P Ramlee, 1 Shawal Dan Dendang Perantau

0
2091
views

“Apabila umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri bererti menyambut hari lahir saya juga,” demikian seloroh P.RAMLEE berkata kepada seorang wartawan dalam satu temubual di rumahnya di Jalan Dedap, Kuala Lumpur.

Secara umum P.RAMLEE dilahirkan pada 22 Mac 1929. Tetapi ada berlaku kesilapan dari sudut fakta jika tarikh itu dipadankan dengan tarikh 1 Syawal pada tahun itu mengikut kalendar Islam. Ini kerana P.Ramlee pernah mendakwa bahawa beliau dilahirkan pada pagi 1 Syawal ketika umat Islam sedang bertakbir raya. Apabila diselidiki dan dikaji maka benarlah tarikh 1 Syawal itu jatuh pada 23 Mac 1928. Inilah tarikh lahir sebenar P.RAMLEE yang ramai tidak tahu. Fakta ini telah disahkan oleh keluarga P.RAMLEE sendiri iaitu abang tiri beliau SYEIKH ALI, anak beliau NASIR dan kakak ipar beliau MARIANI. Berlakunya kesilapan ini adalah kerana menjadi kebiasaan kepada orang dulu-dulu yang lambat membuat pendaftaran kelahiran kepada anak mereka yang baru lahir. Ini juga turut berlaku kepada P.RAMLEE. Maka tarikh 22 Mac 1929 adalah tarikh yang tercatit di dalam surat beranak dan kad pengenalan P.RAMLEE dan dijadikan fakta tarikh kelahiran beliau sehingga ke hari ini. Satu lagi kisah yang menarik adalah ramai juga rakan-rakan P.RAMLEE ketika di Singapura yang tidak tahu nama sebenar beliau.

Siapa yang boleh lupa dengan lagu DENDANG PERANTAU nyanyian dan ciptaan P.RAMLEE yang akan berkumandang setiap kali Aidilfitri menjelang setiap tahun. P.RAMLEE telah sebati menjadi sebahagian daripada suasana hari raya di tanah air kita. Suasana hari raya rasanya tidak lengkap tanpa berkumandangnya lagu DENDANG PERANTAU nyanyian P.RAMLEE. Lagu itu dicipta oleh P.RAMLEE dalam tahun 1950-an, liriknya hasil dari karangan S.SUDARMADJI. Pertama kali DENDANG PERANTAU dirakam oleh P.RAMLEE pada tahun 1950-an dengan irigan muzik berbentuk orkestra. Di dalam tahun 1966 P.RAMLEE sekali lagi merakam lagu itu dalam bentuk muzik pop menggunakan 3 gitar, organ dan drum. Khazanah P.RAMLEE yang bertemakan hari raya bukan sahaja DENDANG PERANTAU malahan dua lagi lagu yang bertemakan hari raya iaitu SUARA TAKBIR dan SELAMAT HARI RAYA yang kedua-duanya dicipta dalam tahun 1950-an juga.

Lagu SUARA TAKBIR dinyanyikan semula oleh P.RAMLEE untuk rakaman ke piring hitam, sementara lagu SELAMAT HARI RAYA dirakamkan ke piring hitam oleh AHMAD JAIS pada tahun 1960-an. Lagu SELAMAT HARI RAYA yang dirakamkan oleh AHMAD JAIS itu dicipta khusus untuk satu pertunjukkan pentas di Happy World, Singapura yang dianjurkan oleh PERSAMA di mana ketika itu P.RAMLEE sendiri memegang jawatan sebagai presiden persatuan itu. Apa yang unik mengenai lagu DENDANG PERANTAU nyanyian P.RAMLEE tetap lebih segar dan lebih meriah untuk menimbulkan suasana di hari raya yang mulia walaupun tajuk lagunya tidak ada kena-mengena dengan hari raya.

Sumber :

Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here