatidiri dan membangun kerana asas sistem sosial Konfusianisme yang berasal dari zaman Dinasti Zhou. Sedarkah kita bahawa Islam dan Konfusianisme mampu menjadi jambatan antara Kebudayaan Melayu dengan masyarakat Han tempatan mahupun dari luar negeri.

Ajaib bila diperhatikan prinsip utama Konfusianisme dan Neo-Konfusianisme mirip dengan Islam cuma ia tidak menonjol pada praktikal dan kerangka masyarakat Islam sebab itu antara kedua-dua masyarakat ini sering dilihat ‘bagai air dengan minyak’ sedangkan selama ini keduanya tidak sedar mereka ini sentiasa bersaudara ‘bagai aur dengan tebing.

Kelemahan impresi dan wibawa sosial masyarakat Melayu dewasa ini yang tidak dibina atas kerangka budaya dan ideologi kemasyarakatan yang jelas dan sistematik menyebabkan masyarakat Melayu tidak mampu bersatu dan bangun pada satu jatidiri yang menarik dan kukuh, layak untuk dihormati masyarakat Tionghua tidak seperti permastautin mereka di Thailand, Vietnam dan Indonesia. Sikap dingin dan keengganan mereka itu jika dilihat dari perspektif muhasabah diri Melayu memang ada kebenarannya dengan kelemahan serba-serbi sistem sosial Melayu.

Pada saya polarisasi identiti ini tidak semestinya dikisahkan dengan gaya satu jenis bahasa. Jika bahasa outgroup itu memusnahkan maka mengapa kita masih gemar berkata-kata mengenainya? Mengapa kita tidak berusaha mengislah permasalahan ini dengan bahasa yang boleh dikira rumit tetapi lebih bijaksana dan berhikmah? Jika identiti kedua-dua masyarakat ini jika ditelusuri boleh dikaitkan dengan asal-usul antropologi, sejarah dan falsafah yang sama maka mengapa bahasa perpecahan itu lebih digemari ramai? Jika kita percaya bahawa setiap komuniti memiliki ego maka apakah orang Melayu dengan kelemahan mereka masih mampu mendabik dada untuk berlagak usaha mempelajari sesuatu daripada masyarakat lain, begitupun ego masyarakat Tionghua juga perlu dikawal kerana ada aspek yang mereka kurang responsif seperti dalam realiti asimilasi dan integrasi dengan latar pribumi negeri yang dikunjungi

Masalah pada identiti orang Melayu bermula dengan runtuhnya identiti Srivijaya-isme dan sistem patriarki yang diwakili kesultanan-kesultanan Melayu dengan penerapan model modernisme yang gradual menghapuskan jatidiri Melayu, satu proses yang bermula seawal tahun 1786 pada tahun British pertama kalinya mendirikan hegemon pertama mereka di Pulau Pinang. Mengapa orang Cina tidak terjejas meskipun sistem kebapaan Maharaja berakhir adalah kerana tradisi literati Konfusianisme masih diteruskan melalui sistem pendidikan mereka sepertimana institusi pondok orang Melayu-Muslim yang masalahnya setakat ini sehingga ke hari ini ia bukan representatif umum masyarakat Melayu walaupun potensinya sebegitu unggul.

Sehingga hari ini orang Melayu tidak mampu bangkit sebagai vanguard kebudayaan Melayu apatah lagi untuk mnghidupkannya kembali sebagai sebuah tamadun serantau dan global. Hari ini seluruh dunia Islam dan Melayu menjadi sublet kepada ketamadunan Eropah. Ketamadunan Islam hanya diteruskan secara teoritikal dan satu lagi yang signifikan adalah tamadun Konfusianisme Timur Jauh.

Usaha menjambatani ketamadunan Islam-Konfusianisme ini bukannya baharu. Pada zaman Dinasti Qing sudah ada penulisan-penulisan literati Konfusianisme beragama Islam dalam percubaan mengislamisasikan prinsip-prinsip agama falsafah tersebut. Ia tidak ubah seperti usaha Imam Abul Hasan al-Asy’ari yang meninggalkan sudut mafsadah Muktazilah tetapi menyusun dan menafsir kembali prinsip prinsip aqidah sahihah ahlussunnah waljamaah dengan kerangka mantiq dan falsafah Muktazilah.

Pada sudut sejarah, kita tidak sedar bahawa segala aktiviti dan polisi kerajaan Ming, Choson dan Shogun Tokugawa semuanya dibina atas ajaran Konfusianisme atau versi neo-nya yang sehingga kini Korea dianggap sebagai pewaris puritanisnya yang tunggal.

Polisi isolasi negara China bermula pada zaman Ming berpunca daripada sudut pandang ksenofobik Neo-Konfusianisme yang begitu keras berorientasikan sistem keturunan tunggal orang Han yang bermula sejak zaman Xia, Shang dan Zhou. Maka dengan tersebarnya pemikiran yang diperkenalkan oleh Zhu Xi pada zaman Song itu ke Korea pada waktu penubuhan Dinasti Choson (1390an) dan kemasukan literati Choson ke Jepun pasca Perang Imjin (1592) menjadi rentetan negara-negara tersebut turut mengikuti polisi isolasi tersebut.

Di Korea saya percaya prinsip Neo Konfusianisme tersebut menjadi punca ketiadaan penyebutan luas keberadaan orang Choson Korea berdagang secara terbuka walaupun mereka disebut wujud secara kecil-kecilan di Siam dan Jawa dan ini dibuktikan jika kita menerima identiti orang ‘Gores’ yang disebut catatan Portugis pasca 1511 di Melaka merujuk kepada pedagang Korea. Catatan ini ditulis pada tahun Diego Lopez de Sequira mengunjungi Melaka.

Argumentasi yang menyatakan mereka ini orang Liuqiu(Ryukyu) mungkin kita boleh justifikasi sebagai generalisasi identiti daripada khabar mulut pelayar Arab yang biasa menyebut Ryukyu juga sebagai ‘Ghuri’ ataupun mereka adalah pedagang Korea yang kebiasaannya datang melalui Ryukyu atau menggunakan khidmat perkapalan Ryukyu. Satu lagi justifikasi adalah mereka ini hampir tiada direkodkan secara langsung di Melaka kerana seperti catatan Portugis mereka ini tidak membuka loji di daratan seperti pedagang-pedagang lainnya dan bersifat tertutup dan terlalu berhati-hati walaupun diakui jujur dan ini berbeza dengan ciri-ciri pedagang Ryukyu yang masyhur dalam rekod Ming dan Rekidai Hoan yang berdagang secara terbuka dan memiliki aktiviti darat di negara yang dilawati.

Apa yang pasti barang-barang pengumpulan dari Alam Melayu seperti rempah, gading gajah dan barangan Timur Tengah dan India tiba ke Korea sejak zaman Goryeo melalui misi Jang Bogo ke Laut Selatan(800an). Pada zaman Taejong, Saejong dan Sejo dari Dinasti Choson (1390an hingga 1800an) pengaruh teknologi Arab dan India mula masuk seperti peralatan dan pengiraan trek dan kalendar astronomi.Semua ini boleh jadi tiba melalui orang tengah China dan Ryukyu melalui Melaka ataupun dari jaringan perdagangan terbatas mereka sendiri atau kedua-duanya.

Teknologi artileri Choson dikatakan tiba dari Jepun dan baru-baru ini ada yang mengatakan ia wujud di Jepun sebelum ketibaan Portugis maka selain Ming mungkin kemasukan teknologi tersebut ke Jepun adalah dari Semenanjung Tanah Melayu dan kerajaan sekitarnya menurut catatan Portugis bahawa Pahang merupakan pengeluar artileri yang berwibawa disamping sumber-sumber yang menyebut peranan Patani dan Berunai.

Pada tahun 1520, Yi Sok duta Choson ke Min menjadi korespondan dan saksi mata yang memberi komplemen ke atas polisi Maharaja Zheng De yang anti Portugis dan memerintahkan Melaka dikembalikan kepada Sultannya kerana Melaka dianggap menurut falsafah Konfusianisme sebagai saudara sumpah yang wajib dibela jika tidak ia dilihat melalui hubungan filial antara ayah dan anak.Dalam pada itu Yi Sok menyatakan pada tahun itu pegawai Ming menyatakan kepadanya bahawa telah datang Pulanggi(Fu lan ki) yakni Portugis dan mereka disifatkan sebagai tidak bertamadun disebabkan menggulingkan Sultan Melaka pada 1511, dan kekurangan wibawa kemasyarakatan. Pada ketika itu loji Choson terletak pada kantonmen yang sama dengan loji Portugis.

Ringkasnya dalam kes Jepun, selain polisi isolasi Tokugawa, sifat militan kerajaan Jepun diberi penafsiran baharu mengikut ajaran Neo-Konfusianisme yang masuk dari Korea dan ia menandakan zaman statik penyebaran Buddhisme kerana ajaran itu sejak awalnya memang menjadi sebab kepada tertubuhnya Neo Konfusianisme yang mengkritik ketidakupayaan Buddhisme menggubal sistem kemasyarakatan disamping ia menjadi antitesis kepada legasi Mandat Dari Langit dan Anak Syurga.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here