Tentera Jepun Yang Tak Pernah Menyerah Kalah Walau Negaranya Sudah Tewas Selepas 30 Tahun

0
10628
views

Pernahkah anda terfikir mengapakah sesetengah negara yang telah aman dari suatu pergolakkan sama ada dari ancaman pemberontak seperti komunis dan lain-lain masih kekal mengamalkan polisi untuk mencengkam sebarang bentuk anasir yang sama dari kembali? Pada fikiran anda mungkin perkara itu sudah tidak munasabah. Zaman telah berubah. Tidak mungkin seseorang itu mampu kekal dengan sebuah ideologi radikal berpuluh tahun lamanya. Jika anda berfikiran sedemikian maka artikel ini untuk anda.

Sebahagian dari anda yang mengikuti berita sewaktu era pemerintahan Marcos di Filipina mungkin mengenali nama Hiroo Onada. Namun sebahagian dari anda yang terdiri dari generasi yang lebih muda mungkin tidak kenal siapakah beliau. Beliau merupakan seorang anggota tentera Jepun yang telah meneruskan perang dunia ke dua selama hampir 30 tahun yakni sehingga tahun 1974 biarpun perang dunia ke dua telah lama tamat ketika itu. Semuanya disebabkan oleh terputusnya komunikasi selain disiplin dan latihan yang telah diterima beliau sewaktu menjalani latihan perisikan ketenteraan Jepun untuk tidak mempercayai langsung sebarang propaganda dari pihak musuh. Ini adalah cerita beliau.

ZAMAN MUDA

Hiroo Onada dilahirkan ke dunia pada 19 Mac 1922 di Kampung Kamekawa, daerah Kaiso yang terletak di dalam wilayah Wakayama Jepun. Dari segi keturunannya Onada dikatakan memang berasal dari keturunan berdarah samurai oleh sesetengah pihak. Malah bapa Onada sendiri merupakan seorang tentera Jepun yang telah terkorban sewaktu pertempuran di China. Darah ketenteraan sememangnya mengalir pekat di dalam tubuh dan jiwa Onada. Nenek Onada juga dikata telah memberi sebilah pisau kepada beliau untuk beliau membunuh diri melalui seppuku andai beliau ditangkap oleh pihak musuh. Pada usia 17 tahun beliau bekerja di sebuah syarikat perdagangan China ketika itu demi mencari rezeki. Namun tempoh beliau melakukan pekerjaan awam hanyalah seketika kerana tidak lama selepas itu beliau telah mengikuti jejak langkah bapa beliau dengan memasuki dunia ketenteraan pada usia 18 tahun.

ZAMAN LATIHAN KETENTERAAN.

Onada ketika itu telah ditempatkan di sebuah pusat latihan perisikan di Nakano, Tokyo. Pusat latihan itu merupakan pusat latihan khas bagi melatih segelintir ahli tentera Jepun yang berbakat dalam bidang perisikan. Ianya ditubuhkan pada tahun 1938 demi memberi latihan perisikan yang mempunyai kurikulum yang lebih baik pada perisikan Jepun. Ini disebabkan sewaktu perang Rusia-Jepun pihak Jepun menyaksikan kegagalan yang teruk dari unit perisikan Jepun untuk menyelinap masuk ke dalam sistem ketenteraan Soviet. Tidak mahu perkara yang sama berulang pihak atasan Jepun telah menubuhkan pusat latihan ini bagi menambahbaik perisikan Jepun.

Selepas menamatkan latihan di Nakano, Onada telah dihantar ke Pulau Lubang di Filipina. Beliau telah diletakan dalam briged Sugi (bahagian ke lapan dari Hirosaki). Arahan yang diterima oleh beliau ketika itu adalah mudah. Beliau perlu menghalang sedaya yang boleh sebarang bentuk serangan pihak musuh di pulau tersebut. Ini termasuklah memusnahkan landasan kapal terbang dan juga pelabuhan kapal yang berada di pulau tersebut. Beliau juga diingatkan bahawa walau apa pun berlaku beliau tidak boleh menyerah kalau ataupun melakukan sepukku. Komander beliau ketika itu juga berkata walau apapun yang berlaku mereka akan kembali untuk mengambil Onada.

Kepulauan lubang.

Sebaik sahaja mendarat Onada telah menyertai kumpulan askar Jepun yang telah dihantar lebih awal ke pulau tersebut. Dikatakan telah berlaku konflik antara Onada dan pegawai lain yang berpangkat lebih tinggi sewaktu ini. Pegawai tersebut dikatakan telah menghalang Onada dari melaksanakan arahan awal yang telah diterima beliau untuk melakukan kerja-kerja sabotaj. Ini telah menyebabkan askar-askar Amerika Syarikat dan juga Filipina ketika itu dapat mendarat dengan mudah disebabkan landasan kapal terbang dan juga pelabuhan masih dapat berfungsi dengan elok. Perkara ini merupakan satu kekecewaan yang amat besar pada Onada. Pada 28 Februari 1945 gabungan tentera Amerika Syarikat dan juga Filipina telah berjaya menawan semula Pulau Lubang. Kesemua askar Jepun ketika itu telah mati ataupun menyerah diri kecuali Onada dan juga tiga orang askar Jepun yang lain. Onada ketika itu telah dinaikkan pangkat sebagai leftenan telah mengambil alih tugas membimbing tiga orang lagi askar Jepun yang masih hidup. Arahan Onada ketika itu hanya satu iaitu lari dan selamatkan diri untuk merancang tindakan selanjutnya. Maka bermulalah penglibatan Onada dalam perang Pasifik.

Gambar kapal terbang melakukan serangan dalam perang Pasifik. Sumber: Laman Web CIA.GOV. Ps: Jangan korang kata saya tali barut CIA pula… Gambar ini ada di laman web CIA dan jatuh dalam kategori Fair Use. Tak saya tak ada kemampuan nak hack CIA. Gambar-gambar lama dari perang dunia pertama dan ke dua selain daripada laporan mengenai era itu ada di dalam arkib CIA dan bebas untuk dibaca oleh orang awam.

29 TAHUN HIDUP DALAM PELARIAN DAN PERANG GERILA.

Onada meneruskan hidup beliau ketika itu sebagai saki baki askar Jepun yang masih tinggal. Dalam bahasa ketenteraan saki baki askar yang masih tinggal ini digelar holdout dan dalam Bahasa Jepun ianya digelar Zanryu nipponhei yang membawa maksud askar Jepun yang masih tinggal. Beliau ketika itu telah bertindak kepada ketua kepada unit kecil seramai empat orang termasuk dengan dirinya sendiri. Saiz unit tersebut yang kecil mempermudahkan mereka untuk menjalankan serangan-serangan bersifat gerila. Tiga orang askar lain yang bersama Onada ialah Yuichi Akatsu, Shoichi Shimada dan Kinshichi Kozuka. Mereka bersama Onada pernah terlibat dalam beberapa siri serangan dan juga berbalas tembakan dengan anggota polis Filipina.

Tidak lama ketika itu perang dunia ke dua telah pun tamat dengan pengeboman Nagasaki dan Hiroshima dengan menggunakan bom Atom oleh pihak Amerika Syarikat. Namun disebabkan faktor terputus komunikasi unit Onada tidak mengetahui perkara ini dan masih menyangka perang masih lagi berterusan.

Gambar menunjukkan Nagasaki dan Hiroshima sewaktu bom atom dijatuhkan.

Mereka walau bagaimanapun ada menjumpai helaian risalah yang menyatakan perang sudah tamat. Risalah itu juga menyeru kepada semua askar Jepun untuk menyerah diri dan mereka tidak akan diapa-apakan jika mereka berbuat sedemikian. Ini mencetuskan perdebatan diantara anggota unit Onada. Namun mereka akhirnya mengambil keputusan untuk tidak mempercayai apa yang dikatakan oleh risalah tersebut dan mengangap ianya hanya propaganda pihak musuh. Risalah seumpama itu dijatuhkan dengan kerap sepanjang tahun 1945 namun untuk meyakinkan seramai mungkin saki baki tentera Jepun bagi menyerah diri.

Contoh helaian risalah yang mengatakan perang sudah tamat dalam Bahasa Inggeris. Sumber: Laman Web CIA.GOV.
Contoh helaian risalah yang mengatakan perang sudah tamat dalam Bahasa Jepun. Sumber: Laman Web CIA.GOV.
Jeneral Tomoyuki Yamashita yang digelar “Harimau Malaya”. Beliau dihukum mati pada tahun 1946 atas jenayah perang di negara-negara Asia tenggara seperti Malaya dan Filipina.

Terdapat juga beberapa risalah yang digugurkan yang mengandungi arahan dari seorang jeneral Jepun yang bernama Tomoyuki Yamashita yang memberi arahan pada saki baki tentera Jepun untuk menyerah diri. Anda mungkin mengenali nama jeneral ini dalam buku teks Sejarah Malaysia. Beliau merupakan individu yang digelar “Harimau Malaya” di atas kejayaan beliau membantu pihak Jepun menjajah Malaya satu ketika dulu. Unit Onada masih lagi kekal tidak mempercayai risalah tersebut. Dalam fikiran mereka tidak mungkin Jepun boleh tewas semudah itu. Pemikiran mereka mungkin ada logiknya jika ianya dalam situasi yang biasa. Namun mereka tidak mengambil kira kewujudan bom atom mengubah arus peperangan moden sewaktu membuat keputusan itu. Ketika ini tempoh penyembunyian unit Onada telah mencecah hampir setahun.

Pada tahun 1949 Yuichi Akatsu salah seorang anggota uni Onada yang ketika itu sudah tidak dapat menahan diri hidup susah dalam pelarian telah mengambil keputusan untuk berpecah dari unit Onada menyerah diri kepada pihak berkuasa Filipina. Beliau sempat hidup bersendirian selama enam bulan sebelum menyerah diri pada tahun 1950.  Perkara ini dipandang serius oleh unit Onada dan mereka mula merisaukan keselamatan diri mereka. Segala tindak tanduk mereka selepas itu dirancang dengan penuh berhati-hati.

Tahun 1952 menyaksikan perubahan dalam teknik memujuk saki baki askar jepun menyerah diri. Surat dan gambar dari keluarga-keluarga askar-askar Jepun mula dijatuhkan dari udara berbanding risalah demi memujuk mereka menyerah diri. Namun ianya tidak memberi kesan pada unit Onada yang kini hanya terdiri dari tiga orang kerana mereka masih mempercayai ianya hanyalah satu tipu helah dari pihak musuh. Setahun selepas itu pada tahun 1953, salah seorang anggota unit Onada iaitu Shimada telah mengalami kecederaan akibat ditembak di bahagian kaki oleh  seorang nelayan Filipina. Namun Onada berjaya merawat kecederaan Shimada sehingga pulih. Namun hayat Shimada tidak tahan lama kerana pada tahun 1954 yakni hanya setahun selepas ditembak di bahagian kaki beliau telah ditembak mati oleh satu unit khas yang ditubuhkan untuk mencari mereka. Kini tinggallah hanya dua orang anggota unit Onada iaitu Onada sendiri dan Kozuka. Kozuka walau bagaimanapun mati ditembak oleh 1972 oleh anggota polis Filipina sewaktu mereka sedang memusnahkan sawah padi dengan menggunakan teknik gerila mereka. Selepas berpuluh tahun hanya hidup berdua dengan Kozuka, Onada kini hanya tinggal seorang diri. Namun ini masih tidak menumpulkan semangat beliau untuk terus berperang. Beliau seolah sudah berjaya membasuh otaknya sendiri dengan kepercayaan perang dunia ke dua belum tamat dan terus hidup hari saban hari seolah dia masih lagi dalam peperangan biarpun kini hanya beliau satu-satu anggota yang tinggal dalam unit beliau yang pernah mempunyai empat orang anggota termasuk beliau.

Pada tahun 1974 seorang anak muda Jepun bernama Norio Suzuki telah mengambil keputusan untuk mengembara mengelilingi dunia. Jepun ketika itu sedang mengalami kemajuan selepas perang disebabkan insentif yang disediakan oleh Amerika Syarikat bagi memulihkan ekonomi Jepun. Bagi anda yang tidak begitu arif dengan sejarah perang dunia ke dua perlu anda tahu punca utama Jepun melibatkan diri dalam perang dunia ke dua ialah bagi memulihkan ekonomi Jepun yang sedang jatuh selain beberapa sebab lain. Ini kerana ekonomi dan perindustrian Jepun mencanak naik sewaktu perang dunia pertama dan ramai pemimpin dan rakyat Jepun menyangka perkara itu akan berulang jika mereka terlibat dalam perang dunia ke dua. Sentimen dan kepercayaan perang membantu ekonomi Jepun ini ada diterangkan dalam novel Memoir of A Geisha. Maka atas sebab itu Amerika Syarikat cuba membantu Jepun memulihkan ekonomi mereka untuk mengelakkan Jepun terlibat dalam peperangan sekali lagi. Selain itu Amerika Syarikat juga didorong rasa bersalah kerana menjatuhkan bom atom di Nagasaki dan Hiroshima. Dunia ketika itu masih lagi tidak begitu menyedari kesan buruk dari senjata berasaskan nuklear. Apa yang berlaku pada Nagasaki dan Hiroshima telah membuka mata mereka.

Berbalik kepada cerita Norio Suzuki, beliau ketika itu memasang tekad untuk mencari “Seekor panda, Onada dan juga orang salji hidup (Abominable Snowman). Anda mungkin pelik dengan senarai ini namun perlu anda fahami program pemulihan panda masih di peringkat awal ketika ini dan spesis panda ketika itu sedang diancam kepupusan. Mana Onada dan orang salji hidup pula dianggap dua perkara yang seolah mustahil untuk dicari ketika itu. Onada ketika itu telah diumumkan mati oleh kerajaan Jepun. Mereka sebelum ini menyangka Onada masih hidup dan bersembunyi di dalam hutan namun selepas mayat Kozuka iaitu salah seorang anggota unit Onada dihantar pulang ke Jepun mereka mula bertukar fikiran dan menyangka Onada telah pun mati.

Pada tahun 1974 Norio Suzuki telah bertemu dengan Onada biarpun sebelum ini ramai pihak gagal mencari beliau. Suzuki pada awalnya tidak tahu bagaimana untuk mencari Onada. Oleh itu beliau mengambil keputusan untuk mengguna di kawasan hutan sehingga Onada muncul. Akhirnya beliau mendengar seseorang melaungkan “Oi!” kearah beliau. Suzuki telah berjaya menemui Onada! Onada ketika itu dikatakan masih lagi lengkap berpakaian uniform ketenteraan Jepun. Onada ketika dijumpai ketika itu sudah sedia untuk menembak mati Suzuki namun Suzuki dengan pantas berkata “Tuan Onada, Maharaja dan rakyat Jepun risaukan kamu”. Onada boleh dikatakan seorang rakyat Jepun yang amat setia dan sayang pada Maharaja Jepun dan mendengar nama Maharaja Jepun itu membuatkan beliau membantalkan hasrat beliau untuk menembak Suzuki. Apabila ditanya mengenai pertemuan Suzuki dengan beliau beberapa tahun selepas itu Onada telah berkata:

“Budak hippie Suzuki itu datang ke pulau Ludang semata-mata ingin mendengar luahan perasaan seorang askar.. Beliau bertanya pada saya kenapa saya tidak ingin keluar dari hutan..

Suzuki (Kiri) dan Onada (Kanan)

Jiwa ketenteraan Onada masih lagi kekal kuat selepas sedia lama. Beliau berkata pada Suzuki selagi tidak ada arahan dari komander beliau beliau tidak mungkin pulang kerana beliau masih lagi menjalankan tugas. Ini telah menyebabkan Suzuki berjanji untuk kembali ke Jepun untuk mencari bekas Komander Onada demi memujuk Onada pulang.

Sebaik saja pulang ke Jepun Suzuki telah menunjukkan gambar beliau bersama Onada sebagai bukti Onada masih hidup kepada kerajaan Jepun. Kerajaan Jepun mengambil tindakan pantas ketika itu dan cuba mengesan bekas komander Onada. Bekas komander Onada yang bernama Yoshimi Taniguchi ketika itu telah pun bersara dan kini bekerja sebagai seorang penjual buku. Tidak lama selepas itu pada Mac 1974 Suzuki telah kembali bertemu Onada. Namun kali ini beliau membawa bersama bekas komander Onada. Selepas berpuluh tahun lamanya Onada akhirnya menerima arahan rasmi untuk pulang. Komander Onada akhirnya menepati janjinya beliau pada Onada yang dilafazkan pada 1944 iaitu “walau apa pun yang berlaku kami akan kembali untuk kamu”.

Onada akhirnya dilepaskan dari tugas beliau sebagai seorang tentera. Sewaktu menyerah diri kepada pihak Filipina beliau telah menyerahkan satu senapang jenis Arisaka Type 99 yang masih lagi berfungsi dengan elok, hampir 500 peluru hidup, beberapa bom tangan, pedang samurai dan juga belati yang diberi oleh nenek Onada bagi melakukan seppuku jika ditawan musuh. Presiden Filipina ketika itu iaitu Ferdinand Marcos telah mengambil keputusan untuk memberi keampunan kepada Onada. Tindakan ini menyebabkan beliau dikecam rakyat Filipina kerana Onada ada membunuh beberapa orang anggota polis Filipina sewaktu penyembunyian beliau. Onada akhirnya diterbangkan pulang. Onada ketika diminta mengulas mengenai kekalahan Jepun pada perang dunia Ke dua tanpa segan silu mengatakan “Perkara ini amat memalukan! Mengapakah mereka secuai ini dalam berperang?!”.

Onada menyerahkan pedang beliau kepada Presiden Filipina ketika itu Ferdinand Marcos. Beliau berpakaian lengkap uniform ketenteraan Jepun.
Onada sewaktu tiba di Jepun.

HIDUP SELEPAS PENYEMBUNYIAN.

Onada mencatat populariti yang amat tinggi setelah pula ke Jepun. Terdapat juga beberapa pihak begitu kagum dengan semangat patriotik dan sayangkan maharaja beliau sehingga ada yang mendesak beliau menjadi seorang ahli politik dan bertanding dalam pilihanraya Jepun. Dengan menggunakan khidmat seorang penulis bayang beliau telah menerbitkan biografi beliau sendiri bertajuk “Tidak Menyerah Kalah: Perang 30 Tahun Saya”. Buku tersebut menceritakan secara lengkap apa yang telah berlaku sepanjang tempoh penyembunyian dan perang gerila beliau. Walaubagaimanapun sebuah dokumentari Filipina telah mendedahkan Onada sebenarnya sudah membunuh jauh lebih ramai orang daripada jumlah yang dinyatakan di dalam buku beliau.

Media Jepun biarpun menyambut kepulangan beliau tetap melaporkan kesemua salah laku beliau sepanjang tempoh 30 tahun tersebut. Biarpun tempoh perkhidmatan beliau sebagai tentera “melebihi had” kerajaan Jepun tetap menawarkan sejumlah besar wang kepada beliau atas tanda terima kasih di atas kesediaan beliau untuk berkhidmat. Beliau walau bagaimanapun menolak wang tersebut. Selepas menerima desakan untuk beliau menerima wang tersebut Onada mengambil keputusan untuk menderma kesemua wang tersebut ke tokong Yasukuni. Tokong Yasukuni merupakan tokong yang dibina khas pada tahun 1869 oleh Maharaja Jepun bagi menghormati kesemua askar Jepun yang terkorban dalam peperangan.

Onada biarpun telah pulang ke tanah air dikatakan tidak begitu gembira melihat begitu banyak adat Jepun ditinggalkan demi kemodenan. Pada Onada ianya ibarat rakyat Jepun terutamanya generasi muda telah hilang maruah sebagai bangsa Jepun. Fokus media yang terlampau pada beliau juga menimbulkan rasa tidak senang hati pada dirinya. Oleh itu Onada mengambil keputusan untuk mengikut jejak langkah abangnya dan berhijrah ke Brazil 1975. Disana beliau telah menjadi ketua kepada komuniti kecil rakyat Jepun yang tinggal di Brazil. Pada tahun 1976 Onada akhirnya juga telah berumah tangga.

Namun begitu hati Onada tetap pada Jepun. Pada tahun 1984 beliau telah membaca berita mengenai bagaimana seorang anak muda Jepun membunuh ke dua ibubapanya disebabkan tekanan perasaan. Onada mula merasakan dia perlu melakukan sesuatu demi membaik pulih anak muda Jepun. Beliau kemudiannya telah kembali ke Jepun dan membuka sebuah sekolah hutan bernama Onoda Shizen Juku (Sekolah alam Onada) bagi mengukuhkan mental dan juga fizikal anak muda Jepun.

Mungkin disebabkan beliau masih menyimpan rasa bersalah pada rakyat Filipina beliau telah kembali ke Pulau Lubang pada tahun 1996 dan menderma sejumlah besar wang pada sebuah sekolah di situ. Isteri beliau pula aktif berpolitik dan menganggotai sebuah pertubuhan bernama Pertubuhan Wanita Konservatif Jepun. Pertubuhan ini lebih kepada gerakan politik yang berusaha mengembalikan kuasa maharaja Jepun. Onada juga menganggotai gerakan Nihon Kagi yang membuat impian yang sama.

Onada sewaktu melawat semula Pulau Lubang.
Onada yang telah berusia memegang gambar beliau sewaktu beliau baru keluar dari penyembunyian.

KEMATIAN    

Onada meninggal dunia pada tahun 2014 disebabkan komplikasi kesihatan berkaitan jantung. Setiausaha ketua kabinet Jepun  Yoshihide Suga ketika itu telah berkata “Saya hanya yakin perang telah benar-benar tamat setelah Onada pulang”.

RUMUSAN

Saya sejujurnya sedikit kelat untuk mengulas lanjut mengenai kisah Onada ini. Sebagai seorang rakyat sebuah negara yang pernah dijajah oleh Jepun biarpun dalam tempoh yang agak singkat saya tidak begitu gemar mengulas mengenai ketenteraan Jepun disebabkan kekejaman tentera mereka kepada rakyat negara Malaysia satu ketika dahulu. Biarpun saya gemar mengulas mengenai budaya dan falsafah Jepun dari segi dasar pandang ke timur, sejarah ketenteraan Jepun merupakan sesuatu yang saya secara peribadinya cuba menjauhkan diri dari membuat ulasan.

Namun pada saya kita sebagai rakyat Malaysia boleh mempelajari banyak perkara dari Onada. Sejauh  manakah kesetiaan kita pada Yang dipertuan Agong dan negara? Mampukah kita melakukan perkara yang sama seperti Onada yang sanggup hidup dalam persembunyian dalam tempoh hampir 30 tahun demi negara?

Namun Onada juga menunjukkan sisi gelap betapa seseorang manusia mampu berpegang pada ideologi yang sama biarpun hampir puluhan tahun berlalu.. Kekuatan mental (Atau mungkin kelemahan?) seseorang manusia untuk meyakinkan diri sendiri yang mereka di pihak yang benar walau apapun yang berlaku benar-benar mengagumkan terutamanya dalam kes Onada ini jika dilihat dari sudut psikologi. Bukan itu sahaja. Rata-rata veteran yang telah berkhidmat selama itu dan pernah turun ke medan perang kebiasaannya mempunyai kemungkinan yang amat tinggi untuk menghidapi Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD).

PTSD biasa berlaku pada individu yang melihat sesuatu yang mengejutkan atau terlampau menakutkan. Onada walau bagaimanapun tidak menunjukkan simptom PTSD yang nyata. Pada pendapat saya biarpun saya bukanlah seorang pakar psikologi, keteguhan Onada yang berpegang teguh pada segala ajaran beliau sewaktu di sekolah perisikan selain daripada keupayaan beliau yang amat tinggi untuk meyakinkan dirinya sendiri yang bahawa peperangan belum tamat dan apa yang beliau lakukan ini ialah untuk maharaja dan negara Jepun menghalang PTSD meninggalkan kesan yang mendalam pada beliau. Beliau masih mampu meneruskan hidup secara normal malah beliau juga sempat berkahwin. Kemampuan mental yang mampu dicapai oleh Onada ini adalah amat-amat benar mengagumkan jika dari sudut psikologinya.

Rujukan.

Deacon, Richard (1986). A History of the Japanese Secret Service.

https://www.cia.gov/library/center-for-the-study-of-intelligence/csi-publications/csi-studies/studies/vol46no3/article07.html

https://www.theguardian.com/world/2014/jan/17/hiroo-onoda-japanese-soldier-dies

http://www.latimes.com/local/obituaries/la-me-hiroo-onoda-20140118-story.html

http://www.bbc.com/news/world-asia-25772192

http://www.japanprobe.com/2006/11/29/wife-of-no-surrender-soldier-becomes-president-of-conservative-womens-group/

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here