Titan: Satelit Semula Jadi Terbesar Zuhal

0
1045
views

Pada tanggal 21 Julai pada tahun 2010, prob angkasa Cassini-Huygens melaksanakan lintasan keatas Titan pada jarak 880 kilometer, jarak paling dekat prob angkasa tersebut menghampiri satelit semulajadi terbesar Zuhal.

Jika artikel lepas mengenengahkan Enceladus, kali ini Titan mendapat tempat utama dalam siri kosmik kita.

Foto yang dikepilkan kali ini adalah paparan mozek radar dari prob angkasa lepas Cassini-Huygens yang mencerap kawasan kutub utara Titan dan memperlihatkan pantulan radar yang lebih rendah yang diwarnakan dengan warna biru gelap memberikan indikasi kehadiran laut dan tasik besar yang terdiri dari bahan hidrokarbon seperti methana, ethana dan nitrogen terlarut yang dipanggil Kraken Mare dan Ligean Mare.

Saya pasti kalangan kita kurang tahu mengenai Titan, satelit terbesar planet Zuhal dan satu-satunya satelit semula jadi dalam sistem sistem suria yang mempunyai atmosfera seakan sebuah planet dan kehadiran jasad cecair yang stabil diluar planet Bumi. Jika anda tahu mengenai Titan dan penemuan epik oleh ekspedisi prob angkasa Cassini – Hyugens, maka anda adalah seorang peminat tegar saluran Discovery….

Titan mula ditemui oleh ahli astronomi Christiaan Huygens, seorang rakyat Belanda pada tahun 1655 dan cerapan keatas Titan bagi mengetahui bentuk permukaannya terhalang disebabkan kewujudan atmosfera yang sangat tumpat dan mempunyai kandungan nitrogen yang sangat tinggi, satu-satunya objek angkasa selain Bumi yang mempunyai atmosfera dengan komposisi sedemikian.

Ekplorasi ke Titan bermula ketika siri ekspedisi prob angkasa Pioneer yang pertama kali mencerap Titan, dan diikuti Voyager pada era 80an, yang mana ia memberikan gambaran awal mengenai satelit tersebut tetapi data yang dipancarkan kembali ke Bumi adalah sangat terhad.

Ekspedisi Cassini-Huygens bakal merubah tanggapan kalangan komuniti saintifik keatas Titan dan merubah pola pemikiran pemburu planet ekstrasolar mengenai komposisi atmosfera dan rupa bentuk topografi planet.

Cassini-Huygens mula menghampiri Zuhal pada tahun 2006, dan cerapan keatas Titan dengan menggunakan radar dan juga mengambil beberapa siri foto resolusi tinggi yang memberikan gambaran jelas satelit misteri ini.

Komposisi atmosfera Titan adalah terdiri dari 98.4% nitrogen dengan 1.6% komponen kecil yang terdiri dari methana serta hidrogen, dengan pecahan unsur hidrokarbon, seperti ethana, diacetylene, methylacetylene, acetylene and propana, dan gas gas lain, seperti cyanoacetylene, hidrogen sianida, karbon dioksida, karbon monoksida, cyanogen, argon dan helium dengan sistem cuaca yang terdiri dari fenomena hujan dan tiupan angin, membentuk topografi permukaan yang mirip seperti Bumi dengan kewujudan bukit pasir, sungai serta tasik dan juga lautan yang terbentuk dari methana dan ethana cecair. Atmosfera Titan adalah 2 kali ganda lebih tebal dari atmosfera Bumi dan ini adalah antara penyebab cerapan keatas topografi satelit semula jadi ini sukar dibuat sebelum ekspedisi Cassini-Hyugens.

Titan mempunyai diameter 5150km, sedikit besar dari planet Utarid dan Bulan.

Komposisi permukaan Titan terdiri dari lapisan batuan dan ais, diikuti lapisan sub permukaan yang terdiri dari jasad cecair dengan teras hidro-silika.

Suhu di permukaan Titan boleh mencecah -172.9 darjah Celcius, dengan hujan yang terbentuk dari methana hasil dari kelompok awan yang mengandungi unsur tersebut.

Permukaan Titan pula mempunyai topografi geologi pelbagai, dari lautan hidrokarbon, terusan terusan yang menyambung lautan ini ke tasik tasik hidrokarbon besar, kesan hakisan oleh angin, kawasan pergunungan dan tanah landai dengan kesan hentaman objek angkasa yang amat minimal.

Lautan dan tasik hidrokarbon di Titan tertumpu di kawasan kutub, namun ia juga wujud dikawasan lebih kering seperti di garisan Khatulistiwa dengan tasik hidrokarbon wujud sebesar tasik garam besar di Utah, Amerika Utara.

Lautan methana seperti Ligae Mare mempunyai isipadu methana yang cukup untuk memenuhi Tasik Michigan di Amerika Utara sebanyak tiga kali, dan hasil cerapan prob angkasa Cassini memberikan indikasi yang lautan ini mempunyai kedalaman lebih dari 200m.

Aktiviti cryovolcanic juga berlaku di Titan dimana magma yang terdiri dari air dan ais terbentuk akibat fenomena pasang surut yang berlaku akibat tarikan graviti Zuhal keatas Titan, seperti yang berlaku pada Enceladus dan juga Europa di dalam sistem Jovian.

Aktiviti cryovolcanic ini juga memberikan petanda besar yang wujudnya lautan sub permukaan dengan kuantiti air yang sangat banyak dibawah lapisan batuan dan ais Titan.

Pada Disember 2004,prob pendarat Hyugens dipisahkan dari Cassini dan melaksanakan pendaratan pertama di permukaan Titan bagi melaksanakan cerapan insitu terhadap permukaan satelit Saturnian tersebut. Foto pertama dari permukaan Titan memberikan gambaran yang keadaan Titan adalah kering, dengan batuan yang terdiri dari ais hidrokarbon dan air serta kesan-kesan hakisan akibat aktiviti fluvial berlaku di situs pendaratan prob pendarat tersebut.

Hyugens mencatatakan suhu permukaan pada -179.2 darjah celsius, dengan tekanan atmosfera sehingga 1467.6 milibar, dan kelembapan relatif sehingga 50 peratus, selain ia mencatatkan kelajuan angin sepoi sepoi bahasa di permukaan dan angin berkelajuan tidak menentu pada altitud 60km – 80km dan pada altitud 150km dari permukaan, angin mencecah kelajuan sehingga 400km/j.

Suasana dipermukaan Titan kelihatan jingga sebilang masa dengan pancaran suria di Titan adalah 1000 kali lebih malap dari pancaran suria di Bumi. Dengan persekitaran sedemikian adalah menjadi satu kebarangkalian dimana seperti Enceladus, Europa dan Triton, Titan juga mampu mempunyai hidupan biologi tersendiri menjadikan Titan antara destinasi penerokaan saintifik yang diutamakan oleh kalangan saintis.

Sehingga artikel ini ditulis, terdapat beberapa cadangan ekspedisi untuk kembali semula ke Titan oleh agensi-agensi angkasa berkaitan, malah terdapat cadangan untuk mewujudkan program kolonisasi manusia di satelit semulajadi Zuhal ini di masa akan datang.

Setakat ini, data yang diperoleh dari penerokaan dan cerapan prob angkasa Cassini Huygens telah banyak membantu memecahkan misteri satelit terbesar sistem Saturnian ini.

Foto paparan mozek radar dari prob angkasa lepas Cassini-Huygens yang mencerap kawasan kutub utara Titan dan memperlihatkan pantulan radar yang lebih rendah yang diwarnakan dengan warna biru gelap memberikan indikasi kehadiran laut dan tasik besar yang terdiri dari bahan hidrokarbon seperti methana, ethana dan nitrogen terlarut yang dipanggil Kraken Mare dan Ligean Mare.

FJ

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here