Falsafah Tassawuf Dalam Ilmu Bedil Orang Melayu

0
7027
views

Tentang amalan Tasawuf dalam ilmu bedil Melayu:

“Ketahuilah oleh mu! Barangsiapa yang takut mempelajari ilmu Hakikat atau Tasawuf dengan berkata, ‘Nanti menjadi kafir,’ maka orang seperti ini tidak sekali-kali akan mendapat iktikad Ahli Sunnah (wal Jamaah)…”
(Tok Kenali, dalam kitab Qamarul Huda)

Pertama: Awal hendak mengambil posisi, segala-galanya dibulatkan kepada Allah;

“Fasal ini pada menyatakan syarat menggamak bedil, maka berbagai-bagai isyaratnya dan berlain-lainan ibaratnya. Kepada Allah juga kamu memohonkan harapan serta pertolongan…”

Kedua: Ketika hendak menembak, penyerahan kepada Allah (yang menggerakkan segala sesuatu) jualah yang sebenar-benar tembak;

“Apabila telah samalah nafas kita itu masuk keluar, maka tatkala masuk inilah, ingat kepada Tuhan yang empunya gerak…”

Ketiga: Aplikasi konsep ‘tawajjuh’ dan ‘rabitah’, yakni perhubungan hati antara penembak dan guru (arifbillah) dan posisinya:

“Jikalau kita hendak menembak terakul itu, niatkan terakul itu seumpama satu sarung dengan alamat. Apabila ketiga-tiga itu sudah bersatu, baharulah niatkan seperti tawajjuh dengan guru…”

“(Tatkala hendak memetik picu) …barulah pandang pejera pangkal dan pejera hujung dan alamat, barulah niatkan ketiga-tiganya itu bersatu. Barulah niatkan seperti zikir Naqsyabandi, lakukan seperti orang rabitah, ralibkan pandangannya itu…”

(Dalam Tarekat Naqsybandi, konsep guru-sekalian murid ibarat manik-manik dalam satu tasbih, yang dihubungkan dalam satu tali – makna Silaturrahim)

Keempat: Bermulanya memilih peluru sehinggalah menembak, sentiasa dipanjatkan doa dan amalan zikir tertentu. Sebagai contoh;

“Kemudian serahkan sekalian anggota itu kepada Allah, lalulah berzikir, “Allah! Allah! kira-kira lima ratus kali, baharulah rentikan, Kemudian baharulah taruh senapang itu…”

“…the archetypal guru in the contemporary Straits of Malacca is portrayed as an heir of the ‘transferrable power-grace (berkat) of shooting from heaven’, the ‘esoteric knowledge’ of the American rifle, and the knowledge of the gun’s esoteric Arabic name (nur al-faqr: the luminosity of asceticism) and the esoteric Malay names of the bullet (gilang-gemilang: the resplendent, and petus: thunderclap). This berkat and esoteric knowledge was first attained by the prophet Muhammad…”

(Terenjit Singh Sevea, 2013)

Kelima: Kaedah ‘nafi’ dan ‘isbat’ pada kalimah Tayyibah (لَاإِلٰهَ إِلَّا الله) merupakan sebahagian daripada ilmu Tauhid (untuk bersyahadah). Dalam ilmu menembak, kaedah yang sama diamalkan:

“Ketahuilah oleh mu hai talib, adalah nafi pada menembak itu atas dua perkara: pertama dinafikan segala pengetahuan orang yang lain, tiada akan lebih daripada tahu kita. janganlah ditimbang sekali-kali. Kedua nafikan daripada pecah bedil yang kita pegang itu, jikalau ada sesuatu daripada dua itu, nescaya binasalah tembaknya.

“Dan ingat isbatnya, itu pun atas dua tiga perkara juga: pertama yang isbatnya itu daripada segala yang tersebut syaratnya; dan kedua isbat yakin dan tasdiqnya, dan jikalau tiada salah suatu daripada ini, binasalah tembaknya.”

Keenam: Bedil dan peralatannya dilibaratkan dengan Martabat Alam (kosmologikal) seperti:
Bedil – Alam Ijsam
Peluru – Alam Arwah
Ubat – Alam Misal
Penembak – Alam Insan

Ketujuh: Pandangan tembak itu hendaklah disertai pandangan hati seperti mana keadaan diri bersolat (antara niat dan Takbiratul Ihram). Saya simpulkan, ertinya untuk belajar ilmu tembak ini semestinya terlebih dahulu murid itu mahir akan hakikat solat!

Kelapan: Kesempurnaan tembak itu dibulatkan pada kehendak dan kuasa Allah;

“…apabila berdiri sudah demikian, iaitu berdiri iradat Allah dengan kudrat Allah Ta’ala, jangan dicita-cita lagi tembak yang lebih daripada ini, maka inilah tembak dunia akhirat.”


Rujukan:

1) A. Samad Ahmad, 1987 Peluru Petunang. Kuala Lumpur: DBP

2) Pramono, Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah, Herry Nur Hidayat, 2015. Mysticism Elements in the Use of FireArm Technology in the Manuscript on Firearms. Humaniora vol 27:372-383. Yogyakarta: Universitas Gadjah Mada.

3) Terenjet Singh Sevea. 2013. Pawangs on the Malay Frontier: Miraculous Intermediaries of Rice, Ore, Beasts and Guns.Los Angeles: UCLA (Gambar dari sumber ini – bahagian lain saya kaburkan atas sebab takut timbul salah faham).

4) Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah & Siti Radziah Mustafa, 2014. Manuskrip Ilmu Bedil Sebagai Sumber Etnosejarah Teknologi Senjata Api Melayu. Kemanusiaan Vol. 21: 53-71. UTM.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here