Malaysia Dan Utopia

0
1689
views

Setiap kali mendengar perkataan utopia, saya membayangkan utopia itu ialah satu tempat di mana semuanya sempurna dan manusia dapat hidup dengan senang-lenang. Utopia di sini ialah utopia di mana manusia mendapat semua benda secara percuma, ada gaji tinggi dan tak perlu lagi dibebankan dengan perkara-perkara menekan perasaan seperti cukai dan pinjaman. Tapi itu hanyalah satu mimpi yang bukan saja mustahil untuk dicapai tetapi juga amat mahal kosnya jika cuba dilaksanakan.

Namun, inilah utopia yang cuba dijaja oleh pihak-pihak tertentu dalam usaha mengekalkan atau mendapatkan kuasa. Kata ‘pakar-pakar ekonomi’ ini, mereka kata ianya boleh dicapai dan bila mana ia berlaku, ia adalah satu kebebasan bagi rakyat yang merasakan diri mereka tertindas dengan polisi-polisi yang bersifat ‘menindas’ ini. Tapi apa yang rakyat biasa tidak tahu ialah pihak-pihak ini tidak menyatakan berapa pula kos bukan saja untuk memansuhkan polisi tetapi juga kos untuk menggantikan pendapatan hilang tersebut. Pada mereka, janji sebegini seperti menanam tebu di bibir dan mereka tiada hasrat untuk merealisasikan janji ‘manis’ ini kepada pengundi.

Kalau nak sangat semua barang dikenakan subsidi, dapat gaji tinggi, semua barangan percuma, harga minyak murah dan seumpamanya, saya rasa boleh dilaksanakan tetapi bayangkan pula berapa kos untuk menguruskan semua ini. Jika kita lihat semua tuntutan ini, kosnya bukan lagi berjuta-juta tetapi boleh melambung sampai berbillion ringgit. Dan sanggupkah anda membayar cukai berlipat kali ganda seperti yang dikenakan sesetengah negara semata-mata untuk menampung tuntutan sebegini? Oh, apakah anda juga pernah pertimbang jumlah populasi dan siapa pula yang layak dapat semua tuntutan tersebut? Saya dapat rasakan politikus-politikus yang membuat janji bulan bintang ini tidak menyatakan jawapan bagi semua persoalan ini di atas.

Katalah negara kita melakukan semua ini, anda mungkin membayangkan negara akan makmur. Mungkin dalam jangka pendek, ya tetapi apakah jaminan ia akan berterusan untuk jangka masa panjang? Lambat-laun, kerana terlalu sibuk mengejar populariti bersifat mi segera tanpa mempedulikan kebajikan rakyat untuk tahun-tahun mendatang, wang dalam simpanan negara akan habis juga. Ini bukan fantasi tetapi satu realiti pahit yang mencengkam kehidupan warga Venezuela hari ini. Seperti anda sedia maklum, Venezuela merupakan antara negara pengeluar minyak dunia di mana harga minyak di situ antara yang termurah di dunia, jauh lebih murah berbanding air. Malah, mereka turut mengenakan subsidi untuk pelbagai jenis barangan untuk kegunaan domestik. Tetapi angkara keborosan mereka dalam mengejar populariti segera, inflasi di sana mencecah sehingga 200%. Mereka tidak mempunyai satu sen pun dalam rizab dolar mereka sehingga tidak mempunyai wang untuk mengimport gandum masuk ke dalam negara mereka. Berikutan situasi negara yang semakin tenat ini, buat pertama kali selepas kematian bekas presiden, mendiang Hugo Chavez, mereka mengenakan cukai kepada rakyat mereka. Jadi, soalan saya kepada anda, berbaloikah mengejar utopia ini?

Mereka yang berterusan mengatakan pemansuhan cukai perlu demi mewujudkan sebuah masyarakat yang bahagia sebenarnya hidup dalam tempurung masing-masing. Tidakkah mereka sedar, melalui hasil cukai yang dikutip ini, kerajaan dapat melaksanakan polisi-polisi yang menguntungkan rakyat dan memperbaiki infrastruktur sedia ada? Malah secara jujurnya, kerajaan juga sebenarnya berusaha mengurangkan bilangan cukai yang perlu dibayar oleh rakyat dengan mengurangkan peratusan cukai pendapatan kepada 2% dan memansuhkan terus cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Malah, cukai barangan dan perkhidmatan (CBT/GST) yang dikenakan juga berada di tahap rendah iaitu 6% dan tiada sebarang pengumuman berkenaan kenaikan cukai tersebut dalam pembentangan belanjawan tahun lepas. Jadi, apa sebenarnya motif pihak-pihak tak bertauliah ini dalam memperjuangkan sebuah ilusi bernama utopia?

Hakikatnya, utopia yang dijanjikan itu hanyalah satu mimpi sahaja. Malah, jika sesiapa mengkaji asal-usul utopia itu sendiri, ia sebenarnya ialah satu kritikan keras Sir Thomas More kepada masyarakat kontemporari Eropah menerusi buku beliau, Utopia (1516) dan Utopia yang disebut dalam bukunya hanyalah satira More berkenaan ketidakadilan yang berlaku pada ketika itu. Malah, jika diteliti maksud sebenar utopia dalam Bahasa Latin ialah no place atau tiada tempat. Makanya, berbaloikah bagi kita mengejar utopia bersifat sebegini?

Sebagai kesimpulan, utopia yang cuba dicanang sesetengah pihak hari ini bersifat mustahil dan sukar dicapai. Daripada berfikir tentang benda yang tidak pasti, bukankah ada satu lagi utopia yang hebat menanti kita? Malah cara nak sampai ke utopia itu juga punya banyak jalan. Utopia yang saya maksudkan ini ialah syurga Tuhan yang kekal abadi di mana apa saja ciptaan-Nya adalah sempurna dan manusia hidup senang-lenang, seperti mana apa yang digambarkan More dalam bukunya

Sumber:

  1. http://time.com/venezuela-brink/
  2. http://www.treasury.gov.my/pdf/bajet/ucapan/ub17.pdf
  3. https://www.bna.com/malaysias-new-gst-b17179925799/
  4. https://en.wikipedia.org/wiki/Utopia_(book)
  5. http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/621-isu-gst-satu-penilaian

Comments

comments

Previous articleFakta Disebalik Pembikinan Filem Anakku Sazali
Next articleSerangan Banzai: Kisah Berani Mati Tentera Jepun
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here