Pemergian Brzezinski Dan Pencaturan Amerika

0
1141
views

Zbigniew Brzezinski meninggal dunia semalam pada umur 89. Beliau merupakan antara pemikir geopolitik yang paling berpengaruh dalam sejarah Amerika dan pernah menjadi Penasihat Keselamatan Negara (“National Security Advisor”, NSA) kepada Presiden Jimmy Carter (1977-1981).

NSA merupakan arkitek utama dasar luar Amerika. Yang memegang jawatan ini semua orang yang hebat-hebat. Selain Brzezinski, NSA yang paling terkenal ialah Henry Kissinger yang menasihati Presiden Richard Nixon (1969-1974).

Kebetulan pula, kedua-dua Brzezinski dan Kissinger merupakan graduan PhD dari Harvard (Brzezinski tahun 1953, Kissinger tahun 1954). Kedua-dua pun pernah mengajar di Harvard. Namun begitu, hubungan mereka adalah pesaing. Selain menyertai parti yang berlawanan (Brzezinski parti Demokrat, Kissinger parti Republikan), pemikiran geopolitik mereka juga bertentangan antara satu sama lain.

Kissinger merupakan seorang “realis” yang melihat Amerika hanya perlu mewujudkan keseimbangan kuasa (“balance of power”) dengan Soviet Rusia dan China. Untuk berbuat demikian, Amerika perlu menolak cara pemikiran “good vs. evil” dan sedia bekerjasama dengan Soviet dan China yang berideologi komunis. Di bawah nasihat Kissinger, Amerika dan Rusia mencapai “détente” (kekurangan ketegangan) yang membawa kepada kerjasama dalam penamatan Perang Vietnam dan pengurangan senjata nuklear.

Brzezinski pula seorang “imperialis” yang melihat Amerika harus memimpin dunia. Sebagai anak kepada seorang diplomat Poland yang lari dari rejim komunis, Brzezinski mempunyai sentiment anti-Rusia yang kuat dan melihat Amerika mempunyai tanggungjawab moral untuk menentang Rusia yang dianggap jahat dan zalim. Brzezinski mengkritik dasar détente Kissinger dan mengambil pendekatan konfrontasi terhadap Rusia.

Di bawah pengaturan Brzezinski, Amerika menjalin hubungan diplomatik secara rasmi dengan China, menjadikan China sekutu Amerika dalam menentang Rusia. Selain itu, Brzezinski juga risau dengan kemungkinan Rusia menguasai Afghanistan di mana ia akan memberikan Rusia akses ke Lautan Hindi.

Selepas Rusia menceroboh Afghanistan pada Disember 1979, Brzezinski melancarkan “Operation Cyclone” di mana CIA menyalurkan dana dan bantuan senjata kepada “mujahideen” di Afghanistan untuk menentang Rusia. Brzezinski kadang-kadang digelar sebagai “bapa Al-Qaeda” kerana sebahagian dari bantuan tersebut jatuh ke tangan Al-Qaeda, malah ada yang mendakwa Brzezinski sendiri yang merancang penubuhan Al-Qaeda.

Rusia gagal di Afghanistan dan berundur pada Februari 1989. Kos perang yang tinggi menjadi antara sebab penumbangan rejim Soviet dua tahun kemudian. Apabila Rusia berada dalam keadaan huru hara sepanjang 1990-an, Brzezinski percaya itulah waktu emas untuk menyingkirkan Rusia demi memastikan hegemoni Amerika.

Dalam buku “The Grand Chessboard” (1997), Brzezinski mencadangkan agar Amerika memperluaskan pengaruhnya ke dalam Eropah Timur dan Asia Tengah untuk menolak Rusia kembali ke pinggiran benua Eropah-Asia. Brzezinski menganggap Benua Eropah-Asia sebagai satu papan catur (“chessboard”) manakala negara-negara di atas merupakan bidak catur (“chess pieces”) yang boleh diperalatkan oleh Amerika. Antara bidak catur yang dikenalpasti ialah Turki, Azerbaijan dan Ukraine.

Dasar Amerika semasa Clinton (1993-2000), Bush (2001-2008) dan Obama (2009-2016) jelas dipengaruhi oleh pemikiran “chessboard” Brzezinski. Di zaman Clinton, Amerika memperluaskan keahlian pakatan NATO kepada negara-negara Eropah Timur. Di zaman Bush, Amerika berdarat di Afghanistan yang merupakan pintu masuk ke Asia Tengah. Di zaman Obama, Amerika bercampur tangan di Ukraine dan cuba memasukkan Ukraine ke dalam NATO dan Kesatuan Eropah. Ramai juga melihat campur tangan Amerika di Syria sebagai salah satu strategi “chessboard” kerana modus operandinya sama dengan Operation Cyclone. Malah Obama sendiri merupakan anak didikan Brzezinski semasa belajar di Universiti Columbia pada 1980-an.

Namun beberapa tahun kebelakang, “Fortuna” seolah-olah tidak memihak kepada Brzezinski. Lebih banyak masa Amerika kena “checkmate” dalam percaturan geopolitik global: Rusia masih mengawal separuh dari Ukraine, Amerika berundur dari Asia Tengah pada tahun 2014, dan keadaan di Syria dan Afghanistan tidak memihak kepada Amerika. Brzezinski merupakan antara pengkritik tegar Trump namun ditakdirkan Trump menjadi presiden Amerika. Pemergian Brzezinski merupakan berita buruk kepada golongan Neokonservatif dan Globalis yang masih menekan Trump dalam isu-isu berkaitan dengan Rusia. Mereka kehilangan seorang mentor dan autoriti besar dalam geopolitik.

Sehebat mana pun percaturan, kita tetap manusia yang akan menemui ajal. Geostrategi “old school” Brzezinski sebenarnya sudah tidak berkesan dalam mengekang pengaruh Rusia dan China. Pemergian Brzezinski menandakan pengakhiran sebuah era dalam dasar Amerika, dan berakhirnya percaturan “chessboard” Amerika di benua Eropah-Asia.

Biografi mengenai Brzezinski:
Charles Gati. (2013). “Zbig: The Strategy and Statecraft of Zbigniew Brzezinski”.

Buku oleh Brzezinski:
“The Grand Chessboard: American Primacy and Its Geostrategic Imperatives”. (1997).
“The Choice: Global Domination or Global Leadership”. (2004).

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here