Jangan Main-Main Dengan Kemurungan

0
5641
views

Kalau kau belum kenal lagi apa itu ‘kemurungan’, ataupun kau pernah alaminya tapi kau tak reti nak jelaskan, kau boleh saksikan perkembangan watak Ishida Shouya dalam kisah ‘Koe No Katachi (A Silent Voice)’ yang mengalami kemurungan-kemurungan dahsyat.

Dia seorang pembuli. Seronok dengan kehidupan sebagai seorang pembuli. Tak kisah menyusahkan ibu bapa dan guru. Kemudian, kehadiran Nishimiya sebagai pelajar baru dan seorang yang pekak juga turut dibuli oleh Ishida. Tapi kehadiran Nishimiya ini juga yang membuatkan hidupnya berubah.

Ishida hilang keseronokan yang dulu. Keseronokan yang dia rasa dulu, dia tak tahu sebenarnya datang daripada sebuah ikatan persahabatan. Kes dia dengan Nishimiya menjadikan dia dikhianati oleh rakan-rakannya sendiri.

Sepanjang dia menginjak remaja, dia menjadi anti-sosial sebab bergelut dengan pencarian hakikat persahabatan.

Perkembangan Ishida ini, kita akan lihat Ishida tidak menunjukkan wajah sedih ataupun gembira, tapi selalu menunjukkan perlakuan yang kusut dan keliru. Sikap yang menunjukkan dia sedang membawa beban tanda tanya yang besar dalam hidupnya.

Sampai ke satu peringkat, setelah membalas jasa budi ibunya, dia memilih untuk bunuh diri. Kau sendiri bayangkan, dia tak sedih apa-apa pun, tapi dia nak bunuh diri. Kau pun akan terkejut dengan wajah Ishida yang kosong lepu dan tertanya-tanya, tiba-tiba nak bunuh diri.

Sebab itulah kemurungan ini bukan sebab kau sedih, tapi kau sedang mengalami krisis kewujudan. Tekanan adalah pendorong pada kemurungan, tapi ia bukan hanya faktor yang menimbulkan tekanan itu.

Dia tak jadi bunuh diri sebab pertemuannnya semula dengan Nishimiya dan ibunya yang menghalang perkara itu. Kemudian, beban itu dibawa lagi. Dia menjadi penyendiri dalam dunianya, dia tak dengar orang lain kata, dia tak mahu pandang secara langsung ke wajah orang lain. Menunjukkan dia sedang melindungi suatu persoalan besar dalam hidupnya. Dia menjadi seorang yang sangat anti-sosial sehingga tidak kenal pun rakan kelasnya sendiri.

Untuk kes Ishida, kemurungan berlaku sebab peristiwa dalam hidupnya yang membuatkan dia jadi begitu, iaitu pengkhiatan dan sikap Nishimiya yang menjadikan hidupnya dihurung kemurungan. Kemurungan boleh juga berlaku sebab-sebab lain seperti sindrom-sindrom mental, penggunaan dadah berlebihan, dan masalah personaliti.

Sebab itu orang murung ini, kadangkala di luar nampak biasa dan rileks. Kadangkala nampak bahagia. Tapi sebenarnya, mereka sedang mengalami krisis.

Sebenarnya kisah ini bukan mahu mengangkat sangat isu buli yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak ataupun isu orang kelainan upaya (OKU) dilayan buruk oleh kebanyakan. Tetapi, sesuai dengan tajuknya, ia mahu mengetengahkan sebuah kendalian emosi dan psikologi.
Kalau baca manga, mungkin ada antara kita yang tak faham dengan motif watak-watak tertentu. Penceritaan komik telah membuatkan kita terdorong untuk bertanyakan apakah perasaan yang bermain dalam hati setiap watak dalam setiap tindakan mereka.

‘Silent’ yang bemaksud ‘senyap’ dan ‘voice‘ adalah ‘suara’. Bagaimana ‘suara’ boleh mempunyai sifat ‘senyap’, sedangkan ‘suara’ adalah sesuatu perkara yang boleh didengari. Maka, di sini ‘voice‘ yang dimaksudkan lebih pada menumpu bukan perkara yang untuk didengari, tetapi perkara yang untuk difahami.

Mungkin ‘voice‘ boleh merujuk pada perasaan, pergelutan, krisis dalaman dan kekacauan jiwa yang tak mampu terungkap dengan kata-kata kecuali sebuah kefahaman. Aku pernah terbayang, kalau ‘kefahaman’ ada dijual, aku sanggup beli.

‘Kefahaman’ bukan perkara yang main-main. Silap faham menyebabkan pergaduhan. Silap faham menyebabkan ada orang tertindas. Silap faham menyebabkan orang terfitnah. Silap faham menyebabkan kerosakan dan kejahilan.

Komik ini nak mendidik tentang sebuah kefahaman tentang orang lain. Nak beritahu bahawa kita tidak duduk seorang. Nak beritahu hidup bermasyarakat bukan sahaja memerlukan kemahiran dan intelektual, tapi memerlukan juga kefahaman emosi dan perasaan.

Pada babak klimaks, tentu ada orang cuba nak memahami mengapa Nishimiya tiba-tiba mahu bunuh diri sedangkan keluarganya ambil perat pasal dirinya dan dia dah berkawan dengan Ishida.

Orang yang mengalami jiwa yang kacau, tidak terus membunuh diri, tapi ia dikumpulkan sikit-sikit sampailah meletup nak bunuh diri. Dia sedang bergelut dengan sesuatu yang dia cuba nak faham.

Tentu kita sedikit keliru dengan perwatakan Kawai. Apakah sebenarnya perkara yang bermain di fikirannya yang kelihatan mempunyai ‘dua rupa’.

Orang selalu kata diam itu emas. Tetapi tidak semua perkara boleh didiamkan. Komik ini menunjukkan bagaimana orang yang diam-diam ini mengalami kemurungan lalu ambil keputusan nak bunuh diri.

Memahami itu satu hal, tetapi sekuat mana pun sebuah kefahaman, kita masih tidak dapat membaca hati dan minda seseorang. Ia adalah dua pihak. Seorang kena faham, seorang lagi kena beritahu apakah yang bergelut dengan dirinya.

Ishida cuba nak memahami Nishimya. Kenapa Nishimiya asyik minta maaf kepada Ishida sedangkan Ishida yang selalu membulinya. Ueno cuba nak memahami Nishimiya kenapa Nishimiya seperti tak mahu bertanggungjawab atas perbuatannya.

‘Kejeritan’ dan ‘suara tinggi’ dalam setiap watak ini nak menegaskan supaya kita cuba meluahkan pergelutan dan kekusutan dalam diri kita supaya orang lain boleh faham.

Kalau seseorang kelihatan mendung, cuba fahaminya. Kalau dia meluahkan, cuba dengar dan faham lagi. Yang mendung pula, jangan terus senyap dan simpang sorang-sorang. Cuba luahkan.

Jangan jadikan ego dan marah kita menjadi asbab orang lain bunuh diri. Jangan jadikan kesenyapan kita menjadikan diri kita mati roh dan mati tubuh.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here