Kota Raungan Puteri Derhaka

0
4496
views

Kota Bamiyan adalah merupakan salah sebuah bandar yang tertua di Afghanistan yang amat terkenal dengan ukiran arca Buddha yang dipahat pada cenuramnya. Diasaskan pada awal abad Masihi oleh Empayar Kushan sebagai pusat pentadbiran mereka. Ianya terletak di persimpangan jalur perdagangan strategik di Laluan Sutera yang merupakan laluan penghubung kepada para pedagang yang melalui jalan ini daripada tanah besar China ke tanah Arab ketika zaman kegemilangan perdagangan laluan darat tersebut pada era Pertengahan.

Sebagai ibukota wilayah Bamiyan, kota ini merupakan bandar terbesar di rantau Haziristan di tengah negara Afghanistan. Kota ini juga merupakan pusat kebudayaan bagi etnik Hazara yang mendiami kota yang terletak di lembah yang diapit oleh dua banjaran gunung iaitu Hindu Kush dan Koh-i-Baba. Nama Bamiyan berasal daripada istilah Sanskrit Varmayana yang membawa maksud “berwarna”. Namanya juga boleh diterjemahkan sebagai “tempat cahaya bersinar”.

Sebagai sebuah kota bersejarah, kota ini telah menyaksikan jatuh bangunnya kuasa-kuasa empayar yang menjadi penguasanya. Di antaranya empayar Kushan yang mengasaskannya sendiri, kemudian Hephthalite, Sassaniyah, Saffariyah, Ghaznawiyah, Ghuri, Khawarizmiyyah, Timuri, Mughal dan Durrani. Tahukah anda bahawa selain daripada arca gergasi Buddha, terdapat juga di kota Bamiyan tarikan bersejarah lain iaitu Shahr-e Gholghola? Shahr-e Gholghola adalah merupakan pusat bandaraya kota Bamiyan sejak kurun ke-6 hinggalah ke-13 Masihi.

Terletak lebih 20 minit perjalanan daripada kota Bamiyan, pada saat kegemilangannya kota ini memiliki nilai yang amat strategik dari sudut politik, ketenteraan dan perdagangan. Kota ini juga  menjadi tempat persinggahan para pendakwah, pedagang dan pengembara yang melalui jalan darat ini dari Asia Tengah dan Timur Tengah untuk ke benua Hindi.

Pada awal kurun ke-13 Masihi, kekuasaan empayar Kesultanan Ghuri semakin melemah selepas lebih seabad memerintah. Lantaran kemerosotan hegemoni-nya akibat perebutan kuasa di antara pewaris-pewarisnya, Kesultanan Ghuri terpaksa menyerahkan kedaulatan beberapa kota-kota pentadbiran dan perdagangannya iaitu Balkh, Herat, Nishapur, Firuzkuh dan Bamiyan kepada seteru utamanya iaitu Khawarizmiyyashah dari tanah Parsi yang berketurunan Mamluk Turki. Sewaktu kurun ke-12, kedua-dua dinasti ini berebut-rebut untuk menguasai Asia Tengah. Maka semenjak kemerosotan Kesultanan Ghuri itu, Khawarizmiyya menjadi penguasa utama tanah Khurasan (Asia Tengah) yang dominan di rantau tersebut.

Namun sepertimana juga Kesultanan Ghuri, dinasti Khawarizmiyya juga tidak kekal lama. Satu lagi malapetaka seterusnya muncul dari arah timur padang rumput steppe dipinggir perbatasan utara Tembok Besar China. Siapa lagi kalau tidak bukan balatentera berkuda Genghis Khan yang mana para panglima-nya handal menunggang dan memecut kuda-nya sambil memanah tepat ke arah musuh dengan ketepatan yang luar biasa.

Setelah lebih enam kurun Shahr-e Gholghola menjalankan tugasnya sebagai bandar persinggahan para pendakwah, pedagang dan pengembara laluan yang menghubungkan benua Hindi dan dunia barat. Kegemilangan kota tersebut hancur akibat berlakunya tragedi yang begitu tragis sekali. Tragedi yang menjadi detik kepada pemusnahan kota ini terjadi ketika misi ketenteraan yang paling membinasakan dalam sejarah manusia iaitu operasi perluasan empayar Mongol oleh Genghis Khan pada awal kurun ke-13.

Kejatuhan Empayar Khawarizmiyyah ke tangan Mongol boleh diriwayatkan sebagai tragedy diplomasi yang gagal. Segalanya berpunca akibat keangkuhan, kecuaian, dan kelalaian Maharaja Parsi Khawarizmiyyah, Shah Ala Addin Muhammad melayan dengan kejam utusan-utusan dagang yang dihantar oleh Genghis Khan. Dikatakan pada awal konflik tersebut, Genghis Khan telah menghantar seramai 500 orang delegasi pedagang Muslim untuk mewujudkan urusan perdagangan rasmi dengan Empayar Khawarizmiyya sekaligus merapatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua empayar tersebut.

Akan tetapi akibat kecuaian Inalchuk, gabenor kota Otrar (Farab) menuduh delegasi pedagang tersebut sebagai ‘perisik’ lantas membunuh mereka dengan hukuman telinga mereka dicucuh timah panas. Genghis Khan kemudian menghantar dua lagi diplomat, namun salah seorang mereka dibotakkan, manakala seorang lagi dipancung dengan kepalanya dipersembahkan kembali kepada Genghis Khan. Perbuatan kejam ini diterima sebagai penghinaan besar dan mengundang kemurkaan besar kepada Genghis Khan. Kekejaman pemerintah Khawarizmiyyah terhadap duta-duta Mongol tersebut telah membawa seruan perang oleh Genghis Khan terhadap empayar Khawarizmiyyah. Puluhan ribu balatentera Mongol pimpinan Genghis Khan menyeberangi pergunungan untuk menakluk wilayah jajahan Khawarizmiyya.

Dalam operasi ketenteraan balatentera Mongol tersebut. Satu persatu kota-kota yang berada di bawah pemerintahan Khawarizmiyya tumbang. Kota-kota agung laluan sutera di tanah Khurasan yang menjadi pusat perdagangan dan keilmuan Islam pada zaman kegemilangan khalifah Islam Umayyah dan Abbasiyah musnah sama sekali dihancurkan balatentera Mongol. Antaranya Otrar, Samarkhand, Bukhara, Gurganj, Marw, Nisa, Nishapur, Balkh, Herat, Firuzkuh dan juga Bamian.

Akhirnya pada tahun 1221 Masihi, selepas sampai di pintu kota Ghazni. Genghis Khan mendapat perkhabaran risikan akan keberadaan pemerintah terakhir Empayar Khawarizmiyya Sultan Jalal ad-Din Mingburnu yang menggantikan almarhum ayahandanya yang gugur akibat pleuritis ketika dalam pelarian di kota Abaskun di pesisiran tasik Kaspia pada tahun 1220 Masihi sedang melarikan diri ke Benua Hindi. Anakanda Almarhum Shah tersebut menolak pangkat Shah sebaliknya menggelarkan diri sebagai ‘Sultan’ Empayar Khawarizmiyya. Sultan Jalal ad-Din sebelum itu baru sahaja menewaskan segerombolan pasukan Mongol yang dipimpin oleh adinda tiri Genghis Khan sendiri iaitu Shihihutag dalam Pertempuran Parwan.

Pada ketika inilah Shahr-e Gholghola dikepung oleh balatentera Mongol pimpinan Genghis Khan. Meskipun dalam keadaan terkepung, kota ini masih mampu menahan asakan Mongol yang cuba menundukkannya. Sewaktu pengepungan ini, salah seorang daripada cucuanda kesayangan Genghis Khan, Mutukan yang turut terlibat dalam operasi mengepung kota ini terkorban akibat panah yang disasarkan dari arah tembok kota tersebut. Selain cucuanda-nya, ramai prajurit Mongol turut terkorban akibat asakan daripada dalam tembok kota itu. Kota terakhir Empayar Khawarizmiyyah adalah kota yang memiliki pertahanan yang terbaik akan ianya tumbang bukanlah kerana kekerasan musuh yang menyerang, akan tetapi tipu daya penuh muslihat pengkhianat daripada dalam tembok kota tersebut.

Menurut legenda masyarakat setempat, puteri penguasa kota Shahr-e Gholghola, Leila Khatun amat menentang hasrat bapanya untuk berkahwin dengan seorang puteri penguasa kota Ghazni. Lantaran kebencian yang meluap-luap terhadap bapanya itu, Leila Khatun bertindak melakukan sabotaj dengan mendedahkan laluan rahsia bawah tanah yang menjadi nadi penghubung kota Shahr-e Gholghola sewaktu dikepung kepada tentera Mongol yang berkampung di luar kota tersebut. Setelah melakukan pengkhianatan tersebut dengan mendedahkan kelemahan kota di bawah kekuasaan ayahanda-nya sendiri, si puteri derhaka tersebut berharap Genghis Khan akan mengahwinkannya dengan salah seorang putera atau cucuanda Raja Mongol tersebut.

Akan tetapi angan-angan Leila Khatun untuk menjadi sebahagian daripada kaum kerabat Genghis Khan hancur berderai apabila si puteri derhaka tersebut juga turut dihukum bunuh bersama-sama dengan ayahanda, pengawal serta rakyat jelata penghuni kota Shahr-e Gholghola dalam satu pembunuhan besar-besaran yang biasa dilakukan oleh balatentera Mongol selepas menumbangkan kota-kota di bawah pemerintahan Empayar Khawarizmiyyah. Semua ini dilakukan atas arahan Genghis Khan sendiri demi membalas dendam kematian cucuanda dan prajurit-prajuritnya yang terkorban ketika pengepungan kota tersebut.

Genghis Khan menitahkan bahawa tiada tahanan perang diambil dan dihapuskan terus sama sekali. Raja Mongol itu juga turut menitahkan supaya kota Shahr-e Gholghola dimusnahkan sama sekali dengan manjanik yang diisi bahan letupan sepertimana yang telah berlaku terhadap kota Marw. Seluruh penghuni kota itu dihapuskan malah sehinggakan anak-anak yang masih belum lahir dari rahim ibu mereka juga turut ditikam dengan pedang.

Leila Khatun dihukum pancung kepalanya dan raungnya teramatlah kuat. Raungan si puteri derhaka bersama penghuni kota itu diambang maut menjadi inspirasi kepada nama Shahr-e Gholghola yang bererti ‘kota raungan’. Pembunuhan beramai-ramai penghuni telah membenarkan nama kota ini sebagai ‘kota raungan’.  Tidak diketahui sama ada watak Leila Khatun benar-benar wujud atau tidak kerana di antara kota lama dan lembah itu terletak runtuhan yang digelar Qala-e Dokhtar  yang bermakna ‘istana puteri’.  Asalnya kota ini juga dikenali dengan nama Bamiyan.

Selepas tragedi pembunuhan beramai-ramai dengan kejam tersebut, tapak kota lama Bamiyan itu mendapat gelaran ‘bandar terkutuk’ dan tiada siapa dibenarkan tinggal disitu lagi. Larangan tersebut dipatuhi, selama lebih tujuh abad puing-puing  Shahr-e Gholghola masih lagi mengekalkan rupa-rupa bekas kekejaman yang pernah berlaku pada awal kurun ke-13 tersebut.

Telah menjadi kepercayaan umum bahawa selepas penduduk asal Lembah Bamiyan dihapuskan oleh balatentera Mongol. Genghis Khan memenuhkan semula lembah tersebut dengan sebahagian daripada prajuritnya beserta ditemani oleh hamba-hamba wanita Parsi mereka untuk menjaga jazirah ini sementara Raja Mongol tersebut meneruskan kempennya. Dari susurgalor peneroka-peneroka inilah yang kemudiannya menjadi leluhur kepada suku Hazara. Istilah Hazara berkemungkinan besar berasal dari istilah Parsi “yek hazar” untuk merujuk kepada ketumbukan 100 orang tentera Mongol. Bukti nyata akan asal usul suku Hazara ini sebagai keturunan Mongol adalah bentuk fizikal mereka yang amat mirip sekali dengan ciri-ciri Mongoloid.

Kota Bamiyan beserta banyak lagi tinggalan-tinggalan warisan bersejarah di Afghanistan menjadi bukti nyata bahawa negara Afghanistan bukanlah sebuah negara mundur yang dilanda derita peperangan semata-mata. Sebaliknya menjadi bukti bahawa negara Asia Selatan tersebut pernah menjadi pusat kepada beberapa ketamadunan pelbagai jenis kebudayaan yang pernah wujud di jazirah tersebut. Meskipun dihimpit kemiskinan gara-gara menjadi mangsa percaturan politik dunia, rakyatnya masih boleh berbangga dengan warisan sejarah bangsa mereka. Memandangkan negara tersebut masih lagi bergolak, hanya masa yang menentukan sama ada masih bolehkah warga dunia melawat tempat-tempat bersejarahnya tanpa memakai sebarang vest wartawan, uniform tentera pengaman, dan lencana anggota kemanusiaan.

Gambar puing-puing pintu gerbang Shahr-e Gholghola di atas dirakamkan pada Januari 1978 oleh seorang jurugambar daripada Perancis.

-Tom Shacklesmith-

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here