Pertempuran Myeongnyang: Keajaiban 12 Kapal Korea Mengalahkan 333 Kapal Jepun

0
4806
views

Pertempuran Myeongnyang adalah salah satu daripada sebuah perang dalam sejarah Korea yang sering menjadi sumber jati diri bangsa korea itu sendiri. Kisah bagaimana Laksamana Yi Sun-sin yang hanya berbekalkan 12 buah panokseon, iaitu sebuah kapal perang Korea. Manakala Jepun pula hadir dengan 133 buah kapal, itupun berserta dengan 200 kapal logistik.

Dalam pertempuran ini, dunia menyaksikan betapa Laksamana Yi adalah antara jeneral perang yang terhebat dalam sejarah, berbekalkan kepintaran yang dimilikinya. Tidak keterlaluan kalau kita meletakkan beliau setaraf dengan Hannibal, Alexander The Great dan juga Khalid Al-Walid.

Kisah ini juga menunjukkan betapa setianya Laksamana Yi pada kerajaan Korea ketika itu, Dinasti Joseon. Dari seorang jeneral perang yang hebat terpaksa dilucutkan jawatan menjadi askar biasa kerana permainan politik yang kotor dari musuh-musuh beliau. Lantas ketika itu, seorang jeneral baru yang tidak berpengalaman dilantik untuk memimpin askar Korea melawan Jepun. Namun, dalam Pertempuran Chilcheollyang, Jepun yang dipimpin oleh Todo Takatora berjaya mengalahkan Won Gyun dan hampir kesemua armada laut Joseon dihabiskan.

Armada laut Jepun ini sebenarnya bertujuan untuk membantu askar darat mereka yang cuba untuk memasuki Korea dan menjajah keseluruhan Korea. Namun, siapa sangka dengan menggunakan sisa kapal Korea yang selamat dalam Pertempuran Chilconryang, Laksamana Yi berjaya mengekang kemaraan bala askar Jepun. Jepun perlu melalui Selat Myeongyang ini untuk sampai ke bala askar mereka di daratan.

Saksikan betapa bijaknya Laksamana Yi menggunakan keadaan geografi untuk memenangkan askar Korea yang hanya membawa 12 buah kapal berdepan dengan 333 buah kapal perang, termasuk kapal logistik yang membawa bekalan makanan dan seumpama dengannya.

Dalam kita membicarakan tentang pertempuran yang boleh dilabel sebagai salah satu daripada pertempuran navi terhebat dalam sejarah, kita harus juga belajar mengenai kapal Korea yang bernama Panokseon. Berbeza dengan kapal Jepun, orang Korea membina kapal mereka bukan berasaskan kelajuan tetapi kekuatan dan keteguhan untuk menghadapi arus laut dan sungai Korea yang memang selalu tidak diduga. Apatah lagi di sekitar Selat Myeongnyang yang menjadi lokasi pertempuran.

Di sinilah Laksamana Yi menggunakan sepenuhnya pengetahuannya. Dia memerhati selama beberapa hari sebelum pertempuran, cuba meramal bagaimana arus di perairan Myeongnyang. Selepas memahami bagaimana penggerakan arus laut di sekitar selat itu, maka Laksamana Yi merencanakan sebuah rancangan yang menurut saya sangat bijak.

Maka diceritakanlah pada detik 26 Oktober, armada laut gergasi Jepun pun mara untuk memasuki kawasan selat yang dijaga oleh Laksamana Yi kerana ini adalah laluan untuk kapal Jepun menyalurkan bantuan kepada bala askar mereka di barat. Namun, ketika itu hanyalah 12 buah kapal sahaja yang berada di situ untuk menahan amukan 333 buah kapal Jepun. Bayangkan situasi ketika itu… apatah lagi ketika itu, semua askar-askar di bawah Laksamana Yi menyaksikan sendiri betapa dasyatnya serangan armada Jepun yang hampir menghabiskan keseluruhan armada Korea di bawah Dinasti Joseon.

Namun tahukah anda bahawa ketika armada Jepun menghampiri mereka, kesemua kapal yang berada bersama Laksamana Yi melarikan diri jauh dari medan pertempuran meninggalkan Laksamana Yi keseorangan bersama anak kapalnya. Masih kemas tercatat dalam diari Laksamana Yi yang menceritakan tentang peristiwa itu.

“Ketika armada Jepun sedang menghampiri kapal kami, hanya kapal aku sahaja yang berdiri di tengah-tengah laut sedangkan semua kapal yang sepatutnya bersama aku berundur ketakutan. Hanya kapal aku sahaja yang bertahan menembak meriam dan anak panah ke arah kapal musuh.”

Namun, kehebatan kapal tunggal Dinasti Joseon bertahan dalam serangan menggila Jepun itu membuatkan semua kapten kapal yang bersama Laksamana Yi memerhati dengan hati yang tersentuh. Lantas ketakutan yang selama ini menyelubungi jiwa mereka bertukar menjadi keberanian. Melihatkan Laksamana Yi keseorangan berjuang menyebabkan mereka bertukar fikiran menyertai Laksamana Yi dalam pertempuran.

Dalam filem Korea yang membicarakan tentang pertempuran ini, digambarkan bahawa kapal-kapal Jepun yang ketika itu mahu bertempur dengan Laksamana Yi dan kapalnya menjadi mangsa air pusar yang memang sentiasa muncul di perairan laut Korea. Bagaimana mereka yang sepatutnya menyerang kapal Laksamana Yi akhirnya belanggar antara satu sama lain kerana pusaran air. Terdapat juga catatan di mana Laksamana Yi menggunakan rantai besi yang disambung merentasi selat itu.

Kemudian, ketika fasa kedua serangan armada laut Jepun ke arah 12 buah kapal Korea, maka di situlah taktikal dan strategi Laksamana Yi berhasil. Arus laut yang menghala ke utara yang digunakan oleh askar Jepun untuk menyerang Korea tiba-tiba bertukar ke selatan menyebabkan kapal-kapal Jepun hilang arah dan saling berlanggar antara satu sama lain.

Kesempatan itu digunakan oleh Laksamana Yi untuk mengarahkan kapal-kapal yang kembali setia bersamanya menyerang armada Jepun yang dalam kelang-kabut itu. Arus laut di perairan Korea yang tidak diduga itu akhirnya membantu Laksamana Yi. Pemerhatiannya yang bersahabat dengan alam untuk beberapa hari itu membuahkan hasil. Jepun kalah teruk dalam pertempuran ini dengan kehilangan 30 buah kapal. Korea pula hanya kehilangan nyawa tidak sampai 10 orang.

Kemenangan ini juga membantu Korea untuk memenangi Perang Imjin, iaitu nama perang yang melibatkan cubaan Jepun untuk menakluk Semenanjung Korea. PERTEMPURAN MYEONGNYANG ialah sebahagian daripada Perang Imjin.

Armada Jepun berjaya dihalau balik ke Busan, Korea yang ,menjadi kubu armada laut Jepun ketika itu dan Dinasti Ming yang melihatkan hasil pertempuran ini semakin terbuka hati membantu Korea membedil Jepun. Jepun tidak berjaya memasuki perairan barat Korea dan kemuncak Perang Imjin ini, Korea dan Dinasti Ming berjaya memenangi peperangan ke atas Jepun. Penaklukan Jepun ke atas Korea gagal.

Gambar: Lukisan menunjukkan 12 Kapal Joseon Berdepan dengan 333 buah kapal Perang Jepun.

Comments

comments

Previous article20 Fakta Rawak Tentang Muzik
Next articleGolem – Makhluk Mitologi Yahudi Dari Sudut Pandangan Sains
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here