Ilmu Perubatan Melayu Tradisional Bukanlah Jampi Serapah Semata-mata

0
1883
views

Kita dimomokkan bahawa perubatan tradisional Melayu hanyalah semata-mata jampi serapah. Membaca mantera. Walaupun banyak kitab atau manuskrip Melayu yang mempunyai ilmu perubatan tanpa menggunakan jampi serapah, tetapi seperti biasa kajian sarjana barat tentang ilmu mantera telah lebih ditonjolkan. Sebagai contoh karya sarjana barat yang terkenal iaitu “Shaman, Saiva and Sufi: a study of the evolution of Malay magic, London: Constable, 1925 yang ditulis oleh RO Winstedt.

Sebenarnya banyak kitab Melayu lama yang menjadi panduan pengubat pada zaman dahulu. Antaranya Tajuk Muluk, Kitab Mujarabat, Kitab Rejab, Hikayat Nurul Lisan Menjawab Masalah, Kitab Tib dan sebagainya. Tidak dinafikan ada jampi serapah dan ayat Al-Quran. Tetapi dimasukkan sekali cara perawatan dan herba yang sesuai untuk merawat. Perawat dipanggil tabib bukannya bomoh ataupun pawang.

Contoh dalam Kitab Tib Terengganu ada menyatakan cara rawatan dan herba untuk merawat sakit mata, penyakit perut seperti buasir dan sembelit, sakit dalam badan seperti lelah dan batuk, penyakit kulit dan juga sakit anggota seperti beguk. Sebagai contoh bagi merawat batuk diambil daun Gandarusa senggengam lalu digiling dan ditanak patinya maka diminum. Ada kitab versi lain yang menyentuh tentang sakit puan, sakit tuan dan sakit batin. Contoh ilmu mengubat Angin Sanglar,

Sebagai lagi ubat angin sanglar pada seseorang manusia yang sakit pada waktu malam mula-mula sakitnya itu, maka datang sakitnya itu berasa sejuk seperti tiada terhingga lagi sejuknya itu, tiada dapat berbuka kain, atau datang ketar tiada berhingga lagi ketarnya itu; inilah alamatnya angin yang besar yang masuk pada peparu orang itu; maka apabila datang ketarnya yang seperti itu nescaya datanglah lemah segala anggotanya itu hingga jadilah mati sekalian tubuhnya atau kaki tangannya orang itu; maka inilah ubat yang diberi minum. Ambil lada sulah berat setahil dan halia berat setahil dan bawang putih berat setahil dan jintan kedua berat setahil dan kunyit tengah tahil dan temu kunci berat setahil dan kulit buah maja berat setahil dan cengkih berat setahil dan jadam berat lima emas. Sekalian itu rebus, airnya tiga cupak tinggal secupak maka beri minum pada orang itu. Sudah minum ubat itu, hendaklah kita damahkan sekalian tubuhnya itu; insya Allah Taala, afiat

Berdasarkan petikan di atas, tidak ada langsung jampi serapah atau mantera. Hanya menggunakan herba bagi merawat pesakit dan cara perawatannya. Penggunaan herba pada masa itu sangat sesuai dengan perawatan pada zaman tersebut yang mudah didapati atau perlu ke hutan. Herba bolehlah dianggap sebagai ubat pada zaman ini. Dalam kitab tib telah menyenaraikan hampir 1,500 herba yang boleh digunakan untuk pengubatan pelbagai jenis penyakit. Ianya terdiri daripada tumbuhan yang telah dikelaskan lebih spesifik kepada batang, daun, akar, bunga, pucuk atau keseluruhannya.

Sumber: 

Ilmu Perubatan Melayu Tradisional dari Naskhah-Naskhah Lama. Harun Mat Piah. 2015. Jurnal Malay world and Civilisation.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here