Raja-Raja Melayu Brunei Yang Agung

1
4859
views
Sumber: The Independent

Brunei, satu-satunya negara yang berasaskan kebudayaan, sistem, dan bahasa bangsa Melayu yang masih lagi wujud selain daripada Malaysia, walaupun Malaysia sudah bercampur dengan pelbagai kombinasi, tetapi akarnya dapat dijejak sehingga ke negara bangsa berasaskan bangsa Melayu.

Selain daripada Brunei, Indonesia sudah lama hilang semangat Kemelayuannya selain di wilayah seperti Selatan Borneo, Riau dan Palembang serta Jambi. Singapura sekadar bertopengkan Melayu manakala Selatan Filipina dan Selatan Thailand masih lagi berjuang mendapatkan negara bangsa berasaskan bangsa Melayu mereka. Titipkan doa kepada saudara sebangsa dan seagama di Filipina dan Thailand. Semoga semangat jihad mereka demi agama dan bangsa tidak pernah luntur!

Berbalik kepada Brunei, oleh kerana mereka ialah saudara jauh mereka, sebangsa dan seagama, maka moleknya kita sebagai Melayu Semenanjung dan rumpun-rumpunnya mengenali betapa Brunei tidak pernah lokek dengan sejarah sultannya yang agung dari zaman purba sehinggalah ke hari ini. Maka izinkan saya menitip 4 nama yang akan kita bicarakan kali ini.

Sebenarnya sejarah keagungan Brunei sudahpun dicatatkan terlalu lama. Sangatlah lama. Rekod tentang kerajaan ini pernah berada di bawah Empayar Melayu Srivijaya dan juga Majapahit. Namun, ketika Majapahit mengalami era kejatuhannya, maka bermulalah era kebangkitan Brunei dalam sejarah Nusantara sebelum ini hanya dikenali sebagai jajahan atau naungan dua empayar hebat Nusantara.

Perlu diketahui bahawa di Brunei, dalam sejarah penulisan kuno Cina seawal kurun 7-8M dan 644M, nama Mo-lo-yeo (Melayu) sudah mula bertapak di Po-ni (Brunei). Ini bermaksud Melayu sudah lama wujud di bumi Brunei.

1. Sultan Muhammad Shah (1363-1402 Masihi)

Kesultanan Brunei hari ini tidak akan berdiri tanpa jasa daripada pemilik nama Awang Alak Batatar ini. Segala kegemilangan Brunei yang wujud selepas itu pastinya dimulakan oleh Awang Alak Batatar atau namanya Sultan Muhammad Shah. Baginda menukar nama kepada Sultan Muhammad Shah. Maka moleknya sebelum kita mengenali sultan-sultan Brunei yang agung, kita mulakan cerita dengan serba sedikit kisah tentang pengasas Kesultanan Brunei ini.

Baginda dikatakan dikahwin dengan anak raja Singapura Purba lama bernama Puteri Dayang Pingai pada tahun 1368. Mempunyai rekod menghantarkan utusan ke China dan mengahwinkan anak perempuannya yang bernama Puteri Ratna Dewi berkahwin dengan adinda kerabat Maharaja China iaitu, Ong Sum Ping. Tidak banyak yang diketahui tentang Sultan Muhammad Shah, tetapi perlu untuk kita kenal pengasas Kesultanan Melayu Brunei hari ini kerana dari legasinya nanti, akan muncul raja-raja Melayu yang hebat dalam sejarah Brunei.

2. Shariff Ali (1425 – 1432 Masihi)

Baginda merupakan seorang ulamak yang berketurunan Taif, dari semenanjung Arab hari ini. Baginda juga merupakan menantu kepada Sultan Ahmad atau nama lainnya Awang Pateh Berbai. Isteri baginda bernama Puteri Ratna Kesuma. Oleh kerana Sultan Ahmad tidak mempunyai waris lelaki, maka Shariff Ali mengambil alih pemerintahan daripada mertuanya.

Tetapi sebelum itu, perlu diketahui bahawa baginda dikahwin dengan anak perempuan Sultan Ahmad iaitu Puteri Ratna Kesuma adalah kerana jasanya yang terlalu besar berdakwah dan menyebarkan Islam di bumi Brunei.

Shariff Ali adalah dikatakan berketurunan daripada susur galur Rasulullah S.A.W. Dan sepeti mana nenek moyangnya, Shariff Ali membawa nama ahlul-bait dengan sebaik-baiknya. Bukti kuat yang mengatakan bahawa baginda berasal dari Taif adalah berdasarkan kepada pusaka peninggalan baginda iaitu ‘Pedang Si Bongkok’ yang masih tersimpan dan dipelihara oleh sultan-sultan Brunei sebagai pewaris turun-temurun.

Bentuk dan keadaan ‘Pedang Si Bongkok’ ini sama seperti pedang yang tersimpan di Muzium Islamiah, Mesir. Pedang yang seumpama dengannya biasanya dihadiahkan oleh Kerajaan Turki kepada dua Amir iaitu Amir Mesir dan Amir Mekah dan digunakan dalam sekitar abad ke-14 dan 15.

Ini jelas menunjukkan bahawa Sultan Sharif Ali itu datang dari Mekah dan berkemungkinan besar pernah menjadi Amir Mekah sewaktu Mekah di bawah pemerintahan Kesultanan Turki Uthmaniyah sejak tahun 1520.

Untuk pengetahuan semua, Brunei di bawah pemerintahan Shariff Ali memasuki era agama Islam tumbuh dengan suburnya. Shariff Ali merupakan seorang sultan yang sangat alim sehingga mendapat gelaran Sultan Syarif Berkat.

Betapa Islam diangkat ketika pemerintahan baginda apabila baginda menjadi sultan pertama dalam sejarah Brunei yang membina Masjid, dengan harapan agar pembinaan masjid itu.syiar Islam akan berkembang. Bahkan usaha Shariff Ali untuk memastikan syariat Islam terbela bukan berhenti dengan membina masjid sahaja.

Baginda dicatatkan juga sebagai mengharamkan pemakanan daging babi di Brunei atau sesiapa yang berbuat demikian selagi berada di bawah jajahan Brunei, akan dihukum mati!

Bukan itu sahaja, baginda juga tidak pernah melupakan aspek pertahanan Brunei apabila mengarahkan pembinaan Kota Batu pertama di Brunei yang juga dinamakan sebagai Kota Baru, kira-kira satu batu lokasinya daripada Bandar Seri Begawan di Brunei hari ini.

3. Nakhoda Ragam/Sultan Bolkiah (1485 – 1524 Masihi)

Sesungguhnya, kegemilangan Brunei di puncak keemasannya adalah di bawah pemerintahan baginda. Untuk pengetahuan semua, baginda Nakhoda Ragam atau nama lainnya Sultan Bolkiah merupakan salah satu daripada “conqueror” dalam sejarah Melayu yang harus kita banggakan.

Kalau Acheh boleh berbangga dengan wujudnya “conqueror” seperti Sultan Iskandar Muda, kalau Kedah boleh berbangga dengan wujudnya “conqueror seperti Sultan Muhammad Jiwa yang membina empayar menjauh sehingga ke Burma, kalau Srivijaya terkenal dengan tokoh penakluk hebat seperti Dharanindra dan Dapunta Hyang Sri Jayanasa, atau Majapahit berbangga dengan penakluk hebat seperti Raden Wijaya dan juga Patih Gajah Mada, maka orang Melayu Brunei harus berbangga dengan kewujudan tokoh penakluk seperti Nakhoda Ragam.

Untuk rekod, empayar Brunei di bawah Nakhoda Ragam membentang ke keseluruhan Pulau Borneo seperti Sambas, Tanjungpura, Kota Waringin, Banjarmasin, Pasir, Kutai, Bulungan dan lain–lain lagi wilayah yang terkenal dalam Borneo, bahkan tidak cukup dengan itu, empayarnya sampai pula ke Kepulauan Sulu, Palawan,Mindoro,Keramian hingga Luzon dan Manila. Baginda berjaya menewaskan Raja Sulu dan Luzon dalam melebarkan empayarnya.Kekuasaan Brunei dirasai dari seluruh Borneo hingga ke Kota Seludong di Luzon,Filipina (kini dikenali sebagai Manila).

Pada zaman baginda jugalah,Brunei mula mencapai zaman kegemilangannya.Brunei muncul sebagai sebuah pusat perdagangan yang masyhur di Asia Tenggara selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis.Syiar Islam turut dikembangkan dengan meluas oleh Brunei sehingga ke utara Filipina,sehingga melahirkan beberapa buah kerajaan-kerajaan Islam yang kecil di Filipina seperti Pampanga,Tundun (Tondo) dan Kota Seludong (Manila).Kesemua negeri-negeri kecil ini berfungsi sebagai kerajaan satelit (satellite state) bagi Empayar Brunei di bawah Sultan Bolkiah ini.

Baginda digelar Nakhoda Ragam kerana kegemarannya bermain kecapi dan gendang semasa mengembara di seluruh kepulauan miliknya. Baginda juga gemar membawa segantang lada hitam dlm kembaranya. Sepanjang perjalanan, baginda akan mencampakkan sebiji lada di kawasan jajahannya, sehingga habis segantang menunjukkan keluasan empayarnya.

Baginda Nakhoda Ragam dikatakan berkahwin dengan puteri Sulu yang bernama Puteri Laila Menchanai. Baginda mangkat pada tahun 1524. Terdapat sebuah kisah unik tentang kemangkatan baginda.

Ketika baginda sedang bermanja di pangkuan isterinya, baginda dikatakan tercucuk akan jarum emas yang ketika itu sedang digunakan oleh isteri baginda untuk menjahit lalu baginda Sultan pun mangkat. Baginda dimakamkan di Kota Batu yang didirikan oleh nenek moyang baginda iaitu Sultan Sharif Ali. Pemerintahan Empayar Brunei diteruskan oleh putera baginda,Sultan Abdul Kahar.

4. Sultan Saiful Rijal (1533 -1581 Masihi)

Usaha sultan-sultan sebelum baginda seperti Nakhoda Ragam menyebabkan Islam bertapak dengan kukuh di Filipina sebelum kemasukan Sepanyol. Namun, ketika kemasukan penjajah Sepanyol ke Nusantara, maka sinar Islam yang mula berkembang di Filipina mula dirisaukan oleh Sepanyol.

Ketika Ferdinand Magellan mula-mula sampai di Borneo mereka tidak berani untuk mengusik Brunei yang dilihat sebagai kerajaan yang sangat kuat, sebaliknya mengalihkan pandangan mereka ke pulau Luzon. Kedatangan Sepanyol di rantau ini dilihat sebagai satu misi keagamaan untuk menyebarkan ajaran Kristian. Gereja Katolik memainkan peranan yang besar dalam ekspedisi mereka. Dalam usaha menyebarkan ajaran Kristian inilah mereka melihat Brunei sebagai penghalang yang paling besar.

Punca kepada konflik diantara Sepanyol dan Brunei bermula atas sepucuk surat yang ditulis oleh Dr Francisco de Sande untuk Sultan. Antara kandungan surat ini adalah ia mendesak Sultan Saiful Rijal supaya tidak menghantar pendakwah-pendakwah Islam ke kepulauan Filipina dan Borneo lagi dan membenarkan paderi katolik masuk menyebarkan Christian di Brunei. Kandungan surat tersebut turut MENGHINA AGAMA ISLAM dengan mengatakan bahawa agama Islam adalah AGAMA SESAT YANG JAHAT dan agama Kristian adalah agama yang sebenar.

Sultan Saiful Rijal amat marah lalu mengoyak-ngoyakkan surat tersebut. Bagi Sultan Saiful Rijal, penghinaan pihak Sepanyol terhadap agama Islam adalah sesuatu yang amat biadap. Jika kita membaca penulisan dari sejarawan barat tentang perkara ini akan kita dapati bahawa mereka menggambarkan yang Sultan Saiful Rijal bertindak agressif tanpa sebab musabab yang munasabah. Sebaliknya kita tahu mengapa Sultan begitu marah dengan Sepanyol, ia adalah kerana Sepanyol dengan terang-terangan MENGHINA ISLAM.

Selain itu tindakan Sepanyol menyerang kerajaan kaum muslimin di Filipina seperti di Luzon, Sulu dan Cebu adalah suatu penghinaan terhadap kedaulatan Brunei sendiri. Hal ini kerana keluarga diraja Sulu dan Luzon adalah bersaudara dengan Brunei iaitu Raja Sulaiman di Kota Selurong (Manila sekarang) dan Raja Lakandula di Kota Tundun. Raja Sulaiman mempertahankan Kota Selurong atau Manila dengan hebat namun baginda syahid pada 3 Jun 1571. De Legazpi berjaya menduduki Manila dan mengisytiharkan Manila sebagai pusat pemerintahan Sepanyol di timur. Keturunan Raja Sulaiman beberapa kali cuba menawan kembali Manila tetapi tidak berjaya. Bermula dari situ, maka satu persatu wilayah Islam di Filipina dihapuskan.

Pada Mac 1578, Dr. Francisco De Sande Kapten Sepanyol di Manila bertolak ke Brunei dengan 40 kapal perang. Ia sampai ke perairan Brunei dan mengutuskan surat kepada Sultan Saiful Rijal meminta baginda menerima pederi Kristian. Baginda tidak menerimanya dan tidak mahu mengalah kepada musuh Islam. Pada 14 April 1578 de Sande melanggar Brunei. Dengan serta merta armada Sepanyol membedil kapal-kapal perang Brunei yang sebanyak 50 buah.

Askar-askar Brunei yang tidak bersedia tidak dapat berbuat apa-apa apabila armada mereka hangus dan tentera Sepanyol menyerang kampong air. Istana Sultan akhirnya dapat ditawan dan semua harta benda Sultan dan penduduk dijarah mereka. Namun Sultan dan para pengikutnya berundur ke Jerudong. Setelah ke Jerudong Sultan kemudian berpindah pula ke Pulau Raja. Bendahara Sakam yang mengiringi Sultan kemudian kembali ke Brunei dan menghimpunkan pahlawan-pahlawan Islam.

Catatan barat ada menyebut bahawa mudahnya serangan terhadap Brunei oleh Sepanyol adalah disebabkan oleh pembelotan dua orang pembesar Brunei yang tidak berpuas hati dengan Sultan. Pada 1578, Pengeran Bendaraha Sakam memimpin serangan ke Brunei dengan lebih daripada 1000 orang pahlawan. De Sande dapat dikalahkan dan lari meninggalkan Brunei. Pasukannya dikejar sehingga ke Nausung (Sabah).

Dalam catatan pihak Sepanyol tidak disebut langsung mengenai serangan balas yang dilakukan oleh Bendahara Sakam sebaliknya tentera Sepanyol dikatakan terpaksa meninggalkan Brunei kerana mereka mendapat penyakit taun dan cirit-birit sehinggakan ramai diantara tentera mereka mati.

Sebelum mereka meninggalkan Brunei pihak Sepanyol yang marah dan geram dengan sengaja membakar Masjid agung Brunei. Mereka turut memusnahkan Makam Sultan Bolkiah. Banyak harta rakyat dan Sultan diambil. Pada 4 Mac 1579 Sepanyol datang lagi diketuai oleh Kapten Don Juan Arce de Sadornil.

Namun akhirnya mereka berundur kerana melihat pertahanan Brunei yang terlalu kuat. Brunei kali ini memang telah bersedia dengan angkatan mereka. Hal ini menggerunkan Sepanyol. Sepanyol silap di dalam menilai orang Melayu Brunei. Orang Melayu Brunei bukan selemah seperti tamadun Mesoamerika seperti tamadun Maya,Inca dan Aztec yang pernah mereka tundukkan dahulu!

Kisah Perang Kastilan yang kami catatkan di dalam ini juga menunjukkan betapa Sultan Saiful Rizal adalah seorang raja yang sangat tabah , cekal dan gigih bukan sahaja mempertahankan negara, agama dan bangsanya, tetapi saudara sebangsa dan seagama yang menjadi mangsa penjajah durjana!

Bacaan Lanjut: 

1. Joaquin, Nick, Manila, My Manila: A History for the Young. City of Manila: Anvil Publishing, 1990.

2. Saunders, Graham E, A history of Brunei, 2002.

3. The Brunei Museum Journal, Brown, D. E., Spanish Accounts of their Expeditions against Brunei in 1578-79, volume 3, 180-221.

4. John S Carroll, “Francisco de Sande’s Invasion of Brunei in 1578: An Anonymous Spanish Account”.

5. http://www.history-centre.gov.bn/sultanbrunei.htm

6. http://www.pusat-sejarah.gov.bn/sultanbrunei.htm

7. http://www.pelitabrunei.gov.bn/news/pelita/27ogos09/berita17.htm

Comments

comments

Previous articleSeppuku – Ritual Membelah Perut Oleh Samurai
Next articleSeven Deadly Sins Dari Sudut Pandang Islam
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here