Jejak Si Pemburu Kepala Manusia Di Dunia

0
1749
views

“BORNEO, the land of the headhunter” begitulah gelaran daripada penulis-penulis Barat apabila berbicara mengenai satu tradisi yang begitu menggerunkan mereka suatu waktu dahulu.  Perang Kayau oleh pengayau di kalangan etnik pribumi Borneo itu satu hal yang biasa kerana selain daripada dijadikan sebagai trofi untuk perluasan wilayah, ianya juga sebenarnya simbolik keberanian bagi pahlawan-pahlawan pribumi dahulukala.

Masyarakat Dayak di Borneo seperti Iban, Bidayuh, Kelabit, Kayan, Kenyah dan banyak lagi yang menghuni Sarawak mahupun Kalimantan adalah antara mereka yang gah namanya dengan tradisi pemburuan kepala musuh.  Di Sabah juga tidak kurang hebatnya kerana etnik Kadazan-Dusun juga suatu waktu dahulu turut mempunyai tradisi yang serupa.  Dek kerana itulah jika kita berkunjung ke rumah-rumah tradisi mereka maka sudah tentu ada tengkorak-tengkorak yang dipamerkan bagi mengenang tradisi silam mereka dahulukala.

Sebenarnya bukanlah mudah untuk menghapuskan tradisi pemburuan kepala ini kerana ianya telah dilestarikan berabad-abad lamanya di dalam penghidupan masyarakat di Borneo.  Hanya setelah kedatangan masyarakat Eropah yang bertapak di Borneo dikatakan cuba untuk mengharamkannya dan ianya benar-benar terhenti sekitar tahun 1930an.

Begitulah ceritanya apabila berbicara  si pemburu kepala manusia di Borneo yang kita semua ketahui.  Sebaliknya nun di benua-benua yang lain juga turut ada hal yang sama cuma kita sahaja yang tidak mengetahuinya.

Kaum Sumba, Indonesia

Populasi mereka berhimpun di Pulau Sumba, Indonesia.  Walau mendiami satu pulau yang sama namun begitu ada perbezaan makna pemburuan kepala kepada kelompok yang mendiami Sumba Timur dan Sumba Barat.  Untuk Sumba Timur, kepala musuh dipenggal adalah semata-mata untuk trofi kemenangan perluasan wilayah mereka.  Setiap tengkorak akan diasapkan mengikut ritual tertentu yang kemudiannya di letakkan di dalam satu peti khas dan dijaga serta dihormati sebagai sumber warisan keluarga.

Manakala untuk Sumba Barat pula berlainan ceritanya.  Ini kerana bagi kepercayaan mereka setiap kepala yang dipenggal dan dibawa pulang itu adalah simbol kepada kelemahan musuh.  Ianya adalah sesuatu yang memalukan dan kerana itulah adakalanya kepala musuh itu dijadikan satu bahan jenaka.  Kebiasaannya mereka tidak menyimpan tengkorak musuh sebaliknya diserahkan kepada keluarga musuh itu kembali setelah berjaya membuat perjanjian.  Cuma bahagian rambut sahaja akan disimpan untuk tujuan perubatan tradisional.

Kaum Marind, Papua New Guinea

Papua New Guinea adalah sebahagian daripada Republik Indonesia yang sehingga sekarang orang pribuminya begitu unik untuk diketahui keberadaannya.  Kaum Marind atau Marindanim merupakan salah satu daripada masyarakat pribuminya yang mempunyai sejarah di dalam pemburuan kepala manusia.  Cuma berbezanya walaupun pemburuan kepala itu diadakan pada satu masa yang tertentu tetapi bukan semua kepala manusia yang harus dipenggal.

Menurut tradisi kaum Marind hanya kepala individu tertentu yang dijadikan mangsa.  Kebiasaannya kepala individu yang berharga itu adalah terdiri di kalangan musuh mereka yang kuat ataupun pemimpin.  Ini kerana mereka mempercayai hanya dengan cara itu sahaja barulah sesuatu kaum itu akan berjaya dimusnahkan. Tengkorak-tengkorak kepala musuh akan disimpan oleh si pemenggalnya dan sudah menjadi tradisi bagi menghormati tengkorak tersebut maka mana-mana kelahiran anak mereka akan diberikan nama si empunya kepala semasa hidupnya.

Kaum Igorot, Filipina

Kaum Igorot atau Gorot merupakan merupakan antara pribumi di Filipina yang juga membarisi kelompok Austronesia.  Mereka juga dikenali sebagai “orang pergunungan” kerana populasi mereka nun jauh terpencil di pergunungan yang ada di Pulau Luzon, Filipina.

Suatu waktu dahulu mereka juga adalah pribumi yang cukup gah dengan perang-perang wilayah mereka. Setiap kali berperang sudah pasti ada kepala musuh yang dipenggal dan dibawa pulang.  Namun ada kelainan apabila berkata mengenai siapa yang mampu memenggal kepala musuh kerana untuk kaum Igorot hanya mereka yang memiliki “chaklag” sahaja dibenarkan.

“Chaklag” adalah satu ritual yang akan dilakukan ke atas mana-mana perwira Igorot yang ingin pergi berperang.  Sesiapa yang memegang “chaklag” adalah orang yang terpilih selepas sesuatu ritual itu dilakukan.  Jadi hanya beliau sahaja yang dibenarkan memenggal kepala musuh kerana kaum ini mempercayai setiap anggota badan manusia mempunyai supernaturalnya tersendiri yang mana sekiranya dilanggar larangan maka akan terjadi satu malapetaka ke atas seluruh kaum yang membuat onar.

Kaum Wa, Myanmar

Di Negara Myanmar juga tidak kurang hebatnya dengan tradisi si pemburu kepala manusia lebih-lebih lagi di kalangan masyarakat pribuminya.  Kaum Wa adalah antara pribumi yang mendominasi bahagian utara Myanmar.  Menurut sejarahnya walaupun aktiviti pemburuan kepala manusia tidak dilakukan sewaktu perang wilayah namun begitu ada waktunya mereka dengan sengaja akan mencari mana-mana manusia yang diluar daripada kaum mereka untuk dijadikan mangsa.

Pemburuan kepala manusia untuk dileraikan daripada badan adalah diketika majlis ritual penyembahan dewa sewaktu musim menuai diadakan.  Ini kerana mereka percaya semangat yang ada pada sesuatu kepala itu jika dipersembahkan kepada dewa akan menjadikan musim menuai itu lebih makmur dan berlimpah ruah jadinya.  Walaupun tiada lagi aktiviti pemburuan kepala manusia namun sehingga sekarang, setiap tengkorak itu akan disimpan rapi di satu bilik dan hanya akan dikeluarkan apabila ritual semangat bermula saban tahun.

· Kaum Atayal, Taiwan

Atayal atau Tayal atau Tayan adalah salah satu daripada kaum pribumi di Taiwan.  Menurut kajian antropologi adalah disahkan bahawa kaum ini juga adalah daripada kelompok Austronesia dan mempunyai banyak persamaan ritual dengan kaum pribumi di Borneo.  Dan kaum ini juga tidak pernah kurang dengan cerita sejarah mereka mengenai tradisi pemburuan kepala musuh.

Kebiasaannya setiap tengkorak kepala musuh akan dipamerkan di atas rak atau digantung di tiang seri rumah tradisi sebagai tanda kehebatan nenek moyang mereka suatu waktu dahulu.  Selain daripada kepala musuh dijadikan trofi sebagai simbol kekuatan setelah mereka menang di dalam perang wilayah mereka.  Adalah dipercayai bahawa suatu waktu dahulu, mana-mana anak jantan Atayal tidak akan mampu mendirikan rumahtangga tanpa mempersembahkan satu kepala musuh kepada keluarga bakal isterinya sebagai mahar perkahwinan.

· Kaum Maori, New Zealand

Orang Maori yang juga salah satu bangsa Austronesia yang mendiami New Zealand juga tidak pernah kurang dengan tradisi pemburu kepala manusia di dunia.  Kegagahan mereka terbukti di dalam cerita perang mereka dahulukala.  Kebiasaannya tengkorak-tengkorak kepala musuh akan dipamerkan sebagai trofi kemegahaan untuk mereka. Dan mereka turut merencanakan setiap cerita tengkorak yang disimpan itu di dalam bentuk tatu yang dilakarkan dibahagian muka atau tubuh badan yang lain.

Dan mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Orang Maori juga sebenarnya turut menyimpan tengkorak nenek moyang mereka setelah kematian.  Maksudnya setelah satu upacara pengebumian ritual diadakan jenazah nenek moyang akan disimpan atau ditanam.  Pada satu ketika mereka akan mengambil tengkorak dan seterusnya disimpan.  Kebiasaannya tengkorak-tengkorak nenek moyang tidak akan dipamerkan pada umum Cuma disimpan di satu bilik atau peti khas untuk tatapan keluarga sahaja.

· Kaum Mizos, India

Mizos merupakan campuran etnik pribumi iaitu samada dari Hmar, Ralte, Lusei, Pawi yang ramai mendiami wilayah utara barat India.  Turut terkenal dengan perang perluasan wilayah mereka suatu waktu dahulu untuk merampas sumber kekayaan mahupun menjadikan manusia sebagai hamba abdi untuk diperdagangkan.

Sebagai satu trofi kebiasaannya setiap pahlawan perang akan memenggal satu kepala musuh untuk dibawa pulang.  Tiada sesiapa dibenarkan membawa pulang kepala lebih dari satu untuk dipersembahkan kepada keluarga dan penduduk kampung.  Setiap tengkorak kepala musuh akan digantung di pintu gerbang yang ada di kampung mereka.  Mereka turut mempercayai bahawa setiap tengkorak kepala musuh adalah satu wadah yang paling ditakuti oleh semangat yang jahat untuk menganggu penghidupan penduduk yang tinggal di perkampungan.

· Kaum Igbo, Afrika

Masyarakat Igbo merupakan etnik terbesar yang mendiami banyak Negara-negara di benua Afrika.  “Mgbruru-ishi” merupakan terma yang digunapakai mereka di dalam satu tradisi yang melibatkan pemburuan kepala manusia.  Kebanyakan daripada kaum-kaum pribumi di dunia mengadakan pemburuan kepala manusia secara kumpulan yang besar-besaran namun untuk masyarakat Igbo lebih kepada perseorangan mahupun di dalam kumpulan kecil iaitu antara dua hingga ke lima orang.

Dan tradisi ini hanya boleh dilakukan untuk mereka yang telah melalui satu ritual yang diadakan secara berperingkat dan kadangkala selesai pantang larang ritual yang digelar “Nne Ala” ini boleh mengapai sehingga ke setahun lamanya.  Selain itu ianya dikhaskan untuk golongan lelaki Igbo yang ingin digelar dewasa.  Hanya dengan membawa pulang satu kepala manusia sahaja barulah seorang lelaki itu dianggap sudah matang dan boleh melangsungkan perkahwinan dengan wanita yang dicintainya.

  • Kaum Shuar, Peru dan Ecuador

Kaum Shuar adalah satu masyarakat paling primitif sehingga sekarang yang masih mendiami kawasan terpencil hutan Amazon dataran Peru dan Ecuador.  Mereka merupakan satu masyarakat yang menggabungkan etnik-etnik minoriti iaitu Ashuar, Aguaruna dan Huambisa.  Terkenal dengan ritual-ritual tradisi yang kompleks dan kaum ini juga antara si pemburu kepala manusia suatu waktu dahulu.

Walaupun minoriti dan mendiami kawasan terpencil namun kaum Shuar ini adalah antara masyarakat pribumi yang paling ditakuti oleh banyak pribumi lain di hutan Amazon.  Ini adalah kerana Kaum Shuar dikatakan antara kaum yang ganas dan tiada kompromi apabila di dalam perang-perangnya. Sudah menjadi kebiasaan pahlawan mereka akan memenggal kepala musuh mereka untuk disimpan di perkampungan mereka.

Pemenggalan kepala pula tidak termaktub kepada pahlawan mahupun pemimpin sebaliknya wanita mahupun kanak-kanak juga akan menjadi mangsa.  Tengkorak-tengkorak akan disimpan di rumah-rumah si pemenggal sebagai tanda keberanian dalam keluarga selain sebagai salah satu bahan persembahan untuk ritual-ritual mereka.

Kaum Aztec, Mexico

Aztec yang suatu masa dahulu megah di Mexico menurut sejarahnya sememang terkenal dengan pengorbanan manusia untuk dipersembahkan kepada nenek moyang mahupun dewa mereka.  Disamping itu mungkin ramai tidak mengetahui selain pengorbanan manusia untuk ritual buat dewa yang bernama Xoloti, Aztec juga turut mengadakan pemburuan kepala manusia iaitu ketika seisi perang-perang menakluk wilayah suatu ketika dahulu di dataran tinggi Mexico.

Kepala-kepala musuh akan disusun sebaik mungkin di dalam satu tempat khas yang dinamakan Tzompantli.  Ianya adalah satu lambang kekuatan untuk masyarakat Aztec suatu waktu dahulu dan dikatakan disinilah sebelum perang, pahlawan-pahlawan Aztec akan diberi semangat agar terus berani melawan musuh mereka.

Kaum Montenegrins, Selatan Slavakia

Jangan pernah berkata bahawa bangsa Eropah itu tidak pernah mempunyai tradisi memenggal kepala. Ini kerana hakikatnya ada satu kaum pribumi yang dikenali sebagai Montenegrins iaitu mendiami sempadan Negara-negara Slavakia pernah menjadi pemburu kepala manusia sekitar abad ke-18 dan ke-19 masihi.  Walaupun dikenali sebagai lanun oleh penulis-penulis sejarah Eropah namun hakikatnya tradisi memburu kepala manusia itu sebenarnya ada iaitu sebagai lambang keberanian dan kemegahan kepada si pemenggalnya.

Malah jika kita menyelusuri sejarah senjata tradisional mereka turut ada satu pisau yang dikenali sebagai “hanzhar” sebagai pelengkap kepada peralatan setiap lelaki Montenegrins.  Dan “hanzhar” ini dikhususkan untuk memotong kepala manusia agar bercerai daripada badan dengan lebih efektif lagi.

Jejak si pemburu kepala manusia bukan hanya ada di Borneo malah sudah ada di benua-benua lain di dunia suatu waktu dahulu. Apa yang menariknya walaupun berlainan benua namun kebanyakan tradisi memenggal kepala manusia ini mempunyai maksud yang hampir sama iaitu trofi untuk perluasan wilayah, lambang keberanian, ritual persembahan kepada dewa dan juga sebagai “mahar” perkahwinan untuk menyunting si dara di dalam masyarakat mereka. Menarik bukan!

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

  1. Amalan Memotong Kepala Dalam Masyarakat Primitif Kadazandusun: Survival atau Budaya? – Minah Sintian, UPSI
  2. Igorot Warrior Headhunters Of The Philippine Cordilleras

https://hubpages.com/literature/headhunters-of-the-cordilleras

  1. Facts and Detail The Atayal

http://factsanddetails.com/southeast-asia/Taiwan/sub5_1b/entry-3823.html

  1. The History of The Shuar

http://www.head-hunter.com/jivaro.html

  1. The Nazca Head-Hunters and Their Trophy Heads

http://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/nazca-head-hunters-and-their-trophy-heads-001728

  1. 10 Fascinating Tribes With a Headhunting History

http://jacquelinezote.blogspot.my/2016/02/10-fascinating-tribes-with-headhunting.html

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here