Saudi Vs Qatar: Kawan Dan Lawan

1
5773
views

Saudi memutus hubungan dengan Qatar bukanlah sesuatu yang menghairankan. Kali terakhir Saudi buat begitu adalah semasa Mac 2014, alasannya Qatar menyokong Ikhwanul Muslimin. Tahun 2002 pun pernah buat sekali.

Kali ini alasannya Qatar menyokong teroris. Teroris yang dimaksudkan bukan Ikhwan, tetapi merujuk kepada Syiah. Kenyataan Saudi adalah senada dengan kenyataan Trump baru-baru ini yang mengutuk Iran atas menyokong teroris di Syria dan Yaman.

Jadi, peristiwa kali ini adalah lanjutan daripada lawatan Trump dan Perang Dingin Saudi-Iran.

Yang menjadi punca Saudi dan geng memutuskan hubungan dengan Qatar ialah kenyataan pro-Iran Sheikh Tamim, pemerintah Qatar baru-baru ini. Pada 27 Mei yang lepas, Sheikh Tamim telah menghubungi Presiden Iran, Hassan Rouhani melalui telefon untuk menyatakan hasrat memperbaiki hubungan antara dua negara.

Saudi dan geng cuba memberi tekanan kepada Qatar supaya membatalkan hasrat tersebut. Pada masa yang sama ini merupakan peluang emas bagi Saudi untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang terdiri daripada Saudi, Qatar, UAE, Bahrain, Kuwait dan Oman.

GCC ditubuhkan pada tahun 1981 untuk mengimbangi pengaruh Iran. Ketika itu Iran mengamalkan dasar luar yang agresif (Perang Iran-Iraq) dan dilihat sebagai ancaman oleh negara serantau. Saudi merupakan peneraju idea GCC dan Saudi memiliki matlamat yang lebih besar iaitu menjadikan GCC sebagai blok anti-Iran dan anti-Syiah.

Namun selepas Perang Iran-Iraq tamat pada 1989, negara GCC yang lain mula berbaik-baik dengan Iran, terutamanya Qatar, Kuwait, UAE dan Oman yang berkongsi ladang minyak dan gas dengan Iran.

Sepanjang 1990-an, lebih banyak masa negara GCC bergaduh sesama sendiri. Antara yang paling kuat bergaduh ialah Saudi dan Qatar, walaupun kedua-dua Wahhabi dan kedua-dua berasal dari Banu Tamim. Antara isunya ialah Qatar memberi perlindungan kepada tokoh Ikhwan seperti Yusuf Al-Qaradawi.

Arab Spring pada tahun 2011 memberi peluang untuk Saudi merealisasikan cita-citanya iaitu menjadikan GCC sebagai pakatan anti-Iran. Saudi menghantar tentera ke Bahrain pada Mac 2011 untuk menekan protes rakyat Bahrain yang majoritinya Syiah. Pada Mac 2015 Saudi juga mula bercampur tangan di Yaman. Saudi mahu menonjolkan diri sebagai pembela umat serantau dari ancaman Syiah.

Namun halangan utama kepada Saudi ialah Qatar. Qatar yang pragmatik tidak mengikut skrip anti-Syiah yang cuba ditulis oleh Saudi. Kekayaan Qatar setanding dengan Saudi, membolehkannya turut bercampur tangan di negara yang bergolak, walaupun kedua-dua mempunyai strategi dan matlamat yang berbeza. Di Mesir misalnya, Saudi menyokong Mubarak dan geng (Al-Sisi) manakala Qatar menyokong Ikhwan.

Kini, Saudi cuba mengguna hubungan baiknya dengan Trump untuk menekan Qatar. Selain Kuwait dan Oman, kesemua anggota GCC adalah pro-Saudi. Al-Sisi pun join sekaki, ambil kesempatan mendesak Qatar untuk menarik sokongan terhadap Ikhwan. Sebab Al-Sisi pun banyak kamcing dengan Trump.

Drama kali ini kemungkinan besar berakhir dengan Qatar berkompromi, seperti yang berlaku semasa tahun 2014 di mana Qatar menghalau keluar beberapa pemimpin Ikhwan. Di era Trump, adalah mencabar bagi Qatar untuk meneruskan dasar pragmatik yang tidak menyebelahi Saudi atau Iran.

Tapi Qatar pun ada leverage yang tersendiri. Qatar mempunyai tapak ketenteraan US terbesar di Timur Tengah (Al-Udeid). Berbanding dengan Saudi, imej Qatar lebih moden dan progresif dan kurang menimbulkan kontroversi di Barat. Cuma tak pasti sama ada Trump kisah pasal semua ini.

Iran pun mempunyai pengiraan tersendiri. Dengan berbaik-baik dengan Qatar, Iran harap dapat memecahkan perpaduan GCC agar ia tidak dapat berfungsi sebagai pengimbang kuasa yang berkesan. Dengan itu Iran mampu meresap pengaruhnya ke dalam kawasan Teluk.

Hubungan Saudi-Qatar adalah lebih kepada pesaing, tidaklah sampai bermusuhan. Drama kali ini merupakan satu pergelutan kuasa dalaman GCC dan juga mungkin prelude kepada sebuah persengketan GCC dan Iran.

Ujian duniawi semasa Ramadan.

#mahabbah

Bacaan Lanjut:

Shahram Chubin & Charles Tripp (2014). Iran-Saudi Relations and the Regional Order.
David B. Roberts (2014). Qatar, the Ikhwan, and the Transnational Relations in the Gulf.
Mehran Kamrava (2013). Qatar: Small State, Big Politics.

Comments

comments

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here