Zootopia: Memahami Tugas Polis Dalam Menjaga Ketenteraman Awam Dan Keseimbangan Politik

0
1011
views

Filem ini menceritakan tentang seekor arnab bernama Jude (Judy Hopp) yang berasal dari perkampungan arnab, Bunny Burrow. Jude berasal dari keluarga yang bekerja sebagai Petani dan amat berminat untuk menjadi pegawai Polis kerana beliau bercita-cita untuk jadikan dunia ini lebih baik. Jude melihat dunia ini penuh dengan penindasan dari golongan kuat terhadap golongan lemah sepertimana adegan Musang yang membuli Biri-Biri di pekannya.

15 tahun kemudian, Jude benar-benar menyertai Akademi Polis Zootopia. Di akademi ini, Jude terpaksa menghadapi pelbagai ujian bersama bakal pegawai Polis lain yang lebih besar fizikalnya. Dengan penuh keazaman, Jude berjaya melepasi ujian-ujian ini walaupun dirinya lebih kecil berbanding haiwan yang lain. Datuk Bandar Zootopia (Ahli Politik) iaitu seekor Singa bernama Leodore Lionheart melantik Jude sebagai pegawai Polis. Pembantu Datuk Bandar iaitu seekor Biri-Biri bernama Bellwether telah memberi lencana Polis kepada Jude.

Jude ditugaskan ke pusat bandar Zootopia iaitu di Presint 1 yang merupakan sebuah Kosmopolitan. Ibu bapa Jude menanam stigma ke dalam diri Jude agar sentiasa berhati-hati dengan golongan Predator di kota Zootopia itu kelak. Mereka membekalkan Jude dengan pelbagai ‘senjata’ agar Jude dapat melindungi diri dari Musang (satu watak yang sering dikaitkan dengan kejahatan dalam buku cerita kanak-kanak).

Maka bertolaklah Jude dari perkampungan arnab Bunny Burrow ke Kota Zootopia yang mempunyai masyarakat majmuk terdiri dari Predator dan Prey. Di kota Zootopia, berkumpullah segala haiwan dari wilayah Tundra Town, Sahara Square, Rainforest District, Marshlands, Canal District, Downtown, Canyonlands, Savanna Centre dan Polar Straits. Lumrah alam, apabila wujud masyaakat majmuk, pasti akan wujud isu perkauman (rascist). Namun, sikap rascist di Zootopia bukan diukur dari segi warna kulit atau saiz mata seseekor haiwan, tetapi diukur dari segi naluri biologi mereka sama ada mereka itu kaum Predator (Pemangsa) atau kaum Prey (Mangsa).

Predator adalah kaum minoriti namun mendominasi kota Zootopia kerana kekuatan mereka. Manakala Prey adalah kaum majoriti namun tidak dominan kerana mereka adalah kelompok yang lemah. Walaubagaimanapun, keadaan sosial di Zootopia adalah harmoni dan seimbang sejak sekian lama hasil kebijaksanaan pihak pentadbiran menjaga ketenteraman kota. Kehidupan di Kosmopolitan tidaklah sama dengan kehidupan kampung. Harga makanan, perangai jiran dan budaya rakan sekerja amatlah berbeza.

Bermulalah tugas Jude sebagai pegawai Polis di Zootopia Police Department (ZPD). Terdapat satu kes berprofil tinggi di Zootopia berkenaan kehilangan 14 haiwan yang diculik. Tugas-tugas itu diberikan kepada pegawai yang lebih senior. Sebagai pegawai baharu, Jude tidak diberi kepercayaan untuk menjalankan apa-apa tugas. Namun, akhirnya Jude ditugaskan untuk menjaga parkir di kota sahaja. Walaupun keinginan untuk mengendalikan kes berprofil tinggi tidak tecapai, namun Jude tetap melaksanakan tugas menjaga parkir dengan begitu “giat” sekali.

“Giat” di sini bermaksud Jude merupakan Polis yang terlampau literal dan rigid terhadap undang-undang dalam melaksanakan hukuman kerana beliau langsung tidak mempunyai budi bicara. Habis segala kereta disamannya dengan hanya kerana beberapa kesalahan kecil yang sengaja dicari-cari sedangkan ianya masih boleh dipertimbangkan. Hal ini membuatkan rakyat awam menyampah dengan sikap Polis. Ketika menjalankan tugas, Jude terjumpa dengan Musang iaitu seekor haiwan yang sering diperingati oleh orang tuanya. Musang yang bernama Nick ini sungguh licik dalam menjalankan sebuah perniagaan secara tidak telus namun tidak melanggar undang-undang secara literal. Maka, Jude tidak boleh buat sebarang tindakan terhadap Musang itu.

Hari pertama Jude sebagai Polis sungguh menghampakan kerana tugasnya tidak seperti apa yang beliau jangkakan. Namun, di hari kedua, Jude telah melakukan suatu perkara yang hebat dimana beliau telah berjaya menangkap seekor pencuri (Weasel) dan menyelamatkan nyawa seekor Tikus. Namun, tindakan beliau ini ditegur oleh Ketua Polis iaitu Chief Bogo (Kerbau) kerana Jude meninggalkan tugasnya sebagai penjaga parkir dan bertindak di luar arahan sehingga mengakibatkan pelbagai kerosakan di Kota Kecil Rodenta sedangkan barangan yang dicuri tidaklah begitu bernilai pun.

Ketika dalam pejabat Chief Bogo itu, datanglah pengadu (Memerang) yang meminta pertolongan pihak Polis bagi mencari suaminya yang hilang. Jude secara sesuka hati mempelawa dirinya untuk mengambil kes ini. Walaupun tindakanitudibantah Chief Bogo, namun Jude tetap berjaya mengambil kes ini memandangkan BellwetherSi Pembantu Datuk Bandar memberi sokongan kepada Jude. Ini keranaMemerang tadi turut mengadu dan meminta bantuan kepada Bellwether. Dalam menyelesaikan kes ini, Jude meminta kerjasama dari Nick si Musang licik semalam bagi membantu siasatan.

Mereka mula mengumpul maklumat. Pertama, mereka pergi ke Kelab Naturalis di mana sang Memerang yang hilang itu pernah hadiri kelas Yoga di situ. Setelah mendapat beberapa butir petunjuk antaranya nombor plat kereta, maka mereka pergi ke Jabatan Pengangkutan Jalanraya yang para pekerjanya merupakan Sloth (pekerja lembap!). Setelah seharian mereka di pejabat lembap itu, maka mereka berjaya menjejaki lokasi kenderaan yang dikatakan kali terakhir dinaiki Memerang itu.

Apabila mereka pergi mendapatkan kereta berkenaan, mereka memang menjumpai kesan yang ditinggalkan oleh Memerang menandakan ia pernah menaiki kendaraan tersebut. Tiba-tiba Nick si Musang mendapati bahawa kereta itu dimiliki oleh seorang Ketua Kongsi Gelapbernama Mr Big yang berpengaruh besar lalu dia menjadi gelabah untuk melarikan diri. Namun, keberadaan mereka di situ disedari oleh Beruang Kutub iaitu Konco-Konco Kongsi Gelap tersebut. Maka mereka dibawa untuk berhadapan dengan Mr Big kerana menceroboh kawasannya.

Mr Big si Ketua Gangster itu rupa-rupanya adalah seekor Tikus yang kecil. Dengan gaya dan watak yang persis The GodFather, Mr Big ingin menjatuhkan hukuman bunuh kepada Jude dan Nick kerana menceroboh dan sikap biadap Jude yang berlagak sebagai Polis terhadapnya. Namun, mereka diselamatkan oleh anak perempuan Mr Big yang sedang menyambut majlis perkahwinannya (persis awal kisah The Godfather). Ini kerana anak perempuan Tikus itu sebenarnya adalah orang yang Jude selamatkan semalam di Kota Kecil Rodenta. Kemudian, Mr Big sudi berkongsi maklumat bagi membantu siasatan.

Memerang itu adalah tukang kebun Mr Big. Mr Big menceritakan keadaan Memerang yang jinak itu tiba-tiba mengganas dan membahayakan Pemandu Peribadi Mr Big yang ditugaskan supaya mengambil Memerang itu untuk berjumpa dengannya. Mr Big menyuruh Jude dan Nick pergi bertanya sendiri kepada Pemandu Peribadinya untuk mendapat maklumat yang lebih terperinci. Pemandu Peribadi bernama Manchas (Jaguar) kemudiannya menceritakan detik-detik cemasnya dimana secara tiba-tiba Memerang itu bertindak ganas. Tidak lama setelah itu, Manchas sendiri tiba-tiba mejadi ganas dan bertindak menyerang Jude dan Nick.
Oleh itu, Jude menghubungi ZPD untuk meminta bantuan. Namun apabila bantuan tiba, para pegawai Polis lain tidak mendapati apa-apa ancaman terhadap Jude dan Nick kerana Manchas yang mengganas itu tiba-tiba menghilangkan diri. Oleh itu, pegawai Polis itu menuduh Jude seorang penipu kerana berkawan dengan Musang dan tidak layak menjadi seorang Polis. Rakan setugas Jude tidak percaya bahawa timbulnya sebarang keganasan oleh haiwan-haiwan di Zootopia kerana Zootopia merupakan kota yang didiami oleh penduduk yang saling menghormati. Namun, Nick mempertahankan Jude dan meminta agar mereka diberi peluang untuk menyelesaikan kes ini. Jude dan Nick beredar dari para pegawai Polis itu.

Ketika dalam perjalananitu, Nick meluahkan perasaan dirinya sebagai seekor Musang. Dia bukanlah seorang yang suka menipu. Namun sejak kecil, dirinya sering dipandang serong secara prajudis sebagai seorang penipu dari masyarakat sekeliling. Dia disindir dan diperhina oleh rakan-rakannya hanya kerana dirinya seekor musang. Maka, dia membesar dalam keadaan penuh dendam. Baginya, tidak berguna menjadi baik kerana orang sekeliling tetap memandang serong terhadapnya secara prajudis. Maka dia terus membesar sebagai makhluk yang suka menipu. Maka barulah Jude faham naluri seekor Musang.

Tiba-tiba, Nick mendapat idea untuk mengkaji kehilangan Manchas itu melalui kamera jalan raya. Mereka meminta bantuan Bellwether untuk akses ke dalam sistem kamera jalan raya di Zootopia. Melalui pelbagai sudut rakaman kamera, mereka dapati Jaguar ganas yang tiba-tiba hilang itu adalah kerana diculik oleh sekumpulan Serigala. Maka mereka menjejaki perjalanan kumpulan Serigala tersebut melalui rakaman kamera juga. Apabila Jude dan Nicktelah menemui pusat aktiviti Serigala tersebut, maka mereka pergi ke sana untuk melakukan siasatan lanjut. Mereka menceroboh masuk secara sembunyi ke dalam bangunan utama yang terdapat di situ.

Bangunan yang kelihatan terbiar itu rupa-rupanya adalah sebuah makmal yang dilengkapi dengan peralatan canggih. Di situ, mereka menemui kesemua haiwan yang dilaporkan hilang termasuklah Memerang dan Jaguar yang mereka cari itu. Kesemua haiwan disitu ganas-ganas belaka. Kesemuanya Predator kecuali Memerang tersebut. Tiba-tiba, doktor yang bertugas di makmal itu masuk ke bilik rahsia yang Jude dan Nick duduki itu. Doktor tersebut datang bersama Lionheart si Datuk Bandar. Lionheart la yang bertanggungjawab menculik kesemua haiwan-hawan itu. Jude dan Nick bersembunyi lalu merakam segala perbualan si Ahli Politik itu dengan doktornya. Memandangkan kebanyakkan haiwan yang ganas itu Predator, maka Lionheart dan doktornya merancang konspirasi agar merahsiakan maklumat itu.

Mereka berpakat untuk tidak mendedahkan kepada rakyat awam bahawa Predator adalah punca keganasan berlaku kerana memiliki naluri ganas secara biologi. Rahsia ini dibuat agar rakyat tidak berasa terancam di bawah pentadbiran Lionheart yang juga merupakan Predator (Singa). Jika didedahkan pada umum, ianyaakan menyebabkan Lionheart kehilangan jawatan sebagai Dauk Bandar. Isu ini turut dirahsiakan daripada Ketua Polis sendiri Chief Bogo yang sibuk menyelesaikan kes kehilangan haiwan-haiwan Zootopia. Oleh itu, Jude bertindak untuk melaporkan hal ini kepada Chief Bogo.

Setelah diaporkan, maka tertangkaplah Lionheart si Ahli Politik itu. Namun, Lionheart mempertahankan bahawa dia hanya bertindak demi menjaga keamanan kota Zootopia. Lionheart diarahkan untuk mendiamkan diri dan Jude mendakwa bahawa Lionheart sebenarnya hendak menjaga kariernya sebagai Datuk Bandar semata-mata. Jude kemudiannya membuat sidang MEDIA bagi mendedahkan kes ini kepada rakyat awam. Mengikut dapatan kes, Jude memberitahu bahawa kesemua haiwan yang hilang itu merupakan Predator yang ganas. Kemudian, seekor Biri-Biri yang menjadi wartawan menanyakan soalan PROVOKASI mengenai faktor berlakunya hal demikian.

Maka Jude memberi jawapan yang bakal mencetuskan KONTROVERSI iaitu “Predator secara naluri biologinya memang ganas”. Kenyataan beliau ini menjadi ulasan SENSASI bagi para pengamal MEDIA. Jawapan Jude menyebabkan rakannya sendiri iaitu Nick yang juga predator terasa hati. Nick bertambah terasa hati apabila mendapati Jude sentiasa membawa senjata bagi mempertahankan diri dari Musang yang telah diberikan oleh ibu bapanya sewatu hendak memulakan tugas di Zootopia dahulu.

Jawapan Jude ketika menjawab pertanyaan wartawan adalah berdasarkan dapatan kes dan berniat baik semata-mata demi menjaga keamanan Zootopia. Namun, ianya disalahfahami oleh rakyat awam melalui ulasan NARATIFMEDIA yang MEMANIPULASI isu. Sejak itu, keadaan Zootopia sudah tidak aman lagi. Warga Zootopia saling berprajudis antara satu sam lain. Terdapat jurang social, pecah belah dan pergeseran antara kaumPredator dan Prey. Dua kelompok ini hidup dalam penuh kecurigaan, ketidak tenteraman dan perkauman.

Setelah Datuk Bandar Lionheart ditangkap, maka Bellwether mengambil alh tugas sebagai Datuk Bandar yang baharu. Si Biri-Biri itu hendak melantik Jude sebagai Public Figure Zootopia kerana telah menjadi wira menyelesaikan kes ini. Namun, Jude tidak mahu kerana impiannya adalah untuk menjadikan Zootopia sebagai kota yang semakin baik bukannya semakin teruk seperti yang sedang berlaku. Maka Jude pulang ke kampug halamannya dan menjadi petani.

Ketika di kampungnya, Jude menemui sejenis bunga-bungaan yang bertoksik dan boleh menyebabkan seseekor haiwan itu bertindak menjadi ganas. Beliau berhipotesis bahawa mungkin bunga ini mempunyai kaitan dengan kes yang beliau kendalikan. Dengan segera, beliau pergi semula ke Presint 1 dan bertemu Nick untuk mengajaknya kembali bekerjasama demi menyelesaikan kes ini. Walupun pada mulanya Nick masih lagi terasa hati dengan kenyataan Jude, namun setelah dipujuk, Nick bersetuju untuk bekerjasama dengan Jude bagi menyelesaikan kes ini.

Setelah itu, Jude dan Nick pergi mencari Weasel si Pencuri tempoh hari untuk mendapatkan maklumat. Setelah digertak, Weasel berkongsi maklumat bahawa dia menjadi agen menjual bunga bertoksik itu kepada sekumpulan Biri-Biri yang beroperasi dibawah tanah. Kumpulan Biri-Biri itu memiliki makmal tersendiri bagi mencipta senjata kimia yang diperbuat dari bunga toksik tersebut. Jude dan Nick mendapati bahawa kumpulan Biri-Biri inilah yang merancang untuk menyebabkan haiwan-haiwan sebelum ini bertindak menjadi ganas. Kumpulan Biri-biri ini telah menembak senjata kimia itu kepada haiwan-haiwan tertentu dari jauh secara sembunyi hingga menyebabkan mereka bertukar menjadi ganas. Biri-Biri itu hanya menembak haiwan-haiwan Predator agar dapat menimbulkan PERSEPSI bahawa Predator adalah penyebab keganasan.

Jude bertindak untuk membawa segala bukti-bukti ini kepada pihak ZPD walaupun terpaksa berhadapan dengan kumpulan Biri-Biri itu yang cuba menghalang mereka. Mereka dapat melepasi halangan Biri-biri tersebut, lalu terus ingin ke ZPD untuk menyerahkan bukti tersebut. Tiba-tiba, datanglah Datuk Bandar Bellwether yang juga seekor Biri-Biri bersama dua pegawai Polis yang juga Biri-Biri. Datuk bandar itu meminta agar bukti tersebut diserahkan sahaja kepadanya. Namun, Jude berasa aneh bagaimana Bellwether boleh mengetahui beliau dan Nicksedang berada disitu. Kemudian, Jude merasakan bahawa Datuk Bandarnya yang baharu ini mempunyai kaitan dengan sindiket penghasilan senjata kimia itu dan cuba menghalang mereka dari menyerahkan bukti-bukti tersebut kepada ZPD. Sememangnya, Datuk Bandar Bellwether merupakan dalang terhadap kegiatan ini. Maka Jude dan Nick melarikan diri darinya.

Namun, mereka terperangkap di sebuah kawasan. Ketika terperangkap, Datuk Bandar bellwether menyuruh agar mereka serahkan sahaja bukti-bukti itu kepadanya memandangan mereka tiada jalan keluar lagi. Jude dan Nick berpakat untuk membuat perangkap balas terhadap Bellwether dengan cuba untuk mengorek pelbagai rancangan sindiket Biri-Biri yang didalangi Bellwether. Datuk Bandar itu mendedahkan bahawa dia sengaja membuat konspirasi senjata kimia ini agar golongan Prey yang merupakan majority di Zootopia menjadi dominan dan menguasai kerusi politik. Jude dan Nick merakam pengakuan Bellwether tanpa disedari olehnya.

Para pegawai ZPD yang telah dihubungi oleh Bellwether datang dan ketika itu Jude serta Nick memainkan semula pita rakaman suara pengakuan Bellwether. Maka, Belwether ditangkap dan didapati bersalah. Datuk Bandar Lionheart dibebaskan semula dan dia membuat sidang media bagi menjelaskan hal sebenar. Tindakan Lionheart menangkap haiwan-haiwan ganas secara rahsia adalah bertujuan untuk mengawal keadaan agar Zootopia kekal harmoni kerana tidak timbulnya kekecohan yang menyebabkan ketidak tenteraman awam. Hal ini bagi membolehkan kajian terperinci dapat dilakukan oleh doktor bagi menemui sebab sebenar isu keganasan ini berlaku tanpa sebarang kerisauan timbul dalam kalangan rakyat awam.

Oleh itu, sentimenperkauman Prey-Predator yang kecohbaru-baru ini telah terpadam. Warga Zootopia kembali hidup secara harmoni tanpa sebarang prasangka. Ini adalah salah satu hikmah mengapa sesuatu isu berprofil tinggi itu tidak diwar-warkan kepada rakyat awam sebaliknya cuba diselesaikan oleh golongan yang berautoriti sahaja. Golongan Biri-biri yang kelihatan jinak, baik dan lemah itu tidaklah mustahiluntuk menjadi ancaman sebenar terhadap keharmonian masyarakat berbanding golongan dominan Predatoryang kelihatan agresif. Ini kerana golongan yang kelihatan tidak memberi ancaman ini sebenarnya mempunyai gerakan subversive atau underground serta memiliki jaringan-jaringan halus seperti MEDIA, Pegawai Polis, tenaga pakar yang mencipta senjata dan VIP dalam jabatan pentadbiran bagi merancang konspirasi politik demi kepentingan komuniti sendiri.

Filem ini sesuai ditonton oleh kesemua lapisan masyarakat sama ada dewasa mahupun kanak-kanak. Kanak-kanak boleh memahami filem ini kerana kandungannya tidaklah terlalu berat manakala orang dewasa pula tidaklah berasa bosan ketika melayani jalan cerita yang penuh konspirasi ini.Melalui filem ini, penonton akandapat memahami tugas Polis yang menjaga ketenteraman awam dan kestabilan politik dalam sesebuah negara. Selain itu, terdapat banyak lagi pengajaran yang diselitkan secara tersirat dalam filem ini. Oleh itu, tidak peliklah mengapa filem ini mendapat rating yang tinggi.

Google Play : 4.6/5
IMDb : 8.1/10
Rotten Tomatoes : 98%

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here