Nama Leftenan Adnan Diabadikan Pada Kenderaan Tempur Negara

0
1193
views

Nama Leftenan Adnan selalu disebut-sebut apabila tiba pertengahan bulan Februari bilamana kita mengingati dan menghayati semangat juang Almarhum dan kalangan anggota dan pegawai pasukan tentera dalam Rejimen Askar Melayu dalam menentang kemaraan Jepun.

Di masa kini, nama beliau diabadikan oleh Angkatan Tentera Malaysia, amnya oleh Tentera Darat dan khasnya oleh Kor Armor Diraja pada kenderaan tempur mereka.

Kenderaan tempur berperisai ini melengkapkan Tentera Darat Malaysia dengan ketumbukan infanteri mekanise (mechanized infantry) yang mana tentera boleh dihantar terus ke medan pertempuran dalam keadaan terlindung didalam kenderaan ACV-300 ini dari tembakan senjata ringan musuh, serpihan tembakan artileri dan mortar serta membolehkan serangan dan gerakan pengepungan dibuat keatas kedudukan musuh oleh pasukan infanteri dimana pada masa sama sokongan tembakan diberikan oleh  kenderaan tempur ACV-300 ini samada dengan meriam 25mm atau dengan sistem persenjataan sokongan lain seperti sistem peluru berpandu anti armor Baktar Shikan buatan Pakistan mahupun bantuan tembakan mortar.

Sesuai dengan tugas kenderaan tempur ACV-300 ini yang merupakan mata tombak tempur yang membolosi garisan pertahanan musuh bagi menghantar tentera infanteri di medan perang, ia dinamakan Adnan kerana sifatnya yang pemberani dan pantang mengaku kalah serta sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan.

ACV-300, sejenis kenderaan tempur berunut yang mempunyai salasilah asal buatan yang datang dari negara Turki. Turki menempah dan kini mengoperasikan hampir 2249 unit ACV-15 dalam pelbagai varian dan konfigurasi persenjataan, diikuti Emiriah Arab Bersatu dengan sejumlah 136 unit pelbagai varian.

Varian Adnan dengan sistem peluru berpandu anti armor Baktar Shikan

Dibangunkan oleh firma FNSS Savunma Sistemleri A.S, dengan varian asal sebagai ACV-15 untuk kegunaan angkatan tentera darat Turki, ACV 300 yang merupakan varian khusus untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia yang dibina bersama firma FNSS dan DEFTECH adalah kenderaan tempur amfibia yang digunakan untuk membawa infanteri ke medan tempur.

Ia dilengkapi persenjataan turet meriam 25mm Sharpshooter, atau pelancar grenad Mk.19 dan turet mesingan M2 Browning bagi varian kenderaan tempur infanteri, kenderaan pelancar mortar 81mm dan 120mm serta varian pemburu armor dengan pelancar peluru berpandu anti kereta kebal Baktar Shikan buatan Pakistan. Baktar Shikan adalah peluru berpandu anti armor yang mempunyai jangkauan jarak sehingga 3000 meter dengan menggunakan panduan inframerah. Ia mampu menembusi perisai setebal 500mm atau sehingga 600mm dengan peledak iringan.

Sebanyak 211 unit ACV-300 Adnan ditempah dan dibina di Pekan, Pahang oleh Deftech dengan kerjasama firma FNSS dengan 9 varian yang berbeza bagi memenuhi keperluan Briged Infanteri Mekanise Tentera Darat yang terdiri dari 2 battalion dari 12 Rejimen Askar Melayu Diraja dan 7 Rejimen Renjer Diraja.

Pengenalan ACV-300 telah melengkapkan dan meluaskan lagi kepakaran pasukan keselamatan kita dalam membentuk Briged Mekanise, yang mana ia meningkatkan lagi keupayaan tempur dan menambah aset tempur sedia ada dalam pegangan sedia ada seperti kenderaan pengangkut berperisai Radpanzer Condor, KIFV/MIFV.

Kenderaan tempur buatan anak tempatan dengan bantuan firma Turki ini sedikit sebanyak mengurangkan kebergantungan pasukan keselamatan pada produk luar negara. Kerjasama Malaysia dan Turki diteruskan diantara firma FNSS dan Deftech yang pada masa kini sedang menghasilkan kenderaan berperisai AV-8

Sebanyak 12 unit kenderaan tempur ACV-300 Adnan telah beraksi di Lahad Datu, Sabah ketika pencerobohan kumpulan pengganas, yang mana kenderaan tempur ini bertindak sebagai unit sokongan tembakan kepada unit-unit infanteri tentera kita yang mara melawan musuh, memusnahkan kubu mereka dan lokasi-lokasi pertahanan kumpulan pengganas tersebut.

FJ

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here