Teknologi Dalam Peperangan Purba

0
1528
views

“War is a vital matter of state. It is the field on which life or death is determined and the road that leads to either survival or ruin, and must be examined with the greatest care.~ Sun Tzu.

Dalam tamadun barat, sesebuah peperangan itu dianggap sebagai salah satu daripada agent kemajuan di mana social order atau kestabilan sosial bakal diperoleh setelah satu pihak itu menang. E.H Carr dalam bukunya pernah menyatakan bahawa peperangan menjadi salah satu faktor terbesar dalam membentuk suatu ketamadunan manusia sama ada ianya disedari atau tidak dan ianya menentukan arus perkembangan sejarah sesebuah tamadun.

Menurut Robert Harisson dalam buku “Warfare”, sejarah peradaban manusia adalah penuh dengan kisah-kisah peperangan dan wira yang sering disanjung oleh masyarakat adalah pahlawan yang memenangi peperangan. Walaupun terdapat ramai lagi wira-wira dalam bidang lain namun wira peperangan paling disanjung walaupun individu tersebut telah mati, contohnya di negara kita seperti, Pahlawan Mat Kilau dan Dato’ Bahaman yang pernah berjuang dalam peperangan membebaskan tanah air dari penjajah British.

Sejak zaman klasik lagi manusia telah terlibat dalam peperangan. Orang Yunani banyak mencatatkan sejarah peperangan di sepanjang perkembangan tamadun mereka. Peperangan seakan-akan menjadi perkara yang wajib bagi mengembangkan kuasa, kebudayaan atau pengaruh. Terutamanya bagi tamadun Negara Kota Yunani Sparta yang banyak mengamalkan dasar ketenteraan.

Sesetengah ahli sejarah purba memberikan pendapat bahawa pada zaman kegemilangan tamadun Yunani, mereka menggunakan teknologi peperangan yang agak canggih dan terkedepan disebabkan mereka mempunyai bilangan tentera yang sedikit berbanding dengan musuh-musuh mereka. Atas alasan ini mereka terpaksa mencari jalan agar peperangan yang dihadapi dapat dimenangi, dan penyelesaiannya ialah dengan menggunakan teknologi dan taktik yang lebih superior berbanding musuh mereka.

Sebagai contohnya peperangan dengan Parsi yang mempunyai bilangan tentera yang jauh lebih besar telah memaksa Negara Kota Yunani berbuat helah. Dalam peperangan ini, Leonidas yakni raja bagi Negara Kota Sparta telah menggunakan taktik dan strategi yang amat bijak dalam menghadapi serangan tentera Parsi pimpinan Maharaja Xerxis. Leonidas telah mengumpan tentera Parsi yang besar jumlahnya itu ke sebuah kawasan berbukit yang sempit dan curam bernama Thermopylae.

Kejadian ini berlaku pada tahun 430 sebelum Masihi.

Taktik yang digunakan oleh Leonidas ini berjaya memperlambat serangan tentera Xerxis ke atas Kota Sparta dan sekali gus membunuh ramai tentera Xerxis walaupun akhirnya Sparta kalah dan dimusnahkan. Kemudiannya, bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang, kerajaan-kerajaan Negara kota Yunani telah mencipta dan menggunakan teknologi-teknologi ketenteraan yang berbentuk ofensif dan defensif. Akhirnya terbentuklah pasukan ketenteraan Yunani yang lengkap berpakaian baju besi tebal dan berat yang melebihi 70 pound dengan membawa lembing yang sangat panjang serta pedang yang lebih baik buatannya daripada tentera Parsi.

Inovasi ini menyebabkan mereka dapat memenangi peperangan yang dihadapi kemudiannya. Namun demikian, teknologi ketenteraan tersebut juga telah membawa kepada perpecahan di kalangan kesatuan Negara Kota Yunani dan menyebabkan berlakunya perang saudara. Dalam peperangan Peloponesia (431-04SM) misalannya, teknologi memainkan peranan yang amat penting. Tentera Athens dalam peperangan ini telah menubuhkan tentera laut bagi mengimbangi kekuatan tentera darat yang terdapat di Sparta yang menjadi musuh mereka. Athens juga telah membina kota batu yang amat kukuh yang dapat menghalang serangan darat.

Tentera Rom juga dilihat telah memperbaharui teknologi ketenteraan mereka sepanjang lembaran sejarah Tamadun Rom. Di atas alasan ini mereka dapat membentuk pasukan tentera yang paling baik di dunia purba. Sebagai contohnya pada peringkat awal, tentera Rom menggunakan perisai yang berbentuk bulatan seperti mana kaum-kaum Yunani. Namun mereka telah memperbaiki teknologi pembuatan perisai mereka dan mengkaji gerak-geri musuh dan menghasilkan perisai baru yang berbentuk segi empat sama yang melengkung. Perisai jenis ini ternyata lebih berkesan untuk menangkis serangan musuh terutama yang menggunakan lembing dan panah.

Organisasi ketenteraan Yunani pada zaman kuno adalah berasaskan kepada pembentukan sistem Hoplite. Perkataan Hoplite adalah diambil daripada perkataan Hoplon atau perisai yang digunakan oleh tentera Yunani pada masa ini. Hoplite terdiri daripada warga Negara sesebuah Negara Kota yang kebanyakannya sama taraf dalam hierarki sosial. Seseorang jeneral dalam Hoplite akan dipilih melalui pengundian setiap satu tahun sekali. Majlis perhimpunan rakyat akan mengadakan perjumpaan bagi melaksanakan sesuatu keputusan untuk berperang, tarikh bagi melaksanakan peperangan dan di mana peperangan akan dilancarkan.

Dalam peperangan, sekumpulan Hoplite akan menggunakan satu bentuk susunan tentera yang dinamakan Phalanx. Seorang Hoplite bertanggungjawab menggunakan perisainya bagi melindungi bahagian kiri badannya dan sekali gus melindungi bahagian kanan badan Hoplite di sebelahnya. Oleh kerana itu sesebuah ketumbukan Phalanx itu hanya dapat memberikan impak yang hebat dan berkesan sekiranya setiap satu daripada Hoplite yang terdapat di dalamnya tidak mati atau jatuh jika tidak, akan wujud ruang kelemahan yang dapat menghancurkan seluruh Phalanx tersebut. Pasukan Phalanx ini menunjukkan bahawa pembentukan organisasi ketenteraan Yunani adalah berasaskan kepada hubungan sesama warganegara yang amat kuat dan semangat setia kawan.

Dalam tamadun Mesir purba teknologi dan inovasi ketenteraan juga menjadi suatu faktor penting dalam perkembangan tamadun tersebut. Perubahan besar dalam teknologi persenjataan dan ketenteraan Mesir purba berlaku sekitar 1600 SM apabila orang-orang Mesir purba berjaya menghalau dan mengalahkan orang Hyksos ( Bangsa Semitik) yang menjajah mereka. Daripada orang-orang Hyksos ini mereka telah belajar cara membuat dan menggunakan Chariot atau kereta kuda dalam perang. Selain itu mereka juga telah belajar membuat senjata baru seperti Kopis atau pedang sabit, baju perisai serta teknologi untuk menempa gangsa yang lebih bagus. Tentera Mesir purba tidak mengguakan senjata yang diperbuat daripada logam besi sehinggalah sekitar 712-332 SM. Sebelum itu semua senjata logam yang digunakan adalah diperbuat daripada gangsa.

Mereka berperang tidak berbaju dan menggunakan perisai dari kulit lembu, lembing, tombak, panah dan cokmar serta pisau. Setelah mereka berhadapan dengan pelbagai musuh dari luar seperti orang Mittani, orang Libya, orang Hyksos serta orang-orang Hittite maka teknologi persenjataan dan ketenteraan mereka semakin berubah. Hal ini kerana orang Mesir banyak meniru dan menyerap teknologi ketenteraan musuh mereka. Sebagai contoh, setelah Mesir purba berhadapan dengan orang-orang Hittites, mereka telah mengadaptasi teknologi Chariot yang lebih laju dan lebih stabil. Mereka juga telah mula menggunakan kapak perang serta pedang lurus yang ditiru daripada pedang tentera Hittites.

Inovasi dan penyerapan teknologi ketenteraan musuh ini berlaku dalam semua tamadun dunia. Orang Monggol dalam usaha mereka untuk menawan separuh daripada dunia telah menyerap banyak teknologi ketenteraan daripada orang China dan orang Islam dari Negara-negara Asia Tengah seperti Samarkhand dan Parsi. Orang Melayu juga telah menyerap teknologi senjata api daripada tamadun Asia Barat dan Tamadun China. Begitu juga dengan Tamadun Korea dan Jepun yang turut menyerap dan memperbaharui teknologi senjata mereka hasil daripada bertembung dengan Tamadun China. Orang Barat pula mula mempelajari cara membuat senjata api daripada orang-orang Islam atau Arab.

Begitulah sedikit sebanyak catatan tentang peri pentingnya inovasi dan teknologi dalam ketenteraan pada zaman dahulu. Malah kerana adanya inovasi dan perkembangan teknologi dalam bidang ketenteraan maka wujudnya penciptaan senjata api yang kemudiannya menjadi titik tolak kepada era baru dalam peperangan dan perluasan kuasa di seluruh dunia termasuk dalam tamadun Melayu. Dapat kita lihat juga bahawa peperangan bukanlah 100% memberikan impak yang negatif kepada manusia, tetapi dalam banyak hal dalam sejarah dunia, ia merupakan satu peristiwa yang menjadi pemangkin kepada perkembangan dan penyebaran tamadun itu sendiri. Namun ini tidak bermasud bahawa peperangan dan pembunuhan itu sesuatau yang baik. Kerana banyak jiwa dan raga yang terkorban dan merana akibat daripada perang. Sekian. Wallah hua’lam.

~ASJ~

Sumber:

• Wan Azmi Ramli (trjmh), Seni Peperangan, Sun Tzu, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia, KL, 1993.

• Robert Harrison, University of Wisconsin Milwaukee, Warfare,, burgess Publishing Company, Minneapolis, Minnesota, USA, 1973.

• E.H.Carr, What Is History? London, 1962, Sila rujuk bahagian pengenalan buku ini.

• Robert Harrison, Warfare, burgess publishing company. Minneapolis, Minnesota. USA, 1973.

• Ed. Lester Kurtz, Encyclopedia of Violence, Peace, and Conflict, San Diego, Academic Press, 1999: Volume 2.

• John William Humphrey, Greek And Roman Technology: A Sourcebook: Annotated Translations Of Greek And Latin Text And Document, Routledge, 1998.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here