Simbol Penyatuan Matematik, Agama, Falsafah dan Seni Bina

0
1316
views

Gambar yang saya tunjukkan adalah lukisan Leonardo Da Vinci, tokoh yang dikenali dalam banyak bidang. Semasa kali pertama tengok lukisan ini, saya fikirkan ia adalah ilmu yang berkaitan dengan anatomi dan perubatan. Tetapi itu silap. Asal usul timbulnya lukisan ini bermula daripada cabaran yang diusulkan oleh ahli geometri iaitu memetakkan bulatan dengan keluasan segi empat dan keluasan bulatan adalah sama.

Leonardo mendapat idea daripada nota seorang arkitek Rom, Marcus Vitruvius, untuk menyelesaikan masalah tersebut. Vitruvius menyatakan bahawa ‘navel’ (pusat) manusia merupakan pusat tubuh badan manusia. Daripada pusat tersebut, bulatan dapat dilukis dengan sempurna menggunakan kompas (bukan kompas mata angin, tetapi kompas alatan matematik). Seterusnya bentuk petak pula dilukis dengan menggunakan tubuh badan yang sama seperti yang ditunjukkan dalam gambar. Akhirnya bentuk petak dan bulat mendapat keluasan yang sama. Lalu, terhasillah lukisan di bawah.

Namun, Leonardo tidak hanya berfikir setakat itu. Ketika era Renaissance, terdapat gerakan intelektual di Itali yang dipanggil Neoplatonism yang mengemukakan konsep ‘Chain of Being’. Idea ‘Chain of Being’ menyatakan, hierarki hidupan alam menyerupai rantai. Rantai tersebut bermula daripada Tuhan, seterusnya malaikat, planet, haiwan sehinggalah bawah sekali, syaitan. Manusia berada di tengah-tengah kerana sifat tubuhnya yang binasa, tetapi rohnya tidak.

Terdapat seorang tokoh Neoplatonis, Giovanni Mirandola yang mempunyai idea berbeza. Beliau menyatakan manusia mampu berada di mana-mana dalam rantaian tersebut. Manusia mampu berada di posisi bawah rantai dengan melakukan kejahatan seperti syaitan. Manusia juga mampu berada di posisi atas rantai dengan melakukan kebaikan seperti malaikat.

Jadi apa kaitannya dengan lukisan ini? Manusia dalam lukisan tersebut juga boleh berubah-ubah untuk membentuk suatu bentuk. Apabila tubuhnya berdiri tegak dan dibuka tangannya, dia dapat bentuk petak. Apabila dia membintangkan dirinya, dia dapat bentuk bulat. Sama seperti idea yang diusulkan oleh Giovanni yang berubah-ubah.

Sekiranya geometri (matematik) adalah bahasa alam, maka manusia boleh wujud daripada apa sahaja bentuk elemen matematik. Sama ada wujud secara matematiknya ataupun falsafahnya. Daripada lukisan ini, Leonardo dapat menggambarkan gabungan matematik, seni, falsafah, agama dan seni bina. Tidak hairanlah dia menjadi ikon dalam era Renaissance.

Lukisan ini dinamakan oleh Leonardo sebagai Vitruvian Man sempena nama arkitek Rom tersebut.

Sumber: TED-Ed

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here