The Simpson Nostradamus Akhir Zaman: Benarkah Meramal Masa Depan?

0
9002
views

The Simpsons adalah sebuah siri animasi di Amerika yang dicipta oleh Matt Groening pada tahun 1989 untuk rangkaian Fox Broadcasting Company. The Simpsons, tahun ini telah memasuki musimnya yang ke-28, langsung menjadikan ia siri TV dan animasi terpanjang dalam sejarah televisyen.

Ia sebuah rancangan animasi berkonsep parodi, satira dan dark comedy, yang berkisar tentang politik serta isu-isu semasa di Amerika Syarikat.

The Simpsons mula mendapat perhatian netizen di Malaysia oleh kerana “kebolehannya” untuk meramal masa depan dengan tepat. Ketepatannya sungguh mengagumkan. Ramai yang mula berpendapat, The Simpsons bukan hanya animasi biasa.

Ada yang menjadikan mereka Nostradamus alaf baru.

Tak kurang juga yang menganggap mereka sebahagian ejen-ejen organisasi rahsia yang bakal menguasai dunia.

Keratan akhbar tempatan yang menunjukkan The Simpsons meramal kemenangan Trump
(http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/siri-kartun-ramal-kemenangan-trump-1.200291)

Jika melihat kepada persamaan dan perinciannya, boleh menegakkan bulu roma, mengeluarkan peluh jantan dan boleh mengakibatkan igauan dan racauan di waktu malam.

Tetapi benarkah ia semua ramalan?


The Simpsons sudah lama meramal setiap perincian apa yang berlaku.

Antara ramalan yang paling menggerunkan adalah seperti gambar di atas. Bagaimana persamaan yang saling tak tumpah dengan apa yang berlaku 15 tahun selepasnya. Admin cuba cari episod manakah ianya diambil. Nak tahu juga apakah ramalan-ramalan lainnya.

Apabila admin cari, ini merupakan kebenarannya;

Sebenarnya gambar yang didakwa sebagai episod pada tahun 2000 itu sebenarnya sebuah episod pada bulan Julai 2015, iaitu sebulan selepas Trump membuat pengumuman untuk bertanding pada bulan Jun 2015.

Trump umum bertanding 16 Jun 2015:

(https://www.washingtonpost.com/blogs/post-partisan/wp/2016/06/15/one-year-ago-trump-descended-that-escalator-and-took-political-discourse-down-with-him/)

The Simpsons keluarkan parodi 7 Julai 2015:

(https://www.youtube.com/watch?v=oz7_JP7ROvA)

Trump mengumumkan bertanding pada bulan Jun dan The Simpsons parodi pada bulan Julai

Tetapi tidak dinafikan terdapat sebuah episod The Simpsons pada tahun 2000 yang mengatakan sesuatu tentang Presiden Trump. Episod 243 itu yang dinamakan ‘Bart to the Future’ menunjukkan Lisa Simpson sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Salah satu dialog di dalam episod itu ialah:


“As you know, we’ve inherited quite a budget crunch from President Trump.”

Adakah ini ramalan awal bahawa Donald Trump akan bertanding pada tahun 2015 dan menang pada tahun 2016?

Malangnya tidak.

Trump di dalam cubaannya yang pertama

Donald J. Trump, pada tahun 2000 sebenarnya telah masuk bertanding untuk kerusi POTUS di bawah tiket Reform Party. Malangnya Trump yang ketika itu lebih dikenali dengan gossip-gosip perniagaan dan rumah tangganya hanya mendapat 15,000 undi.

Sasaran yang baik untuk dibuat parodi dan troll oleh sebuah animasi yang memang terkenal dengannya.

Ramalan seterusnya adalah berkaitan demografik undi mengikut kawasan di dalam The Simpsons yang HAMPIR SAMA dengan demografik undian pada pemilihan presiden 2016. Gambar ini pula datang dari episod The Simpsons, Mr Burns Endorses Romney yang ketika itu berkisar tentang pemilihan presiden 2012 diantara Obama dan Romney.

APA PUN, kata kuncinya tetap pada HAMPIR SAMA. Kerana ia adalah kunci untuk memahami mengapa ramalan Electoral Map ini hamper 100% tepat.

Electoral Map “ramalan” Mr Burns dengan Elctoral Map Trump

Jika dilihat dengan teliti, dalam Electoral Map the Simpsons, Wisconsin, Michigan dengan Ohio semua berwarna biru, walhal ketika pemilihan presiden 2016, semua kawasan ini berwarna merah kerana jatuh ke tangan Trump.

Ya saya pasti akan ada diantara pembaca yang kata walaupun sedikit tersasar, ianya tetap hampir 90% sama. Ini sebenarnya mudah dijelaskan.

Seperti di Malaysia, di Amerika Syarikat juga setiap parti mempunyai kawasan dominan masing-masing, kawasan-kawasan yang dianggap fixed deposit. Kawasan-kawasan ini setiap kali pemilihan presiden, tidak besar perubahan pola pengundiannya.

Ini lebih mudah kita fahami dengan persamaan seperti Kelantan sinonim dengan PAS, Pulau Pinang dengan DAP, Johor dengan UMNO. Mudah bukan untuk membuat unjuran di atas peta?

Dan akhir sekali adalah gambar yang menggemparkan netizen buat seketika. Iaitu gambar Presiden Amerika, Presiden Mesir dan Raja Saud memegang glob bercahaya bersama-sama.

Saya kira pasti ramai sudah sedar, pada saat ini bahawa episod The Simpsons kali ini juga bukan ramalan. Trump bermain glob bersama Raja Saud dan Presiden Mesir itu pada tanggal 22hb Mei 2017 di Riyadh.

Manakala episod The Simpsons itu pula parodi yang ke udara di laman YouTube pada 26hb Mei 2017.

Maka dengan ini, selesailah sudah pembedahan “ramalan-ramalan” The Simpsons. Semoga bermanfaat dan terhibur.

Akhir kata, janganlah kita terlalu taksub akan tilikan-tilikan ini. Info Akhir Zaman sudah lama selesai diberi baginda Nabi SAW serta diajar akan bagaimana harus kita menghadapinya. Jangan nanti terjadi seperti kemalangan yang melanda Allayarham Zulfarhan. Kerana taksub kepada tilikan-tilikan, arwah menjadi mangsa.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here