Legasi Lima Orang Putera Bugis Bersaudara

0
3747
views

Kita pasti mengenali akan sejarah The Rothschilds Brothers (Rothschild Bersaudara) di mana kelima-lima anak lelaki Mayer Amschel Rothschild, seorang taikun bank Jerman berketurunan Yahudi di mana setiap satu di kalangan mereka ditugaskan untuk memperluaskan empayar perbankan keluarga mereka di beberapa buah tempat di benua Eropah seperti di Frankfurt, Vienna, London, Naples dan Paris, hingga akhirnya keluarga Rothschild menjadi antara keluarga Yahudi yang paling berpengaruh serta penuh kontroversi dalam sejarah dunia sehingga kini. Tidak pernah dinafikan pengaruh dan kekuasaan keluarga Rothschild ini sehingga dikatakan banyak peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah dunia seperti Revolusi Perancis, perang perang dunia dan penubuhan negara Yahudi di Timur Tengah adalah kononnya berpunca dari percaturan dan perancangan keluarga ini.

Namun jauh sebelum kelahiran Mayer Amschel Rothschild yang merupakan bapa kepada “Rothschild Lima Bersaudara” itu pada tahun 1744 lagi, dunia Melayu telah lama menyaksikan kemunculan dan pengaruh kekuasaan “Lima Bersaudara” dari tanah Bugis di Sulawesi. Jika sejarah Eropah mempunyai Rothschild Lima Bersaudara yang berpengaruh dalam arena perbankan, sementelah sejarah Alam Melayu pula mempunyai “Lima Putera Bugis Bersaudara” yang lebih berpengaruh dalam arena sosio-politik. Pengaruh dan legasi politik mereka menjadikan mereka dan keturunan mereka sebagai satu kuasa de facto yang berpengaruh di Alam Melayu sekitar abad ke 18 hingga 20.

Lima Bersaudara yang pernah menggegarkan arena sosio-politik Dunia Melayu sekitar tiga abad yang lalu ini merupakan putera-putera kepada Opu Tendriburang Daeng Rilaga putera kepada Raja La Maddusalat, yang dikatakan merupakan raja Bugis pertama memeluk Islam menurut kitab Tuhfat al-Nafis dan Salasilah Melayu dan Bugis wallahualam bissawab (kedua-duanya karya Raja Ali Haji). Menurut salasilah yang terdapat dalam kedua-dua kitab itu, Daeng Rilaka mempunyai seorang abang tua bernama Opu Daeng Talana yang kemudiannya menjadi raja negeri Luwuk di tanah Bugis dengan gelaran Pajung Ri Luwuk dan juga beliau mempunyai seorang adik bernama Opu Daeng Biyasa yang menjadi ketua orang Bugis serta orang kuat (Mayor) Belanda di Pulau Jawa.

Menurut Tuhfat al Nafis,pengembaraan Opu Daeng Rilaga dan anak-anaknya bermula dari To Pammana ke Boneh (Bone) di Sulawesi hingga ke pulau Jawa bertemu adiknya, Opu Daeng Biyasa yang telah mencapai kedudukan tinggi dalam pentadbiran Belanda di sana, berlayar lagi hingga ke Pulau Siantan (salah satu pulau dalam Kepulauan Natuna di tengah Laut Cina Selatan) ke negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu sehingga akhirnya tiba ke negeri Kemboja (samada merujuk kepada Kampuchea atau mungkin negara jirannya Champa) dan di sana, Opu Daeng Rilaga berjaya memenangi perlawanan sabung ayam dengan seorang anak raja Minangkabau bernama Raja Culan dan mendapat hadiah sebuah keci (sejenis kapal besar) lalu berlayar balik ke Siantan. Keci itu pula ditutuhkan (dipecahkan) lalu dari kayu-kayunya dibuat enam buah penjajab perang.

Ditakdirkan Allah, Opu Daeng Rilaga mangkat ketika dalam perjalanan pulang dari tanah Kemboja, meninggalkan lima orang puteranya di Pulau Siantan yang kesemua mereka sudah akil baligh. Sebelum ini mereka telah terdedah dengan cabaran dan pengalaman di perantauan yang menjadikan lima beradik ini lebih berani, tabah, bersemangat kental dan gigih beradu nasib di negeri orang. Kegigihan dan keberanian mereka, ditambah lagi dengan ikatan kekeluargaan yang sangat kuat di kalangan mereka ibarat air dicincang takkan putus dan bukan sekadar ikatan yang biasa-biasa sahaja inilah, menjadikan mereka antara legenda bersaudara paling diingati dan disanjungi dalam sejarah Alam Melayu sepanjang zaman.

Di sini, penulis menceritakan secara ringkas riwayat hidup serta perjuangan adik beradik tersebut mengikut urutan dari anak sulung sehingga ke anak bongsu.

  1. OPU DAENG PARANI

Diamanahkan menjadi pemimpin kepada adik beradiknya yang lain selepas kemangkatan ayahandanya memandangkan beliau ialah putera sulung daripada lima beradik tersebut, Opu Daeng Parani ibni Opu Daeng Rilaga telah menunjukkan sifat kepahlawanannya serta keberaniannya sejak berada di tanah Bugis lagi. Setelah ketiadaan ayahandanya, beliau bertindak menyusun armada laut di Pulau Siantan yang terdiri daripada enam penjajab perang dilengkapi dengan meriam serta boleh memuatkan empat puluh orang tentera. Armada laut opu-opu Bugis tersebut kemudiannya berlayar ke selatan Semenanjung Tanah Melayu atau lebih tepat lagi di kerajaan Johor, yang pada ketika itu berada dalam keadaan kacau bilau akibat pergaduhan merebut takhta.

Kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada 3 September 1699 tanpa pewaris terdekat menyebabkan pembesar Johor melantik Bendahara Tun Abdul Jalil sebagai sultan Johor, dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (1699 – 1718). Namun pemerintahan Sultan dari keturunan Bendahara tersebut dicabar oleh Raja Kechil yang mengaku sebagai putera Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan mendapat sokongan dari orang Minangkabau Pasisir Laut. Dengan mudah,Raja Kechil berjaya merampas takhta Johor dan menabalkan dirinya sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (1723- 1746).

Menurut Tuhfat al Nafis, ketika Opu Daeng Parani dan adik beradiknya tiba di Johor, mereka mendapati bahawa negeri itu telahpun dikalahkan oleh Raja Kechil lalu bertanya dengan hairan “Bagaimana negeri sebesar ini dengan mudah sajanya alah?”

Sultan Abdul Jalil IV diturunkan takhta dan hendak dilantik sebagai Bendahara semula oleh raja baru tersebut. Namun segala apa yang berlaku menimbulkan rasa tidak puas hati keluarga Bendahara terutamanya sekali kepada anak lelakinya, Tengku Sulaiman dan kakaknya, Tengku Tengah yang sebelum itu bertunang dengan Raja Kechil namun pertunangan terputus apabila Raja Kechil jatuh hati dan berkahwin dengan adinda Tengku Tengah sendiri iatu Tengku Kamariah. Maka Tengku Sulaiman dan Tengku Tengah mengambil keputusan untuk meminta pertolongan dari lima Opu Daeng bersaudara tersebut bagi menghilangkan “arang yang terconteng di muka mereka”.

Sebagai jaminannya, Tengku Tengah dikahwinkan dengan Opu Daeng Parani dan Tengku Sulaiman berjanji akan melantik salah seorang dari lima adik beradik Bugis tersebut sebagai Yang Dipertuan Muda setelah berjaya mengusir Raja Kechil dan mengembalikan keturunan Bendahara semula di atas takhta Johor. Perjanjian di antara keturunan Bendahara dengan adik beradik Bugis tersebut direstui oleh Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV sendiri.

Raja Kechil mengambil peluang untuk mengenakan tindakan ke atas bekas sultan dari keturunan Bendahara tersebut apabila Opu-Opu Daeng Lima bersaudara tersebut tiada di negeri Johor untuk menyelesaikan masalah mereka yang berlaku di Pulau Siantan dan Matan. Tambahan pula, ramai rakyat Johor mula termakan fitnah bahawa Raja Kechil kononnya bukan dari keturunan raja yang asal dan menyokong keturunan Bendahara sehingga Tengku Tengah bertindak membawa lari adiknya, Tengku Kamariah dari istana Raja Kechil.

Kemuncak dari segala polemik ini ialah apabila Raja Kechil dan tenteranya bertindak mengejar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV sehingga akhirnya, bekas sultan dari keturunan Bendahara tersebut mangkat dibunuh pada tahun 1720 Masihi oleh panglima-panglima Raja Kechil selepas menunaikan solat fardhu Subuh di Kuala Pahang lalu dimakamkan di sana.

Selepas kemangkatan Sultan Abdul Jalil IV, Raja Kechil bertindak membawa segala waris-waris almarhum balik ke Riau termasuk mengambil kembali isterinya, Tengku Kamariah yang dilarikan oleh kakaknya sebelum itu. Tragedi yang berlaku meninggalkan kesan yang mendalam kepada waris-waris almarhum terutama sekali kepada Tengku Sulaiman yang menyimpan dendam terhadap Raja Kechil dan akhirnya meminta para Opu-Opu Daeng Lima Bersaudara tersebut supaya pulang ke Johor semula.

Dipendekkan cerita, tentera Bugis yang diketuai oleh Opu Daeng Marewah dengan segala kelengkapan sebanyak tujuh penjajab perang beserta sampan-sampannya berlayar ke Riau untuk berperang dengan Raja Kechil. Perang tercetus selama dua hari pada tahun 1721 M (bersamaan tahun 1134 Hijri) dan tentera Bugis menang dalam pertempuran tersebut.

Opu Daeng Parani kemudiannya mengiringi adik-adiknya, Opu Daeng Marewah dan Opu Daeng Chelak untuk memperlengkapkan segala kelengkapan kapal ghurab besar sebanyak tiga puluh buah di Selangor dan mendapatkan sokongan serta taat setia daripada pedagang-pedagang Bugis yang ramai menetap di Selangor, Langat dan Linggi ketika itu.

Pada masa itu juga, mereka bersama-sama menyerang dan menghapuskan kekuasaan Raja Kechil yang bertapak di Linggi (kini terletak dalam wilayah Negeri Sembilan) ketika itu, sehingga Raja Kechil sendiri terpaksa berundur ke Siak meninggalkan wilayah Linggi untuk ditakluk oleh lawannya di kalangan putera-putera Bugis tersebut.

Pulau Riau juga akhirnya berjaya ditakluk oleh tentera Bugis dan Tengku Sulaiman bersedia untuk ditabalkan menjadi sultan. Namun pertabalan seseorang sultan yang baru mesti memerlukan alat kebesaran diraja tetapi segala alat kebesaran diraja ketika itu berada di dalam tangan Raja Kechil yang kini berada di Siak. Tengku Sulaiman meminta para opu-opu Bugis tersebut untuk mengambil semula alat kebesaran diraja tersebut dari tangan Raja Kechil dan pada masa itulah dibuat perjanjian di antara Tengku Sulaiman, mewakili bangsawan Melayu dan Opu Daeng Parani, mewakili bangsawan Bugis seperti yang terakam dalam Tuhfat al Nafis dan dipatuhi oleh kedua-dua pihak dalam Empayar Johor Riau Lingga zaman berzaman ;

“Syahadan berkata pula Opu Daeng Parani, “Adapun jika jaya pekerjaan sahaya semua ini sekali lagi pergi melanggar Siak itu maka sebelah Raja Sulaiman menjadi Yamtuan Besar sampailah kepada turun temurunnya dan sebelah sahaya semua menjadi Yamtuan Muda sampailah kepada turun temurunnya juga, tiada boleh yang lain. Maka boleh dipileh sahaja sahaya yang lima beradek ini mana mana jua yang disukai orang banyak maka dianya itulah yang jadi Yamtuan Muda, tiada boleh tiada. Dan lagi pula Yamtuan Besar jadi seperti perempuan sahaja, jika diberinya makan baharu makan ia. Dan Yamtuan Muda jadi seperti laki laki, dan jika ada satu satu hal atau apa apa juga bicara melainkan apa kata Yamtuan Muda. Syahadan sekelian perjanjian kita mana mana yang tersebut itu tiada boleh diubah lagi, maka boleh kita semua pakai sampai kepada anak cucu cicit turun temurun kita kekal selama lamanya”. Maka jawab Raja Sulaiman, “Baiklah”.

Dipendekkan cerita, akhirnya opu-opu lima beradik tersebut berjaya menawan alat kebesaran diraja Johor daripada Raja Kechil di Siak. Tengku Sulaiman kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Johor pada tahun 1722 manakala Opu Daeng Marewah dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Muda Riau pertama. Melalui persetiaan yang dibuat antara kedua dua pihak, jawatan Sultan hanya keturunan diraja Melayu manakala Yang Dipertuan Muda pula adalah hak esklusif untuk keturunan Bugis sahaja.

Ketika Opu Daeng Parani berada di Selangor, sepucuk surat dikirimkan kepadanya daripada Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adzilin Muadzam Shah II (1710 -1778 M), sultan Kedah di mana takhta baginda dirampas oleh adindanya, Raja Nambang. Opu Daeng Parani setelah berbincang dan bermusyawarah dengan adik beradiknya serta mendapat kebenaran dari Sultan Sulaiman,akhirnya bergerak menuju ke Kedah diiringi oleh adik beradiknya. Pihak Sultan Muhammad Jiwa II dan orang Bugis berjaya memenangi pertempuran menentang Raja Nambang pada tahun 1723 tersebut dan dalam perang saudara pertama ini, Opu Daeng Parani dinikahkan dengan Tunku Aishah, saudara kepada Sultan Muhammad Jiwa II sendiri.

Namun pada tahun 1724 M, perang saudara tercetus sekali lagi antara Sultan Muhammad Jiwa II dengan Raja Nambang di Kedah, namun dalam perang kali kedua ini, Raja Nambang meminta bantuan dari Raja Kechil dari Siak manakala Sultan meminta bantuan daripada opu-opu Bugis lima beradik tersebut. Peperangan kali ini berlaku dengan sangat sengit sekali di mana pada siangnya, kubu Raja Kechil dapat ditawan oleh Opu Daeng Parani sehingga Raja Kechil sendiri terjun ke dalam parit bersebelahan kubu tersebut lalu pada sebelah malamnya, Raja Kechil dan tenteranya pula berjaya menawan kubu tersebut.

Pihak Bugis menggunakan kapal ghurab untuk menyerang kedudukan Raja Kechil maka menurut Tuhfat al Nafis, ketika dalam pengepungan tersebut, Opu Daeng Parani sedang berada di atas beranda kapal ghurab tersebut dan mengarahkan tenteranya untuk membedil kubu Raja Kechil dengan meriam. Maka dalam ketika itu dengan takdir Allah, pihak musuh dengan meriam mereka berjaya menembak Opu Daeng Parani dan bola meriam tersebut tepat kena pada dadanya. Opu Daeng Parani terkorban akibat tembakan meriam tersebut. Jenazah Opu Daeng Parani akhirnya dimakamkan di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri, Sungai Petani di Kedah Darul Aman.

Keturunan Opu Daeng Parani memegang peranan politik yang besar di dalam Empayar Johor Riau Lingga setelah ketiadaanya. Putera sulungnya,Opu Daeng Kemboja (1745 -1777) menjadi Yang Dipertuan Muda Riau yang ketiga selepas kemangkatan Opu Daeng Chelak. Kemudian, Raja Ali bin Daeng Kemboja bin Daeng Parani (1784 – 1806) pula menjadi Yang Dipertuan Muda Riau kelima selepas Raja Haji Fisabilillah syahid terbunuh ketika menentang Belanda di Melaka pada tahun 1784.

Sementara anak lelaki sulungnya memegang karier politik yang penting dalam Empayar Johor, anak perempuan sulung Opu Daeng Parani pula iatu Daeng Khadijah pula menjadi isteri kepada Raja Alam, putera Raja Kechil dari Siak dan kemudian mendapat anak bernama Tengku Badariah (ya, Raja Kechil dan Opu Daeng Parani ini sebenarnya berbesan). Tengku Badariah kemudiannya berkahwin dengan Sayyid Usman bin Sayyid Shahab al-Ba’ Alawi dan mendapat putera bernama Sayyid Ali.

Sayyid Ali menjadi sultan keenam Kesultanan Siak Seri Inderapura selepas pendahulunya, Sultan Yahya akhirnya mangkat di Terengganu (makam baginda masih lagi wujud di Kampung Che Lijah,Dungun). Bermula daripada Sayyid Ali,kesultanan Siak seterusnya diperintah oleh keturunan Arab Quraisy (yang mempunyai darah Bugis melalui Daeng Khadijah binti Opu Daeng Parani) dan tidak lagi diperintah oleh keturunan Raja Kechil.

  1. OPU DAENG MENAMBUN

Daeng Menambun ibni Daeng Rilaga ini lebih berpengaruh dalam arena sejarah Kalimantan bersama sama adik bongsunya,Opu Daeng Kemasi. Putera kedua dari lima bersaudara ini mula naik dalam persada sejarah selepas berlakunya perang saudara dalam Kesultanan Matan,antara Sultan Muhammad Zainuddin (1665 – 1724 M) dengan adiknya, Pangeran Agung yang berjaya merampas takhta dari abangnya.

Sultan Muhammad Zainuddin dan keluarganya terus mencari perlindungan pada Kesultanan Banjarmasin dan meminta sultan Banjar ketika itu iatu Sultan Tahmidullah I (1700 – 1717 M) untuk menyerang Pangeran Agung di Matan, selain mengutuskan surat kepada Opu-Opu Daeng Lima bersaudara. Walaupun sultan Banjar menghantar angkatan tentera yang ramai terdiri daripada orang Banjarmasin, orang Kota Ringin dan orang Sempat Mendawi untuk menyerang Matan, namun serangan ini gagal dan tentera tersebut berundur apabila panglima besar mereka, Panglima Pantas terbunuh.

Sultan Muhammad Zainuddin pula enggan menyerah kalah sebaliknya menguncikan dirinya dalam sebuah masjid. Masjid tersebut kemudian dikepung dan dikawal oleh orang-orang suruhan Pangeran Agung yang berketurunan Bugis, iatu Daeng Matekkoh dan Haji Hafiz serta angkatan tentera kerajaan Matan.

Dikatakan Sultan Muhammad Zainuddin berkecil hati dan sedih dengan tindakan para pembesar dan tentera kerajaan Matan yang berterusan mengepung diri baginda di dalam masjid selama berhari-hari lalu mengatakan ; “Engkau semua sanak saudara,menteri penggawaku,sampai hati membuatkan aku sedemikian ini” sehingga membuatkan mereka semua menangis lalu memberi sultan tersebut makanan dan minuman walaupun mereka semua ditegah melakukan sedemikian oleh Pangeran Agung. Baginda terus dikepung dalam masjid selama lima bulan lamanya dan dikatakan keadaan baginda bukannya semakin lama semakin kurus kering tetapi semakin gempal badannya.

Selepas Opu Daeng Menambun dan adik beradiknya tiba di Matan selepas berlayar dari Johor, mereka membebaskan Sultan Muhammad Zainuddin dari kepungan lalu membawa baginda bertemu Pangeran Agung. Pangeran Agung sangat marah kerana Opu-Opu Daeng Lima tersebut tetap membebaskan abangnya itu walaupun dia tidak mengizinkannya, lalu menghalau abangnya serta adik beradik Bugis tersebut keluar dari Matan. Mereka semua pergi ke Banjarmasin untuk meminta izin untuk membawa balik keluarga Sultan Muhammad Zainuddin yang berada di bawah jagaan sultan Banjar tersebut kemudian mereka semua berangkat ke Kuala Kandang Kerbau dan menetap di situ.

Dikatakan ketika mereka semua tiba di Kuala Kandang Kerbau, Opu Daeng Menambun tiba-tiba jatuh cinta pandang pertama apabila melihat keayuan dan kecantikan puteri sulung Sultan Muhammad Zainuddin iatu Puteri Kesumba. Beliau tidak berani meluahkan perasaannya kerana segan akan ayahanda puteri tersebut maka “duduklah ia menahankan hatinya serta berharap-harap akan takdir dan pertemuannya daripada Allah Taala jua yang dinantinya.”

Pucuk dicita ulam mendatang apabila Sultan Muhammad Zainuddin sendiri meminta kepada Opu-Opu Daeng Lima Bersaudara tersebut supaya meminta salah seorang di kalangan mereka untuk dikahwinkan dengan salah seorang puteri baginda. Opu Daeng Menambun tiba-tiba menawarkan dirinya untuk dijodohkan dengan Puteri Kesumba. Opu Daeng Menambun akhirnya dikahwinkan dengan Puteri Kesumba dalam satu acara yang sederhana di Kuala Kandang Kerbau.

Tujuh hari selepas perkahwinan tersebut, maka Opu Daeng Menambun dan adik beradiknya yang lain ditugaskan untuk menyerang Pangeran Agung di Matan. Daeng Matekkoh dan Haji Hafiz ditugaskan oleh Pangeran Agung untuk menghalang kedatangan opu-opu putera Bugis tersebut tetapi kemudiannya Daeng Matekkoh berlayar menuju ke Siak kerana tidak mahu menentang putera-putera raja Bugis tersebut. Daeng Matekkoh kemudiannya berpihak kepada Raja Kechil dalam menentang opu-opu Bugis ini nanti.

Ketiadaan pahlawan Bugis tersebut memudahkan mereka menangkap Pangeran Agung lalu atas perintah Sultan Muhammad Zainuddin, kemudiannya dikurung dalam sebuah kubu kecil bersama tiga puluh orang wanita yang dikawal ketat sehingga kematiannya. Opu-Opu Daeng Lima bersaudara tersebut kemudiannya pulang ke Johor dan terlibat dalam pertempuran menentang Raja Kechil selepas itu, yang diceritakan seperti di atas tadi. Opu Daeng Menambun pula kemudiannya terlibat bersama sama adik beradiknya dalam perang saudara Kedah antara Sultan Muhammad Jiwa II dengan adinda baginda, Raja Nambang.

Selepas perang selesai,beliau serta adik bongsunya,Opu Daeng Kemasi bermohon hendak kembali semula ke bumi Kalimantan. Mereka adik beradik sempat bersumpah sebelum berpisah mengikut haluan masing-masing berteguh janji supaya ;

“Maka siapa-siapa jua kita ini yang mendapat akan kesusahan,melainkan tiada boleh tiada kita semua tolong-menolong adanya”

Selepas tiba di Matan, beliau dianugerahkan gelaran Pangeran Emas Surya Negara oleh Sultan Muhammad Zainuddin manakala isterinya, Puteri Kesumba diberi gelaran Ratu Agung Sinuhun. Seterusnya, Opu Daeng Menambun dilantik sebagai Raja Mempawah pada tahun 1737 Masihi kerana isterinya, Puteri Kesumba adalah puteri kepada Sultan Muhammad Zainuddin dan Utin Indrawati. Utin Indrawati pula ialah satu-satunya anak tunggal kepada Panembahan Senggaok dan Puteri Cermin, pemerintah asal Kerajaan Mempawah dari keturunan Dayak. Kemangkatan Panembahan Senggaok menjadikan Puteri Kesumba sebagai waris mutlak kerajaan Mempawah,d an Opu Daeng Menambun sebagai suami kepada Puteri Kesumba dilantik sebagai Raja Mempawah.

Kedua-dua mereka mendirikan ibu negeri di Sebukit Rama dan menjadikan Mempawah sebuah kesultanan Islam yang aman makmur di bumi Kalimantan serta melaksanakan hukum Islam ketika itu. Pada masa pemerintahan Opu Daeng Menambun di Mempawah, dua orang ulama terkenal iatu Sayyid Hussein Habib al Qadry dan Syeikh Ali bin Fakih al Fatani datang menabur bakti di Mempawah untuk berdakwah serta menjadi mufti kerajaan dan penasihat utama baginda dalam melaksanakan pemerintahan berlunaskan hukum Islam.

Opu Daeng Menambun terlibat dalam Perang Pinang Sekayuk tahun 1728 M (tahun 1141 Hijri) yang meletus akibat fitnah seorang Dayak terhadap seorang pengikut Gusti Jamiril, putera Opu Daeng Menambun dalam masalah hutang piutang barang-barang dagangan milik Gusti Jamiril yang dibawa dari Betawi (Batavia,kini dikenali dengan nama Jakarta). Baginda dan tentera Mempawah menentang tentera Pangeran Dipati,saudara kepada Panembahan Senggaok serta anaknya,Raden Jaga.

Dalam perang ini, baginda turut mendapat bantuan dari adik-adiknya yang mematuhi sumpah janji yang dibuat oleh mereka dahulu seperti Opu Daeng Kemasi yang tiba dari Sambas dan juga Opu Daeng Chelak, yang baru sahaja dilantik sebagai Yamtuan Muda Riau kedua dan mereka juga turut dibantu oleh raja kerajaan Landak, iatu Ratu Bagus. Pakatan ketenteraan Mempawah-Sambas-Riau-Landak berjaya memenangi pertempuran itu. Opu Daeng Menambun mendapat janji kesetiaan kepada pemerintahannya ke atas Mempawah oleh puak-puak Dayak selepas perang tersebut.

Perkahwinan antara Opu Daeng Menambun dan Puteri Kesumba dikurniakan sepuluh orang anak, di mana lima orang lelaki dan lima orang perempuan. Melalui zuriat baginda yang ramai ini, baginda sebagai pemerintah Mempawah berketurunan Bugis dapat menjalinkan hubungan kekeluargaan yang besar dan luas dengan kerajaan-kerajaan Borneo yang wujud ketika itu seperti kerajaan Brunei, Landak, Pontianak dan Sambas.

Opu Daeng Menambun akhirnya mangkat pada 26 Safar 1174 Hijri/7 Oktober 1760 Masihi (riwayat lain mengatakan baginda mangkat tahun 1166 H/1752 M). Tempat baginda sebagai pemerintah negeri Mempawah digantikan oleh putera sulungnya, Gusti Jamiril yang memakai gelaran Panembahan Adi Wijaya Kesuma.

Keturunan Opu Daeng Menambun terus-menerus menjadi pemerintah Kesultanan Mempawah sehingga ke zaman penjajahan Jepun dan akhirnya diserap masuk wilayahnya serta kedaulatannya ke dalam Republik Indonesia sehingga kini.

  1. OPU DAENG MAREWAH

Opu-Opu Daeng Lima bersaudara sedang berada di Matan menyelesaikan hal yang berlaku di sana seperti yang diceritakan sebelum ini. Ketika itulah satu surat dari Johor datang kepada mereka diutus daripada Tengku Sulaiman yang ketika itu ingin menghapuskan Raja Kechil yang membunuh ayahandanya, Sultan Abdul Jalil IV di Kuala Pahang. Selepas menerima surat tersebut,adik beradik tersebut berasa sangat marah membaca surat tersebut lalu berbangkitlah semuanya menghunus kerisnya, mengaruk aruk, berkanjar kanjar (satu adat Bugis yang membuat sumpah setia dengan sebilah keris yang tajam). Dalam ketika itu,anak ketiga daripada lima beradik ini yang bernama Opu Daeng Marewah berkata ;

“Jika belum aku ambil Riau dengan segala takluk daerahnya aku serahkan kepada Raja Sulaiman, aku haramkan menjejak tanah Bugis atau aku mati”.

Jika dirujuk di dalam Tuhfat al Nafis dan sejarah hidup lima beradik ini, mungkin kita boleh membuat kesimpulan bahawa Opu Daeng Marewah lebih tampak menonjol sebagai ahli strategi perang berbanding adik beradiknya yang lain. Opu Daeng Marewah juga turut masyhur dengan gelaran “Kelana Jaya Putera” yang dikatakan didapatinya setelah membantu Belanda melanggar negeri Pariaman di Sumatera Barat.

Opu Daeng Parani segera mempersiapkan angkatan tentera serta armada laut yang ditugaskan untuk menyerang Raja Kechil di pulau Riau. Opu Daeng Parani sebagai abang tua melantik Opu Daeng Marewah sebagai kepala perang (komander pusat) tentera tersebut manakala Opu Daeng Chelak pula menjadi Panglima Besar. Adik beradiknya yang lain seperti Opu Daeng Menambun dan Opu Daeng Kemasi dilantik sebagai Panglima Perang Kanan dan Panglima Perang Kiri. Beberapa orang bangsawan Bugis seperti Daeng Mangngatuk menjadi hulubalang tua, Daeng Massuro dan Daeng Menampuk pula menjadi kepala indera guru. Adalah diceritakan kelengkapan tentera Bugis yang datang melanggar Riau seperti tercatat dalam Tuhfat al Nafis ;

“Syahadan apabila sudah teguhlah ikatan perangnya berangkatlah ia belayar ke Riau. Adalah kelengkapannya yang pergi yang besarnya tujuh buah, satu keci ditutuhnya diperbuatnya penjajab dan beberapa perahu perahu Bugis, seperti pintak dan kura kura, dan beberapa lagi sampan sampan kecil kecil. Ada orang Bugis serta Bugis juak juaknya ada kira kira seribu dan ada kepala juak juaknya yang empat puluh itu dua orang, pertama Indera Guru La Malu namanya, kedua Indera Guru To Jerpak namanya.”

Dipendekkan cerita, berlaku peperangan besar di antara Opu-Opu Daeng Lima Bersaudara dengan Raja Kechil di Riau. Bunyi bedilan dari meriam-meriam bersahut-sahutan di antara kedua-dua pihak, terlalu gegak-gempita bunyinya. Para pahlawan Bugis menaiki sampan dengan segala pemuras dan terakol mereka, merapati dan menyerang perahu-perahu perajurit Minangkabau dan pengikut-pengikut Raja Kechil. Tentangan yang kuat dari pihak Bugis telah menyebabkan Raja Kechil dan pengikutnya berundur ke Pulau Bayan.

Opu Daeng Marewah sebagai komander tertinggi tentera ketika itu kemudiannya membahagikan tenteranya kepada dua bahagian, di mana satu bahagian ditugaskan berkubu di Tanjung Pinang dan membedil kubu Raja Kechil di Pulau Bayan manakala satu bahagian tentera lagi ditugaskan berdayung sampan ke hulu Riau dan menyerang sampan-sampan milik pengikut Raja Kechil di Pulau Bayan. Strategi ini berjaya menjadikan pasukan Raja Kechil kucar kacir lalu meninggalkan kubu Pulau Bayan untuk menyelamatkan sampan-sampan mereka sehingga memberi peluang kepada satu lagi bahagian tentera Bugis yang berkawal di Tanjung Pinang untuk menyerang Pulau Bayan.

Raja Kechil akhirnya cuba berundur pergi ke Pulau Penyengat tetapi dapat dipintas oleh perahu-perahu tentera Bugis. Dari situ, baginda kemudiannya sekali lagi berundur menuju ke pulau Lingga ketika itu hujan lebat dan pada masa itulah, tentera Bugis di bawah opu-opu tersebut berjaya memenangi pertempuran pertama mereka menentang Raja Kechil. Adapun peristiwa itu berlaku pada tahun 1721 Masihi (sanat hijrah 1134).

Setelah daripada peristiwa itu, Opu Daeng Marewah pergi ke Selangor dan Langat untuk mendapatkan kerjasama daripada pedagang-pedagang Bugis yang banyak menetap di sana sebelum ketibaan Opu-Opu itu lagi. Di situ juga, Opu Daeng Marewah mempertingkatkan kelengkapan perangnya sebanyak tiga puluh ghurab lengkap dengan meriam-meriam.

Namun ketika anak-anak raja Bugis tersebut berada di Selangor, telah berlaku satu peristiwa di wilayah Linggi yang ketika itu dikuasai oleh Raja Kechil. Nelayan-nelayan Bugis yang menetap serta memasang belat menangkap ikan di sana telah dianianyai oleh penghulu Linggi, yang merupakan pengikut Raja Kechil. Belat-belat yang dipasang oleh nelayan-nelayan Bugis tersebut dipotong lalu diserahkan kepada Opu Daeng Marewah dan adik beradiknya.

Opu Daeng Marewah yang marah dengan tindakan penghulu Linggi segera memperlengkapkan angkatan tentera untuk melanggar Linggi tetapi penghulu tersebut meminta supaya pihaknya dapat memanggil Raja Kechil ke mari dahulu.

Raja Kechil juga mengumpulkan tenteranya lalu berperang dengan tentera Opu Daeng Marewah. Opu Daeng Marewah mengarahkan kumpulan tentera berperahunya untuk berundur secara beransur-ansur hingga diikuti oleh tentera berperahu Raja Kechil dan apabila tiba di tempat kapal-kapal besar Bugis terletak, mereka akan bersembunyi di belakang kapal-kapal besar tersebut dan kapal-kapal besar itu yang akan membedil tentera berperahu Raja Kechil.

Opu Daeng Marewah telah membahagikan tiga puluh buah ghurabnya kepada dua kumpulan, di mana kumpulan pertama dua puluh ghurab berperang dengan Raja Kechil kemudian berundur ke kuala, seolah-olah seperti tewas. Sementara kumpulan kedua dengan sepuluh buah ghurab juga dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama sebanyak enam buah ghurab akan menyerang serta menakluk kubu Penghulu Linggi di darat manakala empat buah lagi diarahkan tunggu sehingga waktu malam.

Ketika Raja Kechil sedang menuju ke kuala, kenaikan baginda telah diserang oleh sepuluh buah ghurab tadi dari belakang. Raja Kechil kemudian berundur menuju ke kubunya di darat namun kubu yang telah lama ditawan oleh tentera Bugis tersebut, membedil pula kenaikan Raja Kechil dan baginda menyangka bahawa penghulu Linggi sudah belot kepadanya. Raja Kechil kemudian terpaksa berundur ke Siak dan membina kubu di Buantan.

Kemenangan di Linggi memberi peluang kepada Tengku Sulaiman dan opu-opu Bugis tersebut untuk menakluk Riau daripada kekuasaan Raja Kechil. Oleh sebab itu kononnya muncul satu pantun yang diperbuat oleh orang Riau selepas perang ini;

Terketai ketai anak sembilang,

Budak merayau dengan galah;

Raja Kecik silakan pulang,

Linggi diserang Riau yang alah.

Persediaan dibuat untuk menabalkan Tengku Sulaiman sebagai sultan Johor namun alat kebesaran diraja yang amat diperlukan dalam pertabalan seorang sultan pada masa itu berada di tangan Raja Kechil yang berada di Siak. Opu-opu lima bersaudara tersebut ditugaskan untuk mengambil kembali alat kebesaran diraja tersebut daripada Raja Kechil. Apabila Raja Kechil enggan menyerahkannya, Opu Daeng Marewah mengarahkan tenteranya menyerang Buantan. Pertempuran sengit berlaku dan orang Bugis yang menetap di Siak ketika itu berpihak kepada opu-opu lima bersaudara tersebut. Raja Kechil berundur ke hulu dan di satu tempat bernama Simpalan, Raja Kechil menyerah kalah dan memberi alat kebesaran diraja tersebut kepada opu-opu lima bersaudara tersebut.

Tengku Sulaiman ditabalkan sebagai sultan Johor dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan baginda melantik Opu Daeng Marewah Kelana Jaya Putera sebagai Yang Dipertuan Muda pertama pada tarikh 4 Oktober 1722 Masihi kemudian menikahkan Opu Daeng Chelak dengan saudara baginda yang bernama Tengku Mandak. Opu Daeng Marewah kemudiannya pergi ke Perapat Seratus mengambil salah seorang janda Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang bernama Tun Encik Ayu sebagai isterinya.

Opu Daeng Marewah Kelana Jaya Putera juga terlibat dalam perang saudara yang berlaku di Kedah dan ketika abangnya, Opu Daeng Parani terkorban akibat ditembak meriam,beliau bersama adiknya, Opu Daeng Chelak pergi menyerang kubu Raja Kechil habis-habisan sehingga Raja Kechil terpaksa berundur ke Siak semula.

Sepucuk surat daripada Raja Muda Perak yang bernama Raja Inu diutuskan kepada Yang Dipertuan Muda Opu Daeng Marewah di Riau untuk meminta bantuan supaya dapat menggulingkan pemerintahan Sultan Alauddin Mughayat Shah (1720 -1728), dan pada tahun 1728 itulah, Opu Daeng Marewah dan tenteranya dari Selangor bergerak menuju ke Bernam untuk menyerang pusat pentadbiran Sultan Perak pada masa itu di Geronggong (berhampiran Kampung Gajah kini).

Walaupun Geronggong berjaya ditawan oleh Opu Daeng Marewah, perjanjian damai telah dibuat di antara kedua dua pihak dan pada tahun sama juga, baginda Sultan Alauddin Mughayat Shah mangkat. Raja Inu ditabalkan sebagai Sultan Perak dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah III. Baginda Sultan Muzaffar Shah III ini kemudiannya bakal ditentang oleh Raja Mudanya sendiri yang akhirnya mendapatkan bantuan Bugis, sepertimana apa yang baginda berbuat benda yang sama dahulu terhadap sultan sebelumnya. Ini akan diceritakan selepas ini di bawah.

Ketika meletusnya Perang Pinang Sekayuk di Kalimantan,Opu Daeng Marewah sedang membuat rondaan di sekitar jajahan Empayar Johor di Pulau Perca (Sumatera) dan akan menghantar bantuan selepas selesai menjalankan tugasannya itu. Namun ditakdirkan Allah s.w.t, Opu Daeng Marewah menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berada di Pulau Pitung, jenazahnya dibawa balik ke Riau dan akhirnya dimakamkan di Sungai Baharu, Riau pada tanggal 7 Ogos 1728 Masihi. Beliau kemudiannya masyhur dikenali dengan nama Marhum Sungai Baharu di samping gelarannya ketika hidup dahulu iatu Kelana Jaya Putera.

  1. OPU DAENG CHELAK

“Syahadan kata sahibul hikayat adapun Opu Daeng Chelak inilah anak raja Bugis yang baik parasnya serta dengan sikapnya dan pahlawan rupanya…”

“Adalah puteranya (Opu Daeng Rilaka) yang lima orang itu baik-baik belaka parasnya, serta dengan sikapnya dan pahlawannya,akan tetapi Opu Daeng Chelak lah yang terlebih sangat baiknya parasnya,memberi ghairat hati perempuan-perempuan memandangnya, demikianlah katanya yang empunya cetera.”

Selepas kemangkatan ayahandanya, Opu Daeng Menambun bermimpi melihat kemaluan adiknya, Opu Daeng Chelak menjulur ke laut menjadi naga dan kepalanya menghadap ke arah tanah barat (Semenanjung Tanah Melayu). Maka menurut ramalan ahli nujum, itu petanda bahawa keturunan Opu Daeng Chelak akan memegang kekuasaan di Semenanjung Tanah Melayu berzaman-zaman lamanya. Oleh sebab itu, kesemua Opu-Opu Lima Bersaudara ini selepas kemangkatan ayahanda mereka,berlayar ke Johor untuk beradu nasib dan mencari kekuasaan di sini.

Opu Daeng Chelak sebagai seorang anak raja yang berani dan gigih serta mempunyai sifat budiman (malah kacak pulak tu) telah menimba pengalaman dengan menyertai banyak peperangan menentang Raja Kechil di bawah telunjuk abang-abangnya. Opu Daeng Chelak dikhabarkan terlibat dalam peperangan menentang Raja Kechil di Riau,Linggi dan Buantan di Siak. Selepas perlantikan abangnya iatu Opu Daeng Marewah sebagai Yang Dipertuan Muda Johor Riau, beliau dikahwinkan dengan adinda Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang bernama Tengku Mandak (Tengku Tengah).

Opu Daeng Chelak sekali lagi mengikuti abangnya, Opu Daeng Parani dan Yang Dipertuan Muda Opu Daeng Marewah Kelana Jaya Putera menolong Sultan Kedah menghadapi adiknya yang kali ini dibantu oleh Raja Kechil dari Siak dalam perang saudara yang berlaku di Kuala Kedah pada tahun 1724 Masihi. Dalam pertempuran kali kedua ini, pasukan Raja Kechil tumpas namun Opu Daeng Parani terkorban. Selepas perang tamat dan urusan pemakaman jenazah abang sulung mereka selesai, mereka berdua kembali ke Riau dengan penuh dukacita.

Pada pagi 12 Mei 1725 kira-kira setahun selepas peristiwa Opu Daeng Parani terkorban di Kedah, Raja Kechil dari Siak sekali lagi datang menyerang Riau. Tentera Johor-Riau dan tentera Siak berperang antara satu sama lain setiap hari sekejap berperang, sekejap berhenti. Adalah diceritakan dalam Tuhfat al Nafis apabila Raja Kechil dan Opu Daeng Chelak bertemu antara satu sama lain, mereka akan makan minum sama-sama kemudian balik ke tempat masing-masing. Perang tamat sekitar bulan Zulhijjah apabila satu perjanjian damai dibuat di antara Raja Kechil dan Sultan Sulaiman. Namun sekitar tahun 1139 Hijri (1726 Masihi), Raja Kechil mungkir janjinya dan bertindak melanggar Riau sekali lagi namun dikalahkan oleh pasukan Bugis di bawah Yang Dipertuan Muda Opu Daeng Marewah dalam masa dua hari sahaja.

Pada masa meletusnya Perang Pinang Sekayuk antara Pangeran Dipati dan Opu Daeng Menambun, berlakulah satu peristiwa besar di dalam kerajaan Johor Riau apabila Opu Daeng Marewah mangkat pada tahun 1728 Masihi ketika sedang meronda untuk memeriksa wilayah kerajaan Johor ketika itu dan dimakamkan di Sungai Baharu. Sultan Sulaiman kemudiannya terus melantik Opu Daeng Chelak sebagai Yamtuan Muda Johor-Riau keturunan Bugis yang kedua.

Tugas pertama Opu Daeng Chelak selepas dilantik sebagai Yamtuan Muda kedua ialah menghantar bantuan ketenteraan untuk menolong abangnya, Opu Daeng Menambun dalam Perang Pinang Sekayuk. Selepas abangnya berjaya memenangi pertempuran tersebut, beliau kembali ke Riau dan menghadapi banyak serangan yang dilancarkan ketika masa pemerintahannya oleh Raja Kechil dari Siak yang kemudiannya disambung semula oleh putera baginda iatu Raja Alam.

Perang di antara Opu Daeng Chelak dan Raja Alam menyaksikan tentera Siak merampas sebuah wangkang pedagang di Kampung Bulang lalu wangkang itu dibuat menjadi “sebuah kota berjalan” namun wangkang tersebut berjaya ditawan dengan mudah oleh tentera Riau pada hari Rabu, 14 Ogos 1737 Masihi dan Raja Alam dan para pengikutnya berundur ke Tanjung Sebadam sehingga akhirnya ke Kuala Riau seterusnya balik ke Siak. Inilah serangan Siak yang terakhir ke atas wilayah Johor-Riau, kemudian berlakunya konflik perebutan takhta Siak di antara putera-putera Raja Kechil iatu Raja Alam dan Raja Mahmud.

Pada 7 September 1740 Masihi, Opu Daeng Chelak berada di Selangor dan mendapat sepucuk surat yang diutus daripada Raja Muhammad Shah (Raja Muda Perak) yang meminta Yang Dipertuan Muda berketurunan Bugis tersebut menolong pihaknya merampas takhta daripada Sultan Muzaffar Shah III (Raja Inu). Opu Daeng Chelak kemudiannya mengumpulkan serta membawa angkatan tentera Bugisnya dari Selangor menuju ke Perak untuk membantu Raja Muda tersebut serta menyambung kembali peranan Opu Daeng Marewah yang pernah terlibat dalam Perang Saudara Perak sebelum itu.

Peperangan terjadi di antara pihak Sultan Muzaffar III dan Raja Muda Muhammad Shah dan setelah beberapa lama, pihak Raja Muda menang dalam pertempuran tersebut dan Sultan Muzaffar III berundur ke Sayong. Opu Daeng Chelak bersama majoriti para pembesar Perak lainnya menyokong dan menabalkan Raja Muda Muhammad sebagai Sultan Perak keempat belas,dengan gelaran Sultan Muhammad Shah (1744 – 1750). Kesultanan Perak pada masa tersebut berpecah kepada dua. Namun Sultan Muhammad Shah kemudiannya berbaik semula serta menyerahkan kedudukan baginda kepada Sultan Muzaffar III selepas Opu Daeng Chelak pulang ke Riau pada tahun 1745.

Tidak lama kemudian, Yang Dipertuan Muda Opu Daeng Chelak akhirnya mangkat pada 19 Mei 1745 (17 Rabiulakhir 1158 H) setelah memegang jawatan tersebut selama 17 tahun dan beliau digelar sebagai Marhum Mangkat di Kota. Anak saudaranya iatu Opu Daeng Kemboja bin Opu Daeng Parani kemudiannya dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda Riau yang ketiga.

Keturunan Opu Daeng Chelak kemudiannya memegang kekuasaan politik yang sangat besar di Semenanjung Tanah Melayu sehinggalah ke hari ini. Opu Daeng Chelak mempunyai dua orang anak lelaki iatu Raja Lumu dan Raja Haji. Sementara Raja Lumu ditabalkan sebagai sultan Selangor pertama pada tahun 1776, adiknya yang bernama Raja Haji dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda Riau yang keempat pada tahun 1777 Masihi.

Keturunan Raja Haji bin Opu Daeng Chelak terus menerus memegang jawatan Yang Dipertuan Muda Riau sehinggakan jawatan tersebut menjadi hak kepada keturunannya sahaja bermula daripada Raja Jaafar bin Raja Haji yang dilantik menjadi Yang Dipertuan Muda Riau keenam sehinggalah kepada Raja Muhammad Yusuf al Ahmadi (1858 -1899) sebagai Yang Dipertuan Muda Riau yang kesepuluh (terakhir). Kemudian dunia Melayu dengan rasa sedihnya menyaksikan Kesultanan Riau Lingga akhirnya dimansuhkan oleh Belanda secara rasmi pada tarikh 3 Februari 1911 Masihi.

Tetapi ditakdirkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, keturunan Raja Lumu bin Opu Daeng Chelak masih lagi memegang daulah kekuasaan di bumi Melayu sehingga kini. Kesultanan Selangor yang diasaskan oleh Raja Lumu sejak tahun 1776 ini sudah mempunyai 9 orang sultan. Marilah kita berdoa semoga Allah s.w.t memanjangkan umur serta memberi kesejahteraan kepada satu-satunya waris dinasti Opu Daeng Chelak yang masih lagi berdaulat dan memegang tampuk kekuasaan di atas muka bumi ini iatu Sultan Selangor Darul Ehsan, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

  1. OPU DAENG KEMASI

Anak bongsu daripada kelima lima adik beradik ini, mengikuti jejak langkah abangnya yang bernama Opu Daeng Menambun dalam arena sejarah Kalimantan berbanding ketiga-tiga abangnya yang lain hebat dalam arena sejarah Semenanjung Tanah Melayu dan selat Melaka ketika itu.

Diceritakan Sultan kerajaan Sambas ketika itu iatu Sultan Umar Aqamaddin I (1708 -1732) sangat kagum dengan keberanian dan kegigihan opu-opu Bugis lima beradik tersebut yang berjaya membina prestij tersendiri di bumi Melayu ketika itu. Baginda juga berhasrat untuk menjadikan salah seorang di kalangan mereka sebagai menantunya. Oleh itu,baginda mengutuskan surat kepada opu-opu lima beradik tersebut di Johor tentang permintaan baginda.

Opu-opu tersebut berbincang sesama mereka tentang permintaan baginda Sultan Sambas tersebut. Keempat empat mereka sudah mempunyai ketetapan dan rumah tangga sendiri melainkan Opu Daeng Kemasi yang masih belum ada ketetapan baginya. Oleh sebab itu, Opu Daeng Kemasi dipilih untuk datang ke Sambas memenuhi jemputan dari sultannya diiringi oleh abangnya, Opu Daeng Menambun yang kebetulan pula hendak pulang semula ke Matan.

Setibanya di Sambas,baginda Sultan Umar Aqamaddin I sangat gembira dengan kedatangan Opu Daeng Kemasi lalu menikahkannya dengan Raden Tengah yang merupakan saudara perempuan kepada baginda sultan sendiri. Beliau digelar sebagai Pangeran Mangkubumi dan ditugaskan untuk memerintahkan segala jajahan takluk Sambas di bawah baginda.

Opu Daeng Kemasi turut membantu abangnya, Opu Daeng Menambun ketika meletusnya Perang Pinang Sekayuk pada tahun 1728 Masihi itu.
Kesimpulan

Begitulah penulis ceritakan serba sedikit tentang legenda lima putera Bugis bersaudara ini yang pernah menggegarkan dunia Melayu sekitar 300 tahun yang lampau.Dari pemerhatian penulis dan tidak mustahil pandangan dari para pembaca juga, bahawa Opu-Opu lima bersaudara ini tidak mungkin boleh mengukir nama yang hebat dalam sejarah Nusantara ini bersama-sama, jika wujud sifat sifat seperti dengki dan terlalu mementingkan diri sendiri (bersifat egois) dalam diri mereka.

Sejarah telah membuktikan bahawa Opu-Opu Daeng Lima bersaudara ini dapat mencapai pengaruh politik yang besar di Nusantara, dengan semangat kekeluargaan yang kukuh dan saling bantu membantu apabila salah seorang di kalangan mereka ditimpa masalah. Dalam membuat satu keputusan, mereka akan berbincang sesama mereka dan mencapai persetujuan dan kesepakatan dalam sesuatu perkara, bukannya mengambil tindakan sendiri secara melulu. Kelima-lima mereka saling memerlukan dan melengkapkan antara satu sama lain dan itulah peranan adik beradik dalam sesuatu keluarga yang harmoni. Sehingga kini, nama mereka masih mekar dan mewangi dalam sejarah Nusantara berkat daripada ikatan kekeluargaan yang kuat sesama mereka di dalam satu familia di samping sifat keberanian, kegigihan serta kebijaksanaan mereka.

#tokohmelayuagung

-RAD-

RUJUKAN :

  1. Raja Ali Haji (dikaji oleh Virginia Matheson Hooker), Tuhfat Al Nafis,Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998
  2. Raja Ali Haji (dikaji oleh Arena Wati), Salasilah Melayu dan Bugis, Pustaka Antara Kuala Lumpur, 1973
  3. Leonard Y. Andaya, Leaves of The Same Tree : Trade and Ethnicity in The Straits of Melaka, University of Hawaii Press Honolulu, 2008
  4. Tan Ding Eing (diterjemahkan oleh Shahabuddin Shafie), Sejarah Malaysia dan Singapura, Fajar Bakti Sdn. Bhd. Petaling Jaya, 1983
  5. Hikayat Opu Daeng Menambun
  6. Abdullah Zakaria Ghazali, Johor dan Kepulauan Riau : Berlainan Negara Tetap Bersaudara (PDF)

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here