Kerana Bangsa Arab Bersatu, Telah Dikalahkan Rom Dan Parsi

0
1650
views

Sebelum kedatangan Islam, Timur Tengah didominasi oleh dua kuasa besar iaitu Rom dan Parsi.

Rom merujuk kepada Empayar Rom Timur atau Byzantine yang merupakan pecahan dari Empayar Rom pada tahun 395. Parsi ketika itu pula diperintah oleh Dinasti Sassanid. Rom penganut Kristian, Parsi penganut Majusi.

Dua empayar ini bersempadanan dan sentiasa berperang. Mereka juga memiliki proksi untuk memperluaskan kuasa dan pengaruh masing-masing. Proksi mereka di dunia Arab ialah Banu Lakhm atau Lakhmid (berpusat di Iraq) dan Banu Ghassan atau Ghassanid (berpusat di Syria dan Jordan). Banu Lakhm pro-Parsi. Banu Ghassan pro-Rom.

Banu Lakhm dan Banu Ghassan merupakan Arab Yamani (atau Qahtani) yang beragama Kristian. Mereka tidak berdaulat, sekadar boneka bagi Rom dan Parsi. Malah Banu Lakhm akhirnya ditelan oleh Parsi.

Rom dan Parsi mengguna proksi-proksi Arab ini sebagai “buffer” kepada Arab Adnani (Bani Ismail) yang menduduki padang pasir. Arab padang pasir yang hidup bersuku, berpecah belah dan mundur ini sebenarnya tidak memberi ancaman nyata kepada Rom atau Parsi.

Dari tahun 602 hingga tahun 628, Rom dan Parsi berperang lagi. Pada awalnya, Rom mengalami kekalahan. Parsi menawan Jerusalem pada tahun 614 dan Mesir pada tahun 619. Namun tidak lama kemudian Rom bangkit semula dan mencapai kemenangan di bawah pimpinan Maharaja Heracles. Peristiwa itu ada disebut oleh Al-Quran dalam Surah Ar-Rum, ayat 2-4:

“Ghulibatir Ruum. Fii adnal ardi wa hum mim ba’di gholabihim sayaghlibuun. Fii bid’i siniin”. (“Telah dikalahkan Rom. Di negeri yang dekat dan mereka sesudah kalah itu akan menang lagi nanti. Dalam beberapa tahun.”)

Rasulullah pernah mengutus surat kepada Heracles untuk mengajaknya masuk Islam, namun sayangnya Heracles tidak menerima hidayah. Kalau tidak, sejarah dunia akan berubah.

Yang pasti, perang antara Rom dan Parsi yang memakan masa hampir 30 tahun telah melemahkan kedua-dua kuasa besar tersebut. Maka berlakulah peralihan imbangan kuasa (“shifting balance of power”) antara Rom, Parsi dan Arab.

Orang Arab menewaskan Rom dan Parsi dalam Pertempuran Yarmuk dan Pertempuran Qadisiyyah pada tahun 636. Parsi dihapuskan oleh Arab pada tahun 651. Rom masih bertahan untuk 800 tahun lagi sehingga ibu kotanya Constantinople ditawan oleh tentera Turki Uthmaniyyah pada 1453.

Orang Arab mampu menewaskan dua kuasa besar ketika itu dengan adanya perpaduan. Dengan menjadi ummatan wahidah (umat yang satu), Arab muncul sebagai “Third Force” yang mencabar monopoli kuasa Rom dan Parsi.

Maka tidak hairan, kuasa Khilafah Arab mula merosot setelah mereka kembali berpecah. 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah, orang Arab tidak lagi signifikan dalam geopolitik serantau. Peranan mereka diambil alih oleh bangsa Parsi, bangsa Mamluk dan bangsa Turki.

Amerika dan Rusia umpama Rom dan Parsi hari ini. Negara-negara Arab tidak lagi signifikan dalam tata politik dan ekonomi dunia hari ini. Mereka bukan lagi Third Force seperti Khilafah Rasyidin, mereka hanya Lakhm dan Ghassan yang menjadi proksi kepada kuasa-kuasa besar.

Cuma yang bezanya, zaman berperang atas kuda pancung-memancung sudah berlalu. Kita sekarang hidup di zaman peperangan teknologi dan ekonomi.

Jumlah orang Arab ada dalam 400 juta, namun GDP yang mereka hasilkan adalah kurang daripada US$ 3 trillion. Sedangkan Jepun dapat menghasilkan GDP sebanyak 5 trillion dengan 130 juta penduduk. Kalau Israel diberi populasi seramai Arab, mereka akan menghasilkan GDP 14 trillion, setanding dengan Amerika.

Saudi, UAE, Qatar, Mesir adalah negara-negara Arab yang paling kaya. Tapi lihat apa yang mereka buat sekarang.

Ibarat buih di lautan. Ramai, tetapi hanyut dibawa arus. Mereka gagal mencipta semula tsunami yang menterbalikkan tatadunia Rom dan Parsi.

Sesungguhnya ada ibrah dalam kebangkitan dan kejatuhan tamadun dunia.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here