Luna Dan Zond: Misi Ke Bulan Oleh Russia

0
1713
views

Foto ini diambil dari prob peneroka Lunokhod 2 yang beroperasi di bulan selama 4 bulan dan meneroka sejauh 39km. Foto menunjukkan prob LUNA 21 yang mendarat di kawah Le Monnier pada kedudukan 25.85° N, 30.45° E, diantara Mare Serenitatis (“Sea of Serenity”) dan Taurus Mountains.

Kita seringkali diceritakan didalam subjek sains mengenai pengembaraan saintifik angkasawan Amerika ke Bulan melalui program angkasa lepas Apollo, namun tidak ramai yang mengetahui pada masa sama Kesatuan Soviet juga mempunyai program lunar mereka yang tersendiri. 10 tahun sebelum Neil Armstrong dan Edwin Aldrin menjejakkan kaki ke permukaan Bulan, Soviet Russia berjaya mendaratkan prob LUNA 2 pada September 14, 1959,dimana ia mendarat secara kawalan perlanggaran di Mare Imbrium berhampiran kawah Aristides, Archimedes, dan Autolycus.

Russia tiak berjaya sepenuhnya menghantar krew manusia dalam program ke Bulan mereka tetapi kebanyakan misi ke Bulan mereka yang dikendalikan dari jarak jauh berjaya membawa pulang sampel batuan dan mineral, bacaan data atmosfera dan radiasi serta sejumlah besar foto yang banyak membantu ahli astronomi pada era seterusnya merungkai misteri satelit semulajadi Bumi itu.

Pada awalnya,Soviet Russia mendahului Amerika dengan beberapa siri pendaratan dan pencerapan Bulan dengan program Luna, dimana kebanyakannya melibatkan kajian dan pemerhatian saintifik berkenaan Bulan, dari cerapan kadar radioaktif dan pengesanan medan magnetik, pengumpulan sampel permukaan, penentu ukur kadar pencahayaan, kadar sinaran kosmik dan x ray, foto-foto panorama permukaan bulan, penentu ukur jarak berdasarkan sinaran laser dan pencerapan serta kajian keatas unsur yang wujud di Bulan. Kesemua misi ini dijalankan tanpa krew manusia, dengan radas dan alatan kajian serta prob pengembara Lunokhod di kendalikan dengan sistem kawalan jauh.

Tidak ramai yang mengetahui bilamana kapal pendarat Lunar yang dinaiki angkasawan Amerika mendarat, menandakan buat julung kalinya manusia menjejakkan kaki ke objek samawi, Russia selang beberapa masa kemudian mula mendaratkan prob Luna 15 yang telah selesai mengorbit Bulan sebanyak 52 kali pada sudut dan orbit berbeza. Pada April 16, 1969 dua misi ke Bulan berjalan serentak salah satunya melibatkan manusia dan satu lagi melibatkan pengunaan prob tanpa pemandu.

Walaubagaimanapun program ke Bulan negara komunis sosialis tersebut dihantui perebutan kuasa, campur tangan politik dan masalah teknikal pada skala besar. Roket yang di bina untuk membawa krew manusia ke Bulan masih tidak dapat diselesaikan pembinaannya kerana permasalahan teknikal dan birokrasi. Namun usaha meningkatkan tahap keselamatan misi tetap diteruskan.

Ini dapat dilihat dengan penghantaran prob angkasa seperti Zond yang merupakan prob angkasa tanpa pemandu yang dihantar untuk mengenalpasti orbit kemasukan paling optimum. Misi circumlunar Zond banyak membawa pulang foto-foto Bulan yang memperlihatkan sisi gelapnya, serta foto Bumi terbit dari ufuk Bulan yang walaupun tidak se gah foto yang dibawa pulang angkasawan Amerika, namun sedikit sebanyak amat membantu saintis dalam pengkajian mengenai Bulan.

Program Zond merupakan 2 siri angkasa lepas yang melibatkan pengunaan kapal angkasa tanpa pemandu yang bersifat ujian bagi menguji, mengenalpasti dan menambahbaik sistem panduan dan trajektori segmen utama program Luna yang dibangunkan Russia, yakni sistem pendorongan pada roket baharu Proton dan sistem kapal angkasa Zond yang merupakan derivatif kapal angkasa dengan pemandu Soyuz.

Misi Zond yang menggunakan kapal angkasa Soyuz melibatkan misi circumlunar yang melaksanakan pencerapan permukaan Bulan dengan mengambil sejumlah foto, dan pada masa sama memperbaiki sistem navigasi, mengenalpasti trajektori dan menguji teknik manuver dan mengorbit kapal angkasa tersebut sebelum misi ke Bulan dengan krew manusia dapat dilaksanakan dengan selamat dan trampil.

Satu lagi misi Zond tetapi tidak berkaitan dengan Bulan melibatkan prob angkasa 3MV yang merupakan misi penerokaan antara planet. Zond 1 merupakan misi ke planet Zuhrah dengan prob yang dinamakan Venera, diikuti Zond 2 yang misi nya adalah ke planet Marikh dan dinamakan Mars namun ia gagal tiba ke destinasinya diikuti Zond 3 yang turut mengalami nasib sama namun sempat merakamkan foto sisi gelap Bulan.

Walaupun Russia sehingga kini gagal menghantar manusia ke bulan, namun perkembangan teknologi dari sistem roket Proton, kenderaan pengembara Lunokhod, dan kapal angkasa Soyuz masih kekal sehingga ke hari ini.

Roket Proton (varian K) yg dibina dan digunakan oleh Russia pada era KSSR satu ketika dahulu kini telah megalami pemodenan dan masih digunakan dan dinaiktaraf sistem pendorongannya dan merupakan roket pendorongan komersial yang mampu membawa bebanan sehingga 3 tan ke orbit geo stationary, 5 tan ke orbit perpindahan geo stationary dan bebanan sehingga 20 tan ke orbit rendah Bumi (LEO – low earth orbit). Varian komersial Proton-M digunakan secara meluas dalam pelancaran satelit komersial, memandangkan ia adalah saki baki roket pendorongan kelas berat yang mampu membawa bebanan yang besar.

Seperti juga Lunokhod yang menjadi pelopor prob pengembara permukaan planetari, dimana NASA menggunakan rekabentuk dan hasil pengkajian dan pengalaman Russia dalam mengendalikan, membina dan menguji prob tanpa pemandu Lunokhod untuk pembangunan prob generasi baharu seperti Spirit dan Opportunity yang dibangunkan untuk penerokaan di Planet Marikh.

Sehingga hari ini, modul kapal angkasa Soyuz masih lagi digunakan sebagai kenderaan angkasa ulang alik malah menggantikan Shuttle angkasa buatan Amerika yang kini sudah dilucutkan tauliah. Soyuz masih gagah dan tanpa gagal melaksanakan misi ulang bekal untuk Stesen Angkasalepas Antarabangsa, membawa pulang angkasawan dan juga bertindak sebagai pod kecemasan.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here