Puasa Dari Sudut Perubatan (Nil By Mouth)

0
978
views

Memandangkan kita sedang menyambut kunjungan bulan Ramadan ketika ini, amatlah sesuai untuk saya menceritakan sedikit sebanyak tentang berpuasa. Tapi apa yang saya nak ceritakan bukanlah konsep berpuasa mengikut amalan keagamaan, akan tetapi konsep berpuasa di dalam dunia perubatan.

Puasa atau Nil By Mouth (NBM) adalah suatu larangan pengambilan apa jua makanan dan minuman melalui mulut seorang pesakit dalam masa tertentu mengikut arahan staf kesihatan.

Tujuan utama pesakit diarahkan untuk berpuasa oleh staf kesihatan adalah untuk :

i) menghalang sebarang makanan dan minuman memasuki salur pencernaan (digestive system),

ii) merehatkan salur pencernaan,

iii) mengelakkan risiko aspiration (backflow / reflux) makanan daripada salur pencernaan memasuki salur pernafasan yang boleh menyebabkan tersedak dan lemas,

iv) mengurangkan kesakitan mengunyah, menelan dan penghadaman bagi pesakit yang mengalami masalah sistem pencernaan.

Seorang pesakit perlu menjalani sesi berpuasa atau NBM sekurang-kurangnya 6 hingga 8 jam sehingga beberapa hari bergantung kepada sebab-sebab tertentu.

Antara sebab-sebab yang mewajibkan seseorang pesakit itu berpuasa adalah :

i) Pesakit yang mempunyai masalah pencernaan dan penghadaman yang menyebabkan makanan tidak dihadam, contohnya terdapat pendarahan dan kesekatan dalam salur pernafasan. Rawatan perlu dilakukan terhadap pendarahan atau kesekatan itu terlebih dahulu sebelum memulakan diet.

ii) Pesakit yang bakal menjalani pembedahan yang memerlukan pembiusan seluruh badan. Apabila pesakit dibius seluruh badan (general anaesthesia), segala kecutan otot dalam badan akan menjadi kendur (relaxed), menyebabkan sisa makanan dan minuman mudah berpatah balik daripada salur pencernaan kedalam salur pernafasan, mengakibatkan lemas. Ini dikenali sebagai aspiration.

iii) Pesakit yang bakal dimasukkan tiub pernafasan atau menjalani ujian kemasukan kamera kedalam salur pernafasan atau pencernaan. Tiub pernafasan dimasukkan untuk membantu pesakit bernafas secara mekanikal, manakala kemasukan tiub kamera (skop) pula adalah untuk melihat sebarang kesekatan atau pendarahan disalur pernafasan dan penghadaman pesakit. Dalam kedua-dua kes ini, pesakit perlu dipuasakan untuk elak aspiration (refluks makanan kedalam paru-paru).

iii) Pesakit yang telah menelan atau tertelan racun (organophosphate poisoning). Pesakit dipuasakan untuk mengelakkan campuran dan penyerapan racun didalam perut. Racun tersebut akan dialir keluar menggunakan satu tiub khas yang dimasukkan daripada hidung atau mulut pesakit terus sehingga ke perut.

iv) Pesakit yang bakal menjalani ujian darah tertentu untuk menentukan paras gula dalam darah. Sebagai contoh, ujian minum air gula di klinik buat ibu-ibu mengandung untuk memeriksa kehadiran kencing manis ketika mengandung (gestational diabetes).

v) Pesakit yang memerlukan pelbagai jenis ubatan terutamanya ubatan jantung yang tinggi (inotropes). Pesakit yang mengalami masalah jantung (kuncupan lemah atau output darah yang sedikit) memerlukan aliran darah yang banyak dan berterusan kepada organ-organ utama badan seperti otak, buah pinggang, jantung dan paru-paru untuk elakkan kegagalan organ. Manakala penggunaan darah buat organ-organ lain akan diminimakan. Maka, pesakit perlu dipuasakan untuk mengelakkan darah dialirkan kepada usus untuk menjalani proses penghadaman.

– – – – – – –

Namun begitu, setiap pesakit tetap memerlukan glukos dalam badan untuk menjalankan proses menjana tenaga. Ini juga termasuk bekalan air dalam badan pesakit untuk elak dehidrasi. Air diperlukan secukupnya untuk proses penstabilan tubuh badan. Kebanyakan glukos dan cecair badan diperolehi melalui makanan dan minuman yang diambil.

Ketika pesakit sedang dipuasakan, pesakit akan diberikan bekalan glukos (tenaga) dan air (fluid) melalui rawatan lain, iaitu dengan kemasukan airan intravena (intra-dalam, vena-salur darah vena). Pemberian airan intravena contohnya dextrose solution (N/SD5%, H/SD5%, QSD1%, QSD10%, D5%, D10%, dll) mampu membekalkan cecair dan glukos secukupnya, mengikut perkiraan tertentu.

Akan tetapi, walaupun sedang berpuasa, pesakit tetap boleh mengambil ubatan melalui mulut seperti yang telah diarahkan oleh doktor dan jururawat. Dengan syarat, pengambilan air masak ketika menelan ubatan adalah pada kadar yang sedikit bagi mengurangkan risiko aspiration.

Kesimpulannya, jika anda atau ahli keluarga anda sedang menjalani perawatan di hospital / klinik dan diarahkan untuk berpuasa, elakkan daripada mengambil makanan dan minuman secara diam-diam, terutamanya jika ada ahli keluarga yang kerap mendesak waris dengan ayat “Doktor kejam, tak bagi makan minum” dan sebagainya.

Arahan berpuasa adalah untuk menyelamatkan nyawa dan elak komplikasi perawatan.

#AC #SNJoker

 

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here