Apa Itu Media Bebas?

0
834
views

Kita selalu dengar dakwaan pengamal media seantero dunia terutama pengamal media alternatif bahawa mereka media bebas, lebih terbuka dan lebih telus berbanding media arus perdana. Tetapi di sebalik dakwaan ini, ada saja kontroversi yang dijemput setiap kali mereka menyiarkan berita sama ada di portal atau akhbar masing-masing. Ini yang menimbulkan persoalan, apa sebenarnya yang menjadikan sesuatu media itu bersifat bebas? Mari kita lihat.

Apa yang mendefinisikan media itu bebas atau tidak ialah ia bersifat apolitikal dan objektif dalam penyampaian berita kepada pendengar, penonton atau pembaca di luar sana. Pengamal media sebegini melihat penyampaian berita sebagai satu tanggungjawab sosial untuk mendidik masyarakat bersifat cakna dan tidak bias kepada mana-mana pihak. Mereka mahukan berita yang disampaikan tidak diseleweng atau diputar-belit semata-mata mengikut agenda pihak pengurusan atau pembiaya mereka. Namun dalam dunia hari ini, agak sukar untuk mencari media yang benar-benar bebas daripada sentimen ini lebih-lebih lagi media alternatif. Ini kerana kebanyakan pengamal media sebegini mengikut kehendak pembiaya atau naratif yang direka pihak pengurusan walaupun ia sama sekali bertentangan dengan aspirasi yang cuba dibawa.

Kedua, media bebas memperjuangkan kebebasan bersuara mengikut ruang lingkup undang-undang dan perlembagaan sesebuah negara. Pada mereka, kebebasan bersuara membenihkan kemajuan sosial dalam masyarakat selain mendorong diskusi yang sihat tentang pelbagai isu semasa. Kebebasan bersuara ini juga mendorong media menjadi suara untuk semua lapisan masyarakat terutama golongan terpinggir seperti golongan miskin tegar, gelandangan dan orang kelainan upaya (OKU). Tetapi kebebasan sebegini bukanlah lesen untuk mengata dan menyebarkan khabar bersifat fitnah. Ini kerana dalam dunia hari ini, kebebasan bersuara diibaratkan sebagai kebebasan bersuara sesuka hati menyentuh isu-isu sensitif tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat, agama dan negara. Dan kerana kelancangan media sebegini, ia bukan saja menimbulkan bantahan dan tindakan tegas daripada pihak berkuasa, bahkan turut membawa kehilangan nyawa. Contoh paling mudah, serangan pengganas di pejabat majalah Charlie Hebdo yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan 11 orang gara-gara menyiarkan karikatur Rasulullah s.a.w dalam bentuk satira politik.

Ketiga, media yang betul-betul bebas menolak sama sekali unsur-unsur prejudis atau diskriminasi pada orang lain. Pengamal media menganggap unsur-unsur sebegini satu jenayah dan penghinaan kepada kerjaya dan etika kewartawanan. Ini kerana individu yang menyelitkan unsur diskriminasi bukan saja dianggap terlalu mengejar keuntungan segera malah tidak memikirkan kesan jangka pendek dan jangka panjang bila mempromosikan naratif yang memualkan minda yang membacanya. Dan ini trend yang berlaku dalam dunia hari ini. Kebanyakan media sama ada media arus perdana atau alternatif terutama di Barat terlalu sibuk mempromosikan naratif Islam agama keganasan, bersesuaian dengan polisi ‘Perang Melawan Keganasan’ yang diamalkan pentadbiran di sana. Namun, bila mana wujud serangan ke atas komuniti atau pihak berkuasa oleh individu bukan beragama Islam yang semakin bertambah sejak beberapa tahun ini, media sama ada menggunakan terma ‘lone wolf’ atau membisu terus berkenaan isu ini.

Media bebas yang sebenar mengangkat kebebasan maklumat terutama penyebaran dan pengesahan maklumat yang benar dan sahih. Bagi pengamal media, sebarang maklumat yang disampaikan kepada khalayak mestilah bersifat benar dan tepat. Maklumat yang tidak menepati parameter sebegini tidak sepatutnya dilepaskan walaupun ia ada nilai sensasi yang boleh menambah bilangan pembaca atau rating penonton. Ini kerana jika ia berlaku dan ada pihak yang merasa diri mereka teraniaya, sudahlah ia merosakkan integriti dan imej awam media tersebut. Malah, pihak terlibat boleh saja menyaman media tersebut di mahkamah dan memaksa mereka meminta maaf atas keterlanjuran yang dibuat. Dalam dunia serba mencabar ini, sensasi dan kontroversi menjadi pilihan sesetengah media yang mengaku diri mereka bebas walaupun ini bermakna membakulsampahkan kebenaran yang seharusnya menjadi agenda utama media. Pada mereka, sensasi dan kontroversi lebih menguntungkan kerana selain menjana tambahan dari segi rating dan langganan tetapi pada masa sama, meningkatkan lagi perhatian pada naratif pilihan mereka. Dan ini menjadi modus operandi sesetengah pengamal media terutama di Malaysia di mana moral dan sensitiviti tidak lagi diambil kira dalam penyampaian berita. Walaupun pelbagai bantahan dan tindakan telah diambil, ini tidak mematahkan semangat pengamal media sebegini kerana bagi mereka, agenda atau naratif yang digarap mendapat perhatian masyarakat sekaligus memudahkan usaha mereka membentuk dan mengubah persepsi orang ramai tentang sesuatu isu.

Akhir kalam, media yang benar-benar bebas sebenarnya wujud di dunia ini. Cuma agak sukar untuk membezakan antara yang sebenar dengan yang palsu kerana sesetengah daripadanya mempergunakan slogan dan aspirasi media sebegini untuk menonjolkan diri mereka sebagai wira dalam dunia percetakan. Di sebalik media sebegini, media bebas seharusnya lebih berani menongkah arus perjuangan kelompok tidak bertanggungjawab ini dan menjadi suara sebenar yang memperjuangkan hak dan kebenaran. Tanpa keberanian dan kesungguhan, laungan media bebas yang jadi laungan selama ini hanya tinggal kenangan dan ia sekadar retorik bersifat sia-sia.

Comments

comments

Previous articleTony Castillo: Pelakon Kanak-Kanak Paling Berjaya
Next articleMitologi Burung Phoenix Dari Sudut Sains
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here