Majlis Berbuka Puasa Di White House

0
2383
views

Majlis berbuka puasa dan rumah terbuka sempena menyambut hari perayaan sudah sebati dengan masyarakat di Malaysia. Tambahan pula, negara kita merupakan negara yang penduduknya berbilang kaum. Setiap kali ada perayaan, tak kiralah Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri mahupun Deepavali, mesti ada je VVIP, VIP, ketua kampung yang buat majlis rumah terbuka. Itu untungnya kita sebagai rakyat Malaysia!

Pernah terfikir tak kalau kat negara majoriti bukan Islam, ada tak majlis seumpama ni? Jawabnya ada. Kalau pembaca nak tahu, White House pernah buat event buka puasa dan ala-ala rumah terbuka semasa Aidilfitri sejak tahun 1996 lagi. Jom ikuti kronologi kisahnya.

1.Hillary Clinton

Hillary Clinton. Imej dari Pinterest

First Lady Amerika telah dijemput oleh Pengerusi Pertubuhan Majlis Muslim Amerika (AMC), Abdulrahman Alamoudi dan pembantunya Khaled Saffouri untuk menghadiri majlis makan-makan yang dianjurkan oleh mereka di U.S Senate.

Pertubuhan ni dah lama cuba untuk mendidik rakyat Amerika tentang Islam dan memberikan usaha yang lebih lagi dalam memperkenalkan bulan Ramadan pada rakyat Amerika. Sebelum Clinton menjadi presiden, pertubuhan ni dah cuba menghantar surat dan menelefon White House semasa pentadbiran Bush (masa ni ayah Bush jadi presiden) tapi tak ada respon. Mereka terus mencuba lagi semasa pentadbiran Clinton pula dan White House telah memberi respon yang baik.

Semasa majlis makan yang diadakan tu, pembantu Clinton sendiri bertemu Saffouri untuk menyatakan permintaan Hillary Clinton supaya diadakan majlis seumpama ini di White House.

Majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh White House di akhir Ramadan sekaligus menjadikannya sebagai majlis rumah terbuka, telah menjemput seramai 150 orang Islam termasuk kanak-kanak. Turut hadir ialah imam pertama dalam tentera Amerika iaitu Abdul-Rasheed Muhammad. Saffouri juga turut menghadiahkan kitab suci al-Quran kepada Hillary Clinton dan dia akan berikan al-Quran ni pada suaminya.

Hillary Clinton juga dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada anaknya iaitu Chelsea yang telah banyak memberi pendedahan tentang Islam kepadanya. Chelsea mengambil subjek Sejarah Islam di sekolahnya. Dalam ucapannya lagi Hillary ada berkata, “pemahaman yang lebih besar tentang Islam akan membantu kita untuk membina kekuatan dan daya tahan sebagai sebuah negara.”

2.George W. Bush

Presiden Bush berucap semasa majlis buka puasa. Imej dari CS Monitor

Presiden Bush meneruskan acara majlis berbuka puasa yang pertama kali dibuat semasa pentadbiran Presiden Clinton. Bush menjemput 50 duta dari negara-negara Islam untuk berbuka puasa di White House.

Bush menggunakan kesempatan ini untuk memberitahu bahawa peperangan di Afghanistan (pada masa itu) bukan satu peperangan terhadap orang Islam tapi lebih kepada peperangan untuk masa depan yang damai.

Dalam ucapannya, “kita berkongsi komitmen terhadap keluarga iaitu untuk melindungi dan menyayangi anak-anak kita. Kita berkongsi kepercayaan terhadap keadilan Tuhan dan tanggungjawab moral manusia. Dan kita berkongsi harapan yang sama bagi masa depan damai.” Kata Bush.

Majlis berbuka puasa ini tidak dihadiri oleh duta dari Iran, Iraq, dan Libya.

3.Barrack Obama

Presiden Obama berucap semasa majlis buka puasa. Imej dari Kosmo!

Presiden Obama memang cukup dikenali sebagai presiden yang berjiwa rakyat. Beliau yang pernah membesar di Indonesia semasa kanak-kanak cukup menghormati masyarakat Muslim di Amerika.

Acara tradisi White House ini diteruskan lagi sepanjang pentadbiran beliau. Berikut adalah antara isi ucapannya setiap kali majlis berbuka puasa diadakan.

“Sumbangan umat Islam terhadap AS terlalu panjang untuk dicatat kerana mereka bergaul dalam masyarakat dan negara kita.” (Obama, 2009) Dalam ucapannya juga, beliau ada memuji beberapa tokoh Islam AS seperti petinju Muhammad Ali.

“Dalam tempoh sebulan, kita akan meraikan ulang tahun ke-10 serangan yang dahsyat (peristiwa 9/11) yang membawa kesakitan yang amat sangat ke dalam hati kita.” (Obama, 2011). Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk Islam yang berkhidmat untuk AS. Penduduk Islam di AS turut berkhidmat dalam tentera serta kejadian 9/11 turut meragut nyawa penduduk Islam AS.

“Sebagai rakyat AS, kita menuntut supaya tiada siapa pun ditindas berdasarkan latar belakang atau rupa paras mereka atau bagaimana mereka beribadat. Kami berdiri bersama menentang tindakan kebencian seperti ini.” (Obama, 2015). Ucapan beliau ini merujuk pada kejadian tiga orang Islam yang dibunuh di Chapel Hill dan kejadian sembilan ahli gereja berkulit hitam yang dibunuh di Charleston, Carolina Selatan. Obama juga mengajak supaya rakyat AS bersatu dan menolak apa jua bentuk penindasan ke atas mana-mana agama dan etnik.

4.Donald Trump

Rex Tillerson dan Presiden Donald Trump

Pentadbiran Trump telah membuat kenyataan melalui Setiausaha AS, Rex Tillerson bahawa tradisi majlis berbuka White House tidak akan diteruskan lagi. White House telah menolak permohonan daripada Pejabat Hal Ehwal Agama dan Global Jabatan Negara untuk menganjurkan majlis berbuka puasa.

Ini menguatkan lagi persepsi orang ramai yang Presiden Donald Trump seorang yang tidak mesra Islam. Tambahan pula, sebelum ni Trump pernah cuba mengharamkan rakyat dari beberapa negara Islam daripada masuk AS.

Apa yang merisaukan, tindakan ini seperti mengeruhkan lagi situasi seluruh dunia yang mula menunjukkan kebencian ke atas orang Islam seterusnya membuatkan Islamofobia semakin berleluasa. Tengok sajalah kejadian yang berlaku di Manchester baru-baru ni, banyak komen-komen di media sosial berunsur kebencian terhadap Islam dilemparkan.

Ingin penulis tekankan di sini bahawa umat Islam tidak pernah menyokong mana-mana perbuatan teroris yang melakukan pembunuhan dan pengeboman atas nama agama. Teroris-teroris tu langsung tak menggambarkan agama Islam yang sebenarnya.

Semoga umat Islam di negara yang majoriti bukan Islam terus kuat dalam menghadapi apa jua ujian di bulan Ramadan ini. Macam mana Yuna di L.A agaknya? (peminat Yuna di sini)

RUJUKAN

Muslim families celebrate end of ramadan at the white house. (1996, February 22). Manila Standard. Capaian dari Google News.

Stranahan, L. (2016, January 22). Hillary clinton’s history : muslim connections stem back to 1990s. Capaian dari http://www.breitbart.com

Stewart, Y. J. (1998, January 28). A milestone for muslims. Capaian dari http://articles.latimes.com

Buka puasa tingkatkan imej AS. (2001, November 21). Utusan Online. Capaian dari http://ww1.utusan.com.my

Obama anjur majlis berbuka. (2009, September 3). Kosmo. Capaian dari http://www.kosmo.com.my

Obama anjur majlis buka puasa. (2011, Ogos 12). Kosmo. Capaian dari http://www.kosmo.com.my

Obama anjur majlis berbuka puasa (2015, Jun 24). Kosmo. Capaian dari http://www.kosmo.com.my

Tiada majlis ramadan di white house. (2017, Mei 28). Kosmo, p. 55.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here