Adab Bertamu Di Hari Raya

0
1498
views

1. Jangan mengintai.

Satu perkara yang membuatkan tuan rumah merasa terganggu ialah sikap sesetengah daripada kita mengintai rumah yang kita kunjungi. Walaupun niatnya sekadar untuk tahu sama ada orang yang kita kunjungi ada di rumah atau tidak, perbuatan sebegini sebenarnya dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Ini kerana perbuatan mengintai sebenarnya melanggar privasi tuan rumah di mana tuan rumah merasa tidak selamat dan merasakan privasi mereka diganggu dengan perbuatan sebegini. Dalam satu peristiwa berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Sahal bin Said As-Sa’idi r.a, seorang lelaki mengintai Nabi s.a.w di rumah baginda.  Kurang senang dengan perbuatan lelaki tersebut, baginda membawa sesisir sikat dan melihat lelaki tersebut mengintai. Lalu baginda bersabda, “Seandainya aku tahu engkau mengintai aku, akan aku cucuk kedua-dua matamu dengan sikat ini.” Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, tidak menjadi kesalahan bagi kita melempar batu pada seseorang yang mengintai rumah tanpa izin. Kedua-dua hadis ini menunjukkan betapa kerasnya larangan Nabi s.a.w berkenaan perkara ini. Jika ingin tahu tuan rumah ada atau tidak, cukup sekadar telefon atau mesej tuan rumah tentang hajat kita.

2. Minta izin sebelum masuk ke dalam rumah.

Ini satu lagi perkara yang kita jarang praktikkan bila kita datang berziarah. Selalunya, bila kita datang berziarah, kita main masuk saja tanpa minta izin tuan rumah untuk masuk atau tidak. Minta izinlah kalau ya pun. Sekurang-kurangnya bila kita minta izin, bagi peluang untuk tuan rumah mengemas sedikit bagi memastikan rumah kelihatan bersih dan tersusun. Dan sekiranya tuan rumah merasakan auratnya terdedah, boleh saja tuan rumah memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat sebelum menjemput kita masuk. Jangan sangka ucapan salam yang kita beri itu tanda memohon izin kerana memberi salam sama sekali berbeza dengan mohon izin. Buktinya, firman Allah s.w.t dalam ayat 27, Surah An-Nur, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).” Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Kaladah bin Al Hambal, tak lama selepas peristiwa Fathul Makkah (Pembukaan Kota Makkah), Safwan bin Umayyah (pada ketika itu masih belum memeluk Islam), menghantar Kaladah sebagai utusan beliau dengan membawa hadiah susu unta, anak rusa dan mentimun kepada Nabi s.a.w. Ketika itu, baginda berada di sebuah lembah dan Kaladah menghampiri baginda tanpa mengucapkan salam atau memohon izin. Lalu baginda menegur tindakan beliau dengan bersabda, “Keluarlah, ucapkan salam dan katakan, “Bolehkah aku masuk?”.

3. Ucapkan salam

Sudah jadi kebiasaan menziarahi keluarga, sanak-saudara dan rakan-taulan, kadang-kadang sampai ke tahap mesra sehingga lupa memberi salam. Apa salahnya memberi salam bila bertandang ke rumah kerana bila kita mengucapkan salam, kita sebenarnya mendoakan kesejahteraan orang lain selain mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w yang paling mudah. Abdullah bin Amru bin al-As r.a meriwayatkan, seorang lelaki bertanya kepada baginda apakah perbuatan terbaik dalam agama. Lalu Nabi s.a.w bersabda, “Memberi makan kepada orang lain dan mengucapkan salam sama ada kepada orang yang kamu kenali atau tidak dikenali.” Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Salam r.a, “Hai manusia, ucapkan salam, beri makan kepada orang lain, perkukuhkan ikatan silaturahim dan lakukan solat malam semasa orang lain tidur, dan kamu akan memasuki syurga dalam keadaan aman.”

4. Berdiri di belah kiri atau kanan pintu

Bila kita sudah minta izin untuk masuk dan dapat izin, sebelum tuan rumah membuka pintu, berdirilah di sebelah kiri atau kanan pintu. Mengapa kita diminta berbuat demikian? Ini bagi menjaga kehormatan tuan rumah, lagi sekiranya tuan rumah berada dalam situasi yang kurang selesa baginya untuk melayan tetamu. Dan ini antara kelaziman yang dilakukan Nabi s.a.w jika berziarah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Bisyr r.a, semasa baginda menziarahi rumah orang, baginda tidak berdiri di hadapan pintu, sebaliknya baginda berdiri di sisi kiri atau kanan pintu lalu mengucapkan salam. Ini kerana pada ketika itu, rumah-rumah belum dilengkapi dengan pintu/tirai.

5. Pilih waktu bersesuaian untuk menziarah

Saya tahu ramai ghairah nak menziarah rumah keluarga, sanak-saudara dan rakan-taulan, lebih-lebih lagi kalau tidak bertemu dalam masa yang lama. Tetapi pilihlah waktu yang bersesuaian untuk menziarah. Bukan apa, salah pilih waktu berziarah, ia akan menimbulkan rasa kurang senang tuan rumah dan mendedahkan sikap tidak sensitif kita pada orang lain. Jika hendak berziarah, elakkan dari datang pada waktu-waktu ini iaitu waktu sebelum Subuh, tengah hari dan selepas solat Isyak. Waktu sebelum Subuh, pada ketika itu, orang masih lena. Waktu tengah hari ialah waktu bagi orang makan dan berehat. Sementara waktu selepas solat Isyak pula ialah waktu orang hendak masuk tidur. Pilihlah masa bersesuaian agar kedua-dua pihak (tuan rumah dan tetamu) merasa selesa dan gembira.

6. Jaga mata.

Bila sudah diberi kebenaran untuk masuk, sudah tentu perhatian kita tertumpu kepada perhiasan, barang atau ahli keluarga tuan rumah. Perbuatan sebegini seharusnya dielakkan kerana ini bukan saja menimbulkan ketidakselesaan kepada tuan rumah dan ahli keluarganya malah ia sebenarnya boleh mengundang kepada dosa-dosa lain seperti mengumpat, menghina dan memfitnah. Jangan kerana kegagalan kita mengawal mata, Aidilfitri yang seharusnya disambut dengan rasa syukur dan ceria bertukar menjadi tempat untuk kita bermasam muka pula.

7. Duduk di tempat yang dinyatakan tuan rumah

Bila kita sudah dapat izin untuk berziarah dan masuk dalam rumah, bila tuan rumah tunjukkan tempat di mana kita boleh berada, hormatilah permintaannya dan duduk di ruang tersebut. Jangan jadikan rumah tersebut macam rumah sendiri walaupun tuan rumah ialah orang yang kita kenali.  Belajarlah menghormati ruang dan privasi yang diberi tuan rumah sebab bila kita berbuat demikian, ia menunjukkan bahawa kita juga sensitif dan memupuk sikap saling menghormati antara satu sama lain. Bagi tuan rumah pula, berikan tempat yang terbaik bila melayan tetamu. Ini kerana bila kita berbuat demikian, kita memuliakan tetamu tersebut. Contohi teladan Nabi s.a.w dalam soal ini di mana baginda memberi tempat duduk terbaik dalam rumahnya kepada Umar bin al-Khattab r.a semasa beliau bertandang ke rumah. Menurut Aisyah r.a, tiada siapa yang duduk di tempat baginda kecuali Umar r.a.

8. Beri hadiah ikut kesesuaian tuan rumah.

Saya dapat rasakan bila sebut hadiah, perkara pertama muncul dalam kepala ialah duit raya. Perkara itu satu kebiasaan semasa Aidilfitri tetapi bagaimana sekiranya tuan rumah menyambut kelahiran bayi, mengadakan kenduri-kendara atau berada di hospital? Justeru, sekiranya merancang hadiah untuk tuan rumah yang diziarahi, lihat terlebih dahulu keperluan tuan rumah agar ianya bersesuaian dengan keperluannya, mencambahkan lagi rasa kasih sayang dan menambah keceriaan pada bulan Syawal yang gemilang ini. Ini berdasarkan nasihat Anas r.a kepada anaknya, yang diriwayatkan oleh Sulaiman bin al-Mughirah, “Bertukarlah hadiah sesama kalian kerana ia akan menambah rasa cinta antara kamu berdua.” Jangan pilih hadiah yang buat tuan rumah merasa kurang senang. Contoh, tuan rumah berada di hospital kerana kencing manis dan kita dengan selamba membawa kek coklat dua tingkat yang manis lagi berkrim. Tuan rumah sudah pasti berbulu dan menganggap kita tidak sensitif dengan keadaannya.

9. Jangan kritik makanan yang dihidangkan tuan rumah.

Ini satu perkara yang memang kita selalu dengar bila bertandang ke rumah sanak-saudara atau kawan-kawan. Bila kita makan, ada saja komen-komen tak enak berkenaan kualiti makanan atau minuman yang dihidangkan. Ya, kualiti makanan yang dihidangkan tidaklah sehebat Michelin Star atau bertaraf Iron Chef tetapi itu bukan lesen untuk kita perlekeh makanan atau minuman yang dihidangkan. Kasihanilah tuan rumah yang bersusah-payah menyediakan juadah untuk kita makan pada lebaran ini. Contohi sikap Nabi s.a.w bila berhadapan dengan isu ini. Menurut Abu Hurairah r.a, baginda tidak pernah memperlekeh sesuatu makanan tetapi baginda akan terus makan jika menyukainya dan meninggalkan ia jika tidak menyukainya. Sikap sebegini yang menyejukkan hati tuan rumah dan menunjukkan kita menghargai kesungguhan menyediakan juadah untuk tetamu.

10. Mendoakan kebaikan kepada tuan rumah.

Selepas selesai dilayan dengan baik oleh tuan rumah, jangan lupa mendoakan kebaikan kepada tuan rumah yang menjamu kita dengan baik. Doakan mereka dengan beberapa doa Rasulullah s.a.w ini. Antaranya, “Ya Allah, berkatilah rezeki mereka, ampunilah mereka dan kasihanilah mereka.” (Hadis Riwayat Muslim). Atau boleh juga berdoa dengan doa ini, “Ya Allah, berilah makanan kepada orang yang memberiku makan dan berilah minum kepada orang yang memberiku minum.” (Hadis Riwayat Muslim). Boleh rujuk kepada gambar di bawah.

11. Jangan duduk terlalu lama.

Memang seronok bersama keluarga, sanak-saudara dan kawan-kawan tetapi bagi yang bertamu, perlu juga tahu tentang had masa bertamu. Berilah ruang kepada tuan rumah untuk berehat dan mengemaskan rumah selepas seharian melayani kerenah tetamu. Sekiranya kita duduk terlalu lama, dikhuatiri kita sebenarnya membuatkan tuan rumah merasa kurang selesa dan tidak lagi merasa gembira menerima kita sebagai tetamu. Bila tuan rumah sudah beri isyarat untuk beredar, pulanglah dengan hati yang ceria. Jika memang ada niat untuk menginap lama, kena ingat tempoh paling lama untuk menginap ialah tiga hari. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Shuraih al-Kalbi r.a, “Tetamu boleh menginap selama tiga hari dan ganjarannya ialah waktu siang dan malam sementara apa yang dibelanjakan tuan rumah ke atas tetamu itu mendapat pahala. Dan tidakla dibenarkan bagi tamu tersebut untuk menginap lama sehingga menyusahkan tuan rumah tersebut.” Justeru, kiranya kita hendak duduk lebih lama daripada tiga hari, minta izin dengan tuan rumah dan sekiranya berkemampuan, hulurkan sedikit duit bagi menambah perbelanjaan tuan rumah yang menjaga keperluan kita semasa kita berada di situ.

12. Beredar sekiranya tidak mendapat izin.

Semua adab di atas andai kita diberi izin untuk masuk ke dalam rumah. Tetapi apa yang kita perlu lakukan sekiranya kita tidak dapat izin? Nasihat saya, beredarlah. Hormati hak tuan rumah yang menolak niat kita untuk berziarah pada ketika itu. Mungkin saja pada ketika itu, tuan rumah tiada di rumah atau jika ada sekalipun, ada urusan yang perlu ditanganinya sehingga menyukarkannya menerima tetamu. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 28, Surah An-Nur bermaksud, “Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” Dan ini disokong oleh satu hadis yang diriwayatkan Abu Musa al-Asyari r.a, “Jika salah seorang daripada kamu meminta izin sebanyak 3 kali tetapi tidak diizinkan, maka hendaklah kamu kembali.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sumber:

1. Choiriyah, Ummu Insan. (2010). Adab Meminta Izin. https://almanhaj.or.id/2847-adab-meminta-izin.html

2. Ustaz Datuk Dr Mohd Izhar Mohd Kashif. (2015). Bismillah. TV3.

3. Ustaz Datuk Badlishah Alauddin. (2013). Cinta Ilmu: Fiqh Syariah. TVAlhijrah.

4. Sunnah.com. The hadith of Prophet Muhammad pbuh (s.a.w) at your fingertips. sunnah.com

Comments

comments

Previous articleMakanan Perang Orang Melayu
Next articleTakbir Raya Pertama Dalam Islam
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here