Cryptocurrency: Apa Itu Bitcoin?

1
9765
views

Bitcoin merupakan pelopor untuk mata wang digital atau digelar sebagai cryptocurrency. Secara tepat ianya telah dilancarkan pada 3 Januari 2009 oleh seorang pengaturcara (programmer) beridentiti misteri bernama “Satoshi Nakamoto” dan ianya telah mengambil masa lebih kurang setahun untuk dibina. Nama bitcoin ini bersempena ianya dibina dalam bentuk jujukan maya yang dipanggil “bit” dan “coin” yang bermaksud mata wang.

Pada 31 Oktober 2008 iaitu sebelum pelancaran matawang bitcoin, Satoshi juga telah menerbitkan kertas penyelidikan beliau terhadap mata wang digital yang bertajuk “Bitcoin: A Peer-to-Peer Electronic Cash System” kepada sekumpulan individu sebelum melancarkannya pada 2009. Mata wang bitcoin ini dicipta kerana kekecewaan Satoshi terhadap mata wang fiat yang sering dimanipulasi oleh dasar kewangan yang tidak menentu, sering menjadi mangsa kawalan oleh bank-bank pusat dan juga terkesan dari keseimbangan geopolitik negara.

Walau bagaimanapun identiti berstatus misteri itu tidak berkekalan lama apabila pada Mei 2016 seorang usahawan Australia yang bernama Craig Wright telah tampil membuat pengumuman yang beliau merupakan “Satoshi Nakamoto” iaitu pencipta kepada mata wang digital bitcoin. Pengumuman itu telah menarik pelbagai reaksi umum dan ianya telah menjadi perdebatan hangat kerana ramai yang mempersoal tentang kebenaran Craig Wright sebagai pengasas mata wang bitcoin. Isu pengasas bitcoin ini akan dikupas dalam artikel yang seterusnya.

Peningkatan nilai mata wang digital bitcoin di paras yang tertinggi pada 25 Mei 2017 dengan tukaran USD2731.2 untuk setiap 1 bitcoin. Sumber gambarajah dari xe.com.

Simbol unit mata wang digital bitcoin ini adalah BTC ataupun  dan jumlah yang paling kecil dalam nilai bitcoin adalah 0.00000001 bitcoin atau digelar sebagai “satoshi” dimana ia diambil bersempena dengan nama pengasas kepada bitcoin. Setiap transaksi bitcoin yang berlaku di antara dua pihak akan direkodkan ke dalam rangkaian log awam  (public ledger) atau digelar sebagai blockchain.

Persoalannya, macam mana bitcoin ini terhasil? Caranya adalah dengan melombong dan konsep nya sama dengan melombong emas cuma perlombongan bitcoin ini dibuat dalam keadaan maya. Apa yang diperlukan adalah;

  1. Komputer. Hanya 3 komponen penting yang perlu dititik beratkan seperti graphic card, power supply dan motherboard.
  2. Rangkaian internet.
  3. Mining hardware – contoh hardware dalam pasaran adalah seperti AntMiner S7, AntMiner S9 dan Avalon 7.
  4. Bitcoin mining software – boleh muat turun secara percuma.
  5. Bitcoin wallet – digunakan untuk menerima dan menyimpan bitcoin.

Kedengaran macam senang tetapi percayalah ianya menelan belanja yang sangat tinggi dengan kos perisian hardware sahaja mencecah harga RM2000 ke RM12000 dan ini tidak termasuk kos elektrik, kos perkakasan komputer dan sebagainya.

Jumlah bitcoin yang dapat dihasilkan adalah terhad kepada 21 000 000 bitcoin sahaja secara keseluruhan dan setakat 25 Mei 2017 sebanyak 16 351 763 bitcoin (77.8%) telah berjaya dihasilkan dan telah dilepaskan ke rangkaian. Jumlah bitcoin yang dapat dilombong oleh pelombong pula telah ditetapkan sebanyak 50 bitcoin bagi setiap 10 minit bermula pada tahun 2009 dan jumlah ini akan berkurang sebanyak separuh untuk setiap 4 tahun. Jumlah ini telah pun berkurang menjadi 25 bitcoin pada akhir tahun 2012 dan bermula tahun 2016 penghasilan bitcoin telah berkurang menjadi 12.5 bitcoins untuk setiap 10 minit. Pengurangan sebanyak separuh ini akan berterusan sehingga kesemua 21 juta bitcoin berjaya dilepaskan ke rangkaian.

Gambarajah penghasilan bitcoin sejak tahun 2009 sehingga 25 Mei 2017.
Sumber: https://blockchain.info/

Mata wang digital ini dikawal penuh oleh perisian komputer di mana segala transaksinya tidak memerlukan sebarang medium perantaraan dan tidak dikawal oleh mana-mana institusi termasuk institusi perbankan.

Walau bagaimanapun setiap transaksi bitcoin akan direkodkan ke dalam log awam (public ledger) tetapi nama pembeli dan penjual tidak akan didedahkan – hanya ID wallet mereka sahaja terdedah. Ini bermaksud setiap transaksi adalah rahsia dan ia membolehkan sesiapa sahaja dapat membeli atau menjual menggunakan mata wang bitcoin tanpa dikesan. Itulah sebabnya bitcoin telah menjadi mata wang pilihan untuk sebarang transaksi yang melibatkan aktiviti-aktiviti haram seperti pembelian dadah, peras ugut dan sebagainya.

Contoh terdekat adalah dalam serangan siber Wannacry ransomware baru-baru ini, penyebar virus komputer itu telah menuntut bayaran bitcoin yang bernilai $300 seperti gambarajah dibawah untuk pertukaran bagi kunci penyelesaian masalah virus itu supaya pembayaran transaksi itu tidak dapat dikesan.

Keratan dari “pop out” amaran untuk komputer yang dijangkiti virus Wannacry dimana penyebar virus menuntut bayaran berupa bitcoin.

Sekarang terdapat lebih 100 ribu organisasi dan syarikat menerima bitcoin sebagai salah satu matawang untuk transaksi jual beli termasuk syarikat gergasi seperti Microsoft, Dell, Wikipedia, Twitch, Greenpeace, Expedia dan PayPal. Masa depan matawang digital seperti bitcoin ini masih lagi samar kerana ianya tidak terkawal dari segi keselamatan dan juga dari pegangan kerajaan.

Tidak lupa ianya juga bebas dari segala dasar percukaian (contoh seperti GST/VAT) untuk setiap transaksi jual beli yang dibuat. Tapi semua itu boleh diterapkan kedalam sistem bitcoin dan tidak mustahil untuk kita melihat matawang digital ini berkembang sebagai sebagai salah satu matawang yang diterima pakai secara menyeluruh di serata ceruk dunia.

Bagaimana pula pendirian Bank Negara terhadap penggunaan bitcoin secara khusus? Ini merupakan kenyataan Bank Negara yang telah dikeluarkan pada 2 Januari 2014;

“Bitcoin (mata wang digital) tidak diiktiraf sebagai sah diperlakukan di Malaysia. Bank Negara Malaysia tidak mengawal selia urus niaga Bitcoin. Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati terhadap risiko berkaitan penggunaan mata wang digital tersebut.”

Sumber:

  1. Joshua Davis (2011). “THE CRYPTO-CURRENCY”. com
  2. Anthony Cuthbertson (2015). “Bitcoin now accepted by 100,000 merchants worldwide”. co.uk
  3. https://blockchain.info/
  4. https://www.bitcoinmining.com/
  5. http://cryptosource.org/mining/hardware-requirements/

 

Comments

comments

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here