Ulang Tahun Perang Enam Hari Melawan Zionist-Israel

0
2563
views

Hari ini genap 50 tahun permulaan Perang Enam Hari (Six-Day War). Di kalangan orang Arab, hari ini diperingati sebagai An-Naksah (النكسة), sama penting seperti An-Nakbah (النكبة) yang memperingati pendirian negara Israel dan penghalauan penduduk Palestin pada 15 Mei 1948.

Dalam masa sesingkat 132 jam (6 hari), tentera Israel menewaskan pakatan Mesir-Syria-Jordan yang jauh lebih besar saiznya, sekali gus merampas Baitul Maqdis timur (tempat terletaknya Masjid Al-Aqsa) dan Tebing Barat dari Jordan, Jalur Gaza dan Semenanjung Sinai dari Mesir, dan Dataran Tinggi Golan dari Syria.

Perang berpunca dari tindakan Gamal Abdel Nasser, presiden Mesir menghalau pasukan penjaga keamanan UN keluar dari Semenanjung Sinai dan menutup jalan laut Israel pada Mei 1967. Penempatan pasukan UN dibuat sejak gencatan senjata antara Mesir dan Israel pada tahun 1956. Nasser berbuat demikian kerana dimaklumkan oleh Soviet Union (Rusia) tentang rancangan Israel untuk menyerang Syria dan Mesir. Jadi, Nasser cuba membuat serangan preemptif terlebih dahulu.

Ancaman Nasser menimbulkan panik di seluruh Israel. Serangan yang bakal dilancarkan oleh Mesir, Syria dan Jordan dari tiga arah mampu menghancurkan Israel dalam sekelip mata. Retorik Nasser untuk ‘melenyapkan Israel dari peta dunia’ memperingatkan orang Yahudi tentang malapetaka Holocaust yang berlaku 25 tahun lepas dan membangkitkan semangat perang mereka.

Rancangan Israel adalah meninggalkan 12 buah pesawat tempur di dalam negara, yang selebihnya (196 buah) digunakan untuk serangan preemptif ke atas pesawat tempur Arab yang berjumlah lebih 600 buah. Ini merupakan tindakan ‘gamble’ yang sangat berisiko. Sekiranya gagal, tiada lagi pesawat yang boleh melindungi Israel lagi.

Pada jam 8.45 pagi, 5 Jun 1967, Israel menyerang tapak tentera udara Mesir dan menghancurkan kesemua 500 buah pesawat Mesir dalam masa 3 jam. Kuasa tentera udara Mesir dilumpuhkan. Kini Israel menguasai udara. Dalam peperangan moden, ‘air superiority’ hampir bersinonim dengan kemenangan.

Namun Nasser mengarahkan tentera dan media untuk menutup cerita sebenar. Radio melaporkan berita palsu tentang ‘kejayaan Mesir menembak jatuh pesawat Israel’ untuk menyedapkan hati rakyat. Yang lebih parah, Nasser turut menyalurkan maklumat palsu tersebut kepada Jordan dan Syria. Jordan dan Syria memasuki gelanggang dengan harapan palsu. Maka, Israel membelasah sekali tentera Jordan dan Syria yang bergantung kepada kuasa udara Mesir.

Pada 7 Jun, tentera Israel menawan Baitul Maqdis timur yang dikuasai Jordan ketika itu. UN mengarahkan gencatan senjata pada 10 Jun 1967. Pada masa itu, Israel telah pun memperluaskan wilayahnya 3 kali ganda berbanding wilayah asal.

Orang Yahudi percaya bahawa Tuhan mencipta alam dalam masa 6 hari. Perang Enam Hari membuat mereka tambah yakin bahawa merekalah bangsa pilihan Tuhan. Orang Kristian di US turut melihat perang tersebut sebagai mukjizat, maka mereka pun mula bersimpati dengan Israel dan memberi sokongan kepadanya.

Perang tersebut mengorbankan lebih 20,000 askar Arab, sementara korban Israel kurang dari 1,000. Kekalahan tersebut memberi penghinaan besar kepada pemimpin Mesir, Jordan dan Syria. Di Syria, kerajaan Salah Jadid hilang populariti dan digulingkan oleh Hafez Al-Assad. Kemasukan pelarian Palestin dari Tebing Barat ke Jordan mencetuskan persengketan antara Raja Hussein dan Yasser Arafat pada tahun 1970. Nasser mengalami kemurungan dan meninggal dunia 3 tahun kemudian.

UN mengeluarkan Resolusi 242 pada November 1967 mengarahkan Israel untuk berundur semula ke sempadan sebelum perang, namun tidak dilayan. 6 tahun kemudian, pakatan Arab bangkit semula dengan mencetuskan Perang Yom Kippur pada bulan Ramadan 1973. Dalam perang tersebut, Mesir hampir menawan semula Sinai, namun tidak berjaya kerana campur tangan US dan Soviet yang membawa kepada gencatan senjata.

Walaupun tidak berjaya merampas kembali wilayah yang ditawan, Perang Yom Kippur menamatkan mitos ‘Israel tidak dapat dikalahkan’ dan memaksa Israel untuk berunding. Israel memulangkan Sinai dalam Perjanjian Camp David 1978 dan memberikan Gaza dan Tebing Barat kepada Palestin dalam Perjanjian Oslo 1993. Namun Israel tidak ikhlas dalam melaksanakan pelan damai malah terus membina penempatan dan tembok pemisah di Tebing Barat. Israel masih tidak melepaskan Baitul Maqdis timur dan Golan: Baitul Maqdis atas kepentingan agama, Golan atas kepentingan strategi.

Sementara mengutuk kejahatan Israel, Perang Enam Hari juga mendedahkan kelemahan kepimpinan umat kita iaitu ‘underestimate’ musuh dan hidup dalam ilusi. Nasser mencabar Israel untuk berperang namun tidak bersedia, malah keegoan menyebabkan Nasser berbohong terhadap rakan sepakatan.

Kali terakhir Baitul Maqdis jatuh pada tahun 1099, umat Islam mengambil masa 88 tahun untuk membebaskannya. Ketika itu mereka memiliki Nuruddin dan Saladdin yang rapi berstrategi dan licik berdiplomasi. Namun malangnya di zaman kita kebanyakan pemimpin kita adalah seperti Nasser dan Raja Hussein, ego dan penuh ilusi.

50 tahun sudah berlalu, mampukah kita menemui Nuruddin dan Saladdin dalam masa 38 tahun yang akan datang?

Bacaan Lanjut:
Michael Oren (2010). Six Days of War.
Jeremy Bowen (2005). Six Days: How the 1967 War Shaped the Middle East.
Steven Pressfield (2014). The Lion’s Gate: On the Front Lines of the Six Day War.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here