Ekranoplan – Raksasa Laut Kaspian

0
1150
views

Ekranoplan adalah satu bentuk kenderaan laut yang menggunakan efek permukaan bagi melayap diatas permukaan air yang dibangunkan oleh Biro Pusat Rekabentuk Hidrofoil yang diketuai oleh Alexeyev Rostislav dan Alexander Lippisch di Kesatuan Soviet.

 

Alexeyev Rostislav adalah seorang jurutera, pakar dalam pembinaan kapal dan seringkali cuba mencari alternatif bagi membolehkan kenderaan laut bergerak dengan lebih pantas, selain cuba mengatasi permasalah geseran jasad air pada lambung kapal.

 

Di era beliau, kapal laut bergerak perlahan dan sukar mengatasi geseran dengan jasad air. Namun idea Rostislav dengan menambahkan sayap yang diletakkan pada lambung kapal di bawah permukaan air, lantas melahirkan satu bentuk baharu kapal yang dipanggil hidrofoil yang bergerak lebih pantas dari kapal-kapal tradisional.

 

Rostislav terus berkesperimentasi, menggabungkan pengetahuan aerodinamik dengan hidrodinamik dan ini menghasilkan satu lagi bentuk pengangkutan yang revolusioner, yakni Ekranoplan.

 

Ekranoplan menggunakan udara bertekanan tinggi yang terhasil dari interaksi aerodinamik antara pesawat dan pemukaan bumi yang memberikan terma Wing In Ground atau WIG.

 

Ekranoplan beroperasi seperti sebuah pesawat tetapi disebabkan kebergantungan kepada kesan permukaan untuk mengekalkan penerbangan mendatar maka ia tidak boleh terbang seperti mana sebuat kapal terbang biasa.

 

Organisasi Maritim Antarabangsa (International Maritim Organization) mengambilkira ekranoplan sebagai satu bentuk kenderaan air memandangkan ia beroperasi diatas permukaan air pada ketinggian tertentu dan tidak beroperasi atau terbang seperti sebuah kapal terbang.

 

Kesatuan Soviet adalah pelopor utama teknologi ekranoplan ketika era Perang Dingin dimana terdapat beberapa prototaip, modul-modul pembuktian teknologi dan akhirnya pengaplikasian ekranoplan bagi kegunaan ketenteraan dan awam. Program pembangunan ekranoplan oleh Kesatuan Soviet sebenarnya tidak mendapat perhatian serius blok Barat sehinggalah para pemerhati dan penganalis tentera menemukan satu foto dari satelit pengintipan yang memperlihatkan satu objek bersaiz besar, kelihatan seperti pesawat tetapi seolah-olah sayapnya terpotong separuh dan berada di kawasan perairan Laut Kaspia.

 

Apa yang dilihat oleh para pemerhati dan pengintip itu adalah ekranoplan yang dipanggil KM-1, dengan nama timangan yang diberikan oleh pihak barat “Raksasa Laut Kaspia”.

 

KM-1 adalah ekranoplan yang dibina bagi tujuan pembuktian teknologi, sebuah prototaip angkatan laut yang direka bentuk oleh Rostislav Alekseev pada tahun 1966 yang mana ia dibina dengan lambung yang larus seperti sebuah kapal dengan sayap puntung, sirip menegak yang besar dengan sayap melintang.

 

Lebar sayapnya adalah 37.60 meter, dengan keluasan sayap merangkumi 662.5 meter persegi dengan 10 enjin turbojet Dobrynin VD-7 yang menghasilkan 127.53 kN tujahan setiap satunya dan mampu mencapai kelajuan sehingga 750 km/j, dengan lapan dari enjin turbojet tersebut ditempatkan di bahagian hadapan kokpit dan baki dua terletak di bahagian sirip ekor pesawat tersebut. KM-1 terbang diatas permukaan air pada altitud 5 hingga 10 meter.

 

KM-1 menjadi asas kepada pembangunan ekranoplan bagi tujuan ketenteraan MD-160 Lun yang di operasikan oleh angkatan laut Kesatuan Soviet sebagai kapal penyerang laju peluru berpandu.

 

MD-160 Lun, berbeza dengan KM-1 dilengkapi dengan 8 enjin turbojet Kusnetsov NK-87, dan membawa sehingga 6 peluru berpandu anti permukaan P-270 Moskit yang ditempatkan berjujuk diatas fiuslaj bahagian atas ekranoplan tersebut. Radar panduan penembakan ditempakan pada sirip menegak, bagi memudahkan talaan dan suluhan pancaran radar keatas sasaran.

 

Ekranoplan MD-160 ini mampu menjangkau jarak operasi sehingga 1900km, dengan kelajuan maksimum sehingga 550km/j dan kapasiti kargo sehingga 100 tan.

 

Tidak seperti KM-1 dan MD-160 yang mana kedua-duanya dibina sebagai prototaip, dan tidak melepasi fasa pembuatan massa, A-90 adalah ekranoplan yang benar-benar digunakan sepenuhnya untuk tujuan ketenteraan.

 

A-90 dibina dengan tujuan menjadi penghubung logistik angkatan marin selain bertindak sebagai pemukul utama gugus tugas angkatan penyerang amfibia, dengan kemampuan membawa sejumlah kenderaan tempur dan 150 anggota tentera, bersifat amfibia dimana ia boleh membuat pendaratan pantai. Ini ditunjukkan dengan keupayaannya mendaratkan kenderaan tempur dan anggota tentera dengan adanya tanjakan yang dibuka di bahagian kokpit, dilengkapi gear pendaratan untuk membolehkan ia melakukan pergerakan dikawasan daratan dan dilengkapi 3 enjin utama, 2 darinya adalah enjin turbofan Kusnetsov NK-8-4K dan satu enjin turboprop Kusnetsov NK-12MK membolehkan penyerang amfibia ini menjelajah sehingga 1500km pada kelajuan 400km/j.

 

Nasib ketiga-tiga teknologi hebat era perang dingin ini agak malang. Diwaktu Kesatuan Soviet sedang mengalami permasalahan ekonomi, program ekranoplan menjadi salah satu mangsa pembatalan.

 

A-90 yang pada asalnya memperlihatkan pembinaan sehingga 27 unit yang akan membentuk satu skuadron baharu angkatan laut kesatuan Soviet dikurangkan sehingga 5 unit sahaja.

 

MD-160 hanya kekal sebagai satu-satunya ekranoplan tempur yang dibina.

Manakala KM-1, prototaip yang menggerunkan dunia Barat musnah ketika penerbangan ujian pada era 80an dan tidak lagi dibina semula. Bangkainya kekal tenggelam di dasar Laut Kaspia, memandangkan ia terlalu berat untuk di selamatkan.

Episod militer ekranoplan sepertinya sudah berakhir bersama-sama runtuhnya Tembok Berlin dan jatuhnya kekuasaan komunis Kesatuan Soviet.

Namun, ia tidak terhenti disitu.

 

Ekranoplan dan segala teknologi berkaitan dengannya seperti hidrofoil masih lagi digunakan dan diaplikasikan secara meluas dalam sektor awam dan pada hari ini, kita dapal melihat ekranoplan yang dibina pada skala lebih kecil untuk tujuan rekreasi, keselamatan awam dan sebagai pengangkutan maritim.

 

Contoh terdekat adalah Airfish yang dibangunkan oleh syarikat Singapura dan ARON Flying Ship yang dibangunkan oleh Korea Selatan bagi kegunaan awam, manakala Russia dengan usaha yang dilakukan oleh firma Beriev sedang membangunkan teknologi pesawat amfibia dengan keupayaan ekranoplan yang digabungkan menjadi satu platform yang sangat berkeupayaan.

 

Legasi ekranoplan masih lagi hidup dan akan terus berkembang dimasa depan.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here