Ops Iblis: Di Bawah Hujan Peluru

0
5863
views

“Ketika di Rejimen Ketiga Peninjau, saya telah ditumpangkan ke Markas 2 Briged yang bertempat di Ipoh sebagai Pegawai Perisikan dan juga Pegawai Perhubungan. Di sinilah satu operasi besar-besaran telah dilancarkan yang bernama ‘Operasi Iblis’ bertempat di kawasan Hutan Korbu, Sungai Siput dan Tanah Hitam. Di dalam operasi inilah Kapten Mohan Chandran a/l Velayuthan telah gugur ditembak oleh pengganas komunis yang beroperasi di kawasan tersebut. Dengan keberanian Kapten Mohan Chandran, beliau telah dianugerahkan Seri Pahlawan Gagah Perkasa oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 7hb Jun 1972.

Pada 13 Jun 1971, selepas 10 hari membuat rondaan untuk menjejaki Pengganas Komunis (PK) di kawasan Hutan Simpan Kinta, pasukan 4 Renjer ( 4 RRD)  yang diketuai oleh mendiang Kapt. Mohan telah menjumpai sebuah kem PK yang dianggarkan boleh memuatkan seramai 50 orang. Namun demikian, kehadiran mereka telah disedari oleh musuh. Maka berlakulah satu pertempuran yang begitu hebat di antara kedua-dua pasukan. Akhirnya, Kapt. Mohan telah terbunuh dan 2 anggota lagi turut tercedera”.

Apabila terdapat tanda kehadiran musuh  di Hutan Simpan Korbu, Sg. Siput dan Tanah Hitam antara  8 Mei hingga 31 Mei 1971, satu kumpulan risik telah dibentuk. Risikan yang diterima ialah musuh baru saja memasuki kawasan tersebut dipimpin oleh DCM Chong Kwai Hong, dikenali juga sebagai Chong Chor. Yang tidak diketahui ialah musuh sebenarnya telah berada di kawasan tersebut sejak 2 bulan sebelumnya. Kubu tersebut telah diperkuatkan dengan parit dan mempunyai dapur bawah tanah.

Untuk memusnahkan musuh ini, satu pasukan telah ditubuhkan iaitu sub – unit Unit Combat Intelligence Platoon/Platun Unit Risikan Gempur (4RRD) , terdiri drpd 10 anggota diketuai Kapten V. Mohan Chandran ( 200402)  daripada pasukan  4RRD, Agen Khas Kerajaan (Surrendered Enemy Personnel daripada darurat pertama/ SEP), Special Branch dan anggota-anggota  daripada 3 Rejimen Risik. Mereka telah ditugaskan menyiasat pergerakan musuh di hutan Ulu Kinta , Perak.

Antara anak-anak buah Kapt. Mohan Chandran. Saya tidak ingat siapa yang telah menghantarkan gambar ini kepada saya.

Kumpulan gabungan ini telah dimasukkan ke kawasan operasi pd 3 Jun 1971. Ia diketuai oleh Kapt. Mohan Chandran dan dibantu oleh Lt. M. Donald Patrick John (2000913). Mereka telah bertolak dari Kem Suvla Lines, Ipoh dengan 2 buah trak 3 tan dan sebuah Land Rover pada jam 1100 menuju Tanah Hitam, Chemor melalui Ulu Kinta. Mereka berpecah di sebuah kawasan ladang berdekatan Kem Briged Utara Pasukan Polis Hutan di Ulu Kinta. Mereka bergerak sejauh satu map square (1 km) untuk bermalam disitu.

Mereka bergerak selama seminggu, dipandu oleh SEP yang kebanyakannya berbangsa cina. Satu ketika, mereka keluar dengan bertemankan anggota Renjer, dan telah terjumpa satu penempatan orang asli. Mereka berjaya mendapatkan maklumat daripada Orang Asli  tersebut dan ketika kembali kepada  kumpulan besar, mereka berkata “Kawan kalau mahu selamat lebih baik tidak usah pergi”. Renjer (Rjr. ) Abang Bolhi bin Abang Doladi menjawab “Mana boleh buat apa, itu terpulang kepada Pegawai saya”.

Salah seorg SEP itu telah meminta salah seorg Orang Asli tersebut untuk memandu pasukan Renjer ke lokasi musuh dipercayai terletak di Sg.  Kinding. Di dalam  perjalanan, mereka telah bertembung dengan  seorang lelaki  Orang Asli dan 2 lelaki Cina. Setelah disoal siasat, ketiga-tiganya dilepaskan kerana pemandu Orang Asli tersebut mengenalpasti kesemuanya sebagai pencari bijih yang selalu ditemuinya. Dia hanya sanggup membawa pasukan itu ke Sg. Kinding, dan tidak berani pergi lebih jauh kerana pernah terserempak dengan satu kumpulan lengkap bersenjata berkekuatan sekitar 30 orang. Orang Asli tersebut meninggalkan mereka dan pulang ke penempatannya. Malam itu pasukan berehat di Sg. Kinding. Pagi esoknya, beberapa kumpulan ronda telah dihantar oleh Kapt. Mohan Chandran untuk  mengenalpasti keadaan muka bumi dan mencari kesan-kesan musuh. Rjr Bolhi berada dlm kumpulan Lt M Donald. Pada hari itu, mereka telah terjumpa sebuah pondok.

Di dalamnya, Rjr. Abang Bolhi menjumpai sekeping kertas, iaitu satu resit untuk  pembelian chainsaw bertarikh 24 Mac 1971. Setelah menyerahkan resit tersebut kpd Lt. M. Donald, beliau turun ke kawasan basuhan berdekatan dan menjumpai sehelai kemeja hijau disembunyikan disitu. Lt. M. Donald kemudian mengarahkan Rgr. Bolhi untuk bergerak ke lokasi Kapt. Mohan  Chandran dan menyerahkan baju tersebut serta memberikan laporan penemuan. Hari berikutnya, iaitu 12 Jun 1971, mereka menyambung aktiviti mencari kesan musuh. Selepas berehat makan tengahari, mereka berkumpul untuk  mendengar arahan daripada  Kapt. Mohan Chandran. Selepas menyampaikan arahannya, kata-kata  akhir beliau adalah “Cuci senjata elok-elok. . . esok kita akan berperang”. Kebanyakan anggota pasukan berasa kurang selesa dengan ayat tersebut kerana suara beliau juga agak lain ketika itu. Kata-kata itu juga mengganggu perhatian Rgr Bolhi ketika dalam perjalannya pulang ke lokasi Lt. M. Donald. Untuk menenangkan diri, beliau telah menjahit seluarnya yang koyak tetapi kesemua jarum yang digunakannya telah patah, hingga ke jarum yang paling besar. Semuanya membuatkan dia mula resah.

Untuk melegakan hatinya, beliau telah memancing di anak sungai berhampiran. Beliau berjaya menangkap beberapa ekor ikan dan telah memasaknya untuk  dimakan keesokannya. Walaubagaimanapun, beliau telah terlupa untuk membawanya bersama-sama ketika menjalankan rondaan keesokannya. Seperti dirancang, pada 13 Jun 1971, satu kumpulan ronda 15 anggota dengan  2 SEP telah keluar meronda. Mereka kemudiannya telah berpecah. Rgr. Bolhi mengikut kumpulan Kapt Mohan Chandran bersama-sama 601509 Kpl. Rahman bin Jaafar, 929223 Rjr. Bajau ak Ladi dan 928939 Rjr. Ali bin Jaafar. Kumpulan Lt. M. Donald pula  terdiri daripada 203523 Kpl. Osman bin Sharif (3KRD), Rjr. Zainal, Rjr. Norsin dan 22594 Rjr. Khasan bin Awang.  Kumpulan ketiga pula dianggotai 5 orang diketuai oleh Kpl. Musa. Ketika meronda, Lt. M. Donald meminta senjata M79 yang dibawa oleh Rjr. Bolhi. Beliau memberitahu Lt. M. Donald untuk meminta kebenaran daripada Kapt. Mohan Chandran. Selepas mendapat kebenaran, beliau telah  menyerahkan M79 tersebut dan diberikan ganti selaras sterling sub machine gun – seperti  anggota lain kumpulan tersebut kecuali Rjr. Ali yang membawa Light Machine gun (LMG).

Pelancar grenad M79. Gambar daripada Guns. com

Mereka meninggalkan kem pada jam 0800 diketuai kumpulan Lt. M. Donald. Kumpulan Kpl. Musa telah diberikan arahan untuk  menjalankan serang hendap di laluan yang mereka ambil. Kumpulan itu terserempak dengan  seorang lelaki Orang Asli  sedang memburu dengan sumpitnya. Salah seorang SEP menghampiri Orang Asli itu dan bercakap dengannya. Selepas itu, mereka meninggalkannya. Rjr. Bolhi menjadi recce/ pendahulu untuk kumpulan Kapt. Mohan Chandran. Beliau diikuti 2 SEP, kemudian Kapt. Mohan Chandran, Rjr. Bajau, Kpl. Rahman dan Rjr. Ali. Mereka dipisahkan daripada  kumpulan Lt. M. Donald dengan jarak tak sampai 10 meter.

Kata Rjr. Bolhi : “Saya sedang mengikut denai yang dambil oleh kumpulan Lt. M. Donald, apabila saya terjumpa satu laluan yang bersilang dengan  denai tersebut. Nampaknya masih segar lagi. Laluan itu sudahpun dilintasi kumpulan Lt. M. Donald tanpa mereka sedari. Saya menunjukkan kesan pudar itu kepada SEP di belakang saya. SEP tersebut dan saya mengikut jejak tersebut yang menyeberangi sebuah rabung. Selepas mengikut jejak itu untuk seketika, SEP itu mengesahkan ianya memang jejak musuh. Namun dia tidak pasti samada jejak itu membawa ke kem musuh atau sekadar menuju  ke hujung rabung tersebut. Kami berpatah balik untuk  membawakan berita penemuan tersebut kepada  Kapt. Mohan  Chandran. Kapt. Mohan  Chandran mengarahkan pergerakan dihentikan, dan menyuruh saya bergerak ke depan dan memanggil kumpulan Lt. M. Donald untuk  berpatah balik dan bergabung dengan  kumpulan kami bagi perbincangan lanjut. Saya berlari ke arah di mana kali terakhir saya melihat kumpulan Lt. M. Donald. Hampir saja satu ketika saya melepaskan tembakan ke arah satu bayang yang muncul tiba-tiba daripada celah  semak. Rupanya ia adalah Kpl. Osman – anggota terakhir dlm kumpulan Lt M Donald.

Saya memberikan isyarat tangan memberitahu Kpl. Osman yang kumpulan itu harus berpatah balik. Saya membawa mereka ke lokasi kapten. Semasa briefing, Kapt. Mohan  Chandran memberitahu kami yang semua SEP itu keberatan untuk mengikut jejak ke kem musuh tersebut. Mereka tahu, maut yang bakal menyambut kalau mereka bertembung lagi dengan komrad-komrad lama mereka. Oleh itu, mereka enggan terlibat dalam  pertembungan dengan  kumpulan lama mereka itu. Jadi, kapten telah mengarahkan mereka agar mereka balik ke pengkalan tetap di Sg. Kinding tanpa diiringi sesiapa.

Kapt. Mohan  Chandran meminta bantuan melalui radio, tetapi beliau diarahkan agar menggunakan apa yang ada saja. Selepas makan tengahari sekitar jam 1400, Lt. M. Donald bergerak bersama kumpulannya ke arah kanan rabung itu, sementara kumpulan kami ke arah kiri. Sambil kami berjalan, Kapt. Mohan  Chandran mengingatkan kami tentang sungai yang berada di bawah rabung itu, yang akan membawa kami ke pekan Chemor sekiranya kami perlu melepaskan diri.

Ketika turun daripada  rabung itu, saya berada di depan, diikuti Kapt. Mohan Chandran, Rjr. Bajau, Kpl.  Abdul Rahman dan Rjr.  Ali . Saya perasan Kapt. Mohan  Chandran yang memakai baju kelabu, kelihatan resah dan menghisap rokok tanpa henti. Bibirnya kelihatan pucat. Saya bertanya kepadanya kalau ada sesuatu yang tak kena. Beliau menidakkannya. Perasaan aneh menjalar di benak saya. Saya cuba menyingkirkannya dengan berlari turun daripada  bukit itu, dan ketika sampai, saya dapati terdapat satu anak sungai siap dengan paip buluh. Saya mengisi botol air, tanpa menyedari yang ianya adalah sumber air musuh. Kapt. Mohan  Chandran mengikut saya dengan pantas tanpa berhenti, memotong saya, melintasi anak sungai itu dan mula memanjat bukit di depan dengan cepat, seolah-olah beliau telah terhidu bau musuh.

Selepas naik beberapa meter, saya nampak dia memberikan isyarat ibu jari kiri ke bawah diikuti tunjukan arah. Itu bermaksud, musuh di hadapan! Tanpa membuang masa, saya berkejar ke arahnya. Sebaik sampai kepada beliau, beliau mengarahkan saya merisik kedudukan musuh di hadapan. Dengan perlahan saya bergerak, dan ketika sampai ke jarak 3 langkah panjang, saya nampak 3 org musuh. 2 daripadanya sedang mengorek lubang, berpakaian singlet putih dan seluar kelabu, sementara seorg lagi yang beruniform lengkap menjadi pemerhati. Tiba-tiba mata kami bertembung dan sekelip mata berlalu sebelum sesiapa memberikan reaksi. Sementara itu, Kapt. Mohan  Chandran sedang bersembunyi di belakang sebuah batu besar di sebelah kanan saya .

Anggota-anggota  lain yang masih berada di bawah bukit, belum sedar tentang apa yang berlaku. Saya berbelah -bahagi kerana kalau nak melepaskan tembakan, saya mungkin tak mampu menumbangkan kesemuanya, sebab 3 lawan 1. Mulanya saya nak baling grenad 36 saja, tapi terfikir juga mungin grenad itu akan gagal meletup. Akhirnya saya memutuskan melepasan tembakan dengan sterling sub machine gun itu, dan saya lihat ketiga-tiganya tumbang.

Kami berbalas tembakan. Tapak tangan saya berjaya ditembusi peluru musuh. Sebutir lagi tembus melalui belakang ketiak kanan saya dan keluar melalui dada kanan saya. Menderu darah membasahi saya. Saya berkata. . “Ya Tuhan. . matilah aku. ”Saya terjatuh dan tergolek turun daripada bukit itu, dan ketika itu, saya telah terhilang satu kelopak peluru. Saat itu, Kapt. Mohan  Chandran pantas bergerak untuk  melindungi saya daripada terus ditembak musuh. Beliau mula menembak ke arah musuh. Sebaik sampai ke kaki bukit, saya disambut Rjr. Bajau yang bertanya pada saya, “Apa dah jadi Bolhi?”Dalam keadaan pening, saya menjawab yang saya hampir mati dan saya telah ditembak. Rjr. Bajau ak Ladi sebaik mendengar perkara itu, segera melepaskan saya dan mula menembak ke arah atas bukit “.

Rjr. Bajau kemudian berlari naik sambil menembak, sehingga beliau pasti beliau sudah berada dekat dengan  Kapt. Mohan  Chandran. Kapten mengarahkan Rjr.  Bajau untuk memberikan tembakan perlindungan buatnya sementara beliau menghampiri kedudukan musuh. Arahan tersebut dituruti oleh Rjr. Bajau yang melepaskan tembakan tanpa henti ke arah musuh yang sedang berkubu. Ketika ini, Kpl. Abdul Rahman sampai ke lokasi tersebut dan mengambil kedudukan di sebelah Rjr. Bajau dan turut sama menumpukan tembakan ke arah musuh. Sementara itu, Rjr. Ali beserta LMGnya mempunyai masalah menyeberangi anak sungai itu. Melihatkan ini, Rjr. Bajau berlari turun dan mendapatkan LMG tersebut. Dia menukarkan sterlingnya dengan  LMG yang dipegang  Ali. Dia terdengar Kapt. Mohan Chandran berteriak “Seksyen 1 ke kiri. Seksyen 2 ke kanan. Serang ! Serang !Serang !”, sambil memberikan arahannya dengan tenang dan jelas.

Dalam keadaan berbalas tembakan itu, dimana Kapt. Mohan Chandran menembak ke arah musuh sambil dilindungi oleh Kpl.  Abdul Rahman, tembakan musuh rupa-rupanya telah menghentam Kapt. Mohan  Chandran. Rjr. Bajau berlari naik  ke bukit tersebut untuk  memasang LMG bagi memberikan tembakan perlindungan kepada  Kapt. Mohan  Chandran. Tanpa disedari Kapt. Mohan Chandran, peluru musuh telah hinggap di kepalanya. Beliau terus menembak sebagai tindakbalas refleks sehinggalah tubuhnya kaku sendiri, di medan perang pada hari itu di hutan Ulu Kinta, Perak. Walaupun beliau hanya bersama dengan sekumpulan kecil anggota, keberaniannya berjaya mengelirukan musuh tentang kekuatan sebenar pasukan kami. Beliau tahu kami berhadapan jumlah musuh yang lebih besar, selepas pertembungan bermula, tapi ianya sudah terlalu lewat untuk menanti bantuan, kerana hari sudahpun lewat. ”

Apa yang tidak diketahui oleh Kapt. Mohan Chandran ialah, musuh yang menunggunya ketika itu sebenarnya hanya 1/3 daripada  kekuatan penuh. Selebihnya ketika itu sedang menjalankan tugas meronda. Musuh daripada  kedudukan atas bukit itu melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah Rjr. Bajau dan Kpl. Abdul Rahman. Rjr. Ali pada  ketika itu sudah berjaya menyertai mereka. Tapi, sesiapapun tak dapat bergerak dek kerana tembakan padat yang dilepaskan musuh. Kpl. Abdul Rahman menimbang situasi tersebut dan memutuskan, mungkin, Kapt. Mohan  Chandran telah terbunuh kerana beliau sudah tidak bergerak dan suaranya sudah tidak kedengaran. Beliau sendiri tidak pasti pada  ketika itu.

Rjr. Bajau terus maju menempuh peluru musuh sambil melepaskan tembakan bertalu-talu menggunakan  LMG tersebut. Ketika sedang bergerak itu, sambil cuba merebahkan musuh yang berada di atas bukit itu, Rjr. Bajau terasa sesuatu berlanggar dengan paha kirinya. Beliau nampak darah mula membuak daripada  kesan tembakan  dan berteriak kpd Kpl. Abdul Rahman, “Koperal… saya kena tembak di kaki ! “Beliau berlindung dibantu Kpl. Abdul Rahman di sebalik seketul batu besar yang sebelumnya digunakan Kapt. Mohan  Chandran.

Dengan kekuatan musuh yang jauh lebih besar daripada  mereka, tak banyak yang mampu dilakukan Kpl. Abdul Rahman dan Rjr. Ali. Selepas beberapa ketika, mereka terdengar bunyi letupan tembakan  M79 – kemungkinan daripada  kumpulan Lt. M. Donald, yang nampaknya tidak banyak memberikan kesan kepada pasukan musuh. Musuh berterusan menghujani mereka dengan peluru. Selepas setengah jam tembakan hebat, ia mula surut. Kpl. Abdul Rahman dengan  telinga yang masih berdesing dek bunyi peluru dan mata yang kabur dek asap daripada  tembakan, mula mencari Kapt. Mohan Chandran.

Tiba-tiba, beliau terlihat sebuah topi hutan  tergantung ppada duri sejalur rotan yang berada di situ. Beliau mengenalpastinya sebagai  milik Komander Kompeninya –  Kapt. Mohan  Chandran. Hatinya masih berharap ketuanya itu masih hidup untuk  pulang bertemu ahli keluarganya, dan berat memikirkan sebarang kemungkinan kerana beban menjadi seorg ketua itu terasa berat di bahunya. Beliau merangkak ke arah Kapt. Mohan  Chandran yang terbaring, sambil mengarahkan Rjr. Ali memberikan tembakan perlindungan. Pada mulanya, beliau tidak perasan sebarang luka pada tubuh Kapt. Mohan Chandran. Beliau hanya nampak kesan dua butir peluru pada sisi kiri dan kanan kepala Kapt Chandran selepas tubuhnya diterbalikkan. Darah membuak keluar daripada luka itu, dan tiada nadi dikesannya pada tubuh kaku itu. Kegusarannya sepanjang hari itu terbukti menjadi nyata.

Kpl.  Abdul Rahman menarik dan mengheret tubuh kaku itu ke satu lekukan berdekatan dengan posisi sebelumnya. Beliau mengambil pistol, sub machine gun, kompas, peta, jam dan semua amunisi Kapt Chandran. Beliau menutup mayat Kapt Chandran dengan  daun bertam dan sebelum meninggalkan kedudukannya, beliau menjerit, “Kompeni B… tembakan perlindungan. Kompeni C. . serang !!”Ianya adalah satu tipu helah untuk membuatkan musuh berfikir yang terdapat  2 kompeni trup sebenarnya sedang menyerang mereka. Dengan teriakan itu, mereka terus menembak ke arah musuh. Selepas seketika, mereka terdengar musuh mengemaskan barangan mereka untuk  berundur dan melaung, “Chau, chau, chau “. Beliau memberitahu Rjr. Bajau dan Rjr. Ali bahawaa Kapt. Mohan Chandran sudah meninggal. Kpl. Abdul Rahman mengarahkan Rjr. Bajau dan Rjr. Ali untuk menunggu di pos mereka sehingga malam. Ini adalah supaya mereka dapat berundur daripada  lokasi mereka hanya setelah diselubungi kegelapan, bagi mengelak dikesan musuh yang mungkin masih berada di atas bukit itu.

Hujan mula turun dengan lebat. Kpl Rahman mengarahkan Rjr. Bajau yang tercedera untuk memantau keadaan atas bukit, Rjr. Ali ke arah kiri dan beliau sendiri memantau keadaan sebelah kanan lokasi mereka. Mayat Kapt Chandran berada tidak jauh di belakang mereka. Selepas seketika, beliau mengarahkan mereka meneruskan pemantauan sementara beliau cuba mendapatkan radio yang berada di bawah bukit. Walaupun radio itu rosak, beliau berjaya menyampaikan mesej kpd Platun 1 Kompeni A yang berada berhampiran. Beliau diarahkan untuk  bersabar kerana bantuan dalam perjalanan. Sekitar jam 1800 , Rjr. Bajau mula merungut kesakitan. Kpl Rahman menukar balutannya, dan memberitahunya bantuan ddalam perjalanan. Menjelang jam 2000 , bantuan masih belum tiba. Luka Rjr Bajau terus membuakkan darah.

Akhirnya, beliau bertanya samada Rjr. Bajau masih mampu berjalan. Rjr. Bajau mengiyakan, dan pada jam  2030,  mereka mula berjalan meninggalkan tempat pertempuran itu dengan  hati yang berat –  memikirkan  yang mereka meninggalkan mayat ketua mereka dan Rjr. Bolhi yang entah kemana. Mereka berjalan sehingga pagi, dan hanya berhenti  sesekali untuk  berehat. Sepanjang mereka berjalan itu, mereka nampak banyak suar ditembak, entah kenapa. Suar inilah yang memandu mereka balik ke pengkalan. Menjelang subuh, mereka telah berjaya sampai ke kaki bukit itu.

Setelah hari cerah, sekitar jam 0830, mereka bertembung dengan kumpulan daripada  Kompeni B dipimpin oleh Kapt.  Ariffin, yang sebenarnya sedang menuju ke arah mereka untuk  memberikan bantuan. Mereka diberikan makanan dan minuman, dan Kapt.  Ariffin menguruskan satu kumpulan pengusung untuk  membawa Rjr. Bajau ke LP (landing point). Ini adalah untuk mengangkut keluar Rjr. Bajau yang telah kehilangan banyak darah. Sebuah helikopter datang mengangkut beliau keluar, dan selepas itu, Kpl. Abdul Rahman dan Rjr. Ali membawa kumpulan Kapt. Ariffin ke tempat pertempuran.

Kali ini, mereka mengikut laluan yang berbeza, bagi mengelakkan bertembung dengan musuh. Mereka berharap dapat melakukan kejutan kalau-kalau pertembungan itu berlaku juga. Namun, pertembungan itu berlaku juga dan mereka ditembak hebat oleh musuh. Dalam berbalas tembakan itu, hari semakin gelap. Oleh itu, Kapt. Ariffin mengarahkan mereka untuk  melakukan pertahanan keliling, kerana ianya terlampau bahaya untuk  melakukan serangan di dalam  keadaan cahaya samar sebegitu. Sekiranya perlu berlaku pertempuran, ia harus dilakukan keesokannya.

Musuh telah berundur. Oleh itu, Kapt. Ariffin pada hari ketiga selepas pertempuran itu, telah mengarahkan mereka mencari mayat Kapt. Mohan  Chandran dan Rjr. Abang Bolhi, yang kedudukannya tidak dapat dipastikan. Platun itu telah dipecahkan kepada  kumpulan-kumpulan  lebih kecil dan digerakkan ke serata tempat untuk  mencari keduanya. Berulangkali mereka melaungkan nama Abang Bolhi. Sekitar jam  0900 , mereka terdengar suara perlahan, “Aku di sini, aku di sini, aku di sini”. Beliau ditemui dlm keadaan yang lemah sekali. Terdapat ulat pada lukanya. Ini adalah berita baik buat Kpl. Abdul Rahman yang berasa bersalah dan bertanggungjawab terhadap Rjr. Abang Bolhi. Tidak lama kemudian, Kapt . Mohan Chandran pula ditemui. Rjr.  Abang Bolhi dan mayat Kapten itu diusung ke bukit berhampiran, yang  terletak tidak jauh daripada kem musuh. Keduanya dikeluarkan dengan  pesawat dan diterbangkan ke Hospital Ipoh.

Selepas itu, mereka menyelongkar kem musuh itu. Ianya dibina kemas, terletak pada kedudukan strategik, mendominasi segala arah. Ia dibina di atas sebuah bukit kecil, di cerun sebuah rabung –  tidak mudah dilihat dan susah dihampiri. Untuk  menghampirinya memerlukan pergerakan mendaki cerun yang curam. Pasti sukar untuk melakukan serangan dan sekurangnya kekuatan satu Batalion diperlukan untuk  melakukan serangan dengan  berjaya. Terdapat banyak  kesan laluan keluar masuk oleh musuh di situ.

Ianya adalah sebuah kem yang besar yang boleh memuatkan sekitar 60 anggota. Ia mempunyai parit perhubungan yang membolehkan musuh bergerak ke kawasan sekitar tanpa dilihat – sekitar 3 kaki lebar dan 4 kaki dalam. Parit perhubungan ini digali dalam arah serangan mungkin dilancarkanke arah mereka di kem itu. Batang balak diguna untuk mengukuhkannya. Tempat tidur musuh digali di dalam tanah. Ia dibina agar tahan serangan udara dan artileri, namun mungkin boleh menerima kesan jika terdapat tembakan tepat. Mereka telah membina sistem perpaipan, membawa air ke kem itu menggunakan buluh. Antara barang yang ditinggalkan semasa mereka kelam kabut melarikan diri adalah belacan dan ikan kering. Daripada  pemerhatian, ternyata ianya bukan kem sementara tetapi kem kekal yang digunakan secara aktif.

Rjr.  Abang Bolhi menceritakan kisahnya : “Saya berdoa kepada Tuhan agar saya selamat, dan hujan turun untuk  membasuh kesan darah saya daripada  dijejak oleh musuh. Syukur doa saya diperkenankan. Saya tak mampu bergerak kerana luka akibat tembakan itu. Bila tak dengar suara kawan-kawan, saya ingatkan mereka semua telah tewas. Saya memutuskan untuk  tidur disitu. Sebelum terlena, saya teringat pesan Kapt. Mohan  Chandran. Kalau ada apa-apa benda buruk berlaku, ikut sungai tu ke Chemor. Saya memutuskan untuk  mengikut nasihatnya itu. Selepas terjaga pada  14 Jun, saya dapati saya telah kehilangan banyak darah. Ia keluar daripada  ketiak dan tapak tangan saya. Dalam keadaan merangkak, saya sempat sampai ke sebatang anak sungai, yang mengalir ke sungai besar  yang dimaksudkan Kapt. Mohan Chandran. Sampai di situ, saya basahkan tuala “good morning”saya untuk  mencuci luka.

Ketika sedang mencuci luka itu, saya dapati ia telah dihinggapi lalat dan kumbang kecil yang telah bertelur di situ. Saya dapati luka itu telah dijangkiti ulat. Saya ada pembalut medan, tapi kerana luka dikedua-dua tangan, saya tak mampu membalutnya. Sambil mencuci luka itu, saya ternampak sebuah gua kecil di depan saya, dan memutuskan untuk  bermalam disitu “.

Pada jam 1845, beliau terlihat 7 PK bersenjata dan beruniform penuh masuk ke gua itu. “Terkejutnya saya, Tuhan saja yang tahu. Saya ingat nak baling grenad, tapi dalam  keadaan yang begitu lemah, saya sedar yang saya tak mampu baling sejauh itu. Lagipun grenad saya tu dah disalut darah dan air. Mungkin ia takkan meletup. Nak menembak pun, saya tak terdaya. Tapi, saya tetap mencekah senjata dan bersedia untuk  berlawan sekiranya saya ditemui. Saya berjaga sampai pagi walaupun pening. Pada jam 0500 , musuh keluar daripada  gua itu dan meninggalkan kawasan. Pada 15 Jun, walaupun hanya dengan  minum air semata, saya rasakan kekuatan saya kembali.

Saya terfikir samada saya patut ke sungai itu, yang akan membawa saya ke tempat selamat. Semangat saya kembali setelah menyedari, saya mungkin tak mati. Saya putuskan untuk  tak mengikut sungai itu, dan mendaki semula bukit di mana saya bermalam sebelumnya. Sampai di tempat saya tidur tu, saya terdengar suara orang memanggil nama saya. Saya tau ia dalah kumpulan pencari. Saya menjerit perlahan meminta bantuan. Suara yang membalas menyuruh saya mengenalkan diri. Dengan lemah saya hanya mampu berkata , “Renjer Abang Bolhi, 4 Renjer”, sambil bergerak ke arah suara-suara  itu. Saya berjaya sampai kepada  kumpulan daripada  Kompeni B , 4RRD itu, yang diketuai Kpl. Morni. Saya dibawa ke atas bukit, diberikan teh panas dan setin nanas. Selepas dibawa ke sebuah LP, saya dikeluarkan dengan  helikopter. Selepas menerima rawatan di Hospital Ipoh, saya dihantar ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak untuk rawatan lanjut. Saya menerima rawatan selama 6 bulan di sana. ”

Ini pula kisah Kpl. Osman : “Kami sudahpun berada di lokasi, di bawah bukit ketika tembakan bermula seperti diarahkan Kapt. Mohan  Chandran. Kami ingatkan tembakan itu adalah isyarat daripada  Kapt. Mohan  Chandran untuk  memulakan serangan ke atas lokasi musuh. Sebaik bermula, kami mendekati kaki bukit itu. Kami tak dapat menyerang kerana kedudukannya yang curam, kekuatan musuh yang lebih, serta kuasa tembakan dan kedudukan strategik mereka. Musuh telah mula menembak ke arah kami, tapi tak berapa berkesan kerana kedudukan mereka terlampau tinggi. Peluru melintas atas kepala kami.

Kami bergerak ke kedudukan berlindung dan membalas tembakan. Selepas itu, saya dan Lt. M. Donald yang menyertai saya memutuskan untuk  berubah kedudukan. Untuk  melakukan ini, saya melepaskan 2 tembakan M79, yang saya ambil daripada  Rjr. Zainal. Ini membolehkan Lt. M. Donald berubah kedudukan. Selepas itu, Lt. M. Donald dan kumpulannya menembak musuh daripada arah  belakang, membolehkan saya dan Rjr. Zainal mengubah kedudukan. Pada jam 1800 , kami menaiki cerun itu ke lokasi, di belakang musuh yang sedang berbalas tembakan dengan  Kapt. Mohan  Chandran dan kumpulannya. Lokasi itu dianggap sebagai laluan undur oleh musuh. Kami melakukan serangan hendap linear, sayangnya, musuh tidak menggunakan laluan itu. Keesokannya, kami bertembung dengan  pasukan bantuan daripada  4 RRD, dengan  berita yang Kapt. Mohan  Chandran telah gugur. ”

SIAPA MEREKA?

Kapten Mohan Chandran a/l Velaythan adalah anak jati Seremban, Negri Sembilan. Beliau dianugerahkan “Seri Pahlawan Gagah Perkasa”, secara posthumous oleh DYMMSPBYDA setelah gugur di dalam  pertempuran pada usia 24 tahun. Ia telah diterima oleh ayahnya. Kpl. Osman dan Rjr.  Bajau telah dianugerahkan “Pingat Gagah Berani”.

Rjr.  Abang Bolhi dianugerahkan “Mentioned In Despatches (KPK)”.

Kpl Osman bin Sharif telah dipilih untuk menyertai operasi tersebut. Beliau berasal daripada pasukan  3 Rejimen Risik dan dikerahkan mengikut kumpulan Lt. M. Donald. Sebab beliau mengetuai satu seksyen Renjer adalah kerana, ketua asal seksyen tersebut telah jatuh sakit. Kpl. Osman dilahirkan di Kampong Legong Ulu Kota, Negeri Sembilan. Beliau memulakan kerjaya tentera pada 15 April 1961. Beliau pernah menjadi jurulatih di Pusat Latihan Rekrut di Port Dickson. Selepas 5 tahun, beliau telah ditukarkan ke 1 Rejimen Risik di Port Dickson. Skuadron beliau telah bertanggubgjawab bagi penubuhan 3 Rejimen Risik di Kem Ramilies di Ipoh pada tahun  1970. Selepas itu beliau telah menyambung tugas dengan pasukan  3 Tinjau, dan menamatkan kerjaya ddengan  pangkat Pegawai Waran 1 selepas 24 tahun dan menjadi jurulatih di Maktab Tentera Diraja. Beliau sekarang menetap di Felda Palong Lapan, Gemas.

929223 Ranger Bajau anak Ladi berketurunan Iban, dilahirkan di Kampong Sebemban, Lundu, Sarawak pada  20 Mac 1947. Beliau memulakan kerjaya tentera pada tahun  1966. Sebelum menyertai tentera, beliau adalah seorg pelayan di Kem Lundu. Selepas latihan rekrut, beliau menyertai Platun 8 Kompeni C 4RRD di Ipoh, yang kemudian berpindah ke Serian, Sarawak. Semasa insiden 13 Mei 1969 beliau telah ditugaskan ke kawasan Kuala Kurau, Perak. Beliau telah terlibat menyuraikan perusuh yang cuba menyerang Balai Polis Kuala Kurau. Baliau adalah anggota pasukan elit Tiger Platoon 4RRD(Unit Combat Intelligence Squad). Beliau menamatkan tugas pd 25 Jun 1976 selepas 10 tahun berkhidmat dengan pangkat LKpl. . . =WRA=

Rjr. Bajau anak Ladi. Imej : Twitter H2O Datuk Seri Hisyamuddin Tun Hussein

Sumber rujukan : http://renjervalour. blogspot. com/…/contact-at-kinta-forest-…

 

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here