Perang 100 Tahun Di Eropah

0
3364
views

Antara babak-babak hitam dalam fasa zaman kegelapan eropah, adalah tidak lengkap kalau tidak berbicara tentang sebuah fasa perang yang berlaku selama 100 tahun yang melibatkan dua buah negara di Eropah iaitu England dan juga Perancis. Perang ini dipanggil sebagai perang 100 tahun kerana berlaku selama 116 tahun, bermula pada tahun 1337 Masihi dan tamat secara rasmi pada 1453 Masihi.

Yang menariknya mengenai perang yang antara faktor menjerumuskan lagi eropah ke zaman kegelapan ialah ianya berlaku selama pemerintahan lima orang raja yang memerintah kedua-dua kerajaan ini. Terdapat beberapa fasa dalam perang ini di mana seperti yang digariskan di bawah:

1. Fasa Edwardian (1337 – 1360 Masihi)
2. Fasa Caroline (1415-1429 Masihi)
3. Fasa Lancastrian (1415-1429 Masihi)

Baik, sebelum kita melangkah lebih jauh dalam membincangkan tentang topik ini, maka kata saya perlunya saya untuk menggariskan faktor-faktor yang menjerumuskan perang ini. Sebuah perang tidak akan berlaku tanpa ada faktor-faktor yang menggerakkannya. Hanya orang gila sahaja yang berperang tanpa tujuan.

I. Perebutan Wilayah Flanders

Wilayah Flanders ketika ini telah menjadi sebagai pusat perindustrian di Eropah Utara (kini dalam wilayah Belgium, dan banyak kota-kota hebat di Belgium berada di dalam wilayah ini seperti Brussels). Sumber ekonomi yang menjadikan Flanders menjadi sebuah wilayah yang sangat kaya raya ialah sumber ekonomi pengeluaran kainnya.

Wilayah Flanders pula dicatatkan berdagang dengan England demi menampung keperluannya mendapatkan bulu kambing-kambing biri-biri demi penghasilan kainnya. Perniagaan ini pula sangat penting buat England kerana secara sudah menjadi tradisi di England di mana masyarakatnya menjadikan wain dan beer sebagai sumber utama pemanas badan terutama pada waktu musim sejuk.

Namun pokok anggur yang menjadi kepada sumber minuman terutama wain tidak dapat ditanam di England dan mahu mendapatkan bekalan wain yang mencukupi, maka England akan melakukan pertukaran dengan wilayah Flanders dengan bulu kambing biri-birinya.

Malangnya raja Perancis ketika itu, mahu menguasai wilayah Flanders yang disifatkan sebagai kaya raya. Ini membuatkan pedagang England berasa terancam. Yalah, mahu ke Flanders pun terpaksa melalui kawasan utara Perancis, ini lagikan pula wilayah Flanders itu berada di bawah penguasaan Perancis. England tentu tidak boleh membenarkan perkara ini berlaku.

II. Kita boleh simpulkan juga perselisihan politik sebagai faktor yang turut mengheret kepada Perang 100 Tahun ini. England dan Perancis, sehingga hari ini boleh dianggap sebagai rival. Rivalry antara dua negara ini sebenarnya bermula sejak zaman pertengahan lagi. Antara sebabnya ialah pertindihan kawasan taklukan.

Hasrat utama Raja Perancis menyatukan seluruh wilayah terbantut dek penguasaan England di sebuah wilayah yang bernama Gascony yang terletak di Selatan Perancis, kira-kira bersempadan dengan Sepanyol hari ini. Dalam masa yang sama pulak, England sentiasa tidak berpuas hati dengan Perancis yang begitu baik menjalankan hubungan dengan Scotland yang begitu diidamkan oleh raja England untuk dimasukkan ke dalam wilayah penguasannya.

III. Selepas kemangkatan Charlex IV, anak kepada Raja Philip The Fair menyebabkan Perancis tidak mempunyai waris lelaki. Raja Philp pula mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Isabelle dan anak perempuannya ini pula telah berkahwin dengan Raja Edward II daripada England.

Ketika itu, di Perancis, parlimennya telah menggubal undang-undang yang menghalang perempuan menaiki takhta manakala mereka tidak mengiktiraf Edward II sebagai seorang raja kerana pertaliannya dengan England. Mereka telah membelakangi Edward II dengan melantik anak saudara Raja Philip iaitu Philip Of Valois. Ini telah membuatkan Edward menuntut haknya ke atas takhta Perancis.

Baik, sekarang kita sudah jelas akan tiga faktor paling kuat yang dipercayai sebagai batu loncatan kepada permulaan babak-babak yang saya kira antara fasa menarik dalam sejarah eropah. Maka sekarang sudah tiba untuk kita menghadam setiap fasa dan peringkat dalam Perang 100 Tahun ini secara kronologi untuk memudahkan lagi pemahaman kita tentang apa sebenarnya yang berlaku selama 100 tahun konflik di Eropah.

Wow! Seratus Tahun berperang, itu bukan tempoh yang pendek kerana Perang Dunia Pertama dan Kedua pun tidak berlaku selama itu!

i. Fasa Edwardian (1337-1360 Masihi)

Perang pada fasa pertama ini bermula apabila tahun 1304 Masihi di Pertempuran Sluys. Raja Edward III daripada England telah memimpin 120 – 150 buah kapal menyerang armada kapal Perancis yang dipimpin oleh Hugues Quieret dan juga Nicolas Becuchet yang membawa 190-213 buah kapal.

Dalam pertempuran ini, sejarawan berbeza pendapat tentang kehilangan di pihak Perancis (ada yang memetiK dalam 16-18 ribu manakala ada yang lebih berani dengan membawa angka 20 ribu orang tentera Perancis). Namun yang penting, dalam pertempuran ini juga, England telah memenanginya.

6 Tahun kemudian, sekali lagi Edward menceroboh Perancis dan menakluk beberapa kawsan Perancis demi melakukan penjarahan dan juga penaklukan. Namun tidak seperti Pertempuran Sluys, kali ini Peracis lebih bersedia.

Dalam Pertempuran Crecy, dicatatkan bahawa Raja Edward III bersama anaknya Edward The Black Prince telah memimpin antara 9000 hingga 12 000 orang askar melawan 30 ribu orang hingga 100 ribu orang tentera Perancis.

Pertempuran ini boleh disimpulkan dengan ketika pendaratan Edward III ke wilayah Perancis, Raja Philip VI dari Perancis telah mengejar dan berjaya mendahului pasukan Edward. Namun berkat kehebatan pemanah Inggeris dan Wales yang dibawa dalam pertempuran ini, akhirnya Philip VI terpaksa mengalah dan mengakibatkan kemenangan sekali lagi buat England. Hanya sekitar 100-300 orang tentera England yang mati manakala Perancis kehilangan lebih kurang 2000 orang tentera serta banyak tenteranya dijadikan tawanan perang oleh England.

Rentetan dari pertempuran di fasa pertama ini, menyaksikan banyak lagi pertempuan lebih berpihak kepada pihak England. Sebagai contoh, antara yang dikenang ialah kemenangan England di Pertempuran Poiters di mana England yang membawa lebih kurang 3000 orang askar berjaya mengalahkan tentera Perancis yang ketika itu membawa lebih kurang 8000 orang askar.

Namun kelebihan askar yang menandingi tentera England tidak membantu langsung kekalahan mereka. Dicatatkan bahawa Perancis kehilangan lebih kurang 2500 orang tentera, manakala 2000 lagi dijadikan sebagai tawanan perang.

Selepas itu rentetan demi rentetan menghiasi fasa Edwardian ini sehinggalah peristiwa Death Black melanda Perancis dan kepenatan akibat kekalahan daripada banyak pertempuran memaksa Perancis menandatangani Peace Of Breatigny pada tahun 1360 Masihi sekaligus menamatkan fasa pertama dalam Perang 100 Tahun dengan keputusan England memperoleh wilayah Calais yang terletak di Utara Perancis.

ii. Fasa Caroline (1369 – 1389 Masihi)

Kalau dalam Fasa Edwardian, jelas bahawa England mencatatkan kemenangan . Namun jelas dalam fasa kedua ini, kelihatan seperti rentak bertukar arah kepada Perancis di bawah pimpinan Charles V. Perancis tidak memilih untuk bertempur secara penuh sebaliknya membiarkan England menyerang dahulu dan barulah mereka mula menyerang.

Dalam fasa kedua ini, Betrand Du Guesclin telah menasihati raja Charles V agar tidak menghadapi England dalam pertempuran secara penuh atau berdepan sebaliknya menggunakan taktik seperti menyerang kota-kota yang ditakluk oleh England lalu melarikan diri sebelum sempat tentera England sampai. Beberapa kali England cuba memaksa Perancis untuk turun bertempur secara penuh namun semuanya dielak oleh Du Guesclin.

Saya juga melihat bahawa di Nusantara, Fabian Tactic ini turut digunakan oleh Laksamana Hang Nadim menentang Portugis yang lebih superior dari tentera Johor ketika itu.

Lagipun ketika fasa kedua ini, England telah kehilangan dua watak penting dalam Fasa Edwardian dahulu. Raja Edward III ketika pula sudah semakin tua manakala anaknya, Black Prince pula sedang sakit tenat Komander tentera England iaitu John Chandos pula terbunuh telah meninggalkan kesan yang lebih mendalam pada England.

Dalam fasa kedua ini, penguasaan England ke atas pertempuran laut juga beralih arah kepada Perancis apabila mereka kalah teruk dalam Pertempuran La Rochelle. Ini telah memaksa England menandatangi Treaty Of Bruges.

iii. Fasa Lancastrian (1415 – 1435 Masihi)

Perang 100 Tahun diteruskan lagi oleh England yang ketika itu dibawah pemerintahan Henry V telah menyerang Perancis. Pertempuran ini dikenali sebagai Pertempuran Agincourt di mana Henry V telah memimpin lebih kurang 6 – 9 ribu orang askar melawan 12-36 ribu orang tentera Perancis. Dalam pertempuran ini, Pihak England yang ketika itu hanya kehilangan 112 orang manakala Perancis pula kehilangan lebih kurang 7-10 ribu orang.

Kemenangan Raja Henry V telah membuatkan Perjanjian Troyes termeterai manakala hampir seluruh wilayah Perancis berada di bawah pemerintahan Raja Henry V.

Raja Perancis ketika itu telah mengisytiharkan anak lelakinya Dauphin sebagai pemangku dan pengganti Henry di Perancis. Raja Henry kemudian berkahwin dengan anak perempuan Raja Perancis iaitu Catherine namun dengan syarat nanti anak itu akan menjadi raja Perancis.

Ini telah mengheret kepada sebuah lagi konflik apabila Dauphin berasa tidak puas hati lalu mengetuai askar Perancis untuk berperang sekali lagi dengan England. Namun peringkat awal perang ini, England telah berjaya mengalahkan Peranciis dengan menguasai bandar dan kubu-kubu utama di sekitar kawasan sungai.

Namun sekali lagi medan pertempuran bertukar arah apabila munculnya seorang gadis bernama Joan Of Arc yang telah membawa kembali Perancis memenangi peperangan ini. England kemudian menerima bala buruk apabila orang Burgundy pula telah berpaling tadah daripada England lalu memihak kepada Perancis.

Jadi melalui pakatan Perancis dan Burgundy ini, satu persatu wilayah Perancis yang sebelum ini berada di bawah England telah jatuh persatu-persatu ke dalam tangan Perancis semula. Kemuncaknya dalam Pertempuran Castillon di mana kira-kira 6-10 ribu orang tentera England kalah kepada 7-10 ribu orang tentera Perancis, sekaligus menamatkan perang 100 dan Fasa Lancastrian dimenangi oleh Perancis.

Kesan-kesan yang boleh kita teliti daripada Perang 100 Tahun adalah seperti berikut:

a.) England Ke Arah Raja Berperlembagaann
b.) Perancis Ke Arah Sistem Beraja Mutlak
c.) Bahasa Inggeris Mula Mengambil Alih Sebagai Bahasa Rasmi Di England

Kesimpulan

Apa yang kita boleh pelajari daripada sejarah ini ialah perang sebenarnya mengakibatkan banyak kemusnahan daripada kebaikan. Kadang-kadang, ramai yang menjadi korban hanya kerana mahu memenuhi nafsu raja yang memerintah. Tetapi dalam Perang 100 tahun itu, disebalik kemusnahan dan kematian jiwa, ianya turut meninggalkan semangat kebangsaan yang tinggi dalam kalangan rakyat England dan Perancis dan mewujudkan rivalry seperti yang kita lihat hari ini antara England dan Perancis.

-HE-

Sumber Rujukan:

1. Mohammad Kamal Kamaruddin. (2009) Sejarah Eropah. Pearson Malaysia Sdn Bhd.

2. Europe: A History. (1996) Oxford University Press

3. Bryan Perret. (1992) The Battle Book. Arms and Armour Press.

4. http://www.history.com/topics/hundred-years-war

Comments

comments

Previous articleGugurnya Perwira Negara Di Bumi Somalia 1994
Next articleKebangkitan Ajaran Kristian Di Eropah
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here