Pro Dan Kontra Dunia Perisikan

0
5913
views

Bila kita menyebut perisikan, perkara pertama kita bayangkan ialah gaya hidup glamor James Bond sebagai perisik. Atau kelincahan Jason Bourne mengatasi pembunuh-pembunuh yang dihantar CIA dalam siri filem Bourne. Atau keazaman Jack Bauer dalam menyelesaikan krisis-krisis dalam sehari melalui 24. Hakikatnya, bidang perisikan tidaklah seglamor seperti yang digambarkan dalam filem atau televisyen.

Perisikan ialah lapisan pertama pertahanan negara di mana mereka akan nilai mana-mana individu atau organisasi sebagai ancaman atau tidak. Jika mereka dianggap satu ancaman, maka individu atau organisasi yang diklasifikasikan sebagai pengganas akan ditahan atau dihapuskan sehingga tidak lagi menjadi ancaman kepada negara. Ia bukan saja berperanan sebagai skalpel untuk membuang kanser dari badan, ia juga berperanan sebagai antibiotik untuk mencegah kuman dari menyebabkan badan menjadi kurang sihat. Selagi mana ia cekap dalam menjalankan tugasnya, ia akan membantu menjamin keselamatan negara dan meningkatkan tarikan ekonomi sesebuah negara. Namun, sekiranya perisikan gagal menjalankan tugas sebaiknya, maka akibat yang dibayar agak mahal. Terbaru, kegagalan agensi perisikan dalam negeri Britain, MI-5 menahan pengebom Manchester Arena, Salman Abedi bukan sekali tetapi lima kali walaupun selepas mendapat laporan kariah masjid dan keluarganya menyebabkan lebih 20 orang terbunuh.

Ada tanya, apa peranan perisikan dalam sejarah? Bagi peminat-peminat sejarah, perisikan membantu mana-mana pemerintah mengatasi musuh atau pesaing mereka bagi memastikan survival kerajaan masing-masing. Perang pertama dalam Islam, Badar al-Kubra memperlihatkan kepentingan perisikan. Rasulullah s.a.w sedar jika tentera Islam mahu menewaskan ketumbukan kafir Quraisy, mereka memerlukan semua bentuk kelebihan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kerajaan Islam Madinah. Ini yang mendorong baginda menghantar beberapa orang perisik diketuai Ali bin Abi Talib r.a untuk mengumpul maklumat kekuatan tentera kafir Quraisy. Walaupun bilangan tentera Islam tidak ramai (313 orang) jika dibandingkan dengan kekuatan tentera kafir Quraisy (1000 orang), dengan maklumat yang baik, strategi yang berkesan dan bantuan Allah s.w.t, tentera Islam muncul sebagai pemenang dengan bilangan musuh terbunuh ialah 70 orang.

Figure 1: Kegagalan menangkap Escobar memaksa Colombia dan Amerika Syarikat bekerjasama untuk menamatkan keganasan yang dilakukannya.

Perisikan tetap relevan seiring dengan perkembangan semasa. Ini kerana tanpa maklumat yang baik, bagaimana sesebuah negara itu bersiap sedia sekiranya berada dalam situasi genting seperti perang atau ancaman pengganas. Walaupun sesetengah penganalisis menganggap ia sebagai tidaklah penting seperti yang digambarkan pihak kerajaan, ia masih memberi input berguna dalam pembentukan polisi-polisi pertahanan dan keselamatan serta panduan semasa kecemasan. Malah, tidaklah keberatan jika saya katakan, ia juga berguna sebagai bahan pertukaran yang bagus bagi mana-mana negara sebagai tukaran untuk mendapatkan bantuan sama ada dalam bentuk aset, kewangan, kepakaran dan sebagainya. Contoh paling mudah,  Pablo Escobar. Pada tahun 90-an, pihak Colombia sedar tanpa bantuan pihak Barat terutama Amerika Syarikat, agak sukar bagi mereka memberkas raja dadah Colombia itu. Sementara bagi pihak Amerika, hasrat mereka untuk mengekstradisi Escobar tidak akan kesampaian selagi mana dia masih berleluasa di Colombia. Lalu, kedua-dua pihak bekerjasama demi mencapai satu matlamat, penangkapan atau kematian Pablo Escobar atas nama keselamatan Colombia. Hasil daripada kolaborasi ini membawa kepada kematian Escobar di tangan pihak berkuasa di sana pada 2 Disember 1993. Walaupun kerjasama tersebut berjaya menamatkan ancaman kartel Medellin, organisasi dadah Escobar tetapi selepas kematiannya, kumpulan-kumpulan dadah termasuk gerila FARC pula berebut untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Escobar

Ramai tertanya-tanya apa yang menyebabkan sesebuah insiden keganasan berlaku walaupun sesebuah kerajaan ada maklumat perisikan yang bagus. Jawapan bagi soalan ini ialah konflik antara komuniti perisikan dengan penggubal-penggubal dasar. Bagi komuniti perisikan, mereka melihat cara terbaik menangani ancaman ialah dengan menghantar ejen-ejen atau dron untuk memusnahkan sasaran mereka. Sementara bagi ahli politik pula, mereka kena melihat semua alternatif yang disediakan di atas meja sebelum mereka membuat sebarang keputusan. Dan ini yang menyebabkan pihak perisikan sekiranya berlaku debat antara mereka dengan pihak kerajaan kerana pihak kerajaan pasti akan mengambil tindakan yang tidak akan menconteng arang di muka, lebih-lebih lagi sekiranya mereka mengalami krisis ketidakpercayaan awam yang tinggi. Bukan itu saja, perisikan memerlukan kerahsiaan yang tinggi, lagi-lagi dalam soal perolehan dan pencarian. Walaupun kerahsiaan ini penting bagi memastikan sebarang operasi sulit berjaya, ia juga menimbulkan pelbagai komplikasi dari segi perundangan, kebertanggungjawaban dan moral terutama cara pencarian dan perolehan dibuat secara tidak sah.

Figure 2: T.E Lawrence arkitek yang memecah-belahkan Empayar Turki Uthmaniyyah dengan menyemai benih perpecahan dalam kalangan negara Arab.

Dan lebih banyak persoalan bila mana agensi perisikan bukan saja aktif mencari maklumat berkaitan musuh tetapi juga sebagai dalang dalam menjatuhkan kerajaan-kerajaan asing, terutama kerajaan yang tidak sebulu dengan kerajaan sendiri. Ia bukanlah perkara asing malah ia sudah berlaku sejak zaman-berzaman lagi. T.E Lawrence, lelaki di sebalik Lawrence of Arabia ialah individu bertanggungjawab menyemai benih-benih pemberontakan dalam kalangan negara-negara Arab sehingga membawa kepada pemberontakan terhadap kerajaan Turki Uthmaniyyah dan pembentukan negara-negara Arab moden hari ini. CIA secara terang-terangan bekerjasama dengan diktator Panama, Manuel Noriega dari era 50-an sehingga 80-an dalam menjalankan operasi sulit di Amerika Latin sehinggalah ditangkap dalam operasi tentera Amerika iaitu Operasi Just Cause. Dan siapa tidak akan lupa serangan Amerika Syarikat dan Britain pada 2003 atas justifikasi menghapuskan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) walaupun ramai pihak perisikan menyatakan senjata tersebut tidak wujud termasuk CIA. Walaupun pihak perisikan menyatakan ia hanyalah aktiviti sampingan dan tidak termasuk aktiviti utama mereka serta menjustifikasikan polisi pentadbiran ketika itu, ia masih tidak menjustifikasikan apa yang mereka lakukan. Sudahlah tindakan mereka membawa kepada kegagalan besar-besaran dari segi kos, imej awam, ekonomi dan sosial malah ia mengundang persoalan, perisikan seharusnya jadi sebahagian dari proses kerajaan dengan kuasa terhad, bukan sebahagian dari cara perlaksanaan kuasa itu sendiri. Ini yang menimbulkan dilema sama ada perisikan itu sendiri telah melampaui kuasa yang diberi pihak kerajaan atau sebaliknya.

Akhir kalam, bila kita melihat semula perisikan dari perspektif baru, ada pro dan kontra membabitkan sisi gelap bahagian keselamatan ini. Sekiranya ia diaplikasikan dengan baik tanpa sebarang salah guna kuasa dan pencabulan hak manusia, maka ia boleh jadi lapisan pertama pertahanan negara dalam situasi genting. Jika tidak kerana perisikan, bagaimana Polis Diraja Malaysia melalui Cawangan Khas Bukit Aman berjaya memberkas puluhan suspek DAISH dan menggagalkan plot cubaan bunuh ke atas Raja Arab Saudi, Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Polis Negara? Namun, sekiranya ia disalahguna atau disembunyikan demi menjaga imej awam, maka jangan terkejut sekiranya insiden seperti Salman Abedi tidak akan jadi insiden terpencil, sebaliknya ia akan bertambah pada masa akan datang. Dari situ orang bertanya, apa sebenarnya keutamaan kerajaan semasa krisis, imej awam atau keselamatan rakyat?

Sumber:

Kupcikas. K. (2013). The Importance of Intelligence to International Security. http://www.e-ir.info/2013/11/08/importance-of-intelligence-to-international-security/

Conley. William J., Jr. “Operations ‘Just Cause’ and ‘Promote Liberty’, The Implications of Military Operations other than War.”

Wilson, Jeremy. (2011). “T.E Lawrence from dream to legends.” T.E Lawrence Studies.

Comments

comments

Previous articleContohi Almahrum Nik Aziz Ketika Menghadapi Isis
Next articleTan Sri Dato Mubin Sheppard Pegawai Kolonial Yang Memeluk Islam
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here