Jom Bedah Falsafah Dalam Anime Parasyte: The Maxim

1
1095
views

Apakah perasaan anda apabila sel makhluk asing hidup di badan anda? Ya, itulah ringkasan bagi anime ini. Parasyte: The Maxim.

Anime ini berkenaan seorang pelajar lelaki sekolah menengah tinggi bernama Shinichi, dalam liku-liku kehidupannya setelah tangannya dihuni organisma/parasit asing yang bernama Migi (bermaksud tangan kanan). Dalam kebanyakan kes, organisma ini akan menghuni di otak perumah mereka dan secara tak langsung, membunuh perumah. Seterusnya, mereka akan mengawal jasad perumah dan memburu manusia sebagai sumber makanan. Bezanya, Migi gagal menghuni otak Shinichi, dan sebab itulah dia hanya menghuni tangan kanan perumahnya. Disebabkan itu, parasit-parasit lain menganggap kewujudan Migi dan Shinichi sebagai merbahaya dan bermulalah kisah mereka berdua dalam meneruskan survival mereka.

Persoalan 1: Konsep Tabula Rasa

Sepanjang perjalanan cerita, Shinichi mengalami dekonstruksi minda manakala Migi, pembinaan minda. Katakanlah minda mereka itu umpama tablet, satu penuh dengan tulisan dan satu lagi kosong. Minda Shinichi ialah yang pertama dan Migi yang kedua. Akibat terlibat dengan banyak pembunuhan dan kematian, minda Shinichi sengsara dan sedikit demi sedikit dia mengalami dekonstruksi karakter, sampai satu tahap tu dia hilang kebolehan untuk berempati. Dia hilang esen kemanusiaan. Dalam satu babak, Murano (teman wanitanya) pernah menyoal Shinichi kerana dia ragu-ragu sekiranya Shinichi masih lagi seorang manusia.

Gambar 2: Kemunculan manusia yang dijangkiti Parasyte

Sementara itu, minda Migi yang diibaratkan sebagai tablet kosong mengalami pembinaan karakter. Pada mulanya, dia tak memahami tindak tanduk manusia, terutamanya kenapa manusia saling bantu membantu. Di pertengahan cerita, Migi mula berfikiran seperti manusia normal sewaktu Shinichi hilang sifat kemanusiaan.

Tema 2: Minda Migi

Roh ialah esen yang menghuni setiap makhluk. Namun, macam mana pula dengan sel tunggal? Migi pada asalnya ialah sel parasit tunggal yang menghuni tangan Shinichi. Migi juga mampu berfikir seperti manusia. Jadi, adakah ini membawa erti Migi mempunyai roh? Untuk persoalan ini, saya perlu bawakan falsafah minda bagi A.I.

Alan Turing dalam satu journalnya telah mengemukakan Ujian Turing yakni eksperimen berkenaan kebolehan robot untuk berfikir. Bayangkan dalam satu situasi, ada dua orang manusia ( C dan D) dan satu robot humanoid. D dan robot humanoid akan dibawa ke bilik berasingan dan C perlu meneka di antara mereka, siapakah robot berdasarkan respon. Sekiranya C gagal meneka siapa yang memberi respon seperti robot, maka robot itu telah melepasi Ujian Turing. Robot itu mempunyai akal seperti manusia.

Namun, minda Migi juga boleh dikaitkan dengan eksperimen Bilik Cina. Bayangkan, seorang manusia yang tak tahu berbahasa Cina diletakkan ke dalam bilik yang penuh dengan karya-karya Cina. Kemudian, orang itu diberi set-set protokol bagi memahami bahasa Cina. Dalam beberapa tempoh, manusia tersebut akan fasih berbahasa Cina. Dalam kata lain, dia hanya menyusun data supaya menjadi logik. Ini bermakna, minda Migi mungkin tak mempunyai kesedaran. Hanya sistem biologi yang menyusun maklumat.

Gambar 2: Migi yang sedang membaca buku bagi memahami kelakuan manusia. Kesemua sumber grafik bagi artikel ini ialah milik studio animasi Madhouse yang diolah daripada karya Hitoshi Iwaaki

Ini sekaligus membawa kepada persoalan lain, adakah Migi mempunyai Roh? Andai kata Migi mampu berfikir, pasti dia mempunyai roh, bukan? Persoalan ini saya biarkan bagi pembaca untuk menjawab.

Tema 3: Falsafah Darwin dan Keharmonian Ekosistem

Hanya yang kuat sahaja akan hidup! Hurrah! Lebih kurang macam tu lah. Watak antagonis anime ini ada dua iaitu golongan parasit dan Uragami, pembunuh bersiri dan juga kanibal yang terkenal. Dalam monolog Uragami, dia ada menceritakan kenapa dia suka membunuh orang, sesuatu yang dia sendiri pun tak faham. Personaliti ini berkait dengan parasit-parasit lain yang membunuh manusia sebagai makanan. Persamaan antara Uragami dan parasit-parasit lain ialah mereka menganggap diri mereka sebagai penstabil ekosistem. Hal ini diceritakan oleh seorang ahli politik yang bersimpati dengan parasit. Beliau mengatakan dunia ini sudah terlalu rosak akibat populasi manusia yang berlebihan. Oleh itu, dunia ini perlu disucikan dengan pembasmian manusia. Menurut konteks Uragami, dia ialah manusia yang sebenar kerana manusia yang betul kuat berperang dan saling berbunuhan. Dunia ini hanya wujud untuk spesies yang kuat seperti parasit dan manusia pemangsa semula jadi, Uragami.

Tema ini diperkuatkan lagi dengan lirik dalam lagu pembukanya, Let Me Hear oleh Fear and Loathing in Vegas.

You guys do not notice that we are gifted just by being humans 
We are absolute predators 
We do not even have any enemies 
Maybe there are other animals watching us 
and thinking that someday “we will beat them down”

Tema 4: Moraliti Kant

Pada asalnya, Shinichi bertindak mengasingkan diri daripada kehidupan sosial kerana takut Migi akan bunuh kenalan-kenalannya. Walau bagaimanapun, prinsip Shinichi mula berubah setelah  parasit lain cuba membunuh mereka berdua. Selepas kes serangan pertama parasit di sekolahnya, mereka mula berganding tenaga. Bagi Shinichi, perjuangannya ialah demi keselamatan orang ramai. Berlainan dengan Shinichi, Migi bekerjasama demi survival dia dan perumahnya (walaupun prinsip ini berubah dan menjadi sama dengan Shinichi di pertengahan cerita).

Dari sini, kita dapat perhatikan kompas moraliti Shinichi. Sekalipun usahanya dibantut oleh kesengsaraan, dia tetap berusaha untuk menghalang parasit daripada membunuh manusia. Contohnya semasa Shinichi membunuh Hideo, parasit yang tak memberi ancaman pada mereka. Shinichi tetap mara ke depan sekalipun fobia dan loya dengan mayat-mayat yang bergelimpangan kerana dibunuh Hideo. Hideo akhirnya dibunuh setelah Shinichi melempar batu sebesar genggaman tangan berkelajuan tinggi, tepat ke arah jantung Hideo. Shinichi memburu parasit bukan untuk survivalnya, tapi kerana tugas sebagai manusia super.

Gambar 3: Babak Shinichi membunuh Hideo

Dalam memahami falsafah moraliti Kant, kita perlu lihat erti kata bebas menurut beliau. Bebas, liberal, itu bukanlah apabila kita bertindak bebas sebebasnya tanpa sebarang penghadang mahupun undang-undang. Bebas menurut beliau ialah apabila kita mengikuti undang-undang kita sendiri. Bunyi macam kontradik, tapi ada penjelasannya. Apabila manusia bertindak bebas sesuka hati, mereka bertindak berdasarkan nafsu dan kehendak biologi. Bermakna, mereka taklah bebas melainkan menjadi hamba kepada kehendak nafsu sendiri! Oleh itu, bebas yang sebenarnya ialah apabila kita bertindak berdasarkan undang-undang kita kerana itu bermksud kita bertindak berdasarkan ‘free will’ kita. Kita melawan nafsu.

Berbalik pada Shinichi dan moraliti Kant, katakanlah seorang lelaki, A, menyoal seorang gadis, B, kenapa B kuat belajar. B akan beri ulasan yang panjang dan di akhir katanya, B kuat belajar sebab dia nak duit banyak untuk beli baju mahal. Di sini, nilai moraliti gadis itu rendah kerana dia belajar kerana nafsu. Inilah apa yang disebut oleh Immanuel Kant sebagai ‘heterenomous determination’, melakukan sesuatu demi sesuatu demi sesuatu dan seterusnya. Hamba kepada sesuatu berdasarkan objek luaran. Berlainan dengan gadis tersebut, nilai moraliti Shinichi adalah lebih tinggi kerana dia lakukan perkara tersebut demi kemaslahatan orang ramai dan bukan untuk nafsunya demi survival. Sekiranya Shinichi tak bertindak kerana tugasnya, pasti dia hanya pertahankan dirinya sahaja tanpa mempedulikan nyawa orang lain. Sekalipun dia sendiri mempunyai masalah, dia tetap cuba untuk selamatkan orang lain.

Rujukan:

1) Immanuel Kant.1785. Groundworks for the Metaphysics of Moral
2) Turing, A.M. 1950. Computing Machinery and Intelligence
3) Searle, John. 1980. Minds, Brains and Programs

Comments

comments

Previous articlePaluan Gendang Ke Atas Kumpulan Pengganas
Next articleJenaka Dan Sensitiviti
Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.
SHARE

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here