Tragedi Shuttle Columbia

0
1410
views

1 FEBRUARI 2003 menandakan 13 tahun insiden kemalangan Columbia yang memperlihatkan tewasnya 7 orang angkasawan Shuttle Columbia, misi STS-107 ketika pesawat orbiter mereka memasuki fasa re-entry.

Shuttle Columbia musnah ketika meluncur memasuki atmosfera Bumi setelah usai misi saintifik selama 16 hari yang melibatkan 80 eksperimen saintifik yang terdiri dari eksperimentasi sains kehidupan, eksperimen fizik bendalir, sains bahan dan lain-lain.

Insiden berlaku apabila haba panas kemasukan ke atmosfera menerobos masuk ke ruang sayap Shuttle dimana sebahagian dari jubin tahan haba yang melindungi pesawat tersebut tertanggal dalam jumlah signifikan ketika ia berlepas pada 16 Januari 2003.

Jubin-jubin tahan haba yang diperbuat dari bahan seramik yang meliputi seluruh pesawat Shuttle itu bertindak sebagai perisai haba bagi melindugi pesawat, krew dan alatan saintifik ketika fasa re-entry yang mana hasil geseran pesawat dengan atmosfera Bumi yang mampu mencecah kelajuan sehingga Mach 25 dengan suhu yang terbentuk dari geseran udara tersebut mampu mencecah sehingga lebih 1600 darjah Celsius..

Sebelum insiden tersebut berlaku, kawalan darat misi angkasa lepas NASA di Houston meneliti pergerakan Columbia sewaktu fasa re-entry, dan mendapati terdapat kejanggalan pada sistem hidraulik yang mana tekanannya adalah amat rendah.

Sementara itu, ketika pesawat orbiter tersebut melintasi ruang udara Sacramento, terdapat saksi mendakwa melihat terdapat serpihan yang datang dari pesawat tersebut ketika ia menuju turun ke altitud lebih rendah.

Ketika itu Columbia berada pada kelajuan Mach 22.8 pada ketinggian 70 kilometer dari permukaan Bumi.

Kemudian, ia diikuti komunikasi dengan pesawat terputus.

Stesen televisyen tempatan di Dallas sempat merakamkan imej Columbia sedang berkecai membentuk serpihan-serpihan yang lebih kecil dengan aliran ion yang membakar dengan panas seperti meteor yang sedang jatuh bergeser dengan atmosfera Bumi.

Tekanan kabin didalam Columbia telah hilang, diikuti semua sistem hidraulik gagal berfungsi dengan kawalan darat gagal menghubungi sistem komunikasi Columbia.

Serpihan yang berkecai diudara bertebaran merangkumi kawasan seluas 5180 kilometer persegi.

Misi mencari dan menyelamat menemukan hampir 84 000 serpihan pesawat orbiter Columbia yang hanya mewakili 40 peratus dari jumlah keseluruhan serpihan yang sepatutnya.

Krew ditemui dalam keadaan yang tidak dapat dikenal pasti secara pengecaman, dan ujian DNA dibuat bagi mengenal pasti ketujuh-tujuh angkawasan tersebut.

Dalam misi STS-107, angkasawan yang tewas adalah :

Komander Rick D. Husband
William C. McCool
Michael P. Anderson
Ilan Ramon
Kalpana Chawla
David M. Brown
Laurel Blair Salton Clark

Ilan Ramon merupakan angkasawan pertama Israel, manakala Kalpana Chawla merupakan jurutera aeroangkasa kelahiran India. David dan Laurel kedua-duanya adalah pakar bedah yang berkhidmat dengan Angkatan Laut Amerika, begitu juga William yang merupakan juruterbang Angkatan Laut Amerika.
Komander misi, Rick D. Husband dan Michael P. Anderson adalah pegawai angkatan udara Amerika Syarikat.

Kemalangan Columbia memberikan tamparan hebat kepada NASA, dan menyebabkan program Shuttle di hentikan selama 2 tahun bagi memberi laluan kepada suruhanjaya siasatan melakukan penelitian akan sebab-sebab insiden serta masa yang diperlukan untuk menemukan semula serpihan-serpihan yang bertaburan bagi siasatan kes kemalangan.

Penerbangan Shuttle digantung pada masa sama, melewatkan pembinaan Stesen Angkasalepas Antarabangsa.

Insiden Columbia memberikan lebih banyak peluang kepada Russia yang turut bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam pembangunan ISS, dimana kapal angkasa Soyuz TMA digunakan dengan lebih kerap bagi menghantar angkasawan, kargo saintifik dan kargo bekalan kepada ISS, tugas yang dilaksanakan sebelum ini oleh program Shuttle.

Insiden kemalangan kedua Shuttle ini memberikan tekanan kepada NASA untuk membangunkan satu sistem naiktaraf keselamatan krew yang lebih baik, selain membuka jalan untuk permulaan program-program kapal angkasa gantian yang lebih selamat dan efisien seperti Orion, selain ia turut menyaksikan penglibatan konsortium swasta seperti SpaceX dalam membangunkan kapal angkasa komersial.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here