Kimi No Nawa: Ahli Falsafah Dan Rama-rama

0
3431
views

Semalam ada kawan tanya aku dah tonton cerita ‘Kimi No Na Wa‘ ke belum, aku jawab dah lama tengok. Tapi lepas tonton lama dulu aku tak tahu nak ulas apa. Anime ini memang meletup dan mendapat kutipan untung yang tinggi pada peringkat global.

Semalam aku tidur lambat sikit, lebih kurang pada pukul 2.00 pagi. Sebelum tidur, aku tiba-tiba teringat fasal seorang ahli falsafah China pada Zaman Peperangan dahulu, iaitu Zhuang Zhou (369SM – 286SM). Setiap tamadun mempuyai zaman keemasan intelektualnya, dan zaman keemasan intelektual Tamadun China adalah ketika Zaman Peperangan. Zaman kerajaan-kerajaan China berpecah sebelum tertubuhnya Dinasti Qin.

Pada Era Peperangan tersebut, seratus sekolah pemikiran (Hundred School of Thought) yang ditubuhkan termasuklah Confuciusism, Legalism, Mohism, Taoism dan lain-lain. Antara faktor berkembangnya pemikiran ini adalah setiap pemerintah di China pada masa itu mengambil bijak-pandai sebagai penasihat mereka. Daripada situ muncullah pelbagai bentuk pemikiran dan falsafah mengenai peperangan, diplomasi dan politik.

Zhuang Zhou telah mengarang puisi yang dikenali sebagai ‘Zhuangzi’ yang memberikan perhatian kepada beberapa buah perkara.

 

1. Ahli Falsafah dan Rama-rama.

Dalam puisi tersebut ada tertulis, “Pada suatu hari, aku, Zhuang Zhou telah bermimpi aku ialah seekor rama-rama berterbangan ke sana-sini. Aku menyedari kebahagiaan aku sebagai seekor rama-rama sehingga aku tak sedar yang aku adalah seorang Zhuang Zhou. Apabila aku bangun dari tidurku, aku keliru sama ada aku adalah manusia yang bermimpi sebagai rama-rama ataupun rama-rama yang bermimpi sebagai manusia.

Ini adalah salah satu bentuk fahaman skepticism. Dalam anime Kimi No Na Wa, telah berlaku pertukaran badan antara Mitsuha dan Taki pada waktu mereka tidur. Pada peringkat awal mereka menyangkakan ia adalah sebuah mimpi. Seperti yang berlaku pada Zhuang Zhou yang lebih bergembira menjadi seekora rama-rama, dalam anime ini, Mitsuha lebih gembira menjadi seorang Taki dan Taki pula gembira menjadi seorang Mitsuha.

Tafsiran terhadap mimpi Zhuang Zhou memberikan maksud bahawa tidak dapat nak membezakan mana satu realiti yang sebenar. Seperti yang pernah disebut oleh Descartes, tiada piawaian asas untuk membezakan antara waktu sedar dan waktu tidur.

Tidak lama selepas itu, barulah Mitsuha dan Taki menyedari yang mereka telah bertukar tubuh badan dan mula berkomunikasi melalui nota-nota yang dititipkan pada telefon bimbit masing-masing.

Selepas itu, yang menariknya pada babak klimaks cerita, mereka mula meragui kewujudan masing-masing. Taki meragui kewujudan Mitsuha dan Mitsuha meragui kewujudan Taki. Mereka juga mula meragui kewujudan segala apa yang berlaku ketika mereka bertukar badan.

Di sini, Zhuang Zhou ada menyebut, “Bagaimana aku mahu tahu kegembiraan itu bukan sebuah delusi?

Menunjukkan seolah-olah apa yang Taki dan Mitsuha lalui hanya sebuah kegembiraan dan delusi sementara melalui pertukaran badan. Pada waktu mereka menganggap pertukaran badan itu sebagai hal yang tak mustahil berlaku, mereka mula meragui hal itu pernah berlaku bila pertukaran badan itu tidak berlaku lagi dan masing-masing telah lupa dengan pasangan mereka. Malah, nama pasangan mereka sendiri.

Terdapat satu babak, Taki mula menyedari sebenarnya dia telah tertukar badan dengan orang yang telah mati (Mitsuha) pada tiga tahun yang lalu. Pada tiga tahun yang lalu, Mitsuha pula pernah tertukar badan dengan Taki tetapi Taki tidak ingat akan perkara itu. Hal ini dibuktikan sewaktu Mitsuha mahu berjumpa dengan Taki di Jepun, Taki tidak pernah ingat akan kewujudan Mitsuha. Mitsuha mula meragui tentang apa yang dilaluinya.

Inilah bentuk-bentuk skepticism yang berlaku pada Taki dan Mitsuha tentang realiti dan kegembiraan yang mereka lalui.

 

2. Kenapa kita terlupa selepas bermimpi?

Dalam anime ini menerang beberapa sifat mimpi, yang paling utamanya adalah mimpi yang memberitahu apa akan berlaku dan kenapa kita terlupa dengan apa yang kita mimpi. Mimpi adalah perkara yang sukar untuk dibuat penyelidikan dan telah membina pelbagai hipotesis dalam suatu subjek.

Dalam anime ini, Taki dan Mitsuha tidak terlupa yang mereka tertukar badan. Malah mereka merasakan bertukar badan itu bukanlah mimpi semata-mata sehinggalah pada babak klimaks sewaktu mereka perlahan-lahan terlupa dengan nama pasangan mereka dan sudah tidak bertukar badan lagi. Hal ini ditambah lagi apabila Taki tidak dapat menghubungi Mitsuha beberapa kali.

Kita selalunya terlupa apa yang kita mimpi kerana hormon norepinephrine tidak hadir dalam cerebral cortex pada otak. Cerebral cortex adalah bahagian otak yang memainkan peranan dalam ingatan, pemikiran, bahasa dan kesedaran. Walau bagaimanapun ia tidak memberikan penjelasan sepenuhnya kenapa kita terlupa dengan mimpi-mimpi kita.

Hipotesis kehadiran hormon norepinephrine diusulkan kerana kehadiran hormon tersebut telah meningkatkan daya ingatan seseorang.

3.  Ramalan Kendiri Sempurna (Self-Fulfilling Prophecy)

Saintis menolak sebarang bentuk pra-kognisi (precognition), iaitu visi kejadian yang bakal berlaku melalui mimpi. Tetapi saintis tidak menafikan perkara itu terjadi pada sesetengah individu. Jadi mereka mengusulkan beberapa hipotesis. Antaranya adalah ramalan kendiri sempurna (self-fulfilling prophecy). Aku pilih hipotesis ini sebab ia lebih dekat dengan Kimi No Na Wa.

Dalam anime ini, Taki menyedari dia tidak dapat menghubungi Mitsuha kerana Mitsuha telah mati. Entah tak tahu magik apa yang digunakan, Taki bertukar badan dengan Mitsuha pada tiga tahun yang lalu pada waktu sebelum letupan di kampung Mitsuha berlaku.

Babak-babak pertukaran badan antara dirinya dan Mitsuha membuatkan Taki sendiri ia adalah sebuah mimpi untuk menyelamatkan Mitsuha pada masa lalu.

Situasi Taki mungkin tidak kelihatan seperti apa yang aku nak jelaskan sebab kejadian yang dihadapi oleh Taki terlalu realiti untuk kelihatan samar-samar.

Konsep ramalan kendiri sempurna ini lebih kurang macam kesan Placebo (Placebo Effect) iaitu kepercayaan ataupun imaginasi yang kau hanya yakin betul, selepas itu ia dibawa ke pemikiran dan seterusnya tindakan. Konsep Law of Attraction menggunakan kesan Placebo. Malah dalam perubatan pun menggunakan konsep yang sama.

Dalam perubatan, keyakinan pesakit (demam contohnya) akan mengubah psikologi dan kekuatan tubuhnya walaupun doktor hanya memberikan gula-gula yang disangka ubat demam. Orang yang berimaginasi berfikiran positif akan mendatangkan hal positif, akan memberikan optimism dalam dirinya apabila melihat hal-hal yang buruk. Sebenarnya hal positif tak datang pun, cuma dia membina ‘realiti positif’ itu sendiri.

Maka, apa yang berlaku pada Taki bukanlah suatu bentuk khayalan atau imaginasi tentang kemusnahan kampung Mitsuha. Tetapi sebelum Taki mememui kejadian itu benar-benar berlaku, Taki merasakan ia hanya suatu bentuk ‘self-fullfilling prophecy‘ yang dibina dalam dirinya. Kita boleh lihat babak ini sewaktu Taki hampir tidak menemui kewujudan kampung Mitsuha.

 

Zamir Mohyedin

Comments

comments

Previous articleApa Kata Ulama Islam Tentang Belajar Sejarah Melayu?
Next articleKenali Kelab Taha
Zamir Mohyedin sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang fizik. Telah menerbitkan karya-karya fizik, sejarah dan falsafah. Selain dalam penyelidikan, beliau juga terlibat dalam penulisan, penterjemahan dan penyuntingan manuskrip. Berminat dalam bidang sains, falsafah, sejarah dan psikologi.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here