S. Kadarisman: Seniman Berwatak

1
3142
views

“Kau sudah tahu kegemaran aku adalah belacan! Mengapa kau masak sayur asam tidak campur belacan! Sekarang aku akan pancung kepala kau!”

Itulah dialog yang diungkapkan oleh seniman berkarektor tinggi S.KADARISMAN di dalam filem SENIMAN BUJANG LAPOK arahan P.RAMLEE.

Pemilik nama SYAHADAT KADARISMAN BIN HARUN ini telah dilahirkan di Tegal, Pulau Jawa pada 12 Mei 1921(ada fakta menggatakan beliau lahir di Singapura tetapi fakta yang saya dapat adalah dari majalah awal tahun 50-an). Beliau mendapat pelajaran di sekolah Inggeris dan Arab, dan ketika masih bersekolah lagi, S.KADARISMAN sudah berjinak-jinak dengan menyanyi lagu-lagu keronchong di pentas bangsawan.

Pada tahun 1930-an, keluarganya telah berhijrah ke Singapura. S.KADARISMAN mula bekerja di Malayan Publishing House dan kemudiannya memasuki Angkatan Tentera Laut semasa Perang Dunia. Selepas perang, S.KADARISMAN banyak mengikuti rombongan bangsawan menjelajahi Pulau Borneo, Malaya dan Tanjung Pinang. Antara kumpulan bangsawan yang S.KADARISMAN kekal bersama adalah Dean Opera yang mana beliau telah mendirikan rumahtangga dengan seorang wanita bernama Fatimah, anak kepada tauke Dean Opera iaitu Khairuddean.

Semasa di bangsawan, S.KADARISMAN pernah berpasangan dengan NORMADIAH di dalam tarian pentas. Pada tahun 1941, S.KADARISMAN cuba nasib di bidang perfileman dengan berlakon dalam filem MENANTU DURHAKA keluaran Tan & Wong Films tetapi sayangnya, filem itu tidak dapat ditayangkan kerana Perang Jepun tercetus.

Selepas tamat perang, S.KADARISMAN terus melangkah ke dunia filem bersama Nusantara Films pada tahun 1951. Filem pertama lakonan beliau adalah PERKAHWINAN RAHSIA di mana beliau memegang peranan sebagai hero. Diikuti kemudiannya dengan filem NORMA, CHINTA MURNI, SEHATI SERASA, MENCHARI JODOH, BUDI MULIA, PACHAR PUTEH dan DIAN.

Pada tahun 1953, S.KADARISMAN ditawarkan untuk bekerja dengan Shaw Brothers dan berlakon dalam filem pertamanya berjudul SANGSARA. Mulai dari filem itu, S.KADARISMAN terus ditawarkan untuk berlakon di dalam kebanyakan filem-filem Shaw Brothers dengan memegang watak yang berkarekter. P.RAMLEE juga pernah menganggap S.KADARISMAN sebagai “Too Good as an Actor”.

S.KADARISMAN mampu membawa apa saja watak dari peranan baik hingga ke jahat, dari muda hingga tua, dari serius hingga komedi. Setakat ini, sukar untuk menandingi bakat yang ada pada S.KADARISMAN. Pada tahun 1966, S.KADARISMAN telah dilantik menjadi Pengarah dan filem pertama beliau adalah SRI ANDALAS. Selepas tutupnya Studio Jalan Ampas, Singapura, S.KADARISMAN berhijrah ke Studio Merdeka Kuala Lumpur untuk terus berjuang di dalam dunia perfileman. Filem terakhir lakonan dan arahan S.KADARISMAN adalah BUJANG TUA SS pada tahun 1974. S.KADARISMAN meninggal dunia pada 17 Februari 1989 dalam usia 68 tahun. Antara filem-filem lakonan S.KADARISMAN yang sentiasa menjadi ingatan kepada para pencinta filem Melayu klasik seperti PANGGILAN PULAU, ANAK-KU SAZALI, DOCTOR, BATU BELAH BATU BERTANGKUP, SINGAPURA DI-LANGGAR TODAK, ANTARA DUA DARJAT, SI TANGGANG, LUBALANG DAIK, ISI NERAKA, BATU DURHAKA, TIGA ABDUL dan beberapa lagi filem.

Comments

comments

Previous articleJerusalem Jubilee 2017 Dan Christian Zionism
Next articleApa Itu Narsissism?
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here