Wasiat Sultan-Sultan Melaka Sebelum Kemangkatan

0
10453
views

1.) Wasiat Sultan Mansur Shah (1459~1477)

Hatta berapa lamanya, datanglah peredaran dunia; maka Sultan Mansur pun geringlah. Setelah diketahui baginda dirinya akan mangkat, maka baginda pun menyuruh memanggil anakanda baginda, Raja Ahmad, timang-timangannya Raja Hussain; dan Bendahara Paduka Raja, dan segala Orang Besar-besar sekalian, datang berkampung.

Maka titah Sultan Mansur Syah pada sekalian mereka itu,

“Ketahui olehmu sekalian, bahawa dunia ini telah lepaslah rasanya daripada genggamanku melainkan negeri akhiratlah penghadapanku. Adapun pun petaruhkulah pada Bendahara dan segala Orang Kaya-kaya sekalian, anak kita Raja Ahmad ialah ganti kita pada tuan-tuan sekalian. Jikalau barang sesuatu salahnya, hendaklah dimaafkan oleh tuan-tuan sekalian, kerana ia budak yang bebal, tiada tahu istiadat.”

Setelah segala mereka mendengar titah Sultan Mansur Syah demikian itu, maka sekaliannya pun menangislah terlalu sangat. Maka sembah Bendahara Paduka Raja dan segala menteri hulubalang serta Orang Kaya-kaya sekalian;

“Ya tuanku,jangan apalah hati patik sekalian duli tuanku perbinasakan dengan titah yang demikian itu; bahawa patik sekalian ini adalah berkaul jika diafiatkan (disembuhkan) Allah Taala kiranya duli Yang Dipertuan daripada gering sekali ini, habislah segala harta yang di dalam khazanah patik, akan patik sekalian sedekahkan pada segala fakir miskin; tetapi barang dijauhkan Allah kiranya yang demikian itu, jikalau layu rumput dihalaman Yang Dipertuan, seperti titah itulah patik sekalian kerjakan.”

Maka Sultan Mansur Syah pun memandang kepada anakanda baginda, Raja Ahmad; maka titah baginda,

“Hei anakku, ketahui olehmu, bahawa dunia ini sekali-kali tiada kekal adanya. Yang hidup itu sedia akan mati juga sudahnya; iman yang sempurna dan pekerti yang baik, itulah yang kekal disebut orang selama-lamanya, Adapun peninggalan aku ini, hei anakku, hendaklah engkau berbuat adil sangat-sangat, dan jangan engkau mengambil hak orang tiada sebenarnya.”

“Makan haqu’l-adam terlalu besar dosanya, tiada diampuni Allah subhanahu wa taala; melainkan dengan izin yang empunya hak juga; dan jangan khali engkau keluar dihadap orang, kerana Hamba Allah sekaliannya banyak berserah kepadamu; jikalau kesukaran baginya, hendaklah segala yang kesakitan itu segera engkau tolong; jikalau teraniaya ia, hendaklah engkau periksa ia baik-baik, supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasmu, kerana sabda nabi, salla ‘llahu ‘alaihi wa salam:

“Kullukum ra ‘in wa kullukum mas’ulun ‘an ra’iyyatihi,” yakni segala kamu yang menggembala dunia lagi akan ditanyai daripada kebelaan kamu; ertinya segala raja-raja di akhirat lagi akan ditanyai Allah subhanahu wa taala daripada segala rakyat.”

“Sebab dernikianlah, maka sebaiknyalah engkau berbuat adil dan saksama, supaya di sana jemah diringankan Allah Taala kira-kiramu; dan hendaklah engkau muafakat dengan segala menteri dan segala Orang Besar-besarmu, kerana raja itu, jikalau bagaimana sekalipun bijaksana dan tahunya, jikalau tiada muafakat dengan segala pegawai, di mana akan dapat ia melakukan bijaksananya itu?”

“Dan tiada akan sentosa kerajaannya; kerana raja-raja itu umpama api, segala menteri itu umpamanya kayu; kerana api itu tiada akan nyala, jikalau tiada kayu; seperti kata Farsi,

‘Ar’ayatu juan bakhasta sultan khasad’,

..yakni rakyat itu umpama akar, dan raja itu umpama pohon; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikianlah raja itu dengan segala rakyatnya. Hei anakku, hendaklah engkau turut seperti amanatku ini; supaya beroleh berkat diberi Allah subha nahu wa taala, bija hi nabi salla ‘llahu ‘alaihi wa salam.”

Setelah Raja Hussain mendengar titah ayahanda baginda itu, maka baginda pun terlalulah sangat menangis.

Hatta selang beberapa hari, maka Sultan Mansur Syah pun mangkatlah; berpindah dari negeri yang fana ke negeri yang baqa; kalu innali’llahi wa inna ilaihi raji’un

2.) Wasiat Sultan Alauddin Riayat Shah (1477~1488)

Hatta berapa lamanya, datanglah pada peredaran dunia, maka Sultan Alau’d-Din pun geringlah. Maka baginda menyuruh memanggil anakanda baginda, Raja Mamad, dan Bendahara Paduka Raja dan sekalian Orang Besar-besar datang berkampung mengadap baginda.

Maka Sultan Alau’d-Din pun minta sandari pada dayang-dayang; maka dipanggil baginda hampir daripada antara orang itu enam orang; pertama Bendahara Paduka Raja, kedua Kadi, ketiga Paduka Tuan, ke-empat Seri Nara Diraja, kelima Temenggung, keenam Laksamana Hang Tuah. Maka hampirlah orang keenam itu, tujuh dengan anakanda baginda, Raja Mamad.

Maka titah baginda,

“Ketahui oleh segala tuan-tuan sekalian, bahawa umur kita telah pautlah, ajal kita pun hampirlah rasanya. Adapun jikalau sudah kita mati, bahawa anak kita Si Mamadlah rajakan oleh Bendahara dengan segala Orang Kaya-kaya sekalian akan ganti kita; hendaklah sangat-sangat pelihara kamu akan dia, kerana ia kanak-kanak. Seperti mana kasih tuan-tuan semua akan kita, demikianlah kasih tuan hamba sekalian akan dia; jikalau barang suatu khilaf bebalnya, sangat-sangat maaf tuan-tuan sekalian dan tegur ajari dia; tuan hamba tilik kepada kanak-kanaknya.”

Setelah segala mereka itu mendengar titah Sultan Alau’d-Din demikian itu, maka cucurlah air mata mereka itu, tiada berasa lagi. Maka sekaliannya berdatang sembah dengan tangisnya,

“Ya tuanku, barang dilanjutkan Allah Taala kiranya Yang Dipertuan, kerana patik sekalian belum lagi puas diperhamba Yang Dipertuan; tetapi jauhkan Allah, kiranya yang demikian itu, jika layu bunga di genggam Yang Dipertuan, sedia seperti titah itulah patik sekalian kerjakan; kerana patik semua tiada mau menyembah raja-raja lain daripada anak cucu tuanku.”

Maka Sultan Alau’d-Din pun terlalu sukacita mendengar sembah segala mereka itu. Maka baginda memandang kepada muka anakanda baginda, Raja Mamad, maka titah baginda,

“Hei anakku, adapun engkau hendaklah banyak-banyak sabar, dan ampunmu akan segala hamba sahayamu, dan baik-baik memelihara akan dia; kerana firman Allah Taala Inna ‘llahu ma’as sabirin, yakni bahawa Allah Taala serta pada segala yang sabar,”

“Dan jikalau datang kepada dua pekerjaan, suatu pekerjaan Allah, dan suatu pekerjaan dunia, maka dahulukan olehmu pekerjaan Allah daripada pekerjaan dunia. Hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah Taala yang akan memelihara akan kamu, kerana wa manyatawakkal ‘ala’llah, Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi (dimalukan) dia, dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah; kerana segala Melayu itu ketanahanmu, seperti kata Arab;

“Al-‘abdi tinu’l-maulahu, yang hamba itu tanah tuhannya. Jikalau engkau bunuh ia tiada dengan dosanya, bahawa kerajaanmu binasa. Hei anakku, hendaklah engkau turut dan engkau ingatkan wasiatku ini, dan kau kerjakan, supaya berkat diberi Allah subha nahu wa taala.”

Setelah itu maka Sultan Alau’d-Din pun mangkat; maka ditanamkan oranglah seperti adat setelah baginda kembali ke rahmat Allah, kalu inna li’llahi wa inna ilaihi raji’un;

3.) Wasiat Sultan Mahmud Shah (1488~1511) mangkat tahun 1528

Alkisah tersebutlah perkataan Sultan Mahmud Syah semayam di Kampar; datanglah peredaran dunia, maka baginda pun geringlah terlalu sangat. Maka diketahui baginda akan penyakit baginda itu ajal.

Maka Bendahara, dan Seri Nara Diraja, dan Temenggung dan Laksamana, segala Orang Kaya sekalian masuk mengadap baginda. Adapun setelah Temenggung Seri Udani mati, Seri Wak Raja dijadikan Sultan Mahmud Ternenggung. Setelah segala Orang Besar-besar itu hadir mengadap baginda, maka Sultan Mahmud Syah pun minta sandari pada Seri Nara Diraja. Maka titah baginda pada Bendahara dan segala Orang Besar-besar itu;

“Adapun barang tahu Bendahara dan segala Orang Kaya-kaya, bahawa dunia ini akan lepaslah daripada genggaman kita, melainkan semata-mata akhirat kita hadapi. Adapun akan anakku, Sultan Muda ini, dahulu Allah Subha nahu wa taala kemudian Rasul Allah, setelah itu pada Bendahara dan Orang Kaya-kaya sekalian pertaruh kita, daripada memelihara dan mengajar, menegur dia; kerana ia budak penuh dengan khilaf dan bebalnya, lagi ia piatu; telah yakinlah kita akan pelihara Bendahara dan Orang Kaya-kaya sekalian akan dia.”

Setelah Bendahara dan segala Orang Besar-besar itu mendengar titah baginda dernikian, sekaliannya menangislah terlalu sangat; maka sembah sekaliannya;

“Barang daulat juga kiranya duli Yang Dipertuan, selagi ada cahaya bulan dan matahari ini patik persilakan, tuan(ku); janganlah kiranya hati patik sekalian tuanku leburkan dengan titah yang memberi pilu rasa patik sekalian yang tiada berkesudahan itu; telah termeterilah dalam simpulan hati patik sekalian tidak akan bercita raja yang lain daripada paduka anakanda ini. Maka bagaimana tiada akan habis jiwa yang di dalam badan patik sekalian daripada memeliharakan paduka anakanda, kerana gemala jemala patik sekalian hamba Melayu.”

Setelah Sultan Mahmud Syah mendengar sembah Bendahara dan segala Orang Besar-besar itu, maka terlalulah sukacita baginda, seraya meraih leher paduka anakanda baginda, dipeluk dicium baginda, seraya bertitah,

“Hei anakku, cahaya mataku, buah hatiku, engkau kerajaan, sangat sabarmu; dan barang suatu bicaramu jangan meninggalkan Bendahara dan sekalian menteri hulubalangmu; sangat-sangat adil saksama pada barang hukum atas bala Tenteramu.”

“Jangan engkau dengar-dengaran sembah orang tiada dengan sebenamya; sangat-sangat ampun periksamu akan mereka itu sekalian, akan ia bernaung kepada keadilan dan kemurahanmu; dan jangan engkau taksir daripada menafahus dan memeriksai atas rakyatmu, supaya Sentosa kerajaanmu.”

Maka Sultan Muda pun terlalu sangat baginda menangis atas ribaan paduka ayahanda baginda.

Setelah itu maka Sultan Mahmud Syah pun berlakulah, kembali ke rahmat Allah Taala dari negeri yang fana ke negeri yang baqa. Kalu inna li’llahi wa inna ilaihi raji’un.

Petikan dari kitab Sulalatus Salatin versi A.Samad Ahmad

Gambar sekadar hiasan : Kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah (Sultan Perak) pada 29 Mei 2014

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here