Membedah Teori Konspirasi Simpson

0
3845
views

Tiada apa yang mengejut dengan kemenangan Donald Trump dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 2016. Beliau sekadar menewaskan Hillary Rodham Clinton yang penuh dengan kontroversi seperti Benghazi. Jika Donald Trump bertanding dengan individu yang lebih berintegriti seperti Barack Obama ataupun Bernie Sanders, tentu sekali keputusan akan berbeza. Ternyata “Bernie or Bust” berjaya memberikan impak kepada Parti Demokratik. Tetapi sejarah bukanlah berasaskan pendapat tentang apa yang mungkin akan berlaku. Maka relevanlah untuk berbicara tentang satu sejarah yang telah dijadikan sandaran kepada golongan buta realiti.

The Simpsons adalah kartun yang sangat popular. Mungkin apa itu Doraemon kepada rakyat Malaysia, itulah The Simpsons kepada Amerika Syarikat. Namun di sebalik kulit kuning dengan lakaran manusia yang sangat pelik, terselindung satu misteri iaitu ramalan. Ada juga segelintir berpendapat bahawa misteri ini adalah perancangan, tanpa sebarang kajian pun. Adalah perkara biasa bagi rakyat Malaysia untuk lebih terjerumus kepada suapan. Namun, bak kata pepatah, “suapan tidak akan memberikan ilmu. Sebaliknya, ia hanya sekadar mengajar bentuk sudu yang menyuap sahaja.”

Hakikatnya, The Simpsons tidak meramal kemenangan Donald Trump, jauh sekali membentangkan skrip perancangan seperti yang didendangkan golongan disuap. Artikel ini akan dibahagikan kepada tiga, iaitu asal-usul teori konspirasi ramalan/perancangan kemenangan Donald Trump, peta politik pasca-pilihanraya dan pertemuan Donald Trump bersama Raja Saudi Salman dan Presiden Mesir Abdel Fatah el-Sisi.

Dikatakan pada tahun 2000, The Simpsons bukan sahaja menunjukkan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat. Malah, kartun ini juga menunjukkan Donald Trump turun dengan eskalator, sambil melambai-lambai. Malang sekali, teori konspirasi di sebalik gambar ini dilahirkan daripada liang peranakan pendustaan. Episod bagi Donald Trump turun daripada eskalator bukannya keluaran tahun 2000.

Pada 7 Julai 2015, susulan pengumuman Donald Trump untuk bertanding dibawah tiket Republikan, The Simpsons mengudarakan video pendek berjudulkan “Trumptastic Voyage” dalam Musim 25. Pendek kata, video ini diudarakan SELEPAS Donald Trump mengumumkan beliau akan bertanding. Mudah kata bagi orang yang tidak tahu baca, video ini hanyalah parodi. Dan gambar yang ditularkan sengaja dirapatkan kepada Donald Trump, mengeluarkan Homer Simpson daripada bingkai tontonan.

Sesungguhnya pendustaan adalah mainan syaitan dan Masih ad-Dajjal laknatullah. Tetapi tentu sekali golongan teori konspirasi yang mengakui diri berjuang demi Islam akan teruskan dengan pendustaan mereka. Ketahuilah orang-orang beriman bahawa Tuhan kamu tidak bermata satu.

Seterusnya, The Simpsons dikatakan pernah mengudarakan episod pada tahun 2000 yang mana watak Lisa memberitahu kewangan Amerika Syarikat musnah dibawah pentadbiran Donald Trump. Kali ini barisan pendusta mata satu berkata benar. Episod “Bart to the Future” memang diudarakan pada tahun 2000.

Dalam episod ini, kerajaan Amerika Syarikat sedang cari jalan untuk naikkan cukai serta bayar balik hutang luar negara yang besar jumlahnya. Tetapi episod ini diudarakan SELEPAS Donald Trump menyatakan niat untuk bertanding seawal tahun 1999 lagi. Jadi, ini sememangnya bukanlah satu ramalan ataupun perancangan. Sebaliknya, teori konspirasi ini adalah hasil daripada perzinaan kejahilan dan keegoan semata-mata.

Jika ramalan/perancangan ini adalah parodi semata-mata, tentu sekali ada penjelasan yang relevan bagi peta politik pasca-pilihanraya yang diudarakan pada tahun 2012. Sememangnya ada. Dalam episod ini, Mr Burns iaitu seorang hartawan tamak menyuarakan sokongan penuh kepada calon Republikan iaitu Mitt Romney. Dan peta politik pasca-pilihanraya ini juga TIDAK BERTEPATAN dengan negeri-negeri dimenangi Donald Trump.

Kononnya The Simpsons telah meramal Wisconsin, Ohio, dan Pennsylvania akan dimenangi Parti Demokratik. Sebaliknya, ketiga-tiga negeri ini dibalun Republikan (Donald Trump). Manakala Virginia pula diandaikan dimenangi Donald Trump. Tetapi hakikatnya, tengok sendirilah.

Maka perlukah pertemuan Donald Trump, Salman as-Saud dan Abdel Fatah el-Sisi diulaskan? Tanya kepada diri sendiri – kenapa percaya tulisan-tulisan pendusta seperti barisan teori konspirasi ini? Iblis takkan sekali pimpin manusia ke syurga. Seperti biasa, The Simpsons mengudarakan satu episod selepas perkara tersebut berlaku.

https://www.youtube.com/watch?v=21lhiKfc1p4

Pertemuan ini dibuat kartun selepas Donald Trump membuat kunjungan kerja di Arab Saudi. Tetapi biasalah, penunggang-penunggang teori konspirasi lebih suka berlaku dusta daripada berkata benar. Sesungguhnya ketahuilah pendustaan tiada tempat dalam Islam.

 

Comments

comments

Previous articleSejarah Dan Falsafah Bangunan Tabung Haji
Next articleTafsir Lagu Sahabat Dalam Tubuh (Nyanyian Mawi & Filsuf)
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here