Laksamana Tun Abdul Jamil: Laksamana Melayu Yang Mengalahkan Portugis Di Kota A’Famosa

0
9741
views

Sayang laksamana mati dibunuh
Mati dibunuh datuk menteri
Sayang laksamana mati dibunuh
Aduhailah sayang
Mati dibunuh datuk menteri

Lagu Sayang Laksamana Mati Dibunuh yang dinyanyikan Siti Nurhaliza sangatlah dekat dengan kisah Laksamana Tun Abdul Jamil seorang laksamana hebat pada abad ke-17 ketika zaman Empayar Johor-Riau menguasai arena politik Selat Melaka dahulu. Untuk pengetahuan para pembaca, kerana keperwiraan yang dimiliki oleh Laksamana Tun Abdul Jamil, namanya diabadikan pada salah satu daripada kapal perang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan nama KD Laksamana Tun Abdul Jamil.

Tapi kenapa nama beliau disematkan pada kapal perang Malaysia? Salah satu daripada kejayaan yang dimiliki oleh beliau ialah kejayaan mengalahkan Portugis dalam peperangan, sekaligus membalas dendam orang Melayu di atas kekalahan memalukan mereka pada tahun 1511 dahulu. Kejayaan yang dicapai oleh Laksamana Tun Abdul Jamil ini telah mengembalikan prestij Johor semula sebagai kuasa maritim yang hebat di Selat Melaka.

Serangan pertama yang digerakkan oleh beliau bermula pada tarikh 17 Ogos 1606 Masihi apabila Johor membuat pakatan dengan Belanda. Ketika serangan pertama pakatan Johor-Belanda, Johor telah menghantar 50 buah perahu perang bersama dengan 3000 askar Melayu manakala Belanda membawa 11 buah kapal perang yang diketuai oleh Cornelis de Jonge Matelief. Namun dalam pertempuran pertama, pakatan Johor-Belanda menemui kegagalan apabila Belanda kalah di pertempuran laut manakala tentera Johor yang mengepung kota Melaka daripada darat tidak dapat bertahan selepas pengunduran Belanda turut berundur.

Namun, tidak berhenti di situ, perjuangan Laksamana Tun Abdul Jamil berterusan demi merampas kembali Melaka dari tangan Portugis dan membalas dendam atas kekalahan orang Melayu pada tahun 1511. Ianya bermula dengan perjanjian yang dibuat pada tahun 1639 Masihi, antara pihak Belanda dengan sultan Johor, Sultan Abdul Jalil Syah II (1623-1677 Masihi) untuk bersama-sama menyerang kota Afamosa.

Dicatatkan pada tahun 1640, Laksamana Tun Abdul Jamil dikatakan memimpin 1, 500 orang tentera Melayu Johor bersama dengan 40 buah perahu perang bersama dengan Belanda dan berjaya mengepung Melaka dalam tempoh sekitar satu tahun. Artikel mengenai pengepungan ini akan menyusul nanti dan akan menceritakan dengan lebih terperinci tentang Penaklukan Melaka 1640 – 1641.

Pada tahun 1677 Masihi, Johor menerima pemerintah baru selepas kemangkatan Sultan Abdul Jalil Syah II. Raja Ibrahim telah menaiki takhta Johor dengan gelaran Sultan Ibrahim Shah. Laksamana Tun Abdul Jamil telah bertindak sebagai penasihat kepada Raja Ibrahim agar memindahkan pusat pemerintahan ke Riau. Dari situ, Laksamana Tun Abdul Jamil diberi tanggungjawab membangunkan pelabuhan Riau sehinggakan pelabuhan tersebut mengulangi kegemilangan yang pernah dicapai oleh pelabuhan Melaka.

Sejarah mencatatkan kepada kita betapa pada waktu puncaknya (1687 Masihi), pelabuhan Riau dikunjungi oleh sekurang-kurangnya 600 buah kapal dagang dan pedagang-pedagang yang mengunjungi pelabuhan Riau datang dari segala pelusuk dunia seperti China, Portugis, Belanda, Inggeris, India, Arab dan sebagainya.

Nampaknya kejayaan mengalahkan Portugis tidak berhenti di situ apabila Laksamana Tun Abdul Jamil berjaya menaikkan prestij Johor semula dalam Perang Johor vs. Jambi pada tahun 1673 hingga tahun 1679 M. Johor mengalami kerugian yang teruk apabila Jambi melancarkan serangan ke atas Johor sejak tahun 1673. Kekacauan yang sebelum ini ditimbulkan oleh Jambi apabila menyerang Batu Sawar dan dari situ, Jambi telah merampas harta kekayaan Johor yang sangat kaya raya. Dikatakan hasil rampasan itu berupa 140 buah kapal, 4 tan emas, 95 pucuk meriam besi dan logam dan segala senjata api yang dimiliki oleh Johor sendiri. Bayangkan… emas seberat 4 tan. Seberapa kayakah kekayaan yang dimiliki oleh Johor ketika itu?

Namun Johor kembali bangkit menentang serangan Jambi. Ianya berlaku pada tahun 1679 apabila Laksamana Tun Abdul Jamil mengambil insiatif memimpin angkatan tentera Johor mengalahkan Jambi dengan bantuan tentera upahan Bugis.

Berikutan kekalahan Jambi, Pangeran Dipati Anum yang merupakan pemerintah Jambi ketika itu terpaksa membayar pampasan dan Jambi pula terpaksa menghantar dua orang kenamaan mereka sebagai tebusan untuk hidup di Riau. Dari situ, pada tahun 1681, dicatatkan juga bahawa Laksamana Tun Abdul Jamil berjaya membantu Johor menahan serangan orang Palembang dan Makasar. Kalau tidak kerana campur tangan Belanda, dikatakan mampu menakluk Palembang dan meletakkan Palembang ke dalam sebahagian daripada kekuasaan Empayar Johor ketika itu. Kejayaan itu membuatkan Laksamana Tun Abdul Jamil mendapat gelaran Paduka Raja dan diberi kuasa melampaui para pembesar yang lain, termasuklah Bendahara Johor sendiri ketika itu.

Johor juga hampir ditipu oleh Belanda apabila kuasa asing itu cuba untuk merampas kekayaan perdagangan yang dimiliki oleh Empayar Johor itu sendiri. Ketika pihak Belanda menawarkan perjanjian kepada Johor. Perjanjian dalam Bahasa Melayu dan Belanda adalah berbeza isi kandungannya. Tetapi mujurlah rasa segan Belanda pada kepimpinan Laksamana Tun Abdul Jamil, membuatkan mereka terpaksa akur pada isi kandungan surat perjanjian di dalam Bahasa Melayu dan bukannya isi kandungan surat perjanjian yang diubah Belanda dalam bahasa mereka sendiri.

Kekuasaan yang dimiliki oleh Tun Abdul Jamil, yang dikatakan mengatasi kuasa sultan sehinggakan Belanda sendiri mengatakan bahawa pemerintah sebenar Kesultanan Johor adalah beliau sendiri, bukannya sultan yang kononnya sekadar menjadi boneka sahaja. Hal ini mencetuskan rasa tidak puas hati para pembesar Johor termasuklah Bendahara Tun Habib Abdul Majid hingga akhirnya mencetuskan pemberontakan. Tun Abdul Jamil beserta keluarganya terpaksa melarikan diri ke Terengganu tetapi dipintas oleh orang-orang Bendahara dan beliau telah dibunuh bersama putera-puteranya. Kisahnya sangat menyayat hati berkaitan dengan pembunuhan Laksamana Tun Abdul Jamil.

Ketika tiba di pantai Terengganu, dikatakan pertempuran berlaku antara pengikut-pengikut Bendahara Tun Habib dan Laksamana Tun Abdul Jamil. Dalam pertempuran yang berlaku pada tahun 1688 Masihi itu, diceritakan meriam Laksamana Tun Abdul Jamil kehabisan peluru sehinggakan terpaksa menggunakan duit syiling sebagai peluru meriam. Akhirnya, Laksamana Tun Abdul Jamil mati terbunuh dan kisahnya diabadikan dalam lagu Siti Nurhaliza.

Rujukan:

1. Wan Mohd Rosli Wan Ngah (2015). Laksamana Tun Abdul Jamil: Kematiannya Melahirkan Lagu Sayang Laksamana Mati Dibunuh.

2. Ahmad Jelani Halimi. (2008) Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publication & Disttibutors Sdn Bhd

3. Mardiana Nordin. Politik Dan Pentadbiran Era Kesultanan Johor Sehingga Abad Ke-18. Jabatan Sejarah Universiti Malaya

Comments

comments

Previous articleKenapa Arab Memusuhi Hamas Dan Ikhwan Muslimin?
Next articlePiri Ries: Ilmuwan Agung Islam Dari Turki Uthmaniyah
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here