Teknologi Angkasa Lepas Dalam Kehidupan Seharian

0
2140
views

Ramai dari kita menyangka eksplorasi angkasa lepas adalah satu pembaziran yang mampu mencecah trillion dollar dan tidak membawa faedah apa pun melainkan memenuhi kemahuan para saintis yang mahu mencari jawapan mengenai alam semesta.

Namun ramai juga yang tidak menyedari bahawa disebalik gajet dan alatan yang kita gunakan seharian, ada terselit kisah yang mana ia bermula dari angkasa lepas.

Ya.

Teknologi yang kita ada sekarang kebanyakannya bermula dengan eksplorasi angkasa lepas yang mana ia memerlukan tahap kejuruteraan dan pengaplikasian teknologi tertinggi, kemudian di komersialkan untuk keperluan seharian kita.

DARI MANA IA DATANG..?

Semuanya ada ditangan anda.

Telefon bimbit pintar anda juga adalah hasil pembangunan kejuruteraan angkasa lepas. Pemproses mikro yang kini ada dalam telefon anda dan sangat berkuasa itu dahulunya digunakan untuk komputer prob penjelajah planet, stesen angkasa dan ribuan satelit.

Kamera pada telefon anda sekarang dahulunya adalah teknologi yang digunakan oleh agensi angkasa lepas untuk mengambil foto planet, dan bulan yang diteroka oleh prob angkasa lepas. Kamera tradisional sangat besar dan berat, dan foto yang ditangkap selalunya tidak memuaskan kerna imej yang diambil, dihantar menggunakan konsep faksimil – penghantaran data secara digital ketika era awal eksplorasi angkasa lepas adalah hampir mustahil.

Kamera pada telefon bimbit

Sehinggalah pada pertengahan 90an, para jurutera membangunkan satu bentuk teknologi yang dipanggil CMOS, atau complementary metal-oxide semiconductor yang merupakan penderia imej yang dipasang pada kamera dimana ia membolehkan saiz kamera dikecilkan tetapi kualiti imej dikekalkan dan ia boleh dikecilkan bersesuaian dengan paket data. CMOS ini juga membolehkan kamera yang dipasang pada prob penjelajah angkasa beroperasi dengan kuasa minimum.

Pembangunan teknologi CMOS pada awal millenium baharu secara komersial telah membolehkan pengunaan kamera digital pada skala kecil malah memuatkan ia pada telefon bimbit yang anda gunakan sekarang untuk membaca artikel ini lantas membentuk satu era baharu kepada teknologi telefon bimbit.

Cuba anda belek telefon pintar anda itu, pastinya ia mempunyai aplikasi penentu kedudukan seperti Google Map mahupun Waze. Malahan setiap dari anda tahu yang telefon anda mempunyai peranti GPS.

Aplikasi Waze

GPS – Global Positioning System. Dahulunya ia digunakan oleh angkatan bersenjata Amerika Syarikat untuk kegunaan ketenteraan (dan ia masih digunakan sehingga hari ini) bagi tujuan menentukan kedudukan aset tentera mereka – dari ketua platun hinggalah pesawat pengebom dan kapal selam nuklear. GPS merupakan jujukan kelompok 31 buah satelit pada kedudukan geo-stationary yang menghantar isyarat kepada penerima di Bumi, membolehkan individu ataupun battalion kereta kebal mahupun skuadron pesawat pejuang mengetahui kedudukan sebenar mereka berdasarkan latitud dan longitud dengan ketepatan sehingga sentimeter.

Kini aplikasinya tidak terhad kepada operasi ketenteraan. Anda sendiri menggunakan GPS yang isyaratnya dipancarkan oleh menara-menara telekomunikasi yang mempunyai antena penerima isyarat satelit untuk membolehkan anda bertemu orang tersayang di tempat yang paling sukar untuk di capai di Kuala Lumpur. Industri minyak dan gas menggunakan GPS bagi menentukan kedudukan pelantar minyak, pengaplikasiannya juga sangat meluas pada kapal-kapal sokongan pelantar minyak yang menggunakan sistem penentu kedudukan dinamik khusus untuk kerja-kerja pemasangan pelantar kapal heavy lifter, pemasangan paip oleh kapal-kapal pipelayer, malahan kapal-kapal komersial yang berlayar dilautan lepas mempunyai antenna penerima isyarat GPS yang menerima secara terus isyarat dari satelit – membolehkan pegawai navigasi mengetahui kedudukan kapalnya dengan tepat. GPS juga digunakan oleh kalangan jurutera sektor pembinaan – mereka menggunakan penentu kedudukan laser (juga hasil penciptaan untuk penerokaan angkasalepas) bersama-sama GPS untuk meletakkan struktur konkrit MRT, seksyen jambatan Sultan Halim Muadzam Shah, seksyen jambatan kedua yang menghubungkan Singapura dan Gelang Patah dan lain-lain projek kejuruteraan awam mega yang memerlukan ketepatan tinggi dan julat ralat yang minimum.

Dari GPS ini juga terhasil lebih banyak jujukan satelit penentu kedudukan seperti GLONASS yang dibangunkan Russia, COMPASS (Beidou) yang dibangunkan oleh Republik Rakyat China dan IRNSS yang dibangunkan oleh Republik India.

Kedapatan jumlah jujukan satelit navigasi yang semakin bertambah ini membuka lebih banyak peluang kepada orang awam untuk memperkaya dan memperkasakan pengunaan sistem penentukedudukan global ini sehingga skala mikro.

Dengan menggabungkan aplikasi seperti google map dan kedudukan latitud / longitud, anda kini boleh menyebarkan kedudukan kedai makan baharu anda kepada masyarakat awam di media sosial, atau anda kini dapat memantau dengan lebih tepat jarak dan kedudukan anda sewaktu berbasikal atau berjogging – lengkap dengan masa ketibaan dan barangkali laluan alternatif, malah lokasi dimana tempat lepak yang hip untuk anda singgah sepanjang laluan tersebut untuk anda singgah dilain waktu.

Siapa sangka telefon yang ada pegang setiap hari itu mempunyai sekelumit hasil pembangunan teknologi angkasa lepas, yang asalnya diguna untuk mencerap jagat raya tetapi kini anda gunakan untuk aktiviti harian.

Dari cermin mata dengan kanta yang tahan calar, kepada kasut sukan, makanan dan ubatan, alat penapis air dan panel suria – banyak diantaranya terhasil ekoran penjelajahan angaksa lepas.

Kanta tahan calar sebagai contoh, yang kini sangat meluas pengunaannya pada cermin mata (samada rayban aviator yang anda simpan di kompartmen kereta anda – atau cermin mata untuk anda yang rabun) asalnya adalah teknologi yang mengaplikasikan pengunaan lapisan tahan calar yang disadur pada cermin pos pemerhati di stesen angkasa, lensa kamera untuk prob angkasa, modul kaca bagi eksperimentasi nir graviti dan juga pada visor sut angkasa.

Siapa sangka telefon pintar anda sendiri mempunyai lapisan tahan calar yang asalnya datang dari teknologi angkasa lepas.

Malah alatan yang paling tidak disangka, seperti penapis air yang mana kedapatan sekarang ada yang mampu menapis air kotor yang tidak boleh diminum kepada air bersih tanpa perlu memasak atau menggunakan bahan kimia dan telah banyak membantu negara-negara miskin yang tidak mempunyai sumber bekalan air bersih mengatasi masalah penyakit kolera dan lain lain penyakit bawaan air.

Jika anda ke hospital, anda akan perasan akan adanya sistem CAT scan dan sistem MRI yang kini digunakan secara meluas untuk mengenal pasti kehadiran tumor atau ketumbuhan didalam badan, menghasilkan imejan bahagian dalaman tubuh tanpa perlu melakukan pembedahan dan sekaligus memudahkan diagnosis keatas pesakit.

Teknologi MRI

Jika anda pernah menjalani ujian CT dan MRI, ingat bahawa satu ketika dahulu sistem sedemikian tidak pernah wujud dan kebergantungan sektor kesihatan hanya pada imejan sinar X.

Bagaimana teknologi angkasa lepas boleh mewujudkan satu sistem imejan untuk sektor kesihatan yang membolehkan para petugas kesihatan, jururawat dan doktor mengenalpasti dan membuat diagnosis keatas pesakit dengan alatan ini..?

Ia bermula dengan satu teknologi yang dipanggil Digital Image Processing (DPI) yang awalnya digunakan untuk tujuan mencerap permukaan bulan. Ya teknologi yang asalnya diguna untuk mencerap dan melaksanakan pemetaan keatas permukaan Bulan kini berada di hospital-hospital pakar, dan digunakan secara meluas didalam radas pengimbas CT dan MRI yang mana tubuh pesakit yang diimbas dengan resonans magnetik bagi MRI dan pancaran sinaran x yang mengaplikasikan konsep perkiraan tomografi, yang mana imejan yang dihasilkan tadi mengalami proses pendigitalan, membolehkan keadaan bahagian dalam tubuh, organ-organ dalaman, struktur tulang dan saraf serta tisu dan otot boleh dilihat dan didiagnosis dengan lebih baik.

Selain DPI yang teraplikasi pada pengimbas CT dan MRI, teknologi yang digunakan diangkasa lepas juga kini digunakan untuk menghasilkan anggota badan prostetik yang lebih dinamik dan menyerupai pergerakan tubuh badan yang sebenar.

Satu ketika dahulu, anggota badan prostetik seperti tangan dan kaki palsu hanyalah semata-mata satu kelongsong kosong berbentuk tangan atau kaki, tanpa ada keupayaan pergerakan. Namun kewujudan teknologi bahan penyerap kejutan dan pengunaan sistem myoelektrik dan neurokognitif yang semakin maju membolehkan orang kelainan upaya akibat kehilangan anggota tubuh dapat kembali merasai kehidupan biasa dengan anggota prostetik yang lebih maju, lengkap dengan soket dan sesendi yang pergerakannya dihubungkan secara neural dan dibantu motor dan komputer.

Lengan Robotik

Lengan robotik kini menjadi pengganti lengan prostetik kaku, injap hidraulik yang dikawal pemproses mikro kini membantu pergerakan anggota tubuh dan aktiviti yang satu ketika dahulu dianggap mustahil untuk dilakukan oleh orang kelainan upaya kini boleh dilaksana dengan keupayaan yang setaraf dengan manusia sempurna. Malahan sudah tiba masanya untuk kita mengucapkan selamat tinggal kepada kerusi roda.

Eksperimen keatas sel dan bakteria dalam keadaan nir graviti di stesen angkasa lepas antarabangsa juga telah banyak menemukan penawar kepada penyakit. Eksperimen berkenaan tahap keberkesanan antibiotik di angkasa lepas (AES-1) ini dijalankan di stesen angkasa lepas antarabangsa dimana ia memperlihatkan kesan antibiotik keatas bakteria E.Coli dalam keadaan nir graviti dan perubahan sifat mutasi bakteria dalam keadaan nir graviti bagi mengetahui cara menangani mutasi yang menyebabkan antibiotik tidak berkesan.

Eksperimen lain seperti EDOS dan EDOS-2 pula adalah eksperimen yang melibatkan proses mengesan osteoporosis pada peringkat awal dalam menentukan bentuk senaman dan pemakanan serta prosedur baharu yang lebih efektif dalam menangani osteoporosis.

Eksperimen biologi dan bioteknologi yang disebutkan diatas hanyalah sebahagian dari ratusan lagi eksperimentasi dalam keadaan nir graviti yang telah membawa kepada banyak perubahan dari segi perawatan dan pencegahan penyakit yang lebih efektif.

Perikanan, pertanian dan perladangan juga banyak mendapat manfaat dari teknologi angkasa lepas dari segi menerapkan praktis pertanian yang efektif menerusi penderiana jauh dan geospatial.

Sistem pengurusan pertanian berasaskan geospatial merupakan suatu sistem mantap yang membolehkan semua maklumat digital yang didapati daripada pembekal imej yang berbeza dapat diproses dan dianalisiskan oleh pakar pemprosesan imej dan pakar bidang pertanian seperti agronomis.

Setiap tanah tanaman pertanian komoditi mempunyai sifat yang berbeza, justeru itu, sistem pengurusan geospatial hanya membantu dalam pemprosesan data sahaja dan sebarang keputusan hanya boleh ditafsirkan dengan pertimbangan daripada pakar pakar.

Di antara kebaikan yang ketara dalam sistem geospatial adalah pengunaan data semasa (current data) yang dibangunkan oleh sistem GIS.

Menerusi imej yang diperoleh daripada satelit remote sensing, teknologi tersebut boleh diaplikasikan mengikut kepelbagaian kegunaan khusus untuk dimanfaatkan kepada negara serta keperluan masyarakat.

Aplikasi penderian jauh dalam pertanian merupakan satu teknik maju dalam pengurusan dan perlaksanaan sistem geospatial untuk meningkatkan hasil pertanian di samping dapat mengurangkan kos-kos berkaitan.

Kaedah tersebut boleh dilakukan melalui beberapa faktor yang diperoleh menerusi penggunaan teknologi terkini.

Ini termasuk pemantauan situasi semasa keadaan tanah pertanian, perincian data atau maklumat berkenaan jenis pertanian yang bersesuaian mengikut kesuburan tanah, sistem perairan, topografi bentuk muka bumi, data-data maklumat informasi geografi, imej penderiaan jauh dan mekanisme pengurusan.

Pengaplikasian cerapan sumber air, pengurusan kawasan ragut bagi ternakan ruminan, pemerhatian dan pengurusan tanaman ladang bagi mengelakkan ketandusan, pengairan dan saliran melalui penderiaan jauh banyak membantu petani dan peladang dalam menentukan waktu tuaian hasil, waktu untuk pembajaan dan pengairan serta dapat mengenalpasti kesesuaian bentuk muka bumi bagi menentukan lokasi penanaman.

Sektor perikanan juga mendapat manfaat yang baik dari pembangunan teknologi angkasa, terutamanya dari segi cerapan cuaca dan cerapan arus lautan bagi menentukan lokasi pembiakan ikan yang mana ia terkait dengan kesan perubahan iklim serantau.

Cerapan cuaca yang tepat dan mudah di terima pakai oleh kalangan nelayan juga sedikit sebanyak membantu mereka menentukan waktu yang sesuai untuk keluar menangkap ikan, waktu untuk menghindar ribut serta membolehkan mereka secara tepat menentukan lokasi yang selamat atau lokasi yang terdedah kepada bahaya gelombang dan ribut sewaktu penangkapan ikan.

Kesimpulannya, penerokaan angkasa lepas bukan semata-mata berkaitan mencerap planet dan bintang atau menjelajah duni baharu, tetapi ia juga berkaitan pengaplikasian teknologi canggih untuk kegunaan harian bagi memperbaiki taraf hidup.

Bayangkan satu hari nanti kita tidak lagi perlu bergantung kepada bahan api fosil untuk menjana elektrik, dan setiap rumah mempunyai panel suria berkapasiti tinggi tetapi berkos rendah – hasil dari pembangunan panel suria pada prob angkasa, satelit dan stesen angkasa yang mana anda tidak lagi perlu membayar bil elektrik seperti sekarang. Bayangkan sel bateri kompak yang mampu menyimpan kuasa elektrik untuk jangka masa lama – sehingga mampu mengerakkan motor elektrik pada kenderaan, menjana elektrik untuk kediaman tanpa perlu mewujudkan grid voltan tinggi. Bayangkan ubatan dan prosedur perubatan yang lebih efisien untuk merawat penyakit seperti kanser yang selama ini sukar dipulihkan.

Banyak lagi penemuan dan pembangunan teknologi masa depan yang boleh kita terokai untuk memperbaiki kehidupan kita.

Ini adalah sekelumit dari ratusan ribu alasan kenapa kita perlu meneroka angkasa lepas kerana teknologi yang dibangunkan disana akhirnya akan diaplikasi untuk kegunaan harian kita.

Sedangkan tilam dan tapak kasut anda sendiri mempunyai asal usul bermula di angkasa lepas.

Ini adalah antara sebab mengapa penerokaan angkasa adalah sangat penting. Bukan semata-mata untuk prestij, bukan semata-mata untuk penguasaan jagat raya, tetapi berperanan memajukan kita.

FJ

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here